Anda di halaman 1dari 9

PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU

PENGENALAN
Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1941 hingga 1945
meniggalkan pelbagai sejarah-sejarah yang tragis dan menyayat hati. Untuk kita
merasai bagaimana pahit getir dan pengalaman semasa Jepun menjajah, memoir
yang ditulis oleh mangsa yang mengalaminya cukup penting untuk dijadikan
bahan kajian. Memoir A. Samad Ismail di Singapura mengisahkan sejarah hidup
beliau semasa zaman pendudukan Jepun dan selepas kedatangan semula British.
Pelbagai jenis dasar dan kesan semasa pendudukan Jepun diceritakan oleh beliau
misalnya dalam aspek keganasan tentera Jepun, sikap dan situasi perubahan
masyarakat dan dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan Jepun.
Kajian ini akan menilai sama ada memoir beliau benar-benar fakta yang berlaku
atau penulisannya dipengaruhi oleh prasangka buruk, dendam, tokok tambah
dan sebagainya. Justeru, perbandingan akan dilakukan berasaskan memoir
mangsa-mangsa lain, kajian-kajian ahli sejarah dan pendapat beberapa tokoh.
Oleh hal yang demikian, kita dapat menilai kejituan dan ketepatan peristiwa
yang digambarkan oleh A. Samad Ismail di dalam memoirnya.
DASAR ANTI CINA
Sikap dan layanan askar Jepun terhadap orang-orang Cina bukanlah
perkara biasa dan akal fikiran waras sudah tentu tidak dapat kita percayainya.
Kezaliman tentera-tentera Jepun jelas diceritakan oelh semua pihak yang
mengalaminya mahupun kajian-kajian para sarjana. Memoir A. Samad Ismail
menceritakan bagaimana di Jalan Besar, Singapura, kanak-kanak, lelaki dan
perempuan dewasa dihimpunkan di suatu kawasan yang sekelilingnya dipagari
dengan kawad berduri.[1] Mereka dikumpulkan dalam keadaan yang bersesaksesak dan padat, sesetengahnya terpaksa berdiri di dalam parit-parit yang
penuh dengan air sehingga paras leher.[2] Kekejaman tentera Jepun terhadap
orang-orang Cina berlaku kerana mereka mahu menghapuskan anasir-anasir
komunisme. Kekejaman tentera Jepun terhadap orang Cina lebih teruk selepas
operasi Sook Ching dijalankan iaitu peristiwa pembunuhan orang Cina secara
beramai-ramai. [3] Tidak cukup dengan itu, orang-orang Cina dituntut membayar
wang pampasan kerugian sebanyak 50 juta ringgit sebagai bayaran hutang
darah dan hukuman kerana menentang Jepun.[4]
Ketegangan diantara orang Melayu, Cina dan India juga bermula hasil
daripada dasar yang diamalkan oleh pihak Jepun. Layanan yang berbeza-beza
berlaku kerana tentera Jepun memerlukan sokongan orang Melayu dan India
untuk menentang British sekaligus menghapuskan orang-orang Cina.[5] Kerajaan
Jepun juga menubuhkan beberapa skuad tentera untuk membantu menentang
British serta menghapuskan anasir-anasir yang menentang Jepun misalnya orang
Cina.[6] Kerajaan Jepun mewujudkan Jeikedan( Pasukan Pertahanan Awam),
Tonarigumi ( Persatuan Kejiranan), Heiho ( Pasukan Sukarela Tambahan) dan
Giguyun ( Pembela Tanah Air).[7] Jelas dilihat bagaimana kerajaan Jepun di Tanah

