Anda di halaman 1dari 2

Saiful Nizal Bin Zulkipli,

266, Jalan Bukit Citra 6,


Taman Bukit Citra,
71700 Mantin,
Negeri Sembilan.

Pegawai Kesihatan Daerah,


Pejabat Kesihatan Daerah Seremban,
Jalan Lee Sam,
70590 Seremban,
Negeri Sembilan.

30 Mac 2015

Tuan,
ADUAN MASALAH BAU BUSUK DAN LALAT
Merujuk kepada perkara di atas, saya selaku penduduk di Taman Bukit Citra ingin membuat
aduan mengenai masalah bau busuk dan lalat yang mengganggu ketenteraman dan ketenangan
penduduk di sini.
2.
Untuk makluman tuan, kawasan perumahan Taman Bukit Citra dan kawasan perumahan
lain di sekitar Mantin adalah berhampiran dengan Pusat Pembuangan Sampah di Kg. Gebok dan
Pusat Kumbahan Najis Ayam di QL Poultry Farm.
3.
Keadaan ini menyebabkan penduduk di Taman Bukit Citra berasa tidak selesa dengan
bau yang dihidu terutama pada waktu petang hingga malam dan juga selepas hujan lebat. Hal ini
demikian kerana sampah sarap yang dikumpulkan di pusat pengumpulan sampah mengeluarkan
bau yang amat busuk. Selain itu, timbunan sampah sarap juga menggalakkan pembiakan lalat
dan langau. Kadangkala lalat-lalat dan langau ini datang mengerumuni rumah penduduk sekitar.
Sebagai penduduk, saya khuatir bahawa keadaan yang berterusan ini akan menjadi punca kepada
penyakit seperti taun, tifiod dan sebagainya.
4.
Pusat Kumbahan Najis Ayam di QL Poultry Farm juga kadangkala mengeluarkan bau
yang tidak enak dan mengganggu ketenangan penduduk di sini terutama pada waktu malam dan
selepas hujan. Saya berharap pihak tuan dapat mengambil tindakan tegas supaya penduduk di
Taman Bukit Citra tidak lagi menghidu bau busuk dari sampah sarap dan juga pusat kumbahan
najis ayam.
5.
Selain daripada itu, ahli keluarga dan rakan-rakan saya yang datang ke rumah mengadu
dengan masalah bau sampah dan najis ayam menyebabkan mereka tidak selesa untuk berada di
rumah saya. Ini menyebabkan sambutan ahli keluarga dan rakan-rakan untuk datang melawat ke
rumah saya amat mengecewakan.
6.
Majlis kenduri doa selamat dan kesyukuran yang diadakan pada tahun lepas juga kurang
mendapat sambutan daripada jiran-jiran saya kerana masalah lalat yang terlalu banyak

menghurung makanan yang disajikan. Jiran-jiran yang datang ke rumah tidak lalu makan kerana
berasa loya melihat lalat yang begitu banyak menghurung makanan dan bimbang terkena
penyakit taun sekiranya menjamah makanan yang disajikan oleh saya. Ini menyebabkan
pembaziran makanan berlaku dan saya kerugian beratus ringgit.
7.
Jualan makanan oleh penduduk setempat di kawasan perumahan juga kurang mendapat
sambutan kerana pembeli risau penyakit yang dibawa oleh lalat yang menghurung makanan yang
dijual. Ini menyebabkan penjual kerugian beratus ringgit sehari dan ini juga menyebabkan
mereka hilang punca pendapatan.
8.
Ramai penduduk tempatan dari Zeta Park terpaksa menangguhkan hasrat mereka ingin
berpindah masuk ke Taman Bukit Citra kerana masalah bau yang tidak menyenangkan ini dan
masalah lalat yang banyak masih menghantui penduduk sekitar. Akibatnya, kawasan perumahan
menjadi sunyi, aktiviti penduduk tidak produktif kerana kekurangan penduduk dan juga
persatuan penduduk terpaksa menanggung kerugian membayar yuran selenggara kerana ramai
penduduk yang tidak berpindah masuk.
9.
Aktiviti riadah di antara keluarga dan jiran tetangga saya kadangkala terbantut apabila
pencemaran bau busuk dan masalah lalat ini mula menghantui kami kembali kerana tidak selesa
untuk keluar beriadah. Kempen kerajaan kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengamalkan
gaya hidup sihat seperti beriadah ini tidak dapat dijalankan kerana pelbagai masalah timbul.
10.
Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan akan mengambil tindakan yang sewajarnya
terhadap Pusat Pembuangan Sampah di Kg Gebok dan Pusat Kumbahan Najis Ayam QL Poultry
Farm bagi menyelesaikan masalah yang dialami oleh saya dan penduduk di sekitar Mantin.
Tindakan yang wajar melambangkan kecekapan pihak tuan. Kerjasama daripada pihak tuan amat
saya hargai dan sanjung tinggi.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,

(SAIFUL NIZAL BIN ZULKIPLI)