Anda di halaman 1dari 3

Dari Abu Hurairah r.a.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Tujuh


golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan
melainkan naungan-Nya: Pertama : Imam (pemimpin) yang adil. Kedua :
Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. Ketiga : Insan
yang hatinya terpaut dengan masjid. Keempat : Dua insan yang berkasih
sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. Kelima :
Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia
berkata : Sesungguhnya aku takutkan Allah. Keenam : Insan yang
bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak
mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya. Ketujuh :
Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air
matanya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan daripada hadis di atas , dapatlah kita mengambil pengajaran
bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang beriman dan bertaqwa
yang akan mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah SWT di hari
akhirat nanti. Golongan tersebut adalah seperti berikut:
Pertama : Imam (pemimpin) yang adil. Seorang pemipin akan
ditanya di akhirat nanti adakah mereka memimpin dengan adil,
amanah, jujur dan sentiasa berpegang teguh dengan al-Quran dan
Sunnah. Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya,
tidak boleh dikatakan adil selagi seseorang pemimpin itu tidak
menggunakan neraca Islam dan neraca Allah SWT di dalam setiap
keputusan dan perlaksanaan di dalam pemerintahannya. Tidak ada
undang-undang dan peraturan yang lebih adil melainkan ianya
datang dari Pencipta manusia dan alam semesta iaitu Allah SWT.
Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.
Pemuda adalah golongan penting di dalam masyarakat Islam,
kerana merekalah yang akan mewarisi kepimpinan negara akan
datang. Sesuatu umat akan menuju kepada kehancuran apabila
pemuda-pemudinya telah rosak akidah dan akhlaknya , lemah daya
pemikiran dan intelektualnya dan hilang semangat jihad. Pemuda
yang menjadi ahli ibadah dan terpilih mendapat naungan Allah ini
adalah mereka yang hati dan jiwanya sentiasa mengingati Allah ,
kuat imannya dan baik akhlaknya dan sentiasa berterusan dan
istiqamah dalam menjalani proses tarbiyyah dan dia juga berusaha
mengajak pemuda lain untuk duduk dalam jemaah Islam dan
melaksanakan amal maruf nahi mungkar.
Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid. Masjid adalah
tempat ibadah , di sinilah tempat umat Islam berkumpul untuk
melaksanakan ibadah khusus terutama solat, membaca al-Quran,
berzikir, tempat majlis-majlis ilmu dijalankan dan tempat
perhimpunan dan perbincangan umat Islam untuk menyelesaikan
masalah mereka. Para malaikat mendoakan dan memohon rahmat
kepada Allah SWT kepada ahli-ahli masjid yang menunaikan ibadah
dan menuntut ilmu di sini. Di zaman Rasulullah SAW, masjid
berfungsi sebagai tempat semua urusan umat Islam (pusat
pemerintahan, ibadah dan majlis ilmu). Mereka yang terpaut hati
dengan masjid dan melaksanakan semua fungsi tadi akan mendapat
naungan Allah di akhirat nanti.

Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka


bertemu dan berpisah kerana Allah. Dua orang saudara Muslim
bertemu semata-mata untuk merapatkan ukhwah dan kasih sayang,
saling nasihat-menasihati, lengkap-melengkapi dan merancang
sesuatu atas tanggungjawab untuk menyelamatkan umat ini
daripada hanyut di bawa arus jahiliyah dan terselamat daripada
mendapat azab Allah SWT. Mereka berpisah adalah semata-mata
kerana Allah disebabkan masing-masing kembali ke tempat asal
mereka untuk memenuhi tuntutan dakwah dan tarbiyyah,
walaupaun berjauhan namun perasaan ukhwah dan kasih sayang
tetap berterusan. Allah SWT akan memberi pahala dan ganjaran
yang besar apabila seluruh masa, tenaga dan wang ringgit
dicurahkan semata-mata kerana Allah SWT. Atas usaha-usaha yang
berterusan seperti ini, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT,
memang sesuailah mereka mendapat naungan Allah SWT di akhirat
nanti. Dalam sebuah Hadis Qudsi yang diriwayatkan di dalam Kitab
Al-Muwattha Imam Malik, Nabi S.A.W telah bersabda bahawa Allah
SWT telah berfirman yang bermaksud: Kasih-sayangKu lebih utama
untuk mereka yang berkasih-sayang pada jalanKu, golongan
berhimpun dan berkelompok semata-mata keranaKu, golongan yang
saling ziarah-menziarahi keranaKu, dan golongan yang sentiasa
berbelanja dijalanKu
Kelima : Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat
dan cantik, lalu ia berkata : Sesungguhnya aku takutkan Allah.
Perbuatan zina adalah satu perbuatan yang keji dan hina. Zina boleh
merosakkan keturunan, menimbulkan pergaduhan dan perpecahan
dalam keluarga dan masyarakat. Seseorang yang melakukan zina,
dan hasil daripada zina ini apabila mendapat anak, ia sanggup
membunuh bayi yang tidak berdosa atau pun membuangnya
merata tempat tanpa belas kasihan semata-mata untuk menutup
malu pada keluarga dan masyarakat. Peribadi seperti ini
kedudukannya lebih rendah dari haiwan kerana haiwan pun
mempunyai perasaan kasih sayang pada anak-anaknya. Nabi SAW
bersabda yang bermaksud: Dan sesiapa yang berzina dengan
seorang perempuan, sewaktu berbangkit dari kuburnya kelak,
sesungguhnya ia merasa sangat haus. Oleh kerana betapa
besarnya mudharat zina ini, Allah SWT akan memberi ganjaran
pahala yang besar dan memberi naungan-Nya di akhirat nanti
kepada sesiapa sahaja dikalangan hamba-hamba-Nya yang sanggup
menolak ajakan zina oleh perempuan cantik dan berpangkat dengan
kata-kata, Sesungguhnya aku takut kepada Allah. sepertimana
Nabi Yusuf a.s. menolak ajakan isteri pembesar Mesir ketika itu
untuk melakukan zina.
Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi
sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan
oleh tangan kanannya. Islam menggalakkan amalan bersedekah
dari golongan kaya kepada golongan miskin, supaya jurang
perbezaan di antara mereka dapat dikurangkan. Dalam hadis yang
lain Nabi SAW ada menyatakan bahawa salah satu golongan yang

akan masuk syurga bersama-sama golongan yang mati syahid dan


ulama adalah dermawan yang menyumbangkan hartanya di jalan
Allah semata-mata mencari keredhaan-Nya sehingga tangan kirinya
tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Insan
budiman lagi dermawan ini akan mendapat naungan Allah SWT di
akhirat kelak.
Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu
menitiskan air matanya. Doa dan munajat adalah senjata orang
mukmin. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan apabila
hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, sesungguhnya
Aku dekat. Aku menyahut doa orang berdoa, tatkala dia berdoa
kepada-Ku, justeru sahutlah seruan-Ku. (Surah al-Baqarah ayat
186). Orang mukmin pada siang harinya dia menjadi singa, bekerja
bersungguh-sungguh dalam semua urusan . Dalam urusan
kerjayanya mencari nafkah, dalam urusan dakwah dan tarbiyyah
dan dalam urusan membantu masyarakat. Tetapi pada malam hari
menjadi abid, membaca al-Quran, berzikir, bersolat tahajjud dan
berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata. Dia rasa dirinya
kerdil dan terlalu banyak dosa yang dilakukan. Sekiranya tanpa
belas kasihan Allah SWT dia merasakan dia tidak dapat
menyelamatkan diri dari azab-Nya di hari akhirat nanti.
Sahabat yang dikasihi, marilah sama-sama kita berusaha untuk
meningkatkan amal ibadah dan amal soleh kita semata-mata untuk
mencari keredhaan Allah SWT. Jalan keselamatan untuk terselamat
di hari akhirat telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW kepada kita
semua iaitu tujuh golongan manusia yang akan mendapat
perlindungan Allah SWT. Oleh itu, berusaha dan berdoalah semoga
kita menjadi sebahagian daripada golongan tersebut.