Melayu dan Singapura mengamalkan dasar anti-Cina sekaligus mencerminkan


kezaliman mereka terhadap orang Cina.
DASAR KAWALAN MEDIA
Untuk merealisasikan hasrat kerajaan Jepun untuk meraih sokongan rakyat di
Asia, mereka bertindak dengan mengawal media-media yang mampu
mempengaruhi pemikiran masyarakat. Selepas Jepun menguasai Singapura,
akhbar pertama yang diterbitkan ialah Berita Malai dalam tulisan Rumi, akhbar
gabungan daripada Warta Malaya dan Utusan Melayu.[8] Begitu juga dengan
akhbar Straits Times ditukarkan kepada Syonan Shimbun bertujuan untuk
menjadi alat propaganda Jepun agar masyarakat membenci British di Tanah
Melayu dan Singapura manakala di Indonesia pula rakyatnya membenci Belanda.
[9] Sebelum tulisan para pengarang disiarkan, seorang wakil Jepun iaitu censor
akan meneliti setiap berita dan dengan kebenarannya sahaja artikel boleh
disiarkan.[10]
Tentera Jepun membawa slogan seperti Asia untuk Asia dan Lingkungan
Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya dengan hal yang sama iaitu meraih
sokongan masyarakat. Tentera Jepun menguasai minda rakyat melalui kawalan
akhbar, slogan propaganda dan strategi-strategi yang memburukkan British.[11]
DASAR KESELAMATAN
Umum kita ketahui, selepas Jepun berjaya menguasai Tanah Melayu, Singapura
dan Indonesia, mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan begitu ketet
sekali. Segala alat perhubungan seperti radio diharamkan, segala jenis senjata
termasuk parang panjang tidak dibenarkan sehingga pergerakan juga
diperhatikan. Untuk pergi ke sesuatu tempat misalnya, seseorang itu perlu
mempunyai surat rasmi dari tentera Jepun dan kain putih yang ditulis dalam
bahasa Jepun untuk dililit di lengan sebagai surat izin untuk bebas berjalan.
Jalan-jalan raya disekat dengan dawai-dawai berduri dan hampir setiap simpang
jalan akan wujud tentera Jepun yang berkawal.[12] Sebuah risikan dibentuk iaitu
Jikidan yang akan mengintip dan memasang telinga, sesiapa sahaja yang cuba
untuk menentang Jepun, namanya akan disenarai hitam dan sudah tentunya
hukuman bunuh sebagai penyelesaian.[13] Anggota khas iaitu Botai juga
diwujudkan di setiap kampung-kampung untuk menangkap orang-orang Cina
yang disyaki menentang menentang Jepun.[14]
Selain itu, polis yakni Kampetai bertugas untuk mengawal selia aktiviti-aktiviti
penduduk dan kekuasaan mereka untuk menentukan hukuman juga besar
misalnya ketika Tunkun Abdul Rahman menjadi Majistret, terdapat 36 orang
tahanan di dalam penjara yang belum dibicarakan di atas kesalahan kecil. Sebaik
sahaja mereka dilihat oleh Kampetai, mereka diheret keluar dari penjara, dipaksa
untuk menggali kubur kemudiannya ditikam dengan bayonet sehingga mati.[15]
Dasar keselamatan yang diamalkan oleh tentera Jepun sangat tidak
berperikemanusiaan sehingga zaman ini boleh dikatakan ibarat telur di hujung
tanduk, sesiapa sahaja yang disyaki menentang akan dibunuh.

