Anda di halaman 1dari 6

SENI DALAM PENDIDIKAN

Pengenalan
Secara umumnya, seni adalah berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau
estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan rohani individu dan juga
masyarakat. Seni disifatkan sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan
yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan yang nyata (Martin, 1986 :
12). Hauser dalam tulisannya, berpendapat bahawa seni adalah komunikasi (1959).
Dari perspektif pendidikan dapatlah dikaitkan bahawa bidang-bidang pendidikan
juga memerlukan estetika seni untuk diketengahkan bagi memudahkan
penyampaian sesuatu maksud agar lebih menarik dan mudah difahami. Maka
dengan itu lahirlah apa yang dikatakan Seni Dalam Pendidikan.
Seni Dalam Pendidikan (SDP) adalah bidang yang menumpukan kepada seni
visual, seni muzik dan seni pergerakan tanpa merujuk kepada bidang seni
lain seperti seni sastera, seni teater, seni fotografi atau seni
mempertahankan diri. Seni Dalam Pendidikan diperkembangkan dalam diri murid
untuk menajamkan lagi instuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi mereka. Murid
diberi peluang menggunakan pancaindera mereka untuk meningkatkan
kreativiti, sensitiviti serta daya imaginasi dalam pembelajaran mereka.
Selain itu Seni Dalam Pendidikan juga berperanan untuk mengembangkan daya
persepsi, estetika dan kreativiti mereka sesuai dengan matlamat untuk
melahirkan individu yang berjiwa kreatif, inovatif dan mempunyai nilai jati
diri yang tinggi.
Ramai tokoh-tokoh ilmuwan yang memberi pandangan menyokong bahawa Seni
Dalam Pendidikan akan memberi manafaat dari segi jangkamasa panjang
dalam membangunkan sahsiah dan jati diri individu.
Teori Konstruktivisme menyatakan bahawa kanak-kanak yang diajar melalui
pembelajaran secara meneroka, bereksperimen dan mengolah bahan atau
objek akan dapat mengekspresikan idea secara bebas dan kreatif, kerana
adanya unsur-unsur seni dalam pendidikan dalam pembelajaran mereka. Herman
(1991), di dalam Quadrant Concept menyatakan bahawa seni dapat membantu
pemikiran rasional dan intiutif seseorang individu.
Howard Gardner (1953), menyatakan , sekiranya hanya satu sahaja kaedah atau
pendekatan yang digunakan didalam sesuatu pengajaran, hanya murid-murid
tertentu sahaja yang boleh mendapatkan bahan yang disampaikan. Ini disebabkan
murid mempunyai kebolehan menaakul dan menanggap dalam keadaan
yang berbeza. Pendekatan yang berintegrasi dengan pelbagai jenis
kecerdasan memudahkan penerimaan murid kepada yang lebih kreatif.

