Anda di halaman 1dari 8

REFLEKSI

Syukur kepada Tuhan kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat juga saya menyiapkan tugasan
bagi subjek SJH3063E ini. Melalui tugasan ini saya telah memperolehi banyak faedah dan
pengetahuan yang berguna. Meskipun begitu, masih terdapat beberapa kelemahan yang telah
dikenalpasti.
Melalui tugasan ini, saya telah mendapat tahu bahawa seseorang guru yang kreatif mampu
mempengaruhi tahap kesedaran murid terhadap pengajaran dan pembelajarannya dalam
matapelajarn sejarah. Seseorang guru yang mengajar mata pelajaran sejarah di sekolah rendah
merupakan peringkat paling asas kepada pembelajaran sejarah yang lebih lengkap lagi sebelum
para pelajarnya melangkah ke sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi. Adalah sangat
penting bagi guru di peringkat ini perlu melengkapkan diri mereka sebagai persediaan
membekalkan para pelajarnya dengan asas-asas mata pelajaran sejarah. Sebelum seseorang
guru itu diberi kepercayaan mengajar mata pelajaran ini, seseorang guru tersebut perlulah
dibekalkan dengan ilmu sejarah di dalam dadanya. Hal ini berkaitan dengan pengertian, konsep,
fungsi dan peranan sejarah itu sendiri barulah seseorang guru itu dapat menjalankan
tanggungjawabnya mendidik anak muridnya dengan ilmu-ilmu asas sejarah.
Ciri berikutnya ialah seseorang guru sejarah itu adalah digalakkan menyambung pelajaran
dalam bidang sejarah pada peringkat yang lebih tinggi sehingga seseorang guru itu mahir dan
menguasai bidang sejarah tempatan dan sebolehnya sehingga seorang guru itu boleh dipanggil
sebagai pakar sejarah. Dengan kepakaran yang ada ini, beliau akan dapat bukan sahaja
membimbing murid dengan cemerlang dan yakin, malahan akan dapat membimbing rakan
sebayanya atau rakan sekerjanya bagi sama-sama melonjakkan mata pelajaran sejarah di
sekolahnya. Para pentadbir perlulah peka dan dapat memberi kerjasama dalam menjayakan
hasrat misi dan visi ini. Imbalan, imbuhan dan insentif khas perlu diberi kepada mana-mana guru
yang sanggup menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti Ijazah Sarjana Muda
(Degree), Ijazah Sarjana (Masters) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang mereka.
Perkara ini dapat dilakukan seperti member kenaikan gaji bulanan dan juga biasiswa bagi
menyara keperluan pengajian mereka.
Seseorang guru mata pelajaran sejarah di sekolah rendah perlulah kreatif dan inovatif
dalam mengemaskini pengetahuan sedia ada. Guru tersebut hendaklah mencari kaedah-kaedah
baharu bagi menarik minat para pelajar untuk mengikuti mata pelajaran sejarah di sekolah. Tanpa
kebijaksanaan guru tersebut, hasrat kerajaan terutama sekali Kementerian Pendidikan Malaysia