DASAR PENTADBIRAN
Selepas berjaya mengalahkan British di Tanah Melayu di Singapura serta Belanda
di Indonesia, keadaan masih kucar-kacir dan tidak terurus. Mayat-mayat orang
British dan India bergelimpangan, bangkai kenderaan hangus dan sisa butir
peluru berselerak di penjuru jalan.[16] Setiap jalan dan jambatan-jambatan akan
dikawal oleh tentera Jepun dengan sangat keras. Di jambatan Kallang misalnya,
beberapa kepala manusia dipacak untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai
kerana mereka membunuh seorang tentera Jepun. Sesiapa sahaja yang
terserempak dengan tentera Jepun harus tunduk hormat dan sesiapa sahaja
yang melanggar tatatertib akan ditampar, ditendang dan sebagainya.
Masalah kekurangan makanan menjadi isu besar ketika pemerintahan Jepun dan
ada yang memanggilnya Zaman Ubi Kayu. Selepas Jepun berjaya menduduki
Singapura, ladang getah dibersihkan untuk menanam sayur-sayuran terutama
sekali ialah ubi kayu bagi menampung keperluan hidup.[17] Lot-lot tanah akan
dibahagikan untuk jenis-jenis tanaman dan kebanyakan para petani terdiri
daripada orang Melayu daripada Geylang Serai.
Sekolah-sekolah British dan sekolah aliran Cina juga dimansuhkan serta
pengenalan silibus berdasarkan tetapan yang diletakkan oleh pentadbiran Jepun.
Semua sekolah harus belajar bahasa Jepun, menghormati budaya dan
mengagungkan Maharaja Jepun dengan cara menghadap matahari setiap kali
waktu pagi. Kedatangan Jepun juga telah menyamaratakan penduduk kerana
sesiapa sahaja yang boleh menguasai bahasa Jepun akan diberi keistimewaan
dalam perkhidmatan awam dan sebagainya.[18]
Sebenarnya, kedatangan Jepun bukannya mahu memberi kemerdekaan kepada
orang-orang Asia, namun keperluan sumber seperti getah, bijih timah, arang
batu dan sebagainya yang menyebabkan mereka mahu menguasai seluruh Asia.
Usaha Jepun untuk mengeksploitasi kekayaan sumber mengalami kesulitan
kerana masalah peperangan yang berlanjutan dan banyak pertempuran berlaku
hasil tentangan pihak Berikat. Dasar British sebelum tewas iaitu Dasar Bumi
Hangus menyebabkan Jepun mengalami kesukaran kerana banyak peralatan,
bekalan minyak dan lombong-lombong dihancurkan. Tokoh penting yang
membentuk formula pentadbiran ialah Kolonel Watanabe Wataru. Pada mulanya,
Tanah Melayu dan Sumatera mempunyai pusat pentadbiran utama di Singapura,
namun mulai bulan April 1943, Sumatera mempunyai pusat pentadbiran sendiri
di Bukit Tinggi.[19]

KESAN TERHADAP EKONOMI


Pelbagai masalah timbul semasa Jepun memerintah di Singapura dan Tanah
Melayu misalnya kewujudan pasaran-pasaran gelap di sepanjang kaki lima North
Bridge Road dan Geylang Serai yang menjual barang-barang keperluan seperti
pakaian, rokok dan sebagainya.[20] Hal ini berlaku kerana masalah kebuluran
meningkat dalam kalangan penduduk, harga barang yang mahal dan sistem

