Anda di halaman 1dari 14

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1

Pengenalan

Peranan insan bergelar guru adalah amat penting dalam usaha merintis dan menerajui
perubahan demi melonjakkan institusi pendidikan dan melahirkan insan yang
memberi sumbangan kepada kemakmuran negara. Profesion perguruan merupakan
profesion paling utama dalam proses membangunkan manusia dan masyarakat
kerana pendidikan adalah medan pembinaan modal insan yang berkesan. Seseorang
yang digelar sebagai pendidik mempunyai peranan yang profesional di mana mereka
bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, malah mendidik untuk membentuk
sikap, nilai, akhlak dan peribadi pelajar melalui pembentukan sahsiah yang baik.
Sehubungan dengan itu, guru hendaklah menampilkan personaliti yang baik
seperti bertatatertib, berbudi bahasa, bersopan santun, bertimbang rasa, bersimpati,
berdedikasi dan bersikap positif bukan sahaja di sekolah malah di mana sahaja
mereka berada. Personaliti ialah perwatakan dan tingkah laku dan merupakan satu
daripada pembolehubah yang boleh memudahkan atau menyulitkan sesuatu proses
pengajaran dan pembelajaran. Ciri-ciri personaliti unggul adalah bersikap adil, sabar,
tegas, kesungguhan, mesra, prihatin, kerjasama, menepati masa, bertanggungjawab,
berakhlak mulia dan kecindan (Md. Nasir Masran, 2000).
Pendidik di sekolah tidak hanya mengajar tetapi juga merupakan pemimpin.
Kepimpinan

adalah

keupayaan

seseorang

individu

untuk

mempengaruhi,

memotivasikan dan membolehkan orang lain menyumbang ke arah keberkesanan dan

2
kejayaan sesebuah organisasi (Yulk, 2002). Secara sedar atau tidak sifat kepimpinan
berkualiti bagi seorang guru di sekolah harus ditelusuri dan diperhalusi bagi
mewujudkan iklim pendidikan yang mampu memacu kecemerlangan. Pemimpin yang
mempunyai sifat kepimpinan yang berhemah tinggi sentiasa dapat mewujudkan
hubungan yang baik dengan kelompok yang dipimpin. Maka di peringkat sekolah
sudah tentulah guru besar atau pengetua yang dipertanggungjawabkan sebagai
pemimpin kepada semua pendidik, pentadbir serta pelajar.
Bilik darjah pula sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan
pembelajaran (PdP), merupakan tempat yang terpenting dalam sekolah. Bilik darjah
juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya dan kepimpinan seorang guru.
Kepimpinan berkait secara langsung dan tidak langsung dengan keseluruhan aktiviti
bilik darjah. Kepimpinan guru dalam bilik darjah dianggap sebagai himpunan
kemahiran seseorang guru yang selain daripada mengajar ada mempunyai pengaruh
yang diperluaskan ke luar bilik darjahnya, sama ada di dalam atau di luar sekolah.
Sifat pada guru pemimpin selari dengan sifat-sifat kepimpinan pada umumnya
seperti berwawasan, berani mengambil risiko, berpengaruh dan berintegriti. Selain
itu, guru pemimpin perlu mempunyai dua sifat utama iaitu komitmen kepada
pembelajaran dan optimis dan serta bersikap positif (Danielson, 2006). Kepimpinan
guru juga akan dapat menggerakkan guru lain bagi meningkatkan prestasi sekolah,
khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran sekaligus memberi impak yang besar
dalam diri pelajar.
Pelajar lebih mengetahui ciri-ciri guru yang cemerlang kerana pelajar adalah
client dan stakeholder kepada sekolah. Interaksi guru dan pelajar melalui suatu
jangka masa yang panjang, oleh itu perlakuan guru dapat dinilai dengan lebih tepat
oleh pelajarnya (Abd Rahim 2005, Naimem 1999). Ciri-ciri personal guru yang
digemari oleh pelajar akan membolehkan guru lebih mudah diterima dan mendapat
sokongan daripada pelajar, seterusnya memudahkan tugas pengurusan dan
pengajaran guru di sekolah dan di bilik darjah (Azhani, 2008). Justeru itu, guru
sebagai pendidik seharusnya memiliki ciri personaliti dan sifat kepimpinan yang
berkesan bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

