Anda di halaman 1dari 6

1.

PENGUCAPAN AWAM

Moderator: Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia. Hadirin sekalian, bersyukur kita kepada
Tuhan kerana kita dapat bertemu lagi dalam arena forum bersama saya, Marylyn Anne anak
Michael Jeali pada hari yang indah ini. Sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel, kita
sedia maklum bahawa bahasa adalah medium pengajaran dan pembelajaran. Kurikulum
tidak boleh disampaikan tanpa kemahiran berbahasa dan kefahaman tidak akan berlaku
tanpa murid-murid menguasai bahasa dengan baik. Forum kita pada kali ini bertajuk
Langkah memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan dan kesannya terhadap
negara, sesuai dengan anjakan kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 20132025. Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita
berkenalan dengan tiga orang ahli panel kita pada hari ini. Baiklah di sebelah kanan saya,
ahli panel pertama, saudara Willibrord William @ Sipin. Seterusnya ahli panel kedua, cantik
manis orangnya, saudari Ashley Chang Wui Ling. Dan di hujung sana, segak bergaya dan
bijak berkata-kata, saudara Edberg Oswald Justinus. Sebelum kita belayar dengan lebih
jauh, soalan saya kepada panel pertama, apakah sebenarnya konsep pemahaman Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan seterusnya apakah kepentingan anjakan
kedua dalam PPPM?

Panel Pertama: Terima kasih cik pengerusi yang cantik molek pekertinya. Salam sejahtera
diucapkan kepada panel-panel yang lain. Terlebih dahulu, saya ingin memberikan sedikit
pemahaman mengenai PPPM 2013-2025. Apakah itu Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM)? Ia merupakan satu laporan awal yang digubal dan dilancarkan oleh
Perdana Menteri Malaysia kita pada 11 September 2012. PPPM ini merupakan satu usaha
Kementerian Pendidikan Malaysia bagi melonjakkan sistem pendidikan yang ada di negara
kita untuk berada dalam kalangan negara sepertiga teratas dalam sistem pendidikan terbaik
di dunia ini. Seterusnya, terdapat 11 anjakan dalam PPPM 2013-2025. Pada hari yang mulia
ini, saya akan menerangkan ataupun mengulas mengenai anjakan yang kedua di dalam
PPPM 2013-2025 ini. Anjakan kedua dalam PPPM 2013-2025 ini ialah Memastikan setiap
murid menguasai kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan digalakkan
mempelajari bahasa tambahan. Pada pendapat saya, menguasai kemahiran dalam bahasa
ini amatlah penting agar kita dapat berkomunikasi dengan lebih ramai orang yang
menggunakan bahasa asing. Sebagai rakyat Malaysia, sudah semestinya menguasai
Bahasa Malaysia adalah satu kewajipan di negara kita ini. Seperti yang kita sedia tahu

bahawa Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan di negara kita. Oleh sebab itu,
kita haruslah menyayangi dan menghargai Bahasa Kebangsaan negara kita ini. Selain itu,
dengan menguasai bahasa juga, kita dapat memperoleh ilmu pengetahuan. Hal ini demikian
kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini dalam pelbagai bahasa,
khususnya Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia, Dengan memperoleh
pelbagai ilmu pengetahuan seseorang akan lebih dihormati, dipandang tinggi serta tidak
tidak dianggap bagai katak di bawah tempurung. Tuntasnya, Kementerian Pelajaran
Malaysia haruslah memperkenalkan subjek bahasa tambahan di peringkat sekolah agar
dapat melahirkan modal insan yang mampu berbahasa lebih daripada satu bahasa.

Moderator: Terima kasih kepada panel pertama kita di atas lontaran konsep yang utuh lagi
berisi. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa, ilmu pengetahuan di dunia
sememangnya dihasilkan dalam pelbagai bahasa, khususnya dalam Bahasa Inggeris yang
merupakan bahasa utama dunia. Justeru, saya ingin menanyakan persoalan seterusnya
kepada ahli panel kita yang kedua, apakah asas dan langkah-langkah untuk menggalakkan
pelajar menguasai kemahiran dalam Bahasa Inggeris?