(KPM) menjadikan mata pelajaran sejarah di sekolah rendah diperkasakan akan menemui
kegagalan. Sikap guru yang positif dan ingin berdaya maju ini haruslah juga disokong oleh pihak
pentadbir sekolah yakni Guru Besar, pihak Pejabat Pendidikan Daerah, pihak Jabatan Pendidikan
Negeri, malah pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Guru juga perlu mempunyai sikap sentiasa belajar dan mencari perkara yang baharu serta
merujuk bahan-bahan ilmiah berkaitan mata pelajaran sejarah sama ada melalui bacaan bukubuku akademik, tesis, jurnal, pautan internet, menghadiri seminar dan sebagainya. Hal ini
dilakukan agar guru mata pelajaran sejarah akan sentiasa tersedia dan bersedia dengan ilmu
sejarah untuk dicurahkan kepada murid atau pelajarnya. Dengan kekuatan ilmu pengetahuan
berkaitan dengan bidangnya, seseorang guru itu mempunyai kekuatan dan tarikan aura terhadap
para pelajarnya dan seterusnya menarik minat pelajarnya mengikuti subjek yang diajarnya. Secara
tidak langsung dapat memupuk minat yang semakin mendalam dalam diri pelajarnya dalam subjek
sejarah.
Keterampilan dari segi berpakaian dan bercakap dengan ilmu yang penuh di dada adalah
merupakan salah satu ciri yang perlu ada pada diri seseorang guru mata pelajaran sejarah di
sekolah rendah. Hal ini adalah perlu kerana apabila seseorang guru berada di dalam kelas dan
menyampaikan pengajaran dan pembelajaran, ianya akan dapat menyakini kebolehan guru
tersebut dan seterusnya dapat menarik minat pelajar dalam mempelajari subjek sejarah. Guru
yang tiada persediaan fizikal dan mental akan kelihatan hambar di mata para pelajarnya.
Kesannya, guru tersebut kurang dihormati oleh para pelajarnya. Hal ini secara tidak langsung akan
meninggalkan kesan negatif terhadap pencapaian dan penguasaan pelajarnya terhadap subjek
sejarah. Perkara ini akan merencatkan usaha kerajaan supaya setiap pelajar di Malaysia
mempelajari subjek sejarah tidak akan mencapai objekti pembinaan kenegaraan Malaysia. Apa
yang lebih naf lagi, sekiranya subjek sejarah ini akan dianggap sebagai subjek pinggiran sahaja.
Kesannya, pelajar yang berbilang kaum di Malaysia tidak akan dapat dipupuk jati diri Malaysia
mereka kerana mereka tidak mengenal indentiti asal dan keturunan mereka.
Guru mata pelajaran sejarah perlu ada ciri sense of humour agar ia dapat menghilangkan
rasa cepat hilang tumpuan kerana subjek sejarah merupakan mata pelajaran yang dikira berat
yang memerlukan penghafalan fakta dan tarikh. Sementelahan pula perkara yang terkandung
dalam subjek sejarah berkaitan dengan cerita atau peristiwa yang telah lama berlalu. Penyesuaian
dengan hal yang berlaku pada hari ini dengan masa lampau perlu bijak diadun oleh guru agar para
pelajar akan lebih memahami agar konsep sejarah dan pensejarahan akan dapat diaplilasikan
sebaik mungkin di dalam kelas. Semasa pengajaran atau sebarang aktiviti di dalam kelas guru

juga perlu menyelitkan dengan unsur-unsur lucu dan dapat dikaitkan dengan fakta sejarah
sebenar. Apatah lagi pelajar atau pelanggan guru sejarah tersebut adalah pelajar di peringkat
sekolah rendah yang tebal dengan sikap keanak-anakan. Jadi guru perlu bijak memainkan
peranan ini supaya subjek sejarah ini dapat menarik minat mereka dan seterusnya memberi impak
yang positif dalam pembinaan negara bangsa. Pengetahuan tentang sejarah negara dengan
rakyatnya yang pelbagai kaum ini penting dalam pembentukan generasi yang akan datang supaya
Malaysia wujud sebagai sebuah negara yang aman makmur untuk masa depan yang lebih
gemilang.
Kerajinan membawa murid keluar daripada bilik darjah atau kawasan sekolah dengan
mengunjungi tempat-tempat bersejarah yang berkaitan dengan tajuk yang diajar adalah sangat
perlu. Program lawatan sebagai contoh ke tempat-tempat bersejarah yang sememangnya sedia
wujud seperti di Melaka atau Pulau Pinang untuk melihat kesan tinggalan sejarah adalah perlu. Ini
kerana selain mempelajarinya di dalam buku teks semata-mata, murid / pelajar juga turut
didedahkan dengan bukti-bukti dalam bentuk kerja lapangan. Hal ini bukan sahaja dapat memberi
bukti sejarah sebenar kepada pelajar, tetapi dapat menambahkan pengalaman yang berguna
kepada mereka. Hal ini akan memberi impak dan input tambahan kepada mereka selaku pelajar
mata pelajaran sejarah. Kesannya semangat ingin tahu secara lebih mendalam akan dapat diberi
kepada para pelajar.
Mata pelajaran sejarah sebenarnya dapat berperanan dalam membina dan menyuburkan
semangat patriotisme dalam diri seseorang pelajar. Dengan pengetahuan dan ilmu yang mereka
perolehi akan dapat mewujudkan rasa sayang mereka kepada negara ini. Sejarah pembinaan
negara ini sejak daripada zaman feudal, zaman penjajahan serta kemasukan imigran dan zaman
kemerdekaan dan berpemerintahan sendiri akan dapat diterapkan dalam diri para pelajar. Secara
tidak langsung, masyarakat yang mempelajari sejarah ini akan tahu asal-usul mereka dan sejarah
negara mereka yang ada pada hari ini. Masalah perpaduan dan polarisasi kaum akan dapat di
atasi dengan wujudnya warga Malaysia yang saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Perkara ini sangat penting dan perlu menjadi keutamaan pemerintah agar subjek sejarah ini perlu
menjadi mata pelajaran yang wajib dipelajari dalam pelbagai peringkat pendidikan; sama ada
bermula di peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