1.2 Latar Belakang Kajian

Guru merupakan agen pembaharuan dalam pembentukan masa hadapan bagi


sesebuah masyarakat. Merekalah yang akan menentukan corak generasi pada masa
akan datang. Oleh yang demikian, personaliti serta gaya kepimpinan guru
memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah pelajar. Personaliti dan
kepimpinan adalah salah satu daripada aspek dalam profesionalisme perguruan
(Mastor K, 2008).
Senario hari ini memperlihatkan konsep mendidik, membimbing dan
memimpin semakin luntur disebabkan terlalu memberi fokus kepada pemindahan
penyampaian ilmu dan maklumat, penekanan prestasi akademik dan berorientasikan
peperiksaan semata-mata (Abd Halim 2004, Wan Mohd Zahid Nordin 1993, Zahrah
Bahran 1997). Menurut (Asrul, 2009) pelajar lebih cenderung untuk mendampingi
dan menyatakan masalah mereka kepada rakan berbanding guru kerana guru mereka
terlalu garang, tidak mesra dan panas baran. Manakala kajian yang dilakukan oleh
Ab. Halim et al. (2004) melalui temu bual dengan pelajar membuktikan terdapat
beberapa aspek negatif yang masih wujud pada segelintir guru seperti sifat terlalu
garang, suka memarahi murid tanpa usul periksa, suka menghina atau mengutuk
murid, tidak memberi jawapan bila ditanya oleh murid dan ego dengan diri sendiri.
Hal ini menyebabkan pelajar menjauhi guru sekaligus menyukarkan proses P&P dan
memberikan gambaran yang buruk terhadap guru.
Suatu analisis statistikal berkaitan senario ponteng pelajar sekolah menengah
menunjukkan personaliti guru merupakan faktor utama berlakunya masalah disiplin
pelajar seperti ponteng, lambat masuk kelas, vandalisme dan bersikap biadap
terhadap guru. Selain itu, guru yang serius dalam pengajaran, kuat membebel, garang
dan cara pengajaran yang tidak menarik membuatkan pelajar bosan dan tidak
disenangi oleh pelajar (Zahari & Low, 2013). Sementara itu, ada yang beranggapan
guru hanya memberi tumpuan kepada pencapaian akademik pelajar semata-mata.
Guru dilihat kurang kekuatan dalaman hingga lupa amanah membina budaya ilmu,
membangunkan insan dan memperjuangkan keadilan dan kebenaran (Hailan S, 2011)

4
Tanggungjawab mendidik khususnya membimbing pelajar berkaitan dengan
sahsiah dan penampilan diri tidak dititikberatkan. Kajian yang dijalankan oleh
Suzanne (2006) menyatakan pada hari ini terdapat guru yang tidak mementingkan
soal penampilan diri di mana mereka berpakaian selekeh, menjolok mata dan
berambut panjang sekaligus tidak mengikuti etika pemakaian yang disarankan oleh
kementerian pendidikan.
Selain itu, beberapa laporan media yang melibatkan permasalahan disiplin
dan sahsiah guru seperti kes mendera pelajar, kes rogol, berkhalwat dan pecah
amanah menggugat kewibawaan guru sebagai egen pembentuk masyarakat (Tin L.F,
2006). Laporan sebegini menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap
kreadibiliti guru sekaligus menjatuhkan martabat dan status guru yang selama ini
dipandang mulia oleh masyarakat.
Permasalahan personaliti guru dapat dilihat dari kajian lepas di mana masih
ramai guru tidak mempunyai personaliti yang unggul seperti bersikap adil, sabar,
tegas, mesra, prihatin dan bertanggungjawab kepada pelajar (Md. Nasir Masran,
2000). Akibat permasalahan ini, timbul isu di mana terdapat guru yang berkelakuan
kurang sopan, bersikap panas baran, datang lewat ke sekolah dan ponteng kerja
(Zahirudin, 2012). Hal ini selari dengan dapatan (Azwan, 1997 ; Yusliha, 2001 dan
Harun, 2004) yang menyatakan terdapat guru yang berkelakuan kurang sopan,
merokok di hadapan pelajar, datang lewat dan tidak berdisiplin.
Keadaan ini membuktikan bahawa sebahagian pendidik atau guru pada hari
ini masih belum mampu untuk mewujudkan kepemimpinan yang berwibawa dan
berkualiti. Menurut pandangan tradisional, kerja guru dilihat sebagai pasif dimana
guru akan menunggu arahan dan tunjuk ajar dari pihak atasan sebelum bertindak. Ini
disokong oleh Cheng L.K. (2009) yang menyatakan guru tidak mempunyai halatuju
sendiri dan mengharapkan pengetua memberikan halatuju tersebut. Hal ini serasi
dengan Kamarul & Johan (2012) yang menyatakan perkongsian peranan kepimpinan
di sekolah antara pentadbir dengan guru berada pada tahap yang sederhana.
Manakala, guru dilihat kurang berkebolehan dalam menyampaikan matlamat
pengajaran serta mempengaruhi pelajar dalam bilik darjah (Nurfahmi et. al. 2008).
Menurut Greenberg dan Baron (1997), seseorang pemimpin haruslah mempunyai
ciri-ciri seperti mampu mempengaruhi subordinatnya serta berkemampuan
menyatakan visi dengan jelas kerana dengan kemampuan berkenaan seseorang itu

5
akan dapat memimpin orang bawahannya dengan berkesan mengikut situasi yang
bersesuaian dengan keadaan.
Kemampuan berkomunikasi dengan berkesan merupakan satu kewajipan
seseorang guru dalam kepimpinan bilik darjah. Ini adalah kerana kemahiran
berkomunikasi merupakan penentu kepada keberkesanan penyampaian dan
penukaran maklumat kepada pelajar. Namun begitu, terdapat guru yang kurang
berkemahiran dalam menguasai dan mengunakan komunikasi secara efektif (Shafrin
et.al. 2009). Penyataan ini disokong oleh Kosadi (1997) yang menyatakan bahawa
kemampuan berbahasa lisan guru belum mencapai sasaran dimana pertuturan guru
yang masih banyak berkurangan adalah berpunca daripada kecetekan ilmu
pengetahuan. Kurangnya kemahiran berkomunikasi akan menyebabkan proses
pengajaran berlaku satu hala di samping ramai pelajar yang berasa ragu-ragu dan
malu untuk mengeluarkan pendapat, bertanya dan mengajukan pernyataan (Syofia et
al., 2012).
Pengetahuan dan kemahiran yang cukup pada seseorang guru adalah penting
untuk membina minat dan sikap pelajar dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran
(PdP). Guru juga perlu memiliki pengetahuan yang terkini dan sentiasa mengikuti
kurikulum yang telah ditetapkan. Namun dapatan kajian dari Noor Alina (2009),
menyatakan guru-guru kurang bersedia dari segi pengetahuan yang melibatkan
maklumat terkini tentang teknologi semasa, dimana tahap pengetahuan guru tersebut
berada pada tahap yang rendah. Hal ini bertepatan dengan dapatan Sharifah (2013)
dalam kajian terhadap guru kemahiran di sekolah menengah mendapati tahap
pengetahuan guru kemahiran berkenaan secara keseluruhannya adalah berada pada
tahap sederhana. Kelengkapan ilmu pengetahuan yang mendalam ini adalah penting
kerana kekurangan yang ada dalam diri guru akan mengakibatkan kurangnya
keyakinan terhadap diri sendiri dan sekaligus akan mencacatkan penyampaian
maklumat kepada murid. Bagi pihak murid pula kegagalan penyampaian guru dalam
pembelajaran akan menghilangkan kepercayaan mereka terhadap guru tersebut.