Panel Kedua: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Seperti yang
kita sedia maklum, Bahasa Inggeris merupakan satu bahasa yang amat penting untuk
dikuasai dengan baik dan berkesan kerana ia merupakan bahasa komunikasi antarabangsa.
Kajian menunjukkan bahawa terdapat sebanyak 1.5 bilion manusia yang bertutur dalam
Bahasa Inggeris. Oleh itu, sekiranya kita tidak memiliki literasi Bahasa Inggeris, kita akan
menghadapi kesukaran untuk meneroka pelbagai bidang ilmu dan tidak mampu berdaya
saing pada peringkat nasional apatah global. Maka, untuk menjawab soalan saudari
Pengerusi berkenaan bagaimanakah kita sebagai bakal-bakal guru boleh menggalakkan
pelajar untuk mempelajari Bahasa Inggeris dengan lebih efektif. Pada pendapat saya,
kaedah didik hibur merupakan salah satu cara untuk menggalakkan pelajar mempelajari
Bahasa Inggeris. Didik hibur dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai edutainment. Didik
hibur merupakan satu kaedah atau pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang
menekankan aspek hiburan dalam pendidikan. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran bersifat
santai dan amat menyeronokkan seperti nyanyian, choral speaking, lakonan, bercerita dan
sebagainya. Pendekatan didik hibur dalam mengajar bahasa Inggeris amat efektif kerana
pelajar boleh mengaktifkan imaginasi dan kreativiti mereka serta membuka kunci potensi
mereka melalui aktiviti meneroka cerita, lagu dan lakonan drama di samping menggalakkan
mereka menggunakan Bahasa Inggeris secara meluas. Melalui kaedah ini, pelajar belajar

Bahasa Inggeris dalam keadaan yang seronok dan objektif pengajaran dan pembelajaran
juga dicapaiBaiklah sebenarnya, latar belakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan
persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang
ditetapkan. Seterusnya, permasalahan ini mesti mendapat pendisiplinan dan perhatian ibu
bapa. Pihak ibu bapa perlu sedar akan kepentingan hubungan yang erat dengan guru-guru
di sekolah. Perjumpaan secara berkala di antara ibu bapa para pelajar dengan pihak
sekolah perlu diadakan sekerap yang boleh. Tindakan ini amat penting kerana ianya boleh
menjadi medium perbincangan prestasi dan disiplin anak-anak mereka di sekolah. Hal ini
amat signifikan kerana sekiranya golongan ibu bapa mengambil remeh tentang masalah
disiplin anak-anak mereka di sekolah, golongan anak-anak itu akan merasa bebas dan
terbiar sehingga menyebabkan mereka membuat tindakan yang bertujuan untuk
mendapatkan perhatian seperti melawan guru, ponteng kelas, ponteng sekolah, membuli
dan sebagainya yang mana hal ini akan menambah dan meningkatkan masalah kes disiplin
di sekolah. Oleh itu, pihak ibu bapa dan guru di sekolah perlu mengadakan hubungan yang
baik supaya segala masalah yang berkaitan dengan pelajar dapat diselesaikan sebelum
nasi menjadi bubur.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua atas pandangan yang amat bernas sebentar
tadi. Sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya terdapat banyak asas yang
boleh diimplementasikan bagi menggalakkan murid menguasai Bahasa Inggeris. Jika dua
orang panel kita tadi menerangkan tentang konsep PPPM, kepentingan anjakan kedua dan
menghuraikan dengan selengkapnya tentang langkah-langkah menggalakkan proses
pembelajaran Bahasa Inggeris, saya ingin meminta pendapat panel ketiga tentang cara-cara
memperkasakan Bahasa Melayu dalam kalangan murid. Dipersilakan.

