Anda di halaman 1dari 3

Pelaksanaan PBS

Pada dasarnya, pelaksanaan PBS adalah transformasi pentaksiran yang dilaksanakan di


peringkat pengajian rendah dan menengah dalam usaha mengurangkann orientasi pendidikan
menjurus kepada peperiksaan semata-mata kepada orientasi yang bersifat lebih holistik meliputi
akademik dan bukan akademik yang menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani)
dan psikomotor (jasmani) pelajar. Dalam PBS, guru diberikan autonomi daripada merancang,
membina, mentadbir, memeriksa sehingga melapor penilaian terhadap pelajar. Ini dibayangkan
sebagai satu langkah yang praktikal di mana guru sebagai individu yang berhubung secara
langsung dengan pelajar sewajarnya lebih memahami situasi dan kapasiti pelajar terbabit. Maka
penilaian yang dilaksanakan diharapkan lebih berkesan dalam membangun potensi dan
kemahiran pelajar. Dari sudut ini, PBS berkemungkinan mampu menjadi alternatif sistem
pentaksiran pendidikan masa depan dalam usaha melahirkan manusia yang lebih berketrampilan,
berdaya-saing serta bertatasusila.
Walaubagaimanapun, wujud beberapa kritikan dan ketidakpuasan yang timbul dalam
pelaksanaan sistem ini. Antara yang paling mendapat perhatian adalah sistem aplikasi webbased yang mengiringi pelaksanaan PBS ini dilihat menjadi halangan untuk PBS berfungsi
dengan baik. Rata-rata guru mengadu berkaitan kesulitan yang mereka hadapi untuk mengakses
sistem aplikasi yang telah disediakan. Kesukaran ini menjadi tambahan beban kepada tugasan
guru sedia ada. Sehingga, tidak ada yang mahu membincangkan manfaat besar dari pelaksanaan
PBS ini ekoran kelemahan sistem tersebut.
Pernah saya ajukan pertanyaan kepada beberapa guru sama ada mereka merasakan PBS
mampu menggantikan sistem berteraskan peperiksaan serta mampu menjadi alternatif dalam
membangun pelajar secara holistik. Jawapan yang saya terima sekadar rungutan berkaitan beban
tugasan serta arahan demi arahan yang diterima secara mendadak dan berubah-ubah dari pihak
atasan. Ini menyebabkan sebahagian guru ini tidak berminat untuk menjayakan sistem ini tapi
sekadar melaksanakan tugasan yang telah diberikan.

Keadaan ini menjadikan ramai yang tertanya-tanya, adakah sistem yang baik tidak akan
mampu dipraktikkan dan adakah selamanya sistem pendidikan itu bersifat statik dan tradisi?
Sebelum ini juga, telah banyak dasar dan pelan pembangunan pendidikan yang cuba
dilaksanakan namun hasilnya masih tidak kelihatan dengan sebahagiannya gagal atau berhenti
separuh jalan. Bagi kami, keadaan ini sesuatu yang amal kritikal berikutan pendidikan adalah
esensi utama pembangunan manusia yang sangat perlu dititkberatkan.
Cadangan beberapa pihak supaya diwujudkan sekolah rintis bagi setiap dasar baharu
yang ingin dibawa supaya ujikaji awal keberkesanan dasar itu dapat diperhati dan dianalisa.
Dasar pendidikan hendaklah bersifat gerak kerja terancang dan bukanlah semata-mata try and
errorkerana yang dijadikan tikus makmal ini adalah khalayak manusia yang memiliki masa
depan yang panjang. Kegagalan dan masalah yang timbul ekoran pelaksanaan semberono sistem
dan dasar ini akhirnya akan memberi impak negatif yang berlarutan pada masa akan datang.
Bagi saya, dalam usaha melahirkan pelajar yang memiliki ciri-ciri terbaik intelek, emosi
dan fizikal, individu yang memainkan peranan penting dalam mencetak nilai-nilai tersebut dalam
diri pelajar adalah insan yang sangat perlu disantuni sewajarnya. Memahami isu bebanan tugas
menjadi salah satu faktor kurangnya keupayaan guru dalam memberikan kualiti pengajaran
terbaik, sesuatu mesti dilakukan segera. Perlu disedari, guru juga adalah manusia biasa yang
memiliki limitasi dan kekangan dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan. Adalah kurang
adil dengan meletakkan pelbagai tugasan teknikal kepada guru, dalam masa yang sama
mengharapkan prestasi terbaik dalam memberikan didikan kepada pelajar.
Menjadikan fokus profesionalisme perguruan dalam menentukan hala tuju pelajar yang
bakal dilahirkan mungkin antara kaedah terbaik yang perlu wujud dalam dasar pendidikan.
Lebih-lebih lagi jika PBS yang meletakkan autonomi kepada guru dalam semua peringkat
pentaksiran benar-benar mahu dijayakan. Mahu tidak mahu, kerjaya perguruan perlu diperkasa
dengan penekanan kepada nilai-nilai sosial, intelektual dan sebagainya yang perlu wujud dalam
diri guru itu sendiri. Dalam penerapan nilai-nilai itu, mahu tidak mahu budaya dan persekitaran
positif di kalangan pendidik perlu disediakan. Terutamanya, beban tugasan guru dari sudut

teknikal perlu dikurangkan atau dihilangkan, supaya fokus perguruan adalah semata-mata demi
membangun potensi pelajar.
Guru perlu diberi ruang untuk berekspresi seluas-luasnya mendidik anak bangsa dengan
semaian benih komitmen bahawa menyebarkan ilmu bukan sekadar atas arahan dan memenuhi
keperluan kehidupan. Tetapi misi memanusiakan manusia ini perlu mengambil kira keazaman
dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi. Komitmen sebegini biasa wujud dikalangan guru
muda dan semakin berkurang dengan pertambahan usia kerjaya di mana komitmen itu terpesong
atas pelbagai faktor. Walau tidak dinafikan masih ramai guru yang mahu memberikan yang
terbaik buat anak didik mereka. Cuma ruang dan peluang serta kaedah yang tersedia tidak
membantu ke arah tersebut.
Sebagai langkah awal, penggantungan sistem teknologi aplikasi PBS yang merenyahkan
dan diganti dengan sistem manual sedikit sebanyak meringankan beban tugas guru. Namun,
perlu diketahui seperti yang telah disebutkan di awal tadi, bahawa masih banyak lagi tugas-tugas
yang perlu digalas seorang guru. Atas sebab itu, maka kajian menyeluruh beban tugasan guru
perlu dilaksanakan dengan kesedaran bahawa guru memainkan peranan penting untuk mencorak
generasi akan datang. Semak semula setiap dasar dan arahan yang mahu dilaksanakan di
peringkat sekolah dan guru adalah sangat penting bagi memastikan tugasan utama guru untuk
mengajar dan mendidik tidak terganggu dengan tugasan-tugasan teknikal yang lainnya.

Anda mungkin juga menyukai