Anda di halaman 1dari 7

Hadis 1

Mengubah Sempadan Iman

Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa
dan Allah menyeru: Adakah antara hambaKu yang berdoa
kepadaKu, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah
antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya Aku
mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta
kepadaKu, supaya Aku memenuhinya? (Terjemahan dari hadis
sahih Bukhari dan Muslim)

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Saya mohon keampunan Allah.


Saya mulakan tulisan dengan memilih hadis sahih Bukhari dan Muslim ini
tentunya bersebab. Ia hadis pertama yang saya baca, fahami dan bersungguhsungguh mengamalkannya. Malah melalui pembacaan dan amalan hadis inilah
dengan izinNya telah mengubah hampir seluruh corak kehidupan sebagai
seorang individu muslim.
12 tahun yang lampau (sekitar 2000), ketika berusia 35 tahun Roza isteri
mengajak saya menunaikan fardhu haji. Ia bukan satu kepelikan bagi seorang
yang beragama Islam mahu menunaikan rukun Islam yang kelima. Barangkali
buat isteri, ia pelengkap kepada tuntutan asas yang perlu dilaksanakan. Ajakan
bersungguh-sungguh ini disambut dengan kata main-main yang bersifat
sinikal.
Hakikatnya, saya bersungguh-sungguh mencari jalan menolak ajakan isteri.
Misalnya saya pernah berkata, Yang, kita masih muda. Mati lambat lagi,
kata-kata yang disambut dengan wajah pilu oleh Roza. Cuma beliau tidak
berbalas cakap, apatah lagi untuk mengutuk atau menghina kejahilan saya.
Biasanya, perbualan tentang fardhu haji berakhir begitu sahaja tanpa sebarang
nilai yang bermakna.
Pada masa yang lain, saya boleh mengeluarkan kata-kata yang bernada mainmain, Yang, kalau kita menunaikan fardhu haji pada usia muda, balik nanti
sukar untuk kita melakukan dosa. Roza hanya berdiam diri. Langsung tidak
menjawab dengan kata-kata apabila dimain-main permintaannya. Pastinya ia
tidak berakhir di situ sahaja.

Ia kisah panjang lebar yang telah saya rakamkan melalui Travelog Haji:
Mengubah Sempadan Iman, disusuli dengan buku Travelog Dakwah: Meniti
Hari Esok dan akhir sekali 50 Tip Motivasi Haji. Ia kisah manusia biasa-biasa
terperangkap dalam ujian kehidupan lalu mahu mencari dan mahu mengenal
Allah, pencipta langit dan bumi serta yang berada di antara keduanya.
Ajakan Roza menunaikan fardhu haji sebenarnya mencuit seketul hati yang
keras membatu. Saya terfikir tentang tuntutan wajib ini namun nun jauh di
sudut hati saya benar-benar berada di dalam ketakutan. Saya tidak dapat
membayangkan bagaimana saya mahu menunaikan rukun Islam yang ke lima
dan kembali semula ke Malaysia dalam suasana baru bergelar haji. Saya fikir
saya seorang yang sangat jauh di sisi Allah. Amalan saya jika ada sekalipun
tidak menggambarkan sebagai seorang yang sungguh-sungguh atau benarbenar mengamalkan ajaran Islam.
Misalnya, saya memperingankan solat. Ia hanya dilakukan ketika senang.
Senang hanya ketika saya malu kepada manusia. Ia mudah dilakukan ketika
berada di dalam majlis. Bila bermusafir, jamak dan qasar bukanlah satu hadiah
yang dituntut. Ia berlalu begitu sahaja. Ia lebih banyak masa sukar berbanding
masa senang.
Malah solat tidak dijadikan prioriti ketika keluar membeli-belah atau
menonton wayang. Tidak bersolat merupakan satu isu, tidak rasa bersalah
merupakan isu yang lebih besar. Ia corak kehidupan yang tidak mahu saya
fikirkan semula.
Allahu Akbar, saya mohon keampunanMu ya Allah.
Logiknya, tidak mungkin saya akan mengatakan ya jika ada yang mengajak
saya menunaikan fardhu haji pada ketika ini. Tidak mungkin saya fikir
Allah akan menerima saya sebagai tetamuNya. Terlalu banyak yang
mengisahkan bagaimana mereka berjumpa dengan jemaah haji yang diduga
dengan pelbagai kejadian. Mungkin kisah-kisah pembayaran dan pembalasan
tunai bagi mereka yang jauh di sisiNya akan dilalui oleh saya. Sayalah calun
yang paling hampir.
Saya berpuasa. Mungkin puasa lapar dan dahaga. Ketika berduyung-duyung
orang Islam berjemaah terawih di masjid, saya memilih untuk berihat-rihat di

