Anda di halaman 1dari 3

ADAT KELAHIRAN, segala upacara yang dilakukan sejak seorang perempuan Melayu

mengandung sehingga melahirkan anak. Upacara ini terdiri daripada lenggang perut atau
kirim perut, memotong pusat, membelah mulut bayi, mencukur rambut dan memberi nama
bayi.
Lenggang Perut atau Kirim Perut Adat resam ini dilakukan kepada ibu yang hamil tujuh
bulan. Bidan yang melakukan upacara tersebut akan memastikan usia bayi dalam
kandungan sama ada sudah cukup kiraan bulan atau belum.
Alat yang perlu disediakan untuk upacara ini ialah tujuh helai kain tujuh warna,
segantang beras, sebiji kelapa, beberapa lembar utas benang mentah, damar, sedikit
minyak kelapa atau minyak urut, beberapa batang lilin, tepak sirih yang lengkap isinya, dan
pengeras sejumlah RM1.25 yang diletakkan di dalam tepak sirih.
Pada permulaan upacara melenggang perut, bidan membentangkan ketujuh-tujuh
helai kain secara melintang disusun berlapis-lapis. Ibu yang hamil itu dibaringkan di atas
kain tersebut. Dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut yang disediakan,
bidan mengurut perlahan-lahan perut ibu buat beberapa ketika.
Selanjutnya, bidan mengambil buah kelapa yang sudah dikupas lalu digolekkan
perlahan-lahan di atas perut ibu yang hamil itu dari atas ke bawah sebanyak tujuh kali.
Bidan memerhatikan bahagian mata kelapa itu. Mengikut kepercayaan, jikalau mata buah
kelapa itu menghadap ke atas, itu menandakan anak yang di dalam kandungan ialah lelaki
dan jikalau halanya ke bawah menandakan anak yang dikandungi itu perempuan.
Selepas menggolek kelapa, bidan memegang kedua-dua hujung kain yang di atas
sekali dan melenggang-lenggangnya pada badan ibu yang hamil itu. Ini dilakukan sehelai
demi sehelai sehingga helaian yang ketujuh.
Mengikut adat, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan. Begitu juga
dengan kelapa, beras, damar, sirih pinang, dan juga wang yang disediakan. Lazimnya, pada
hari melenggang perut, diadakan kenduri doa selamat yang dihadiri oleh sanak saudara
terdekat. Ibu yang menjalani upacara ini memakai pakaian baharu.

Dalam kalangan sesetengah orang Melayu, semasa seorang ibu hendak bersalin,
digantungkan secekak daun mengkuang di bawah rumah untuk menghalang hantu atau
jembalang daripada mengganggu ibu itu. Ada juga yang memangkah kapur pada tempat
tertentu seperti di muka pintu bilik, di tiang seri rumah atau di tempat bersalin.

Memotong Pusat dan Tanggal Pusat Selepas bayi selamat dilahirkan, bidan memotong
tali pusatnya dengan sembilu buluh. Tali pusat itu dialaskan di atas sekeping wang perak
RM1. Sebelum pemotongan dilakukan, iaitu lebih kurang tiga jari dari perut, tali pusat itu
diikatkan erat dengan benang putih. Benang itu juga diikat pada jarak satu jari hingga tujuh
kali ikat benang. Di antara ikatan yang keenam dengan yang ketujuh itulah tali pusat itu
dipotong. Lazimnya, tali pusat bayi akan tanggal antara lima hingga tujuh hari. Setelah
tanggal pusat, diadakan cuci lautan (naik buai). Hari yang dianggap elok dilakukan upacara
tersebut ialah Isnin atau Khamis.

Membelah Mulut, Cukur Rambut dan Memberi Nama Anak Upacara ini dilakukan dengan
mencicip air manisan atau madu lebah, buah kurma atau yang seumpamanya pada langitlangit bayi. Bayi dibelah mulutnya dengan cincin emas yang telah dicicipkan dengan air sirih
pinang. Selepas tujuh hari bayi dilahirkan, dilakukan pula upacara mencukur rambut bayi.
Setelah upacara itu, barulah nama diberikan kepada bayi tersebut.

Pantang Larang Selepas Bersalin Ibu yang bersalin mesti berpantang selama 44 hari.
Sepanjang masa berpantang itu, dia ditegah daripada memakan makanan yang dianggap
sejuk dan berangin. Setelah tujuh hari bersalin, barulah ibu itu dibenarkan bergerak sedikitsedikit di dalam rumah tetapi dilarang sama sekali memijak tanah. Ibu itu juga mesti
memakan ubat yang diperbuat daripada ramuan akar kayu dan pelbagai jenis rempah.
Selain makan ubat yang tertentu, ibu itu digalakkan berdiang di atas bara atau benda yang
dipanaskan seperti batu atau besi yang tertentu. Rawatan lain yang dijalaninya termasuklah

bertungku, berurut, berbengkung, berbedak (berparam) di badan, menyumbat telinga


dengan bawang putih dan berpilis di dahi.
Sebaik sahaja tamat waktu berpantang selama 44 hari, pada hari berikutnya ibu itu
dimandikan dengan air sintuk limau serta dilangiri sebagai tanda lepas daripada berpantang.
Lazimnya pada hari yang ke-45 diadakan kenduri kecil atau bacaan doa selamat sebagai
tanda bersyukur kepada Allah kerana telah terlepas daripada sebarang bencana dalam
masa berpantang 44 hari itu. Pada hari itulah ibu dibenarkan memijak tanah seperti biasa.

Anda mungkin juga menyukai