Anda di halaman 1dari 3

Masalah moral remaja

setiap bayi itu dilahirkan suci bersih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. - Gambar hiasan

STATISTIK gejala moral dan jenayah yang melibatkan remaja akhir-akhir ini
sangat membimbangkan kita. Ini adalah kerana, remaja adalah merupakan
golongan yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.
Tindakan segera perlu diambil, khususnya oleh ibu bapa dan keluarga
apabila mendapati anak-anak mereka terlibat dalam jenayah dan salah-laku.
Kes-kes jenayah yang semakin meningkat seperti; buang bayi,
penyalahgunaan dadah, zina, rempit dan lumba haram, ponteng sekolah dan
sebagainya memerlukan tindakan secara kolektif dan bersepadu.
Kes-kes jenayah di kalangan remaja hari ini sebenarnya bermula dari rumah.
Ia bermula apabila ibu dan bapa tidak mampu lagi mengawal tingkah laku
anak-anak mereka. Kadang-kadang ibu bapa seolah-olah 'menghalalkan'
perbuatan anaknya apabila tidak melakukan sebarang tindakan apabila
melihat anaknya melakukan maksiat di hadapan mata.
Sebagai contoh, ada di kalangan ibu bapa tidak menghalang anak
perempuan mereka untuk membonceng motor teman lelakinya yang
menjemput di rumah. Tidak dinafikan ada di kalangan ibu bapa yang berada
dalam dilema kerana bimbang anak-anak mereka lari dari rumah sekiranya
sikap mereka itu ditegur.
Lihat sahaja statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)
pada 2010 yang menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat dengan
angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan seawal usia
13 hingga 17 tahun.

Apabila berada di sekolah, lagak gaya anak-anak ini semacam kumpulan


kongsi gelap atau samseng sehingga menyebabkan sesetengah guru berfikir
dua kali untuk menegur mereka.
Satu perkara yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW telah diabaikan oleh para
ibu bapa pada hari ini dalam konsep mendidik anak-anak yang melakukan
kesalahan.
Pastinya keingkaran atau keengganan mematuhi perintah Rasulullah SAW itu
mengundang kepada kehancuran institusi keluarga, masyarakat dan negara.
Cuba kita hayati sebuah hadis Rasulullah yang berbunyi: "Suruhlah anak
kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukullah pada usia mereka
10 tahun serta pisahkanlah tempat tidur mereka." (riwayat Ahmad, Abu
Daud dan Hakim)
Tanpa kita sedari bahawa rupa-rupanya inilah perkara yang menjadi punca
kepada segala permasalahan jenayah dan gejala sosial yang tak pernah
kunjung hentinya. Sebab itulah walaupun berbagai-bagai program dilakukan
oleh kerajaan bagi menangani situasi ini namun sudah pasti tanpa
melakukan segala perintah dan tanpa akur kepada larangan Allah SWT dan
Rasul-Nya maka mustahil jenayah dan masalah moral remaja dapat kita
atasi.
Kelazimannya apabila sesuatu kejadian jenayah berlaku, masyarakat secara
langsung menganggap tugas menanganinya adalah terletak di bahu pihak
berkuasa sahaja. Dan sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab
mereka untuk menjalankan siasatan seterusnya.
Namun harus diingat peranan dan tanggungjawab masyarakat lebih utama
dalam memastikan kejadian jenayah dapat dibendung. Fakta membuktikan
bahawa institusi kekeluargaan adalah merupakan penentu kepada
kesejahteraan masyarakat dan negara.
Dalam hubungan ini, peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang
bakal mewarisi generasi akan datang dapat dibuktikan melalui hadis nabi
SAW yang berbunyi: Setiap anak yang dilahirkan adalah suci maka
terpulanglah kepada ibu bapanya dalam mencorakkan masa depan anaknya,
sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun begitu, ibu bapa tidak wajar dipersalahkan 100 peratus terhadap
masalah yang berlaku. Sebenarnya, setiap ahli masyarakat memikul
tanggungjawab dalam memastikan masalah moral remaja dapat dibendung.
Dalam hubungan ini jelas kepada kita bahawa tanggungjawab dalam
menangani jenayah serta kemungkaran yang berlaku telah menjadi
kewajipan serta tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh semua pihak.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang
bermaksud: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia,
menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan
beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik

bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka
adalah orang-orang yang fasik.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barang siapa melihat suatu
kemungkaran maka hendaklah ia cegah dengan tangannya (kekuasaan) jika
tidak mampu cegahlah dengan lisannya (nasihat) dan jika tidak mampu juga
maka hendaklah dicegah dengan hati (rasa benci). Demikian itu adalah
selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)
Kesimpulannya, dalam membendung gejala tidak sihat ini daripada terus
berlaku, semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.
Gunakanlah garis panduan yang sarat terkandung dalam al-Quran dan hadis.
Paling penting, jadikan agama dalam asas pendidikan dan pembinaan jati diri
remaja. Insya-Allah kita akan menemui jalannya.
Kongsi Konten di :
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121226/ba_01/Masalah-moralremaja#ixzz3Y11Stg3B
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai