Anda di halaman 1dari 2

BUDI BAHASA BUDAYA KITA (SKBW)

Andai patah sayap rajawali,


bertongkat jua saya ke mari,
bukan kerana ingin bermimpi,
tetapi untuk menyelami mauduk pidato yang berbunyi Budi Bahasa Budaya kita.

Sambutlah Salam Sejahtera,Salam Satu Malaysia. Semarak kasih,sekalung budi Tuan


Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi berkarisma,penjaga masa setia pada
saat dan ketikanya, dif-dif kehormat,seterusnya para hadirin pencetus revolusi minda
yang saya muliakan.

Sebelum kaki mengorak langkah lebih jauh,izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya.
Sebagai rakyat Malaysia, saya yakin bahawa kebanyakan rakan di sini pernah mendengar
ungkapan ' Budi Bahasa Budaya Kita '. Tetapi, adakah anda mengetahui maksud ungkapan
ini? Menurut kamus kamus Dewan edisi keempat keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka
pula, budi membawa maksud akhlak, tingkah laku dan kelakuan, manakala bahasa
ditakrifkan sebagai sistem lambang bunyi suara. Bagi perkataan budaya pula ialah
peradaban dan tamadun.

Yang kurik itu kundi,


Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguhsungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dan pergaulan terutamanya dalam aspek
pertuturan.
Hadirin sekalian,
Sebagai manusia, kita sentiasa terikat oleh budi dan bahasa. Berbudi bahasa akan
mengeratkan perhubungan sesama manusia. Pepatah Melayu ada mengatakan, "Orang
berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa". Hal ini, menunjukkan betapa
pentingnya amalan berbudi bahasa dan perlu dipraktikkan dalam kehidupan.
Untuk pengetahuan warga dewan sekalian, setiap agama juga menyeru supaya
penganutnya berbudi bahasa. Masyarakat akan menyanjung orang yang memiliki budi
bahasa yang luhur.

BUDI BAHASA BUDAYA KITA (SKBW)


Hadirin yang dihormati sekalian,
Kita hendaklah berbudi bahasa kepada semua orang tanpa mengira pangkat, bangsa,
agama, dan usia. Amalan berbudi bahasa ini akan membentuk individu yang bersahsiah
tinggi dan bermoral. Oleh itu, amalan ini hendaklah disemat di dalam jiwa setiap insan.
Warga dewan yang saya kasihi sekalian,
Budi bahasa juga tidak dapat dijual beli. Hal ini demikian kerana budi bahasa mempunyai
hubungan yang rapat dengan perasaan, kelakuan, dan tutur kata seseorang.
Sebenarnya, sikap berbudi bahasa bukan susah untuk diamalkan. Perbuatan mudah
seperti mengucapkan terima kasih dan memberi salam juga dikira sebagai bersikap budi
bahasa. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan masih menganjurkan kempen ' Budi Bahasa
Budaya Kita ' kerana golongan muda sekarang semakin terlibat dalam masalah sosial dan
tidak lagi menghormati orang yang lebih tua daripada mereka.

Hadirin dan hadirat,


Dengan bersikap budi bahasa, seseorang memperoleh banyak manfaat. Namun, faedah
yang paling utama dengan bersikap berbudi bahasa ialah seseorang akan disukai orang
ramai. Jika kita selalu membantu orang yang berada dalam kesusahan, tentulah kita akan
disukai semua orang. Ketika kita sendiri mempunyai masalah, orang lain juga akan
membantu kita.

Secara konklusinya, masyarakat Malaysia sayogianya mempunyai sikap budi bahasa dalam
diri sendiri agar dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai. Bagai kata pepatah, "
hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga. "
Sebagai mengakhiri pidato saya, saya mohon maaf jika tersilap kata dan terlanjur bicara.

Sekian, terima kasih..salam perpaduan,salam 1 Malaysia.