1.3 Penyataan Masalah


Hasil perbincangan daripada latar belakang masalah yang dirujuk melalui beberapa
dapatan kajian literatur, pengkaji mendapati terdapat beberapa masalah yang wujud
dalam ciri-ciri personaliti dan sifat kepimpinan guru. Penerapan nilai murni dan
ketahanan jiwa pelajar perlu disemai oleh guru. Sekiranya ia tercicir dari landasan
untuk mencapai hasrat ini maka akan timbul masalah dalam kalangan pelajar
contohnya wujud pelbagai masalah yang boleh membawa mereka ke arah keruntuhan
akhlak remaja kini. Namun begitu, didapati masih ramai pendidik pada hari ini tidak
mampu menjadikan dirinya sebagai role model terbaik kepada pelajar, malah tidak
dapat menerapkan nilai-nilai mulia ke dalam diri pelajar dalam proses pengajaran
dan pembelajaran (Ab. Halim Tamuri, 2000). Kepimpinan guru di bilik darjah
merupakan

titik

kecemerlangan

tolak
pelajar

bagi
di

menggerakkan

sekolah.

perubahan

Aspek-aspek

bagi

kepimpinan

meningkatkan
seperti

cara

berkomunikasi, keupayaan mempengaruhi dan mempunyai ilmu pengetahuan yang


luas perlu dikuasai oleh seseorang bergelar pendidik. Tinjauan literatur yang
dijalankan oleh pengkaji memperlihatkan sebahagian pendidik pada hari ini masih
belum mampu untuk mewujudkan kepimpinan yang sewajarnya bagi melahirkan
pemimpin yang berkualiti.
Oleh yang demikian, berdasarkan kajian dan penulisan yang dinyatakan,
pengkaji berpendapat bahawa satu kajian berkenaan ciri personaliti dan sifat
kepimpinan guru perlu dijalankan bagi mengenalpasti ciri personaliti dan sifat
kepimpinan yang bagaimanakah yang diutamakan oleh pelajar. Tambahan pula,
belum ada kajian yang dijalankan untuk mengkaji ciriciri personaliti dan sifat
kepimpinangurubengkeldariperspektifpelajar.

1.4

Tujuan Kajian

Secara umumnya kajian ini bertujuan mengenalpasti ciri-ciri personaliti dan sifat
kepimpinan guru bengkel dari perspektif pelajar di Kolej Vokasional (KV).

1.5

Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang ciri-ciri
personaliti dan sifat kepimpinan guru yang diutamakan dari perspektif pelajar Kolej
Vokasional (KV). Perincian objektif adalah seperti berikut :
i.

Mengenal pasti ciri-ciri personaliti guru KV yang diutamakan oleh pelajar.

ii.

Mengenal pasti sifat kepimpinan guru KV yang diutamakan oleh pelajar.

iii. Mengenal pasti hubungan di antara ciri-ciri personaliti dan sifat kepimpinan
guru di Kolej Vokasional.

1.6

Persoalan Kajian

Untuk mencapai objektif kajian, penyelidik telah mengariskan tiga persoalan kajian
iaitu:
i. Apakah ciri-ciri personaliti guru KV yang diutamakan oleh pelajar?
ii. Apakah sifat kepimpinan guru KV yang diutamakan oleh pelajar?
iii. Apakah terdapat hubungan antara ciri-ciri personaliti dan sifat kepimpinan
guru di Kolej Vokasional?

1.7

Hipotesis kajian

Hipotesis kajian ini dibina untuk menjawab persoalan kajian ketiga. Ia adalah seperti
berikut :

Ho : Tidak terdapat hubungan yang signifikan secara statistik antara ciri-ciri


personaliti dan sifat kepimpinan guru KV.
Ha : Terdapat hubungan yang signifikan secara statistik antara ciri-ciri

1.8

personaliti dan sifat kepimpinan guru KV.


Kepentingan Kajian.

Kajian ini diharapkan dapat membantu beberapa pihak seperti pelajar, guru,
pensyarah dan juga bakal pendidik sebagai panduan bagi menambah baik nilai
keperibadian seseorang. Selain itu, kajian ini diharapkan dapat memberi sumbangan
kepada golongan seperti di bawah:i.