catuan makanan yang diamalkan oleh pihak Jepun menyebabkan pasaran gelap
berleluasa. Masalah lambakan mata wang Jepun juga akhirnya membawa kesan
buruk kepada ekonomi kerana wang Jepun yang dicetak tanpa nombor siri tidak
lagi bernilai.[21] Selain itu orang Jepun telah merampas barang makanan
peniaga tanpa memberikan bayaran. Maka, tidak hairanlah masyarakat telah
bertindak menyorok bahan makanan mereka untuk dijual di pasaran gelap
dengan harga yang lebih mahal dan berbaloi. Contohnya di Kelantan pada awal
1942, para petani telah menyorok beras mereka untuk diseludup ke negeri
Terengganu dan Pahang dengan harga yang sangat tinggi iaitu antara $10
hingga $13 bagi satu gantang berbanding harga yang ditetapkan oleh kerajaan
iaitu 50 sen bagi beras kelas pertama.[22] Selain itu, penyeludupan petrol
berlaku contohnya di Batu Pahat yang telah menyeludup petrol untuk dijual
kepada orang Indonesia untuk mengerakkan mesin seperti mesin tepung sagu
dengan harga yang mahal.[23]
Kemusnahan terhadap sumber ekonomi, terutama ladang getah dan lombong
bijih timah telah berlaku dengan teruknya. Tentera British telah memusnahkan
ladang getah dan lombong bijih timah sebelum meninggalkan Tanah Melayu.
Semua kelengkapan melombong, seperti kapal korek telah dimusnahkan di
bawah Dasar Bumi Hangus. Para pekerja turut meninggalkan kawasan ladang
dan lombong untuk menyelamatkan diri. Tanah Melayu yang bergantung
sepenuhnya pada bahan eksport tersebut telah terjejas teruk misalnya pada
tahun 1941, hasil bijih timah ialah 79 000 tan telah merosot menjadi 3000 tan
pada tahun 1945. Malahan sistem pengangkutan dan perhubungan turut
musnah. Tentera Jepun tidak memulihkan kemusnahan infrastruktur di Tanah
Melayu. Keadaan ini memburukkan lagi ekonomi Tanah Melayu. Selain itu,
masalah inflasi telah berlaku di Tanah Melayu. Kekurangan barangan keperluan
di pasaran, terutamanya barangan makanan. Tambahan pula, pihak Jepun telah
mengeluarkan wang kertas Pokok Pisang tanpa kawalan. Hal ini telah
menyebabkan nilai mata wang tersebut jatuh. Harga barangan keperluan telah
meningkat beberapa kali ganda misalnya harga beras 500 gram telah melonjak
naik kepada $120.00 pada bulan Ogos 1945. Beras juga sukar untuk diimport
dari Burma dan Thailand kerana Jepun telah dikenakan sekatan perdagangan
antarabangsa. Amalan rasuah, menyorok barangan dan pasaran gelap
menyebabkan kesan ekonomi lebih buruk dialami oleh rakyat.[24] Malahan
kegiatan eksport dan import hanya berlaku di kawasan Asia Tenggara sahaja.
Contohnya, PulauPinang mengeksport getah dan bijih ke negara Jepun manakala
Jepun membekalkan tentera, perubatan, anak patung, rokok dan sebagainya
tetapi separuh darinya dihantar ke pasaran gelap.[25]
Pendudukan Jepun telah menyebabkan banyak industri baru muncul di Tanah
Melayu untuk menampung kekurangan barangan. Misalnya, penggunaan bahan
api daripada susu getah, penciptaan tayar tanpa tiub daripada getah padat,
benang daripada daun nanas dan kertas daripada buluh, daun getah serta
lalang. Selain itu, perusahaan tradisional telah berkembang dengan pesatnya
seperti menghasilkan minyak daripada kelapa, gula kelapa dan rokok daun.[26]
Jelas bahawa kesengsaraan yang dihadapi semasa Jepun memerintah
menyebabkan rakyat terpaksa mencari beberapa inisiatif untuk meneruskan