A KESAN-KESAN POSITIF SENI DALAM PENDIDIKAN


Berdasarkan pandangan daripada tokoh-tokoh yang tersebut di atas tadi dapatlah
dibuat kesimpulan bahawa Seni Dalam Pendidikan mempunyai kepentingan dalam
bidang pendidikan. Antara kebaikan atau kesan-kesan positif yang dapag diperolehi
dalam penggunaan Seni Dalam Pendidikan ialah :A. i PROSES PENGAJARAN AKAN MENJADI LEBIH SERONOK. Ini disebabkan
pengintegrasian tiga mata pelajaran seni akan dapat menarik minat murid. Menurut
Russel (1968), matlamat guru sekolah rendah dalam pengajaran dan pembelajaran
ialah untuk membentuk kanak-kanak dengan kemahiran memerhati, sensitif
terhadap pergerakan, bunyi, bentuk, tekstura dan irama. Murid-murid akan
mengambil bahagian dalam pembelajaran yang melibatkan berbagai-bagai
kemahiran yang disediakan oleh guru. Di samping itu juga mereka dapat melahirkan
idea dan kreativiti mereka dengan bebas.
Sebagai contoh, semasa mengajar sesuatu pengajaran yang pertama iaitu lagu
burung, kanak-kanak akan membuat pergerakan seperti burung semasa menyanyi
lagu tersebut. Dalam melakukan aktiviti tersebut, kita akan dapat melihat berbagai
gaya yang dipersembahkan oleh murid, samada seperti terbang, berjalan,
melompat, makan atau sebagainya. Seterusnya kanak-kanak disuruh menghasilkan
gambar atau mewarnakan gambar burung. Semasa pembelajaran ini kanak-kanak
akan dapat membina konsep kendiri dalam kumpulan rakan sebaya.
A. II MEMBANTU PERKEMBANGAN INTELEK, SAHSIAH DAN SOSIAL MURIDMURID.
John Dewey (1919), menyatakan ,pendidikan adalah satu proses untuk
mengembangkan kecerdasan manusia, sekolah seharusnya memberi kanak-kanak
kebebasan untuk perkembangan fizikal, emosi dan intelektual iaitu kebebasan
untuk melatih kecerdasan melalui seni. Seni yang dimaksudkan adalah seni visual,
seni muzik dan seni pergerakan.
Keberkesanan fungsi mata pelajaran seni visual, seni muzik dan seni pergerakan
boleh diperhebatkan dengan menjadikannya sebagai medium untuk pengajaran
secara penerokaan, pengembangan kreativiti, proses-proses berfikir secara kritis
dan kreatif dalam penyelesaian masalah dan merangsang pembinaan keyakinan diri
dan imej kendiri yang utuh. Dengan adanya proses pembelajaran Seni Dalam
Pendidikan murid akan lebih mudah untuk menerima kemahiran pembelajaran yang
diajar oleh guru selari dengan perkembangan diri mereka seperti rajah 1 di bawah.
Dalam kaedah pengajaran inkuiri penemuan murid-murid diberi peluang meneroka
dan mencari sendiri jawapan kepada permasalahan. Peluang inilah yang digunakan
oleh murid-murid untuk melahirkan idea dan mendorong mereka menggunakan
keupayaan akal dan fizikal untuk menyelesaikan masalah. Secara langsung emosi
mereka menjadi berkembang dan begitu juga dengan sosial bila murid-murid ini

berinteraksi sesama rakan sebaya dan guru.

Rajah 1: Model Wholistik


Perkembangan Kanak-kanak
Falsafah perkembangan Dewey menekankan bahawa perkembangan emosi, jasmani
dan sosial seseorang individu melalui aktiviti-aktiviti bermain dan meneroka sendiri
di peringkat sekolah rendah merupakan pengalaman semula jadi yang banyak
membantu kanak-kanak dalam pembelajaran mata pelajaran-pembelajaran lain di
sekolah.

A. III MENJADIKAN GURU LEBIH BERMOTIVASI DAN KREATIF DALAM


MERANCANG PENGAJARANNYA.
Dengan adanya SDP dalam kurikulum sekolah rendah, pengajaran dan
pembelajaran akan lebih menyeronokkan dan penglibatan murid juga adalah baik
maka guru-guru akan lebih bersemangat dan kreatif untuk merancang persediaan
untuk pengajaran mereka di mana pengajaran yang dirancang akan lebih mencabar
serta mengutamakan perkembangan intelek, emosi, psikomotor dan kematangan
murid. Sekaligus ini menjadi motivasi dan perangsang kepada guru untuk lebih
banyak meneroka kemahiran-kemahiran baru yang sesuai dengan pencapai muridmuridnya. Hasil daripada persekitaran pembelajaran yang baik, guru juga akan
dapat meningkat profesionalisma dalam kerjaya mereka. Usaha untuk melahirkan
masyarakat Malaysia yang cemerlang, berilmu dan mantap dari segi sahsiah pada
tahun 2020 pasti akan berhasil.
B PENGHUBUNGKAITAN PELBAGAI BIDANG DALAM PENGAJARAN DAN

PEMBELAJARAN
Penghubungkaitan membawa maksud menghubungkaitkan pelbagai bidang
kemahiran dan pengetahuan dari beberapa mata pelajaran dalam ssesuatu
pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya penghubungkaitan tersebut
pembelajaran akan dapat membantu percambahan pemikiran murid dengan
mengaitkan isi pengajaran guru dengan kehidupan seharian mereka. Pengajaran
dan pembelajaran yang ada penghubungkaitan ini akan menghasilkan
pembelajaran yang lebih efektif. Tujuan penghubungkaitan dalam pengajaran dan
pembelajaran adalah untuk meningkatkan lagi tahap kefahaman belajar muridmurid. Selain itu ia juga boleh membina serta melatih minda murid-murid untuk
menjadi lebih aktif dan kreatif sekaligus dapat membantu pencapaian
objektif pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran yang diajar.

Sebagai contoh, guru yang mengajar Pendidikan Seni Visual bertajuk Haiwan.
Sebelum murid-murid membuat aktiviti menggambar atau aktiviti membuat rekaan
dan corak yang berkaitan dengan haiwan, guru terlebih dulu mencungkil
pengetahuan sedia ada murid dengan bersoaljawab beberapa soalan yang mudah
dan ringkas. Antara aktviti yang boleh dijalankan ialah menamakan
haiwan,mengajuk bunyi haiwan, menyatakan cara pergerakan haiwan, mengelaskan
kumpulan haiwan dan sebagainya. Di sini elemen Sains dan seni pergerakan telah
dihubungkaitkan. Untuk mengaitkan dengan bahasa dan muzik, guru meminta
murid menyanyi mana-mana lagu yang ada kaitan dengan haiwan. Selain itu murid
juga disuruh berpantun atau membaca puisi berkenaan haiwan. Untuk
mengaitkannya dengan mata pelajaran Matematik, guru mengemukakan soalansoalan yang berkaitan dengan penyelesaian masalah (problem solving) yang ada
kaitan dengan kehidupan seharian murid-murid. Contohnya, Di dalam bakul itu ada
sepuluh ekor ikan, dua ekor telah dilarikan kucing. Berapa ekor ikankah yang masih
tinggal?

RAJAH 2 : CONTOH PENGHUBUNGKAITAN MATA PELAJARAN DALAM


PELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL.
Dengan adanya penghubungkait tersebut murid-murid akan belajar beberapa
kemahiran dalam sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada dapat
memantapkan perkembangan sosial, emosi dan intelek murid-murid, pengajaran
berintegrasi seperti yang tersebut di atas dapat juga meningkatkan tahap
perkembangan kognitif, psikomotor dan afektif mereka.
Untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran penghubungkaitan
(penggabungjalinan) ini lebih berkesan, guru-guru memainkan peranan yang paling
penting selain kesedian murid-murid sendiri.
B. i Peranan Guru dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran ini
antaranya adalah:i) Merancang persediaan mengajar yang dapat menarik minat murid. Antara
perkara-perkara yang perlu di ambil perhatian dalam penyediaan rancangan
pengajaran ini ialah berkenaan dengan topik, objektif pengajaran, isi pelajaran cara
penyampaian isi serta penilaian yang diguna untuk menguji murid. Dalam
penyediaan isi pelajaran guru perlulah menyediakan aktiviti-aktiviti yang dapat
merangsang pemikiran murid-murid dan aktiviti tersebut perlu penglibatan semua
tanpa mengambil kira tahap kebolehan mereka.
ii) Merancang dan memilih sumber bahan pengajaran dan pembelajaran serta
bahan bantu mengajar. Sumber bahan-bahan yang dipilih perlulah mesra pelajar
iaitu mudah digunakan oleh mereka. Bahan tersebut sudah semestinya menarik.
Antara bahan yang boleh digunakan ialah bahan elektronik seperti komputer,
televisyen, radio, internet dan sebagainya. Bahan bukan elektronik yang juga boleh

