Anda di halaman 1dari 4

Tajuk Karangan

Kepentingan Makanan Tradisional dalam Pembangunan Negara.

Malaysia terkenal dengan nama timangannya, yakni syurga makanan di nusantara. Baik
penduduk Malaysia mahupun pelancong asing yang berdarmawisata ke Malaysia
semestinya akan rambang mata dengan kepelbagaian juadah khususnya makanan
tradisional yang ditawarkan di negara kita. Keunikan dan keenakan makanan tradisional
yang dapat kita nikmati sememangnya tiada tolok bandingannya dengan makanan-makanan
yang bertaraf antarabangsa. Sebenarnya, makanan tradisional masyarakat majmuk di
negara kita seperti sate, mi rebus, masalode, kuetiau goreng, roti canai, lemang, ketupat,
nasi beriani dan sebagainya berdaya upaya untuk memacukan pembangunan bangsa dan
negara.
Pertama-tama, industri makanan tradisional dapat melahirkan modal insan yang berjati diri
kebangsaan dan patriotik. Hal ini sedemikian kerana makanan tradisional penting dalam
meneruskan adat serta warisan budaya yang diwarisi secara turun-temurun oleh nenek
moyang masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks masyarakat Malaysia, makanan
tradisional merupakan elemen yang penting untuk melambangkan identiti dan keunikan
sesuatu budaya dan bangsa. Oleh itu, jikalau anak muda di Malaysia sedar akan keunikan
dan keistimewaan budaya masing-masing, maka tidak akan berlakunya kehilangan dan
kepupusan budaya serta adat tradisi masyarakat berbilang kaum dalam kalangan anak
muda yang lebih dikenali sebagai Generasi Y bak kata peribahasa Melayu biar mati anak,
jangan mati adat.
Selain itu, makanan tradisional tempatan juga membantu untuk memajukan industri
pelancongan di dalam negara kita. Makanan tradisional seperti sate, roti canai dan nasi
ayam Hainan dapat menggamit pelancong untuk datang berkunjung selain menghayati
keindahan landskap Malaysia kerana cita rasa Malaysia yang istimewa dan berlainan
daripada makanan-makanan di negara asing semestinya dapat menarik perhatian dan
membuka selera para pelancong baik pelawat asing mahupun pelancong tempatan.
Malahan, terdapat sesetengah pelancong yang melawat ke Malaysia semata-mata adalah

untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan tradisional yang kaya dengan pelbagai
resipi dan rempah-ratus. Sudah terang lagi bersuluh, makanan tradisional berperanan
penting dalam usaha menarik pelancong untuk melawat ke negara kita selain pelancaran
Kempen Melawat Malaysia 2014 baru-baru ini.
Di samping itu, makanan tradisional juga mampu untuk menaiktarafkan kehidupan
masyarakat khususnya penduduk luar bandar. Makanan tradisional seperti keropok lekor,
budu dan kerepek pisang memainkan peranan yang amat penting dalam memajukan
industri kecil-kecilan di perkampungan desa. Sebagai contoh, pihak kerajaan telah
memperkenalkan Industri Kecil dan Sederhana(IKS) di beberapa negeri seperti Kelantan,
Perak dan Terengganu yang bertujuan untuk merancakkan hub industri pemakanan
tradisional sebagai input dan penjana ekonomi utama penduduk kampung dan sekitarnya.
Hasilnya, penduduk luar bandar tidak semata-mata menjalankan ekonomi sara diri secara
tradisional seperti menanam padi dan menangkap ikan untuk menyara hidup keluarga tetapi
juga berkeupayaan untuk mendirikan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional
secara kecil-kecilan sebelum dipasarkan atas bantuan modal dan teknologi oleh pihak
kerajaan.
Seterusnya, infrastruktur dan prasarana di kawasan pinggir bandar dapat dibangunkan atas
penubuhan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional yang kian berkembang bagai
cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini berlaku demikian kerana pembukaan dan
penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya dan kemudahan-kemudahan awam yang
lain dapat memangkin dan menjana sumber pendapatan rakyat tempatan lebih-lebih lagi
hasil makanan tradisional di desa perkampungan dapat dipasarkan di bandar-bandar besar
di seluruh pelosok negara melalui kecekapan sistem pengangkutan dan pemasaran.
Tambahan pula, peluang pekerjaan yang banyak dapat diwujudkan hasil daripada
pembinaan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional sekali gus menggalakkan
penghijrahan penduduk bak kata peribahasa Melayu di mana ada gula, di situ ada
semutnya. Kesannya, desa akan mengalami proses transformasi sehingga menjadi bandarbandar besar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kemudahan Internet dan

perkhidmatan monorel, LRT dan ETS.


Industri makanan tradisional turut menjada pendapatan rakyat dan negara. Hal ini
sedemikian kerana makanan tradisional diproses dan dibungkus sebelum dieksport ke luar
negara. Usaha proaktif ini dapat membawa pulangan yang lumayan sekali gus
menambahkan sumber pendapatan rakyat jelata. Makanan tradisional Malaysia seperti
dodol, kuih bahulu dan kuih kapit turut dapat dipromosikan ke seluruh pelosok dunia dan
mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat antarabangsa. Sambutan
yang hangat daripada masyarakat luar negara bukan sahaja akan memajukan industri
makanan tradisional tempatan bahkan juga berdaya saing untuk menjana pendapatan yang
lumayan kepada rakyat dan negara.
Dari perspektif yang lain pula, industri makanan tradisional juga berkemampuan untuk
memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita yang terdiri
daripada masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan keturunan. Hal ini demikian kerana
makanan tradisional suku kaum tertentu turut dapat diterima dan dinikmati bersama-sama
oleh bangsa-bangsa lain di negara kita. Sebagai contoh, makanan tradisional seperti roti
canai bukan sahaja digemari oleh suku kaum tertentu tetapi juga diminati oleh kaum-kaum
yang lain di negara kita. Mereka dapat duduk semeja untuk menikmati makanan tradisional
tersebut bertemankan secawan teh atau kopi sambil berbual-bual dalam suasana yang
muhibah. Hal yang sedemikian dapat membuka laluan kepada usaha-usaha murni kerajaan
untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat atau masyarakat berbilang kaum
dan agama di negara ini sekali gus memupuk dan mengukuhkan perpaduan sejajar dengan
slogan keramat, yakni perpaduan asas kemajuan.
Tuntasnya, industri makanan tradisional memainkan peranan yang penting dalam proses
pembangunan bangsa dan negara selain merupakan wahana yang efektif untuk
mempromosikan keistimewaan dan keunikan yang dimiliki masyarakat majmuk di negara
kita di pentas antarabangsa. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh sebab itu, semua
pihak termasuklah rakyat jelata haruslah berganding bahu untuk memajukan industri
pemprosesan makanan tradisional sehingga peringkat antarabangsa. Sudah tiba masanya,

rakyat berbilang ras dan agama mengambil tahu, belajar memahami dan menghargai
keunikan dan keistimewaan makanan tradisional masyarakat Malaysia dalam proses
pembangunan bangsa dan negara sekali gus seiring sejalan dengan kerajaan untuk
merealisasikan Wawasan 2020.