Anda di halaman 1dari 5

LAPORAN RINGKAS KAJIAN TINDAKAN

TAJUK KAJIAN:

1.0

APLIKASI VARIASI LATIHAN DALAM KEMAHIRAN HANTARAN LANTUN


PERMAINAN BOLA BALING SEKOLAH RENDAH

PENGENALAN
Kurikulum Pendidikan Jasmani hari ini boleh dikategorikan kepada bidang pendidikan
perkembangan, pendidikan pergerakan, pendidikan humanistik, pendidikan sukan,
pembelajaran kinesiologikal dan pendidikan kesihatan. Pendidikan Jasmani terbukti mampu
membentuk sahsiah pelajar sekiranya dilakukan secara teratur sebagaimana seorang guru
mengajar pelajar membaca dan menulis. Aktiviti-aktiviti dalam kelas Pendidikan Jasmani
mempunyai nilai etika dan estetika yang perlu dipupuk dengan betul kepada generasi muda.
Kelas Pendidikan Jasmani selain dari menyediakan peluang melakukan kemahiran sukan, ia
merupakan satu-satunya kurikulum yang menyediakan pengalaman-pengalaman secara
langsung sama ada secara teori atau amali.
Maka saya berpendapat bahawa pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani
berfokuskan penguasaan kemahiran sesuatu permainan adalah sangat sesuai dalam
merealisasikan kurikulum Pendidikan Jasmani khususnya untuk murid-murid sekolah rendah.
Saya berusaha agar murid-murid ini mempunyai minat dan motivasi mempelajari dan
menguasai sesuatu kemahiran permainan yang sebenarnya memberikan manfaat bukan
sahaja dari segi sukan malah memberikan ruang kepada mereka untuk terus meneroka dan
mengekalkan minat mereka sendiri dengan seronok dan ia menghasilkan faedah yang baik.
Melalui kaedah ini murid-murid sekaligus dapat memupuk semangat kendiri terutamanya
berusaha untuk menguasai sesuatu kemahiran permainan, kerjasama dalam pasukan,
mengatur strategi permainan serta mampu berfikiran rasional sebelum sesuatu tindakan.

2.0

FOKUS KAJIAN / MASALAH KAJIAN


Pengkaji mendapati bahawa kebanyakkan murid-murid tahap dua iaitu murid-murid dari
Tahun 4, 5 dan 6 di sebuah sekolah yang dikaji menghadapi kesukaran untuk membuat
hantaran lantun kepada rakan sepasukan dalam permainan bola baling. Penguasaan
kemahiran hantaran lantun adalah salah satu kemahiran yang penting dalam permainan bola
baling kerana permainan bola baling adalah permainan yang menggunakan kemahiran
hantaran secara keseluruhan.
Semasa pengajaran dan pembelajaran permainan bola baling seperti mana juga dalam
latihan bola baling yang saya laksanakan terhadap pemain bola baling sekolah, pengkaji
dapati penguasaan kemahiran hantaran lantun boleh dikatakan sangat rendah semasa
permainan bola baling, mereka kerap membuat hantaran aras dada dan hantaran sisi kepada
rakan sepasukan sedangkan sekiranya mereka mahir membuat hantaran lantun dalam
permainan bola baling, akan memantapkan lagi corak pemain secara individu. Hal ini
mendorong pengkaji membuat kajian mengenai kesan penguasaan kemahiran hantaran
lantun dalam permainan bola baling.

Seperti mana yang diketahui umum, kemahiran yang banyak digunakan dalam bola baling
adalah kemahiran hantaran dan kemahiran-kemahiran tersebut ialah hantaran bahu,
hantaran aras dada, hantaran sisi, hantaran lompat dan hantaran lantun. Kemahiran ini
sangat penting dalam permainan bola baling kerana ia adalah di antara beberapa kemahiran
asas permainan ini. Sesuatu keputusan perlawanan juga dipengaruhi jika hantaran dalam
sesuatu pasukan berjaya dilakukan dengan baik. Oleh itu, kemahiran yang ingin dilihat
adalah kemahiran membuat hantaran lantun dengan betul dan sempurna semasa permainan.
Hanya enam orang peserta kajian sahaja akan digunakan untuk kajian tindakan ini, iaitu
murid yang berpotensi bermain bola baling dengan baik tetapi tidak dapat menguasai
kemahiran hantaran lantun dengan baik.