(Ahmad Jelani Halimi; 2006: 10), menyatakan bahawa dengan mempelajari mata pelajar
sejarah akan dapat merangsangkan perasaan ingin tahu dan ingin menyiasat. Hal ini akan dapat

dilihat dengan mempelajari sejarah sama ada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan
pengajian tinggi, perasaan ingin tahu secara mendalam akan timbul dalam diri setiap orang
pelajar. Perkara ini berlaku kerana apabila pelajar menpelajari subjek sejarah ia perlu melakukan
pengkajian untuk mencari fakta-fakta baharu untuk menyakinkan fakta atau data-data sedia ada.
Dengan adanya semangat semangat ingin tahu inilah, sebarang kekaburan maklumat dapat
dicerahkan dengan penemuan-penemuan baru sesuai kerana sejarah adalah salah satu bidang
disiplin yang dinamik dan sentiasa berubah-ubah.
Mengikut (Ahmad Jelani Halimi; 2006: 10) lagi, sejarah dapat melahirkan generasi yang arif
dan dapat melahirkan manusia yang berpendidikan. Justeru itu dengan lahirnya manusia yang
berpendidikan ini, maka mudah bagi pihak kerajaan melahirkan warga atau rakyat yang tinggi
semangat patriotisme dan sayangkan negaranya. Jika ramai rakyatnya tidak berpendidikan, maka
menjadi sesuatu yang sukar usaha kerajaan memupuk perpaduan dan jati diri rakyatnya. Apabila
rakyatnya tidak mempunyai jati diri yang kuat, adalah sesuatu yang membahayakan masyarakat
Malaysia pada masa depan terutama sekali dalam soal-soal perpaduan pada masa depan.
Keutuhan dan kekuatan sesebuah negara bergantung kepada kekuatan patriotisme rakyatnya.
Tanpa perpaduan, kekuatan bidang-bidang lain seperti ekonomi, sosial dan lain-lainya tidak akan
tercapai. Hal ini kerana setiap bidang mempunyai kerelevanannya yang tersendiri serta saling
berkaitan di antara satu sama lain.
Menurut (Abdul Rahman Haji Abdullah; 2003: 97), pengetahuan sejarah mempunyai
falsafahnya yang tersendiri dan ianya sangat penting dalam usaha pembentukan wawasan sejarah
yang lebih terbuka dan tersusun. Dengan kekuatan falsafah sejarah secara tidak langsung akan
dapat menyemai semangat patriotisme dalam pembinaan negara apabila pelajar telah dibekalkan
dengan ilmu sejarah yang ada hubung-kait dengan negara ini. Ianya berperanan memupuk rasa
saling hormat menghormati antara kaum, kebudayaan, agama, ekonomi dan sosial. Justeru
adalah sangat penting mata pelajaran sejarah ini diajar di peringkat sekolah rendah lagi. Bidang
pendidikan adalah akar pembinaan generasi masa depan yangh lebih cemerlang di samping
bantuan dalam bidang-bidang lain.
Sejarah juga berperanan mewujudkan asas bagi memajukan tabiat dan tingkah-laku
generasi yang berfikiran kritis, analitik dan skeptik. Hal ini hanya wujud sekiranya mata pelajaran
sejarah diajar dan didedahkan sepenuhnya berkaitan dengan asas-asas kenegaraan di peringkat
sekolah rendah lagi. Hasrat kerajaan untuk memasukkan subjek sejarah di peringkat sekolah lagi
amat dialu-alukan oleh banyak pihak. Tentangan hasrat kerajaan ini hanya datangnya daripada
segelintir kelompok sahaja dan dianggap tidak mempunyai pengaruh sehingga boleh menjejaskan