kelansungan hidup tanpa memikirkan soal kebejatan budaya, agama dan


sebagainya.
KESAN POLITIK
Kemenangan Jepun menewaskan British menyebabkan rakyat di Asia
mula sedar akan semangat nasionalisme dan keupayaan mereka untuk
menghalau segala anasir penjajahan. Parti politik misalnya Kesatuan Melayu
Muda sangat yakin dengan Jepun yang akan membawa perubahan kepada nasib
orang Melayu serta mengangkat bangsa-bangsa lain.[27] Salah satu kesan lain
ialah tembok pemisah diantara bangsa Melayu dan bangsa Indonesia mulai
roboh, unsur-unsur bahasa Indonesia meresap masuk misalnya dalam aspek
penulisan Berita Malai. Pentadbiran Jepun juga menggalakkan Kesatuan Melayu
Muda menyokong gagasan Indonesia Raya atau Kerajaan Indonesia
Semenanjung (KRIS).[28]
Berbeza halnya dengan kesatuan politik Cina ditekan oleh tentera Jepun
kerana bimbang pengaruh dakyah komunis berleluasa. Oleh kerana tekanan
demi tekanan dikenakan, tidak hairanlah tertubuhnya Parti Komunis Malaya serta
Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA).[29] Semasa pendudukan Jepun,
orang-orang Melayu dan India bekerjasama untuk menghapuskan pihak komunis
yang menentang Jepun. Oleh sebab itulah, dendam orang Cina terhadap orang
Melayu berakar umbi dan tempoh 14 hari selepas kekalahan Jepun di Tanah
Melayu, MPAJA keluar dari hutan dan bermaharajalela membunuh polis, orangorang kampung terutamanya orang Melayu.[30] Orang-orang Cina dan wujud
juga segelintir orang Melayu di dalam MPAJA mahu menubuhkan Republic
Communist of Malaya.[31] Jelaslah bahawa masalah politik timbul hasil daripada
tindakan Jepun yang memperalatkan orang-orang Melayu dan India akhirnya
membawa keretakan perpaduan di antara kaum.
KESAN SOSIAL
Semasa pendudukan Jepun, tidak ada perasaan selamat mahupun ketenangan
dapat dirasai. Kekejaman dan keganasan tentera Jepun sangat-sangat luar biasa
sehingga mereka bertindak seperti haiwan tanpa perasaan dan akal fikiran waras
misalnya di Jalan Besar, Singapura, orang-orang Cina dikumpulkan di dalam parit
yang berisi air dan di sekelilingnya diletakkan dawai-dawai berduri.[32] Malahan
Jepun telah membuat penindasan yang kejam dengan merompak, membakar
rumah dan kampung, mengambil barang-barang orang Cina, merogol wanita dan
sebagainya. Contoh kekejaman Jepun yang ketara pada masyarakat Cina ialah
apabila Jepun telah menjalankan operasi Sok Ching ke atas orang Cina di Bakar
Kapur, Sungai Petani pada Febuari 1942. Mangsa telah disuruh mengorek lubang
kubur terlebih dahulu sebelum dibunuh. Sehingga May 1942, seramai 40 000
orang cina termasuk wanita dan kanak-kanak telah dibunuh.[33] Di Indonesia
seperti Bireuen, setiap malam askar Jepun akan meronda kampung dan masuk
kedalam rumah sesiapa sahaja yang dikhendakinya. Jika terdapat anak gadis
atau wanita sudah bersuami sekalipun, mereka akan merogol dan jika suami
menghalang, anak serta isterinya akan ditikam dengan bayonet.[34]

Kekejaman Jepun tidak pernah putus misalnya di Sandakan, Sabah, sesiapa yang
disyaki terlibat dalam gerakan menentang Jepun akan ditangkap. Mangsa aka
diberi makan, tangannya diikat ke belakang dan makanan diletakkan di atas
lantai seperti seekor anjing. Mangsa juga dijemur di kawasan panas terik
bersama-sama tahanan lain di dalam sangkar berukuran 140 kaki persegi
seramai 25 orang. Terdapat juga tahanan yang diberi minum air sabun sehingga
perut kembung kemudian satu papan diletakkan di atas perut, tentera Jepun
akan memijiak beramai-ramai. Itu masih belum cukup, hukuman paling kejam
ialah kulit kepala tahanan akan ditebuk kemudiannya dimasukkan garam dan
mangsa diberi pisau untuk membunuh diri sendiri.[35] Oleh sebab itulah, ketika
pemerintahan Jepun, kehidupan sosial masyarakat terjejas teruk, hidup di dalam
ketakutan dan tidak tenteram.