Panel Ketiga : Terlebih dahulu, terima kasih kerana menjemput saya untuk berbicara dalam
majlis forum ini. Merujuk kepada tajuk forum kita pada hari ini, saya ingin mengemukakan
pendapat saya tentang cara memperkasakan Bahasa Malaysia. Jika menyentuh tentang
bahasa, saya sendiri pun tidak pasti berapakah jenis bahasa yang terdapat di dunia ini.
Dalam negara kita sahaja, pelbagai jenis bahasa yang digunakan termasuklah Bahasa
Malaysia, Bahasa Iban, Bahasa Dusun dan banyak lagi. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu
fasih dalam Bahasa Malaysia. Pada masa yang sama, pelbagai langkah dan strategi perlu
dilakukan oleh pihak yang berkaitan dalam usaha untuk menggalakkan para pelajar untuk
mempelajari Bahasa Malaysia agar bahasa kebangsaan kita tetap utuh di masa hadapan.
Saya tidak akan menyentuh banyak tentang usaha yang telah dilakukan oleh kementerian

pendidikan untuk memperkukuhkan Bahasa Malaysia, kerana seperti mana yang kita semua
tahu, subjek Bahasa Malaysia terdapat dalam mata pelajaran teras di semua sekolah
kebangsaan, begitu juga dengan sekolah menengah. Namun begitu, individu yang perlu
diberi perhatian dalam hal ini adalah guru yang mengajar subjek tersebut. Adakah guru
tersebut mengajar pelajarnya dengan betul atau sambil lewa, itu kita tidak tahu. Oleh itu,
pada pendapat saya, pihak Kementerian Pendidikan perlu mengambil inisiatif untuk
melahirkan pendidik yang berintegriti dan bertauliah. Pada pendapat saya, para pendidik
perlu seiringan dengan peredaran zaman dan menggunakan strategi mengajar yang betul
dan sesuai pada masa kini. Dengan memasukkan input-input yang disukai oleh pelajar
semasa P&P berjalan, tidak mustahil akan timbul perasaan minat dalam diri pelajar tersebut
untuk belajar lebih banyak tentang Bahasa Malaysia.

Selain itu, pihak sekolah boleh

menganjurkan satu pertandingan yang meliputi kemahiran dan kefasihan dalam bahasa
Malaysia seperti pertandingan mendeklamasikan sajak, menulis artikel dalam bahasa
Malaysia dan sebagainya.

Dengan ini, para pelajar yang mengambil bahagian dalam

pertandingan tersebut akan mendapat lebih banyak pengetahuan mengenai bahasa


Malaysia. Oleh itu, pihak yang berkaitan seperti pihak sekolah perlu memainkan peranan
dalam usaha untuk memperkasakan bahasa kebangsaan kita.

Sekian, saya serahkan

semula kepada saudari pengerusi.

Pengerusi: Sungguh intelektual pemikiran saudara panel kita yang ketiga. Memang tidak
dapat disangkal lagi, pihak sekolah sememangnya memainkan peranan yang penting dalam
memantapkan kemahiran Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar. Saya ingin bertanya
secara ringkas tentang pendapat ahli panel kita pada hari ini, apakah impak atau kesan
memartabatkan Bahasa Malaysia, memperkukuhkan Bahasa Inggeris dan menggalakkan
murid mempelajari bahasa tambahan terhadap negara? Saya persilakan panel kita yang
pertama dahulu untuk memberikan sedikit ulasan.
Panel Pertama: Terima kasih saudari pengerusi. Satu kesan daripada memartabatkan
Bahasa Kebangsaan kita iaitu Bahasa Malaysia adalah untuk memanfaatkan dalam
perkembangan global terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.Telah terbukti bahawa
melalui pendekatan dalam memartabatkan Bahasa Malaysia di setiap tahap pendidikan
negara dapat menghasilkan ribuan graduan yang berkualiti dan mampu ke luar negara
mempelajari imu yang bersifat kepakaran. Seterusnya, melalui pendekatan terhadap
Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris juga dapat membantu murid menyertai tenaga kerja
global. Aspirasi kementerian adalah memastikan setiap murid di peringkat rendah hingga

menengah mendapat peluang dalam mempelajari bahasa tambahan. Justeru, kemahiran


berbahasa adalah penting untuk melalui proses transformasi masa depan negara.

