Anda di halaman 1dari 4

Memang tidak dapat dinafikan dalam meneroka zaman kepesatan kemajuan teknologi

maklumat kini, manusia cenderung kepada kebendaan. Justeru, amalan membaca telah
diabaikan dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja kerana mereka leka
dengan ciptaan-ciptaan gajet teknologi maklumat seperti telefon bimbit dan internet.
Sebenarnya, kepentingan membaca sebagai wahana untuk menimba ilmu pengetahuan
terpancar melalui cogan kata yang sering diwar-warkan iaitu 'Membaca Jambatan Ilmu'.
Malahan, amalan membaca sangat penting bagi mempercepat usaha kerajaan untuk
merealisasikan Wawasan 2020 melalui pembentukan rakyat yang berilmu pegetahuan.
Justeru, fenomena kurang membaca dalam kalangan remaja perlu dibenteras daripada
berterusan. Persoalannya, apakah langkah-langkah berkesan yang perlu diambil untuk
menggalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja.

Sebenarnya, usaha untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja


mesti bermula daripada diri remaja sendiri. Hal ini demikian kerana, walaupun banyak
usaha yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak, untuk menggalakkan amalan membaca ini,
namun tidak akan mendatangkan impak yang diharap-harapkan jika remaja sendiri tidak
mempunyai kesedaran tentang hal tersebut. Perumpamaannya 'kita boleh memaksa
seekor kuda untuk masuk ke dalam air sungai, tetapi kita tidak akan dapat memaksa kuda
tersebut minum air sungai tersebut' Dalam hal ini, setiap remaja perlu menyedari akan
betapa pentingnya amalan membaca dalam mengubah diri mereka menjadi insan yang
berilmu pengetahuan dan berkualiti. Sehubungan dengan itu, remaja perlu memiliki jati
diri dan berpendirian teguh dalam mengurus kehidupan mereka dan tidak hanya hanyut
dan tenggelam dalam arus kemajuan teknologi maklumat semata-mata. Remaja juga
mesti memiliki disiplin diri untuk memastikan amalan membaca dipraktikkan setiap hari.
Contohnya, remaja boleh meluangkan sedikit masa untuk membaca surat khabar,
majalah, novel, buku-buku teks mata pelajaran, dan sebagainya sebagai rutin harian. Hal
ini boleh dilaksanakan dengan membuat jadual harian dan memasukkan aktiviti membaca
sebagai aktiviti yang utama. Justeru, jika remaja sendiri dapat mendisiplinkan diri sendiri
untuk mengamalkan aktiviti membaca ini, sudah pasti membaca akan menjadi amalan
dalam kehidupan mereka. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Selain itu, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha memupuk
amalan membaca dalam kalangan anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Justeru , amalan membaca perlu dipupuk oleh ibu bapa
sejak kecil keranajiwa anak-anak kecil umpama sehelai kain putih, terpulang kepada ibu

bapa untuk mencorakkannya. Jiwa kanak-kanak juga masih lembut umpama rebung dan
mudah dilentur dan dididik menjadi insan yang suka akan buku dan seterusnya suka
membaca. Contohnya, sejak kecil lagi ketika anak-anak belum boleh membaca, ibu bapa
sendiri boleh membacakan untuk mereka buku-buku cerita yang bersesuaian. Ibu bapa
juga boleh menghadiahi anak-anak mereka buku-buku pada hari ulang tahun kelahiran
ataupun sebagai penghargaan atas pencapaian anak-anak dalam pelbagai bidang.
Jelaslah, jika ibu bapa dapat menyemai amalan membaca ini sejak anak-anak masih kecil,
usaha untuk melahirkan remaja yang suka membaca akan tercapai.

Tambahan pula, pepatah Melayu juga menyebut "Bagaimana acuan, begitulah


kuihnya" yang menjelaskan bahawa ibu bapa sendiri mesti mengamalkan budaya
membaca di rumah sekiranya ingin membentuk anak-anak yang juga gemar membaca.
Hal ini demikian kerana, ibu bapa berperanan menjadi suri teladan atau 'role model'
kepada anak-anak terutama yang masih di bangku sekolah. Ibu bapa perlu menjadikan
amalan membaca sebagai hobi yang menyeronokkan dan boleh dilakukan bersama-sama
anak-anak. Contohnya, ibu bapa boleh menyediakan satu ruang atau bilik di rumah
sebagaiperpustakaan mini yang menempatkan pelbagai buku dan bahan bacaan untuk
keluarga. Di ruang inilah ibu bapa boleh membaca bersama-sama anak-anak pada waktu
lapang atau cuti hujung minggu. Oleh itu, jelaslah sekiranya ibu bapa sendiri berjaya
menjadikan amalan membaca sebagai rutin kehidupan, pastilah amalan ini akan
dicontohi oleh anak-anak dan amalan mulia ini akan berkembang mekar dalam sanubari
mereka sehingga mereka melangkah ke alam remaja seterusnya menjadi dewasa kelak.