Pelajar

Pelajar boleh menilai ciri personaliti dan sifat kepimpinan guru yang mendidik
mereka sekaligus akan dapat meningkatkan rasa hormat mereka terhadap guru.
Selain itu, pelajar dapat mengambil contoh tauladan yang baik melalui sifat
kepimpinan yang dimiliki oleh guru sebagai pembimbing.
ii.

Guru

Kajian ini diharapkan dapat membantu guru ataupun para pendidik bagi mengetahui
ciri-ciri personaliti dan sifat kepimpinan yang bagaimanakah yang didambakan oleh
pelajar. Guru perlu sedar tentang betapa pentingnya peranan mereka dalam
mencorakkan masa depan pelajar. Oleh itu adalah penting bagi mereka memiliki
personaliti dan sifat kepimpinan yang cemerlang. Kecemerlangan ini pula perlulah
dilihat dari aspek kualiti peribadi, amalan nilai murni dan kecekapan guru dan
mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru perlu sentiasa
mencuba untuk memperbaiki diri dan tidak jemu dalam usaha meningkatkan
personaliti diri mereka dari semasa ke semasa.
iii.

Pihak Kolej Vokasional

Melalui dapatan kajian ini nanti diharapkan juga dapat digunakan di peringkat KV
dalam menganjurkan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) atau kursus dalaman untuk
meningkatkan kecekapan guru di bilik darjah, meningkatkan mutu pengajaran,
memperbaiki gaya penampilan atau imej guru dan seterusnya menyegarkan kembali
nilai-nilai murni dalam diri guru yang seharusnya diterapkan kepada pelajar. Jalinan
semua aspek ini pastinya akan dapat melahirkan guru yang berpersonaliti dan

9
berkepimpinan cemerlang seterusnya membantu dalam melahirkan pelajar gemilang
dalam akademik.
iv.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Hasil dapatan ini nanti diharapkan akan dijadikan bahan rujukan kepada pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia di dalam menganjurkan program-program
pendidikan untuk guru-guru di dalam memastikan kualiti guru keluaran institusi
perguruan dan institusi pengajian tinggi yang lain adalah setaraf dan berada dalam
tahap yang cemerlang. Di samping itu, kempen memupuk ciri-ciri dan sifat
profesionalisme seorang guru dapat dikembangkan dan dikukuhkan bagi melahirkan
anak bangsa yang cemerlang dari segi sahsiah serta pencapaiannya. Guru memainkan
peranan yang penting sebagai agen pencorak kepada generasi Minda Kelas
Pertama yang akan mendukung wawasan negara dan menjulang nama negara
setaraf dengan negara-negara maju lain di dunia.

1.9

Skop Kajian

Pengkaji menumpukan kajian terhadap ciri-ciri personaliti dan kepimpinan guru dari
perspektif pelajar. Kajian ini telah dijalankan di Kolej Vokasional (KV) sekitar negeri
Pahang dengan memfokuskan guru yang mengajar di KV sahaja. Kajian meliputi tiga
buah KV iaitu KV Temerloh, KV Tengku Ampuan Afzan Bentong dan KV Sultan
Haji Ahmad Shah Kuala Lipis. Untuk mendapatkan data dan maklumat bagi
memenuhi matlamat serta objektif kajian, sampel yang digunakan adalah terdiri
daripada pelajar tahun 1 dan tahun 2 sesi 2014 di mana saiz keseluruhan sampel yang
terlibat ialah seramai 436 orang pelajar.
Kajian ini menggunakan satu jenis instrumen iaitu soal selidik. Soal selidik
dalam kajian ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Bahagian A (demografi
responden), Bahagian B (ciri-ciri personaliti guru) dan Bahagian C (sifat kepimpinan
guru). Soal selidik ini menggunakan skala likert lima mata iaitu dari sangat tidak
setuju (STS) kepada sangat setuju (SS).