Secara amnya, permainan bola baling adalah salah satu sukan yang memerlukan kekuatan,
kepantasan dan ketangkasan tangan. Beim (1977) menegaskan ketangkasan bergantung
kepada koordinasi, kekuatan dan reaksi individu mengatasi momentum berat badan. Jika
peserta kajian dapat menguasai hantaran lantun dengan baik maka corak persembahan yang
pantas dan tangkas dapat dilakukan semasa bermain bola baling. Kemahiran ini bukan
sahaja dapat diaplikasikan semasa waktu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani
sahaja malah mereka juga dapat menunjukkan kemahiran mereka semasa mereka
menghadiri pemilihan dan semasa perlawanan bola baling, sehubungan dengan itu, sudah
pasti jurulatih akan memilih pemain yang dapat membuat hantaran khususnya hantaran
lantun dengan betul dan berkesan.
Kemahiran hantaran lantun adalah penting untuk mengubah corak permainan bola baling.
Kemahiran membuat hantaran lantun bukan sahaja dilakukan secara individu malahan ia juga
memerlukan kerjasama yang baik dengan rakan sepasukan. Hal ini kerana permainan bola
baling adalah permainan secara berpasukan. Oleh itu, fokus kajian pengkaji semasa
pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani dalam kemahiran bola baling ialah
mengaplikasi latihan variasi hantaran lantun dengan menggunakan teknik yang betul.
Sepanjang pengkaji mengajar aktiviti yang melibatkan permainan bola baling pengkaji dapati
ada sesetengah murid langsung tidak dapat menguasai kemahiran hantaran lantun dengan
baik. Kebanyakan mereka hanya lebih kerap membuat hantaran aras dada dan hantaran sisi
menyebabkan pasukan pihak lawan dapat membaca pergerakan mereka seterusnya yang
boleh menghalang daripada gerakan sempurna dilaksanakan yang berakhir kepada membuat
jaringan. Apabila seseorang murid itu dapat menguasai kemahiran hantaran lantun dengan
baik, murid berkenaan tentu berasa yakin semasa bermain dan cara permainan pantas dapat
dilakukan selaras dengan corak permainan yang dimainkan oleh mana-mana pasukan
handalan seluruh dunia, turut menjadi fokus kajian pengkaji yang mana sekaligus dapat
membantu pengkaji mencungkil bakat baru dalam sukan bola baling dan secara tidak
langsung dapat melahirkan satu pasukan bola baling sekolah yang berkualiti dan menjamin
masa depan yang cemerlang dalam sukan bola baling di sekolah pengkaji.

3.0

OBJEKTIF KAJIAN
i.
ii.
iii.

Mengenalpasti tahap penguasaan kemahiran hantaran lantun murid dalam


permainan bola baling.
Aplikasi variasi latihan hantaran lantun dapat meningkatkan penguasaan kemahiran
hantaran lantun murid dalam permainan bola baling.
Mengenalpasti minat murid dalam aplikasi variasi latihan kemahiran hantaran lantun
permainan bola baling.

4.0

PESERTA KAJIAN
Kumpulan sasaran kajian yang dijalankan ialah murid-murid Tahap Dua iaitu Tahun 5
Akademik di sebuah sekolah dalam daerah Kudat semasa proses pengajaran dan
pembelajaran Pendidikan Jasmani permainan bola baling. Kumpulan ini mempunyai seramai
30 orang murid, oleh itu saya mengambil hanya beberapa orang murid dari populasi tahun 5
Akademik ini untuk dijadikan peserta kajian. Bilangan peserta kajian yang diambil ialah 6
orang murid, iaitu 3 orang murid lelaki dan 3 orang murid perempuan yang berpotensi untuk
mewakili sekolah dalam permainan bola baling. Pemilihan ini berdasarkan bilangan murid
yang tidak dapat melakukan aktiviti hantaran lantun dengan menggunakan teknik yang betul.