KESIMPULAN
Tempoh pendudukan Jepun di Tanah Melayu selama 4 tahun sudah cukup untuk
memberi pelbagai kesan baik mahupun buruk. Memang benar semangat
nasionalisme timbul taktala Jepun meniup api semangat pemerintahan
berkerajaan sendiri, namun itu hanyalah sekadar propaganda yakni kehidupan
binasa. Orang-orang Melayu dan India tegar menyokong perjuangan Jepun yang
mahu membuka belenggu British di Asia namun akhirnya terjerat dengan
harapan mereka sendiri tidak ubah seperti mengelak daripada mulut harimau
kemudian masuk ke mulut buaya. Memoir A. Samad Ismail jelas membuktikan
kepayahan dan kesukaran hidup di zaman Jepun, dunia yang luas seperti di
dalam sangkar besi. Segala pergerakan terbatas dengan kehidupan sekeliling
dipenuhi mayat-mayat bergelimpangan ataupun darah-darah berhamburan.
Kesimpulannya, memoir ini memang telus dalam mengisahkan penderitaan dan
penyiksaan semasa zaman pentadbiran Jepun, bukannya dipengaruhi prasangka
atau dikaburi oleh emosi semasa beliau menulisya.
BIBLIOGRAFI
Abdul Samad Ismail. 1993. Memoir A. Samad Ismail di Singapura. Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Abdul Halim Saad. 1991. Malaysia Kita. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam
Negara Malaysia.
Abdul Latif Abu Bakar. 1977. Ishak Haji Muhammad: Penulis dan Ahli Politik
Sehingga 1948. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Cheah Boon Kheng.1982. Red Star Over Malaya, : Resistance and Social Conflict
During and After The Japanese Occupation, 1941-1946. Singapore: Singapore
University Press.

Foong Choon Hon. 1997. The Price Of Peace: True Accounts of The Japanese
Occupation Singapore: Asia Pacs Books Ltd.
Kratoska, Paul H., dan Abu Talib Ahmad. 1989. Pendudukan Jepun di Tanah
Melayu :Kumpulan Esei Oleh Pelajar-Pelajar U.S.M. Pulau Pinang :Universiti Sains
Malaysia.
Kratoska, Paul H. 1998. The Japanese Occupation of Malaya: A Social and
Economic History. London: C. Hurst & Co.
Lewis, T.P.M. 1992. Cangi: Tahun-Tahun Gerhana 1941-1945. Terjemahan: Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Isa Othman. 2002. Sejarah Malaysia 1800-1963. Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributor.
Mohd. Zamberi A. Malek. 2009. Harimau Malaya: Biografi Tengku Mahmood
Mahyiddeen. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
R. M. Jasni. 2006. Memoir Anak Sisa Peperangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Syed Othman Omar. 2007. Pemburu Bintang Tiga. Selangor: PTS Publication.
Tunku Abdul Rahman Putra. 1980. Pandang Balik. Kuala Lumpur: Heinemann
Educational Books Ltd.
T. N.P., 1973. Pulau Pinang di Zaman pendudukan Jepun (1941-1945 ) Jilid 1.
Penang: Universiti Sains Malaysia.
Victor Purcell. 1997. Orang-Orang Cina di Tanah Melayu. Terjemahan: Nik Hasna
Nik Mahmood: Universiti Teknologi Malaysia.
Wan Hashim Wan The. 1995. Memoir Khatijah Sidek, Puteri Kesateria Bangsa.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Wan Noraini Wan Ahmad. 1986. Pendudukan Jepun (1942-43) & Thai (1943-45) di
Kelantan : Kesan ke Atas Masyarakat Melayu. Pulau Pinang: Universiti Sains
Malaysia.
Yusof Harun. 1991. Tunku-Idealisme Dalam Kenangan. Pulau Pinang: Yayasan
Bumiputera.
[1] Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, (Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia, 1993) m.s 155.
[2] Ibid. m.s 172.