10
1.10

Batasan Kajian

Terdapat limitasi dan batasan terhadap beberapa perkara dalam menjalankan kajian
ini seperti :i. Kajian ini tidak mengambil kira faktor luaran yang mempengaruhi penilaian
pelajar seperti faktor latar belakang keluarga, keadaan fizikal sekolah dan
pengaruh rakan sebaya.
ii. Kajian ini hanya menghubungkaitkan ciri personaliti dengan sifat kepimpinan
sahaja berdasarkan perspektif pelajar.
iii. Kajian ini hanya boleh digeneralisasi di Kolej Vokasional sekitar negeri
Pahang sahaja.
iv. Dapatan kajian ini juga adalah bergantung kepada kejujuran dan keikhlasan
responden ketika menjawab soalan yang dikemukan. Sehubungan dengan itu,
pengkaji mengandaikan semua maklumat yang diberikan oleh responden
adalah tepat. Kesahan dan kebolehpercayaan kajian tersebut juga adalah
bersandar kepada andaian ini.

1.11

Kerangka Konsep Kajian

Di dalam kajian ini, pengkaji juga membentuk kerangka konsep kajian yang
dijadikan sebagai rujukan yang diadaptasi daripada kerangka konsep ciri personaliti
dan sifat kepimpinan pengetua kolej kediaman (N. Nadiah, 2012). Rajah 1.1
menunjukkan komponen yang telah dikaji oleh penyelidik. Kerangka kajian atau
kerangka konsep merupakan satu koleksi konsep, konstruk atau pembolehubah
utama yang difikirkan mempunyai hubungan antara satu sama lain yang telah
diselidik oleh pengkaji (Lim, 2007). Manakala pada pandangan pengkaji kerangka
kajian merupakan rangka asas kepada sesuatu kajian, tanpa rangka asas kajian yang
dijalankan seperti tiada arah tuju, ianya meliputi semua perkara dan faktor yang
terlibat dalam kajian. Pembinaan kerangka kajian ini adalah dengan mengambil kira
pembolehubah utama dan proses yang terlibat dengan kajian.

11
Rajah 1.1 : Kerangka kajian
(Adaptasi dari N. Nadiah, 2012)

Ciri Personaliti
Penampilan,
Keselesaan,
Keterbukaan

Guru yang
berkesan

Pelajar
Sifat Kepimpinan
Pengaruh,
Komunikasi,
Ilmu Pengetahuan
Masukan

Proses

Keluaran

Dalam kerangka kajian ini, terdapat tiga (3) bahagian utama iaitu masukan, proses
dan keluaran. Pelajar merupakan bahagian masukan yang mana ciri-ciri personaliti
dan sifat kepimpinan yang mereka utamakan menjadi komponen kajian.
Seterusnya bahagian kedua pula adalah proses. Dalam bahagian ini,
pembolehubah utama yang dikenalpasti telah dinyatakan dengan lebih jelas. Dua (2)
komponen utama yang dikenalpasti ialah ciri-ciri personaliti dan sifat kepimpinan.
Komponen ciri-ciri personaliti dibahagikan kepada tiga (3) dimensi iaitu dimensi
penampilan, dimensi keselesaan dan dimensi keterbukaan guru. Manakala komponen
sifat kepimpinan dibahagikan kepada tiga (3) dimensi iaitu dimensi mempengaruhi,
dimensi cara komunikasi dan dimensi ilmu pengetahuan. Berdasarkan kepada kajian
literatur, dimensi yang dinyatakan merupakan pembolehubah utama yang dapat
mewakili ciri-ciri personaliti dan sifat kepimpinan seseorang guru.

12
Manakala bahagian ketiga pula adalah keluaran yang mana amalan guru yang
berkesan dapat diadaptasikan kepada guru lain agar perubahan yang berlaku dapat
memberikan kesan kepada pelajarnya. Guru berkesan adalah guru yang memenuhi
spesifikasi tertentu antaranya ialah bersikap profesional, menampilkan watak terpuji,
berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul dan melengkapkan diri
dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa (Abdul Sukor, 2008). Secara
keseluruhannya, proses kajian ini adalah ingin mengenalpasti ciri-ciri personaliti dan
sifat kepimpinan guru dari perspektif pelajar.