rumah mengadap komputer. Saya fikir solat terawih sebanyak 20 rakaat


menghabiskan masa kerja. Roza pernah berkata,
Marilah kita solat terawih. Di surau kita hanya solat 8 rakaat
sahaja. Balik nanti awak sambunglah menulis.
Ajakan beliau saya patahkan dengan kata-kata spontan, "awak pergilah solat di
surau... mereka solat 8 rakaat sahaja. Biar saya solat di sini. Saya mahu solat
20 rakaat". Akhirnya, Roza dan anak-anak meninggalkan saya berseorangan di
rumah. Bila mereka pulang, sayalah yang akan membuka pintu dengan
langsung tiada rasa bersalah.
Tidak mungkin orang seumpama ini mahu menunaikan fardhu haji!
Jika saya kenang kembali lagak dan gaya peribadi di sisi Allah, sangat nyata
saya seorang yang sangat sombong dan angkuh. Allahu Akbar, saya
dianugerahkan dengan satu nikmat luar biasa iaitu bangun di awal pagi.
Biasanya di sekitar jam 2.00 3.00 pagi. Apa yang saya lakukan? Saya
membaca, menulis dan menguruskan soal kerja. Hasilnya, tulisan artikel saya
beribu-ribu.
Roza selalu berkata, "Allah bagi nikmat untuk bangun malam. Kenapa tidak
solat sunat dua rakaat, kemudian menulislah. Ia tidak sukar. Saya hendak
bangun malam tetapi tidak terdaya". Jawapan balas saya sangat ringkas, "saya
bangun kerana ingin menulis, maka saya menulis. Jika saya ingin solat, saya
solatlah".
Saya mohon keampunan Allah.
Namun di atas segala-galanya, perasaan ketakutan, kekurangan diri dan
kerisauan mahu menunaikan fardhu haji berpusat kepada kemahiran asas
dalam Islam. Saya tidak pandai membaca al-Quran. Apa yang ada di dada dan
minda hanyalah beberapa surah yang dihafal semasa kecil. Bacaan yang tidak
tahu sama ada benar ataupun salah. Ia cukup-cukup untuk melaksanakan solat
dengan kadar yang sangat minimum.
Bahasa mudah, "saya buta huruf". Jika saya mahu mempelajari sesuatu
berkaitan dengan ibadat khusus sudah pasti saya perlu menempuh bahasa alQuran. Lidah saya sangat pelat jika menyebut ayat-ayat untuk berzikir, berdoa

atau apa sahaja berkait dengan bahasa Arab walaupun ia kelihatan sangat
mudah di mata yang lain. Allahu Akbar, apatah lagi jika sudah berusia,
berjawatan tinggi dan mempunyai anak-anak yang sedang membesar. Ia
bertambah sukar untuk memulakan sesuatu yang sepatutnya dipelajari lama
dahulu. Ia bercampur-campur di antara rasa malu, ego dan kesukaran
menerima ilmu baru yang perlu dipelajari.
Namun ada sesuatu yang luar biasa berlaku. Di sekitar hujung 2003, saya
memohon jawatan Profesor ketika usia di sekitar 38 tahun. Ia salah satu
jawatan tertinggi sektor awam. Tidak pernah berlaku dalam sejarah universiti
tempat saya bekerja menganugerahkan jawatan ini kepada mereka yang
berusia di bawah 40 tahun. Umur bukan satu syarat tetapi tiada siapa yang
berkuasa mahu memberikan tahap istimewa tersebut kepada budak berhingus
sektor awam.
Saya menyebut kepada Roza, "kalaulah saya dapat jawatan profesor, bagus
betul. Gajinya double gaji profesor madya. Double banyak". Ia keinginan
yang bersandarkan semata-mata kepada jumlah pendapatan. Ia bayangan rasa
bangga bila nama dipanggil Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim. Namun dalam
tenang dan bersahaja Roza memberi jawapan mudah, "rezeki di tangan Allah.
Jika awak mahu, mohonlah padaNya. InsyaAllah Dia akan bagi". Ia kata-kata
lembut yang melekat di hati.
Allahu Akbar, keinginan yang amat sangat menjawat jawatan profesor ketika
usia muda dan kata-kata isteri menyebabkan saya memulakan waktu bangun
malam saya dengan berwudhu dan solat hajat dua rakaat. Kemudian saya
berdoa, "ya Allah, aku ada memohon jawatan profesor ya Allah. Aku inginkan
jawatan ini ya Allah, berikanlah akau rezeki ini ya Allah". Ia dilakukan hampir
setiap hari melebihi setahun seiring dengan tempoh masa proses kenaikan
pangkat proses di universiti kami.
MasyaAllah 14 bulan kemudian daripada hampir 300 orang yang
memohon, kami dimaklumkan yang 13 orang berjaya dinaikkan pangkat ke
jawatan profesor dan salah seorangnya bernama Muhd Kamil Ibrahim ketika
usianya belum mencecah 40 tahun. Benar, ia usia termuda yang pernah
dilantik. Malah saya mendapat tunggakan gaji dan elaun untuk 14 bulan yang
jumlahnya menghampiri RM80 000 kerana perbezaan gaji sedia ada dengan
gaji baru yang ketara kerana faktor umur tersebut.

Saya sebak. Airmata kegembiraan mengalir tanpa perlu dipaksa-paksa. Pada


ketika inilah saya menyebut kepada Roza, "Dia sayangkan saya. Saya minta
profesor, Dia bagi profesor. Dia bagi lagi tunggakan gaji. Marilah kita pergi ke
Mekah, saya mahu menunaikan fardhu haji. Saya mahu melahirkan rasa
syukur kepadaNya".
Sejurus saya berkata begitu, seluruh jiwa dan perasaan meronta-ronta ingin ke
Mekah dan Madinah. Saya terbayang ihram, Kaabah, Hijir Ismail, Hajarul
Aswad dan Masjidil Haram secara keseluruhannya. Malah saya ternampaknampak gambaran masjid Nabawi yang disaksikan melalui TV atau majalah.
Namun jiwa dan perasaan juga dilanda keresahan, kerisauan dan ketakutan
yang amat sangat. Ia perasaan yang bercampur-campur.
Benar. Sungguh, saya ingin menunaikan fardhu haji. Namun saya juga sedar
yang saya masih belum pandai membaca al-Quran, masih buta huruf, tidak
pandai berdoa di dalam bahasa Arab dan mulai terbayang-bayang secara
sungguh-sungguh akan dosa-dosa lampau sama ada dosa sesama manusia dan
dosa-dosa kepada Dia yang telah menciptakan hambaNya. Saya merenung diri
yang serba kekurangan. Malah saya tunduk ketakutan memikirkan
kesombongan dan keangkuhan diri terhadap segala nikmat yang telah
dianugerahkan oleh Allah SWT.
Jiwa dan perasaan bergetar dengan alunan ketakutan. Apakah yang boleh saya
lakukan? Kepada siapa saya mahu mengadu? Saya malu. Malah bertahuntahun saya menyimpan rahsia yang saya tidak pandai membaca al-Quran, buta
huruf Arab dan segala kekurangan diri di sebalik pernah menjadi pelajar
terbaik, pemidato terbaik, berkelulusan PhD dalam tempoh yang singkat,
memegang pelbagai jawatan kanan universiti dan bergelar profesor di kala
rakan sejawat masih merangkak mencari asas membina kerjaya.
Pada saat dan ketika inilah Allah gerakkan hati untuk membaca kitab dan buku
agama yang berkait dengan ibadat haji. Malah Dia memberi kesempatan untuk
saya membaca hadis yang menjadi pemulaan penulisan buku ini. Pertanyaan
Allah menusuk dada. Allah bertanya, Dia benar-benar bertanya dengan
sesungguh pertanyaan, "tiadakah yang mahu berdoa, Aku mahu makbulkan,
tiadakah yang mahu bertaubat, Aku mahu ampunkan dan tiadakah yang mahu
meminta, Aku mahu tunaikan".