5.0

PENDEKATAN / INSTRUMEN / CARA ANALISIS DATA


Pendekatan kajian yang digunakan ialah kaedah kualitatif. Kajian ini menggunakan
pemerhatian, temubual dan senarai semak bagi mendapatkan data untuk dianalisis. Kaedah
ini dianggap bertepatan dalam mengumpul dan menganalisis data kerana pemerhatian
penguasaan kemahiran hantaran lantun dalam permainan bola baling memerlukan masa dan

latihan yang sesuai serta mencukupi di samping program-program latihan yang telah
dirancang. Manakala instrumen kajian merangkumi tiga Variasi Latihan iaitu Latihan Hantaran
Lantun Diagonal, Latihan Hantaran Lantun Straight Pass dan Latihan Hantaran Lantun
Through Pass. Variasi Latihan Hantaran Lantun Diagonal dilaksanakan pada gelung
pertama, Variasi Latihan Hantaran Lantun Through Pass dilaksanakan pada gelung kedua
dan Variasi Latihan Hantaran Lantun Straight Pass dilaksanakan pada gelung ketiga.
Bagi penganalisisan kualitatif, data diperiksa untuk menentukan sama ada ianya sesuai untuk
kategori yang dikehendaki. Melalui proses ini, data ditapis dan kemudiannya pembuangan
bagi data-data yang tidak berkaitan dilakukan untuk memudahkan analisis kajian. Di dalam
kajian ini, soalan temubual yang dijalankan adalah dalam bentuk soalan semi-struktur.
Penggunaan pita rakaman video dan catatan nota lapangan digunakan untuk merekod
maklumbalas daripada responden. Semasa sesi temubual dijalankan, adalah penting bagi
pengkaji untuk mendengar dengan jelas segala butiran yang disampaikan oleh responden
dan menulis kembali setiap pita rakaman sebaik sahaja temubual selesai dijalankan. Ini
bertujuan membolehkan pengkaji mengingati segala maklumat yang di berikan kerana ianya
masih segar dalam ingatan pengkaji.
Data yang dikumpulkan daripada sesi temubual yang telah dijalankan rakan-rakan
responden, guru dan responden sendiri perlu diterjemahkan, diinterpretasi dan dianalisis.
Kajian ini menggunakan soalan temubual, senarai semak dan pemerhatian sebagai alat
pengumpulan data kajian. Semua maklumat yang diperolehi akan ditriangulasikan dengan
nota yang diambil semasa temubual dan pemerhatian.
Triangulasi adalah satu keperluan dalam kajian kualitatif. Triangulasi bermaksud integrasi
kaedah yang berbeza bagi mendapatkan lebih dari satu bentuk data supaya dapatan kajian
kualitatif yang bersifat subjektif akan lebih meyakinkan dan dapat meningkatkan kesahan
data yang dikumpul.
Petikan (quotation) daripada sesi temubual juga dipilih sebagai rujukan dalam penulisan bab
yang seterusnya berdasarkan kepada isu dan masalah yang berkaitan dengan kajian yang
dijalankan (Kvale, 1988). Petikan ini dapat menerangkan kesan semulajadi dan menyokong
isu yang berkaitan dengan penguasaan kemahiran membuat hantaran lantun oleh responden
dalam permainan bola baling. Petikan ini juga digunakan bagi tujuan kesahihan dengan
merujuk kepada temubual yang telah dijalankan ke atas responden yang berbeza-beza.
Pengkaji menggunakan panduan yang dikemukakan oleh Miles dan Huberman (1994) dalam
menjalankan analisis ke atas data kualitatif yang telah diperolehi. Menurut Miles dan
Huberman (1994), terdapat tiga aliran aktiviti dalam menjalankan analisis kualitatif. Tiga
aktiviti ini ialah pengurangan data (data reduction), mempamerkan data (data display) dan
kesimpulan dan pembuktian (conclusion drawing and verification). Pengurangan data merujuk
kepada proses pemilihan, fokus, perincian, dan menukarkan data daripada catatan nota atau
transkrip yang diperolehi semasa pengumpulan data dijalankan.
Pengurangan data berlaku sepanjang penyelidikan dijalankan di mana pengkaji akan memilih
dan menentukan rangka kerja yang harus diikuti, persoalan kajian yang perlu dikemukakan
dan pendekatan pengumpulan maklumat yang harus dipilih. Selepas pengumpulan data
dilakukan, pengurangan data juga berlaku dalam membentuk kesimpulan, pengkodan,
penyingkiran, pembentukan kelompok atau dalam penulisan memo. Aktiviti pengurangan data
ini juga diteruskan selepas kerja lapangan dijalankan sehingga laporan akhir disempurnakan.
Langkah seterusnya dalam aktiviti penganalisisan data ialah mempamerkan data tersebut.
Pameran data melibatkan aktiviti seperti mengendalikan, memadatkan maklumat bagi
memudahkan kesimpulan dan tindakan dilakukan. Dengan memerhatikan data yang
dipamerkan, ianya dapat membantu pengkaji untuk memahami perkara yang berlaku untuk
analisis seterusnya dan tindakan selanjutnya yang perlu diambil berdasarkan kepada
pemahaman pengkaji. Berdasarkan kepada transkrip yang dipamerkan, ianya memudahkan
pengkaji untuk membuat rumusan kerana kebiasaannya manusia sukar untuk memproses
maklumat dalam kuantiti yang besar.