hasrat kerajaan tersebut. Usaha kerajaan untuk menjadikan subjek sejarah sebagai mata
pelajaran utama di peringkat sekolah rendah adalah bertitik-tolak daripada beberapa isu
perkauman yang semakin panas selepas Pilihan Raya Umum 2008 dan Pilihan Raya Umum 2013.
Parti-parti politik di Malaysia banyak memainkan isu-isu yang berkaitan perkauman (racism) dalam
kempen-kempen politik mereka. Hal ini dimainkan secara membabi buta tanpa mengira sensitiviti
kaum yang ada di Malaysia. Parti-parti politik ini tidak terhad kepada parti pembangkang sahaja,
malah melibatkan parti-parti politik kerajaan. Dengan adanya pendidikan mata pelajaran di
peringkat sekolah rendah lagi, barangkali polarisasi kaum akan dapat dikurangkan kerana pelajar
yang akan dilahirkan kelak merupakan pelajar yang matang dalam semua segi, baik politik,
ekonomi, pentadbiran dan sebagainya.
Mata pelajaran sejarah juga dapat membantu membina semangat patriotisme dalam diri
seseorang pelajar dengan melalui seni member penjelasan sesuatu fakta dengan konkrit. Ianya
secara tidak akan dapat mengasah bakat berhujah dengan fakta-fakta yang relevan dengan
perkembangan semasa negara. Kemahiran komunikasi juga dapat diwujudkan apabila para
pelajar dibekalkan dengan ilmu sejarah yang berkaitan dengan sejarah tempatan. Jika mereka
kelak menjadi seorang ahli politik, mereka akan dapat berdebat, berforum, berwacana, berhujah
dan berceramah dengan fakta sebenar dan bukannya bercampur dengan emosi perkauman
melulu. Hal ini amat penting diambil kira sebagai satu medium atau wahana bagi melahirkan
kelompok masyarakat yang tahu sejarah jatuh-bangun sesebuah negara terutama sekali Malaysia
yang dihuni oleh rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya serta pelbagai latar belakang.
Sebagai contoh, berkaitan dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam
Perlembagaan Negara yang ada pada hari ini. Pemahaman dan sikap tolenransi daripada kaum
bukan Melayu seperti orang Cina dan India adalah amat diperlukan dan ditagih. Dengan wujudnya
persefahaman ini, mudah-mudahan masalah pergeseran kaum akan dapat diatasi. Jika ini dapat
diatasi, peristiwa detik hitam dalam sejarah Negara iaitu 13 Mei 1969 tidak akan berulang lagi.
Mata pelajaran sejarah juga berperanan dalam membina semangat patriotisme dalam diri
seseorang pelajar melalui peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup matinya
sesebuah negara itu (Muhd Yusof Ibrahim; 2009: 47). Seperti juga manusia, maka kehidupan
sesebuah negara akan gelap jika ia tidak mempunyai sejarahnya ataupun tidak mempunyai
kumpulan ingatan masa lalunya. Sebagai kesan atau hasil, ia melambangkan pertalian dengan
masa lalu apabila gejala itu lambat-laun akan menjadi sebahagian dari masa lalu itu jua.
Melaluinya juga setiap pelajar yang bakal menerajui negara pada masa depan akan faham dan
tahu asal-usul pembinaan negaranya yang ada pada hari ini. Hal ini merujuk kepada asa-usul

setiap kaum yang mendiami Malaysia pada hari ini dan mereka sudah sedia faham akan hak-hak
masing-masing sama ada sebelum atau selepas kemerdekaan. Jadi jika semua rakyat dalam
negara ini terdidik dengan ilmu sejarah, maka masalah pelanggaran hak kaum lain tidak akan
berlaku. Kehidupan yang dalam negara akan lebih terjamin dan aman.

Sejarah juga boleh membentuk semangat patriotisme kepada pelajar melalui peranannya
dalam memilih pemimpin yang bertanggungjawab. Rakyat akan mengambil kira latar belakang
seseorang calon pemimpin itu, dari kumpulan manakah datangnya dan apakah organisasi ataupun
parti politiknya itu telah terbukti sebagai sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab terhadap
rakyat yang dipimpinnya (Muhd Yusof Ibrahim; 2009: 53). Semua pertimbangan itu semuanya
merujuk kepada sejarah seseorang yang akan menjadi pemimpin dan juga sejarah pertubuhan
atau parti politik yang diwakilinya. Hal ini dilakukan agar penentuan dalam pemilihan pemimpin
tersebut tidak dibuat berdasarkan emosi dan legasi semata-mata. Perkara ini sangat penting
kerana seseorang tokoh yang terpilih nanti adalah yang benar-benar jujur, berani, adil serta
mempunyai kebolehan memimpin orang yang di bawah kepimpinannya. Kebijaksanaan memilih
pemimpin merupakan salah satu elemen yang penting dalam mencernakan semangat patriotisme
seseorang warganegara. Sebaliknya, kesilapan memilih pemimpin kerana tidak mengambil kira
sejarahnya masa lalu akan mengundang wujudnya pemimpin yang bersikap curang, maka
nyatalah bahawa rakyat akan tertindas dan hasil mahsul negara hanya berlegar dalam kalangan
elit pemerintah sahaja. Jika ini berlaku, maka malanglah rakyat sesebuah negara itu.