1.12

Definisi Istilah

Definisi perkataan yang terdapat di dalam kajian ini adalah seperti berikut:
i.

Ciri Personaliti

Takrifan personaliti membawa maksud satu konsep yang menggambarkan seseorang


manusia. Personaliti ditakrifkan sebagai hasil paduan sifat fizikal, mental, emosi,
nilai dan pelakuan seseorang manusia dalam perhubungan sosialnya, sebagaimana
yang dilihat oleh manusia lain (Ryckman, 2004).
Dalam konteks kajian ini pula, ciri personaliti yang dimaksudkan
merangkumi tiga dimensi iaitu penampilan, keselesaan dan keterbukaan.
ii.

Sifat Kepimpinan

Kepemimpinan ialah kemampuan mempengaruhi minda dan gelagat anggota


organisasi untuk mencapai tujuan organisasi melalui struktur dan prosedur baru.
Kepimpinan guru adalah berkait dengan dengan PdP termasuk pembelajaran
profesion perguruan dan juga perkembangan murid (Southworth, 2002)
Dalam kajian ini, pengkaji membahagikan sifat kepimpinan kepada tiga
dimensi

iaitu

pengetahuan.

iii.

Pelajar

kemampuan

mempengaruhi,

cara

berkomunikasi

dan

ilmu

13
Pelajar bermaksud orang yang belajar atau orang yang mengaji (menyelidik ilmu)
(Zainal Abidin, 1995). Pelajar yang dimaksudkan oleh penyelidik ialah pelajar tahun
1 dan tahun 2 yang belajar di KV Temerloh, KV Tengku Ampuan Afzan, Bentong
dan KV Sultan Ahmad Shah, Kuala Lipis di Pahang.
iv.

Guru

Guru didefinisikan sebagai orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh
atau melatih. Mendidik bererti meneruskan dan mengembangkan nilai-nilai hidup,
mengajar pula bermaksud meneruskan dan mengembangkan ilmu pengetahuan dan
melatih bermakna mengembangkan keterampilan kepada pelajarnya (Kamus Dewan,
2002).
Dalam kajian ini, pengkaji menjelaskan guru ialah tenaga pengajar yang
meliputi tiga buah KV iaitu KV Temerloh, KV Tengku Ampuan Afzan Bentong dan
KV Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis.
v.

Kolej Vokasional

KV ialah institusi pendidikan dan latihan vokasional pasca menengah yang


melaksanakan Kurikulum KV untuk membentuk modal insan bersahsiah, berilmu
dan berkemahiran tinggi. Orientasi pembelajaran pelajar KV ialah pembelajaran
berasaskan kerja dan latihan dalam kerja atau on-job training (OJT). Lulusan KV
adalah pekerja mahir dalam sesuatu bidang vokasional dengan kelayakan Sijil
Vokasional Malaysia dan Diploma Vokasional Malaysia dan kelayakan profesional
antarabangsa (Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional, 2011).
Dalam kajian ini, KV merujuk kepada KV yang terletak dalam Negeri
Pahang. Kolej yang dipilih untuk dilaksanakan kajian ini ialah KV Temerloh, KV
Tengku Ampuan Afzan, Bentong dan KV Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis. Tiga
buah kolej ini dipilih kerana kolej ini menawarkan pelbagai bidang kursus kemahiran
teknikal.

1.13

Kesimpulan

14

Bab ini telah dihuraikan dan dijelaskan perkara-perkara yang menjadi asas dan hala
tuju kajian ini. Di dalam bahagian objektif kajian, pengkaji telah menetapkan
matlamat yang hendak dicapai di akhir kajian. Persoalan kajian turut ditentukan
berdasarkan objektif yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Kajian ini dapat memberi
manfaat kepada pihak pentadbir, pengajar, pelajar, KPM dan juga pengkaji sendiri.
Kajian ini turut dibataskan skopnya agar ia mudah dan munasabah untuk dilakukan.
Akhir sekali, dalam bahagian definisi operasional telah diterangkan maksud beberapa
istilah dan konsep yang penting dalam kajian ini.