Pengerusi: Begitu hebat kata-kata atau pendapat yang diutarakan oleh panel kita sebentar
tadi. Sekarang kita perdengarkan pula pendapat daripada panel kita yang kedua, secara
ringkas, tentang faedah dan kesan menguasai kemahiran dalam Bahasa Iggeris.

Panel Kedua: Terima kasih saudari pengerusi yang tidak kurang petah bicaranya. Walaupun
Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua negara kita tetapi literasi dalam bahasa tersebut
akan memberikan banyak manfaat dan kepentingan terutamanya dari aspek kerjaya kita.
Dalam soal kerjaya, kebanyakan syarat atau kriteria untuk memohon satu pekerjaan ialah
seseorang haruslah mempunyai literasi dalam Bahasa Inggeris. Jika anda mempunyai
kefasihan dalam Bahasa Inggeris yang kukuh, maka, peluang untuk mendapatkan
pekerjaan impian anda adalah sangat cerah termasuklah pendapatan yang lumayan,
persekitaran pekerjaan yang kondusif dan selesa dan sebagainya. Sekian, kembali kepada
saudari pengerusi.

Pengerusi : Begitu hebat sekali wacana yang dilontarkan oleh panel kedua kita sebentar
tadi. Seterusnya persoalan terakhir untuk panel kita yang ketiga, masih berlegar dalam
fikiran, bagaimanakah cara untuk menggalakkan pelajar mempelajari bahasa tambahan dan
apakah manfaat mempelajari bahasa tersebut?

Panel Ketiga: Terima kasih sekali lagi kepada saudari pengerusi. Perkara yang bakal saya
sampaikan ini adalah berkenaan dengan cara menggalakkan pelajar untuk belajar satu
bahasa tambahan dan juga kelebihan yang boleh diperolehi dengan belajar bahasa
tambahan. Mungkin ada diantara anda di luar sana yang tidak faham tentang pernyataan
ini.

Biar saya terangkan serba sedikit.

dijadikan contoh.

Saya akan mengambil diri saya sendiri untuk

Setakat ini, saya fasih dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Dusun, Bahasa

Malaysia dan juga Bahasa Inggeris.

Namun begitu, tidak salah sekiranya saya belajar

bahasa yang lain seperti Bahasa Cina, Jepun dan sebagainya. Sebaliknya, dengan belajar
lebih banyak bahasa, saya boleh mendapat pelbagai kelebihan.

Berbalik kepada cara

menggalakkan pelajar untuk belajar bahasa lain, saya berpendapat bahawa para pelajar

harus didedahkan dengan persaingan yang berlaku tidak kira dari segi ekonomi, pendidikan
atau sosial. Mereka perlu tahu bahawa pada zaman sekarang, apa-apa urusan di taraf
antarabangsa akan terjadi dalam mana-mana sektor. Apabila mereka menjejakkan kaki
dalam bidang kerjaya, tidak mustahil mereka akan berdepan dengan situasi tersebut.
Kesimpulannya, para pelajar perlu sedar bahawa dengan belajar

mana-mana bahasa

asing, mereka mampu mendapat kelebihan dari segi komunikasi dengan orang asing dari
luar negara yang menggunakan bahasa mereka sendiri dalam urusan kerja ataupun apaapa urusan lain. Itu sahaja yang saya ingin sampaikan, kembali kepada saudari pengerusi
kita. Sekian, terima kasih.

Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir
dan sudi menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak
sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kesimpulannya, bagi memastikan
keberkesanan anjakakn kedua PPPM, setiap pihak pihak yang terlibat haruslah memahami
peranan mereka dan mengambil kira tentang manfaat yang mereka peroleh. Sebelum
mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serangkap pantun yang berbunyi:
Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
Sekian sahaja untuk hari ini, jika terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan.
Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Tuhan, dan yang kurang elok itu
datangnya daripada kekhilafan diri kami sendiri. Saya akhiri forum kita pada pagi ini dengan
ucapan terima kasih.