Saya bayangkan begitu. Sedikit isu yang perlu dipertimbang ialah soal 1/3
malam yang tersisa. Ia mungkin sukar. Namun bertahun-tahun saya boleh
bangun pada waktu tersebut. Tinggal lagi 1/3 malam yang tersisa lampau saya
tidak dipenuhi dengan bersolat, berdoa, bertaubat atau meminta kepada sang
Pencipta. Ia masa bersantai, mengadap komputer, membaca atau menulis.
Malah saya bersifat angkuh dengan menolak ajaran atau ajakan Roza yang
mahu saya bersolat malam kerana diberi nikmat tersebut.
Saya mulai ternampak sedikit sinar. Sejahil-jahil manusia yang beragama
Islam pasti yakin dengan janji-janji Allah. Beliau pasti tahu yang janji Allah
sentiasa benar. Lalu pada ketika ini saya berada di dalam keadaan yang terlalu
lemah, mengharapkan sesuatu yang sangat luar biasa, namun meyakini yang
saya memiliki sesuatu yang boleh membantu.
Di kehingan malam saya solat enam rakaat dengan tiga kali salam, diikuti
dengan "bercakap-cakap" dengan Allah selama dua jam. Barangkali saya fikir
saya menggabungkan sekali istilah "berdoa, bertaubat dan meminta" pada 1/3
malam tersisa. Saya dalam kesulitan emosi yang sungguh-sungguh
mengharapkan kasih-sayangNya, memohon belas kasihanNya dan bergantung
kepada kerahmatanNya.
Allah ya Allah. Saya tidak mahu berpura-pura. Ia bermula dengan kata-kata
hati mengadu kepadaNya. Tiada sebak, tiada duka. Setelah beberapa ketika air
mata mengalir tanpa dipaksa. Suisnya hanyalah kata-kata permulaan mudah,
"ya Allah ya Tuhan kami, Aku mohon keampunanMu, Aku mohon
keselamatanMu, Aku mohon keredhaanMu. Ya Allah banyak dosa-dosa yang
telah aku lakukan.". Kemudian isu-isu terbuku di dada muncul satu persatu
tanpa ada skrip yang nyata.
Saya mahu mengerjakan ibadat haji. Saya memohon agar saya diterima
menjadi tetamuNya yang istimewa. Biarlah yang paling istimewa. Malah saya
tidak malu-malu meminta agar dikurniakan haji yang mabrur. "Saya mahu
berubah ya Allah. Saya mahu hampir dengan Mu ya Allah," kenyataan yang
diulang-ulang. Malah secara berperingkat-peringkat, saya nyatakan secara
jelas apa yang saya ingini apabila pulang nanti.
Saya tahu kehidupan lampau dipenuhi dengan dosa-dosa yang pelbagai lalu
saya mohon keampunanNya. Sudah tentu saya mahu menjadi sesuci bayi yang
baru dilahirkan. Malah saya benar-benar memohon agar Allah tidak

kembalikan saya kepada masa lampau. Saya benar-bena mahu dipimpin


sehingga ke syurgaNya.
Allahu Akbar.
"Mintalah, Aku ingin memenuhinya," barangkali itulah penerimaan
pemahaman saya terhadap hadis ini. Lalu saya meminta sesuatu yang sangat
spesifik. "Ya Allah, aku ingin belajar al-Quran ya Allah. Aku malu ya Allah.
Berikanlah ilham kepadaku. Bantulah daku ya Allah". Mungkin patah-patah
perkataannya berbeza namun ia membawa maksud yang sama. Tinggal lagi
saya memohon dalam keadaan penuh pengharapan atas janji-janjiNya.
Segalanya telah saya dokumenkan melalui buku Travelog Haji: Mengubah
Sempadan Iman. Allahu Akbar, benar Dia Maha Mendengar janjinya
sentiasa benar.

Nota Hadis
Hadis riwayat Imam Bukhari pada sohihnya, kitab: Tahajjud, Bab: Doa pada
solat di akhir malam. No hadis: 1145.
Diriwayatkan juga oleh Imam Muslim pada sohihnya, kitab: Solat, Bab:
Turunnya Allah SWT ke langit dunia pada setiap malam. No hadis: 1721 dan
1722.

Anda mungkin juga menyukai