[3] Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya, : Resistance and Social Conflict
During and After The Japanese Occupation, 1941-1946 (Singapore: Singapore
University Press, 1982) m.s 23.
[4] Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia 1800-1963, (Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributor, 2002) m.s 285.
[5] Mohd. Zamberi A. Malek, Harimau Malaya: Biografi Tengku Mahmood
Mahyiddeen, ( Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2009) m.s 79.
[6] Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict
During and After The Japanese Occupation, 1941-1946. m.s 34.
[7] Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia 1800-1963. m.s 287.
[8] Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 153.
[9] Ibid. m.s 154 dan 216. Lihat juga T.P.M Lewis, Cangi: Tahun-Tahun Gerhana
1941-1945, (terjemahan: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992) m.s
140.
[10] Ibid. m.s 202.
[11] Abdul Latif Abu Bakar, Ishak Haji Muhammad: Penulis dan Ahli Politik
Sehingga 1948, ( Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1977) m.s 40.
[12] Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 198.
[13] R. M. Jasni, Memoir Anak Sisa Peperangan, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2006) m.s 37.
[14] Syed Othman Omar, Pemburu Bintang Tiga, (Selangor: PTS Publication,
2007). m.s 30.
[15] Yusof Harun, Tunku-Idealisme Dalam Kenangan, (Pulau Pinang: Yayasan
Bumiputera, 1991). m.s 69.
[16] Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 155.
[17] Ibid. m.s 217.
[18] Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 217.
[19] Okuma Memorial Social Sciences Research Institutes, (eds.), Japanese
Military Administration in Indonesia, 1963. m.s 10.
[20] Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 156. Lihat
juga Paul H. Kratoska, The Japanese Occupation of Malaya: A Social and
Economic History ( London: C. Hurst & Co, 1998) m.s 169.
[21] Ibid. m.s 217.
[22] Wan Noraini Wan Ahmad, Pendudukan Jepun (1942-43) & Thai (1943-45) di
Kelantan : Kesan ke Atas Masyarakat Melayu (Pulau Pinang: Universiti Sains
Malaysia, 1986), ms. 52-53.
[23] Kratioska, Paul H., dan Abu Talib Ahmad, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu
:Kumpulan
Esei Oleh Pelajar-Pelajar U.S.M. (Pulau Pinang :Universiti Sains Malaysia, 1989)
ms.38.
[24] Kratioska, Paul H., dan Abu Talib Ahmad, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu
:Kumpulan Esei Oleh Pelajar-Pelajar U.S.M. ms. 7.
[25] T. N.P., Pulau Pinang di Zaman pendudukan Jepun (1941-1945 ) Jilid 1,
(Penang: U.S.M, 1973), ms. 261.
[26] Kratioska, Paul H., dan Abu Talib Ahmad, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu
:Kumpulan Esei Oleh Pelajar-Pelajar U.S.M. m.s 109.

[27] Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 203.
[28] Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia 1800-1963. m.s 288.
[29] Victor Purcell, Orang-Orang Cina di Tanah Melayu, (terjemahan: Nik Hasna
Nik Mahmood: Universiti Teknologi Malaysia, 1997). m.s 237.
[30] Tunku Abdul Rahman Putra, Pandang Balik, (Kuala Lumpur: Heinemann
Educational Books Ltd, 1980) m.s 15.
[31] Foong Choon Hon, The Price Of Peace: True Accounts of The Japanese
Occupation (Singapore: Asia Pacs Books Ltd, 1997) m.s 45-47.
[32] Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 199.
[33] Abdul Halim Saad et al, Malaysia Kita, (Kuala Lumpur: Institut Tadbiran
Awam Negara Malaysia, 1991), ms.474.
[34] Wan Hashim Wan Teh, Memoir Khatijah Sidek, Puteri Kesateria Bangsa,
(Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1995) m.s 53-55.
[35] R. M. Jasni, Memoir Anak Sisa Peperangan, m.s 50.

Anda mungkin juga menyukai