Setiap negara dalam dunia ini mempunyai sejarah perjuangannya tersendiri. Kita melihat
bagaimana seseorang pemimpin itu dapat menaikkan semangat patriotisme kaumnya dengan
menggunakan sejarah yang telah dialami oleh negara mereka. Hal ini dapat dilakukan dengan
memberi peringatan bagaimana para pemimpin elit feudal zaman lampau menyalahgunakan
kuasa dan kedudukan mereka demi kepentingan peribadi sehingga wujudnya lompang kepada
kemasukkan pihak asing dan seterusnya mencampuri hal-ehwal Tanah Melayu. Kesannya mereka
bukan sahaja mencampuri hal-ehwal Tanah Melayu, malah mereka telah menjajah negara ini
hampir 500 tahun sebelum diberi kemerdekaan kemudiannya. Dengan kebolehan pemimpin ini
menanamkan semangat patriotisme kepada orang bawahannya, maka akan wujud kesedaran
dalam kalangan mereka agar sejarah lampau tidak diulang lagi. Segala kesilapan dapat
diselesaikan secara bijaksana dan berhemah.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya dapatlah dikatakan bahawa pengajaran sejarah yang lebih efektif
dan berdaya maju di sekolah rendah memerlukan ciri-ciri guru yang berketerampilan dalam segala
segi, baik ilmunya, penampilan dari segi pakaiannya, segar dengan idea-idea dan maklumat
baharu, rajin merujuk bahan-bahan bersifat akademik, bertanggungjawab terhadap tugas dan
peranan yang diberikan, mempunyai kelulusan akademik yang lebih tinggi dalam bidang
kepakarannya akan dapat menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah
akan member kesan yang maksimum. Peranan pihak atasan juga amat diperlukan dalam
menjayakan misi dan visi ini hasil kerjasama kedua-dua pihak. Demikianlah sejarah itu memang
mempunyai fungsi atau peranannya yang tersendiri, yakni nilai yang sangat luas bagi seseorang
insan atau dalam konteks ini merujuk kepada pelajar yang dididik dengan mata pelajaran sejarah
di peringkat sekolah rendah akan dapat disemai dengan semangat patriotisme. Malah,
kepentingan sejarah tidak dapat dinafikan lagi adalah untuk pendidikan warganegara, pengurusan
pemerintahan, atau membimbing masyarakat. Dalam konteks ini ianya dapat membantu dalam
peranan membina semangat patriotisme dalam diri seseorang pelajar baik di sekolah rendah
mahupun di peringakat universiti dalam usaha melahirkan warganegara yang mempunyai jati diri
Malaysia yang tulen. Semua ini kita tidak dapat mengelakkan diri dari terkait dengan sejarah.
Begitu juga dalam bidang-bidang ilmu yang lain; semuanya amat kerap merujuk kepada sejarah
sebagai panduan membawa hala tuju sesuatu bidang tersebut. Barangkali, jika dikira satu per
satu, mungkin jumlah kegunaannya melebihi seribu satu macam; sama ada yang berbentuk
fungsional dan pragmatis, mahupun psikologi dan falsafah. Sejarah sebagai rakaman peristiwa
dan ilmu pengetahuan masa lalu, boleh dijadikan teladan dan sempadan demi mewujudkan
kesejahteraan insan, masyarakatnya dan juga negaranya. Kegagalan atau kejayaan bagi
memastikan keberkesanan peranan mata pelajaran sejarah untuk membina semangat patriotisme
dalam diri seseorang pelajar adalah saling berkait dengan beberapa ciri seorang guru sejarah
yang efektif di sekolah rendah. Semua pihak seharusnya peka akan keperluan dan kepentingan
perkara berkenaan.