Seterusnya, peranan pihak sekolah juga tidak boleh disisihkandalam usaha


menggalakkan amalan membaca ini. Hal ini demikian kerana, selain di rumah, remaja
menghabiskan sebahagian besar masa mereka di sekolah. Justeru pihak sekolah perlu
melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk menggalakkan amalan membaca
dalam kalangan pelajar-pelajar. Contohnya, melalui program Nadi Ilmu Amalan
Membaca (NILAM) yang dilaksanakan oleh pihak sekolah merupakan penggabungan
semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah dengan memberi
pengiktirafan yang sesuai kepada pelajar mengikut bilangan buku yang telah dibaca.
Usaha-usaha galakan membaca yang berterusan perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah
melalui aktiviti-aktiviti koakademik yang dikendalikan unit Pusat Sumber Sekolah,
Ketua-ketua Bidang Mata pelajaran, Panatia-panatia Mata Pelajaran, persatuan-persatuan
dan sebagainya. Contohnya, aktiviti seperti Bulan Bahasa, Bulan Membaca, pertandingan

yang berkaitan dengan membaca dan sebagainya perlu dijalankan. Selain itu, semua guru
perlu sentiasa menekankan kepentingan membaca kepada pelajar-pelajar dan memberi
dorongan serta ganjaran yang sewajarnya. Oleh itu, sekiranya usaha-usaha untuk
menggalakkan amalan membaca yang lebih sistematik, terancang dan berterusan akan
membentuk pelajar-pelajar yang suka membaca dan seterusnya menjadi insan yang
cemerlang pada masa depan.

Selain itu, masyarakat sekitar, seperti syarikat penerbitan buku, majalah, surat khabar
dan agensi-agensi kerajaan turut mempunyai peranan dan tanggungjawab besar untuk
menggalakkkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, syarikat
penerbitan surat khabar seperti Berita Harian dan New Straits Times boleh membuat
tajaan surat khabar keluaran mereka di sekolah-sekolah untuk dijadikan bahan bacaan dan
bahan bantu mengajar kepada guru di dalam bilik darjah. Syarikat penerbitan buku pula
boleh mengadakan pameran di sekolah serta memberi potongan harga yang bersesuaian
untuk menarik minat pelajar membeli bahan-bahan bacaan yang disukai. Pendedahan
dan kemudahan memperoleh buku sudah pasti menjadi pemangkin untuk menggalakkan
pelajar membaca pelbagai bahan bacaan dan tidak terhad kepada buku teks dan buku
rujukan mata pelajaran sahaja.

Secara lebih meluas pula, syarikat penerbitan dan agensi kerajaan wajar mengadakan
pameran bagi mempamerkan buku-buku dan bahan bacaan terbitan terbaru dan menarik
isi kandungannya. Pesta buku juga harus diadakan untuk mempamerkan buku-buku dan
bahan bacaan yang terbaru dan berkualiti. Dalam pameran dan pesta buku, pihak
penganjur juga boleh menjemput penulis terkemuka untuk memberi peluang kepada
sesiapa yang berminat dengan karyanya bersua muka. Aktiviti-aktiviti yang menarik ini
pastinya akan mencetuskan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Kekangan utama untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja


khususnya dan masyarakat amya berkait rapat dengan kesukaran untuk mendapatkan
bahan bacaan.
Oleh itu, dalam usaha untuk membentuk masyarakat berilmu
pengetahuan, pihak kerajaan tidak harus menutup sebelah mata kepada masyarakat yang
tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman.
Kerajaan telah menyediakan
perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak untuk membekalkan pelbagai jenis bahan
bacaan kepada golongan ini. Kemudahan untuk memperoleh bahan bacaan ini dapat

menggalakkan mereka untuk membaca. Juseru, untuk menyemai kepentingan membaca


dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah dengan memperbanyak kempen
membaca. Kempen membaca yang diadakan disertakan dengan pelbagai aktiviti menarik,
contohnya, pertandingan yang berkaitan dengan bahan bacaan yang sesuai dengan tahap
dan minat mereka secara berterusan. Dengan ini jelaslah, dengan usaha kerajaan yang
berterusan, visi untuk membentuk masyarakat yang gemar membaca akan berjaya
direalisasikan.

Ekoran daripada itu, salah satu wahana yang berkesan untuk memupuk minat
membaca ialah melalui media massa. Melalui media massa seperti radio, televisyen, surat
khabar dan internet, kepentingan membaca dapat dihebahkan. Misalnya, melalui surat
edaran atau risalah, syarikat penerbitan boleh mempromosikan bahan bacaan yang baru
diterbitkan. Manakala melalui televisyen dan radio, orang awam berkesempatan untuk
mengetahui buku-buku yang baru diterbitkan serta isi kandungannya. Program televisyen
berbentuk rencana dan bual bicara tentang kepentingan membaca perlu diperbanyak
untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya amalan membaca.

Kesimpulannya, amalan membaca sangat penting untuk melahirkan generasi yang


berilmu pengetahuan dan matang akal fikiran. Remaja berilmu merupakan tonggak
kepimpinan negara yang berkualiti pada masa depan. Justeru, semua pihak perlulah
berganding bahu danmelangkah sederap dalam usaha untuk menggalakkan kanak-kanak
dan remaja supaya gemar membaca untuk menyediakan generasi pelapis bakal pemimpin
yang akan menerajui negara ke mercu kejayaan pada satu masa nanti. Sesungguhnya,
generasi berilmu penjana kemajuan dan kemakmuran negara.

Anda mungkin juga menyukai