6.0

DAPATAN KAJIAN
Berdasarkan pemerhatian, tidak terdapat seorang pun responden yang dapat menguasai
semua lakuan tangan, kaki dan kedudukan badan dengan baik semasa membuat hantaran
lantun selepas tiga minggu latihan dijalankan. Ini adalah kerana responden tersebut masih
cuba untuk menyesuaikan diri dengan lakuan-lakuan yang diajar oleh guru dan masih
memerlukan latihan yang lebih untuk menguasai kemahiran hantaran lantun secara
keseluruhan. Namun setelah tiga lagi baki minggu latihan disempurnakan, semua responden
telah dapat menguasai lakuan tangan, kaki dan kedudukan badan dengan lebih baik. Ini
adalah kerana latihan yang mencukupi memberi peluang kepada responden memperbetulkan
kesilapan dan mempraktikkan latihan dengan lebih sistematik dan berkesan.
Hasil dapatan maklumbalas responden melalui temubual menunjukkan bahawa aplikasi
variasi latihan hantaran lantun melalui Program Latihan yang terancang dan sistematik dapat
meningkatkan penguasaan kemahiran hantaran lantun dalam permainan bola baling.
Tambahan melalui kaedah ini dapat mewujudkan keseronokkan dalam kalangan murid
semasa bermain.

7.0

PERBINCANGAN / RUMUSAN
Melihat kepada keputusan dapatan kajian, dapatlah dirumuskan bahawa kajian tindakan ini
telah mencapai objektif yang diharapkan. Intervensi melalui kaedah variasi latihan dalam
pembelajaran kemahiran dalam sukan dapat meningkatkan penguasaan kemahiran membuat
hantaran lantun permainan bola baling dalam kalangan responden telah menunjukkan
keberkesanannya. Malahan bukan itu sahaja, motivasi murid untuk membuat latihan juga
menunjukkan perubahan yang ketara. Menurut Baharom dan Iliyas (2009), motivasi adalah
penggerak kepada kemahuan dan keinginan mahu berjaya atau mencapai sesuatu. Justeru
itu, kajian ini juga telah menampakkan motivasi dan semangat yang tinggi dalam kalangan
peserta kajian. Ini dapat dilihat menerusi keputusan analisis data yang sentiasa menunjukkan
peningkatan minat serta penguasaan kemahiran responden. Kaedah variasi latihan berjaya
menaikkan motivasi murid untuk lebih bersemangat mempelajari kemahiran membuat
hantaran lantun dalam permainan bola baling. Berdasarkan pengalaman pengkaji
menjalankan kajian tindakan ini, didapati bahawa penguasaan peserta kajian dalam sesuatu
kemahiran adalah bergantung kepada inisiatif guru untuk mempelbagai kaedah
pengajarannya. Oleh itu, pengkaji bercadang untuk menambahbaik kajian yang seterusnya
agar menjadi lebih berkesan.
Semasa kajian, pengkaji mendapati penggunaan variasi latihan dalam melaksanakan
Program Latihan dapat menarik minat murid untuk menguasai kemahiran membuat hantaran
lantun dalam permainan bola baling. Justeru itu, pengkaji berhasrat untuk memperluaskan
penggunaan kaedah ini kepada semua murid bermula dari tahun empat. Ini adalah kerana
kemahiran hantaran telah mula dipelajari seawal murid tahun satu dalam KSSR sehingga
tahun enam. Murid-murid tahun empat dipilih kerana perkembangan otot kanak-kanak pada
peringkat ini menggalakkan pergerakan motor yang lebih mencabar. Selain itu, pengkaji juga
berhasrat untuk menambahbaik program latihan yang digunakan pada masa akan datang.
Antaranya menambah latihan stamina seperti Latihan Litar sebelum latihan kemahiran
dijalankan. Langkah ini diharap dapat menarik lebih ramai murid untuk menguasai kemahiran
hantaran lantun dalam permainan bola baling yang dianggap sukar. Pengkaji berharap untuk
menghasilkan program latihan yang lebih mantap, kreatif dan inovatif yang tertumpu kepada
satu kemahiran sahaja. Hal ini bertujuan untuk memastikan setiap murid boleh menguasai
satu kemahiran sebelum melangkah kepada kemahiran yang lain. Sedikit penambahbaikan
akan dilakukan ke atas soalan temubual iaitu dengan menambah bilangan soalan. Hal ini
bertujuan memastikan bukti pencapaian pembelajaran adalah lebih berkesan serta dapat
menjamin kesahan ujian. Ini bertepatan dengan Shamsina 2013 yang menyatakan soalan
yang dibina mestilah menepati objektif dan kandungan yang hendak diukur. Di samping itu,
pengkaji juga berhasrat untuk meneruskan kajian dengan menambah bilangan peserta kajian
serta melibatkan peserta kajian meliputi tahun empat, lima dan enam. Bukan itu sahaja,
tempoh pelaksanaan kajian juga turut dipanjangkan. Ini bagi memastikan murid yang terpilih

mendapat pendedahan lebih awal dan lebih memahami kepentingan kemahiran dalam sukan
dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani itu sendiri.
Kesimpulannya, banyak penemuan dan pengetahuan berguna diperolehi daripada kajian
yang telah dijalankan ini. Kajian seperti ini amat diperlukan oleh seseorang guru untuk
mengesan kaedah, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.
Pengkaji berpendapat, maklumat dan input kajian ini membolehkan pengkaji melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan, bukan hanya membuat jangkaan dan
generalisasi semata-mata. Ini selari dengan Rahil dan Habibah, 2007 yang menyatakan
pembelajaran yang baik terjadi apabila perubahan yang berlaku berkekalan dan dapat
bertahan untuk jangka masa yang lama. Pembelajaran boleh berlaku apabila terdapat
rangsangan yang menyebabkan terjadinya tindak balas terhadap rangsangan tertentu, seperti
alat bantu mengajar, kaedah pengajaran dan tingkah laku guru. Oleh sebab itu, dengan
menjalankan kajian banyak penelitian terhadap pelaksanaan pengajaran dapat dikenalpasti
dan ditambahbaik. Diharap pada masa akan datang, ada pengkaji lain yang dapat
meneruskan kajian ini dengan lebih baik dan sempurna.