digunakan seperti carta bergambar dan sebagainya. Guru perlu menyediakan bahan
yang bersesuaian dengan tajuk yang hendak di ajar.
iii) Guru sebagai pemotivasi dan fasilitator murid-murid. Guru haruslah
memberi motivasi dan keyakinan kepada murid-murid untuk melahirkan idea dalam
pembelajaran mereka supaya dapat membentuk sikap positif dalam perkembangan
diri serta mempunyai nilai-nilai murni dalam hidup. Selain itu juga adalah fasilitator
atau pemudahcara semasa pembelajaran berjalan. Di mana guru membimbing
serta memberi tunjuk ajar jika diperlukan oleh murid-muridnya. Dengan itu guru
perlulah meningkatkan diri mereka dengan ilmu dan mempelbagaikan teknik-teknik
penyampaian serta membuat kajian tentang pencapaian murid-murid dari semasa
ke semasa.
iv) Pengurusan Kelas . Peranan guru di sini ialah membahagikan pelajar
mengikut tahap pencapaian akademik mereka. Dengan pembahagian ini ianya akan
memudahkan guru menyediakan aktiviti yang bersesuaian dengan tahap akademik
murid-muridnya. Selain itu guru juga perlu memastikan suasana pembelajaran yang
teratur. Perkara lain yang perlu diambil perhatian ialah:- kelas atau bilik yang selesa
- peredaran udara dan cahaya yang sesuai
- kelengkapan perabot, bahan dan peralatan yang mencukupi

B. ii Peranan Murid
Selain guru, murid-murid juga mempunyai peranan mereka sendiri untuk
memastikan pelaksanaan pengajaran penghubungkaitan ini berjaya. Mereka
digalakkan melibatkan diri dengan sepenuhnya dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di sekolah samada secara formal atau tidak formal. Dengan
melibatkan diri secara aktif secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan
kemahiran belajar mereka dan mereka juga dapat membuat penilaian kendiri
tentang kelebihan dan kelemahan diri sendiri. Murid-murid juga digalakkan untuk
meneroka sendiri sesuatu kemahiran yang baru dengan sentiasa merujuk kepada
guru sekiranya menghadapi masalah pembelajaran.

C. PENDEKATAN BERTEMA
Pendekatan bertema bermaksud pengajaran yang disusun atau dirancang mengikut
sesuatu konsep atau tema. Ianya merangkumi koleksi bahan, aktiviti, isi pelajaran
serta teknik penyampaian. Pendekatan bertema memberi peluang kepada guru
untuk menghubungkait mata pelajaran yang diajar dengan mata pelajaran
lain. Penggabungjalinan beberapa mata pelajaran dalam sesuatu pengajaran ini
memberi peluang kepada murid-murid untuk meneroka, mengalami dan mencari
peluang mengekspresikan sesuatu tema yang telah dirancangkan. Dalam pemilihan
dan penentuan tema banyak perkara yang guru perlu ketahui agar pengajaran dan

pembelajaran yang dirancang berkesan. Antara perkara tersebut ialah: tema yang dipilih hendaklah berasaskan kemahiran, pengalaman serta
pengetahuan sedia ada murid
tema yang dipilih berfokus kepada sesuatu isu. Contohnya isu-isu semasa.
sumber-sumber pengajaran dan bahan bantu mengajar mudah didapati dalam
tema yang dipilih
guru perlu mempunyai banyak pengetahuan dalam tema yang dipilih.
guru perlu memastikan tema pengajaran tersebut mempunyai pemeringkatan
aktiviti dari yang mudah kepada yang lebih mencabar.
Pendekatan bertema juga dapat memberi keyakinan kepada murid-murid
untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran dengan adanya pelbagai aktiviti
yang menyeronokkan. Ini disebabkan tema yang dipilih mempunyai beberapa
kemahiran seperti kemahiran bertutur, membaca, menulis, asas matematik, berfikir,
menyanyi dan mengekspresi bakat (melukis).

Anda mungkin juga menyukai