Anda di halaman 1dari 3

Abdul Razak bin Hussein dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pekan, Pahang, dan telah dibesarkan

oleh datuknya dalam keluarga yang memelihara tradisi, adat resam dan agama. Abdul Razak
membesar sebagai seorang kanak-kanak yang sering disebut sebagai contoh di kampungnya, taat
kepada orang tua, cerdas dan bersopan-santun.Abdul Razak mendapat pendidikan awal di
Sekolah Rendah Melayu di Kampung Langgar di Pekan, Pahang pada zaman awal pemerintahan
British. Dia bukan seorang pelajar miskin ayahnya ialah Datuk Hussein, salah seorang
pembesar wilayah di negeri Pahang. Namun begitu dia pergi ke sekolah berkaki ayam, sematamata kerana perasaan hormat kepada rakan-rakannya yang rata-rata datang dari keluarga miskin
dan tidak mampu membeli kasut sekolah. Begitulah awalnya kesedaran yang tertanam pada diri
Abdul Razak tentang kepayahan hidup orang Melayu luar bandar ketika itu. Pada 1934 Abdul
Razak melanjutkan pengajian ke peringkat menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, di mana
dia terus menunjukkan kecemerlangannya, bukan sahaja di bidang akademik tetapi juga di
padang bola, hoki dan kriket, juga dalam kepimpinan pelajar. Tamat pengajian menengah, Abdul
Razak memasuki Kolej Raffles di Singapura, tetapi pengajiannya terbantut bila Perang Dunia
Kedua meletus. Dua tahun selepas perang berakhir, pada 1947 Abdul Razak mendapat biasiswa
kerajaan British untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di England. Semasa
di England, Abdul Razak mula aktif dalam politik. Pada masa itu, bakal Perdana Menteri Tanah
Melayu , Tunku Abdul Rahman, juga sedang mengambil jurusan undang-undang di tempat yang
sama. Tunku pada waktu itu adalah Yang Dipertua Persatuan Melayu Great Britain manakala
Abdul Razak adalah setiausahanya. Abdul Razak juga telah menubuhkan Forum Tanah Melayu,
yang merupakan wadah untuk pelajar-pelajar dari Tanah Melayu berdiskusi tentang isu-isu tanah
air. Pada 1950 Abdul Razak menerima ijazah undang-undang dari Lincoln's Inn. Sekembali ke
tanah air, Abdul Razak menyertai Perkhidmatan Awam. Pada tahun yang sama, beliau dipilih
sebagai Ketua Pemuda Umno. Pada tahun berikutnya, Abdul Razak dilantik menjadi Timbalan
Presiden Umno, ketika usianya 29 tahun. Sebagai sahabat kepada Tunku Abdul Rahman sejak
zaman pengajian di London, Abdul Razak cepat dapat meletakkan dirinya sebagai orang nombor
dua Umno dalam melaksanakan pelan pembangunan untuk Tanah Melayu. Pada 1953 Abdul
Razak telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, dan dua tahun berikutnya pada
usia 34 tahun, Abdul Razak menjadi Menteri Besar Pahang yang termuda. Bila Parti Perikatan
memenangi pilihan raya umum pertama pada 1955, Datuk Abdul Razak telah dilantik sebagai
Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama Tunku Abdul Rahman. Pada tahun berikutnya
Abdul Razak berada di London sekali lagi bersama Tunku Abdul Rahman, kali ini sebagai
anggota rombongan Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada Britain. Tun Abdul
Razak meninggal dunia akibat leukemia di London pada Januari 1976. Pemergiannya yang tibatiba ketika rakyat sedang menikmati pembangunan, telah menggoncang seluruh negara. Tun
Abdul Razak tidak sempat melihat hasil terbaik usaha-usahanya, tetapi batu asas pembangunan
yang telah diletakkannya untuk Malaysia telah membuka ruang untuk negara meneruskan
pembangunan yang lebih pesat seperti yang dinikmati hingga hari ini. Sumbangan Tun Abdul
Razak (22 September 1970 - 14 Januari 1976)

Tidak sampai 18 bulan selepas Kemerdekaan dicapai, Abdul Razak telah dipertanggungjawabkan
memikul tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar
Bandar. Abdul Razak menjalankan kedua-kedua tugas dengan penuh tanggungjawab dan tenaga
yang tidak mengenal erti gagal. Malah, sebaik sahaja dilantik sebagai Menteri Luar Bandar,
Abdul Razak terus bangkit bertindak, merancang dan melaksanakan pelbagai projek
pembangunan melalui siri rancangan lima-tahun. Sepanjang sepuluh tahun Abdul Razak
memegang portfolio itu, beliau telah menjelajah sejauh tidak kurang 60,000 batu setahun ke
setiap daerah di seluruh negara. Beliau telah mempamerkan iltizam yang tinggi dalam
memperbaiki taraf kehidupan penduduk luar bandar. Rancangan Buku Merah dan Bilik Gerakan
yang dipelopori Abdul Razak mencatit setiap butir perkembangan projek di setiap daerah
rintangan, kegagalan, kemajuan dan kejayaannya. Pada awal 1960an ternyata para petani dan
nelayan di seluruh negara mula menikmati hasil usaha mereka, suatu yang amat jarang berlaku
sebelum itu.Tentunya, Abdul Razak bukan sahaja menumpukan usahanya kepada pembangunan
luar bandar semata-mata. Selain mengusahakan penubuhan Felda, Felcra, Risda dan badan-badan
lain yang bersangkutan pembangunan luar bandar, Abdul Razak juga mengusulkan penubuhan
institusi-institusi lain seperti Bank Bumiputera, Mara, ITM, Universiti Kebangsaan, Perbadanan
Nasional Berhad, Petronas dan Perbadanan kemajuan Ekonomi di setiap negeri. Sebagai Menteri
Pelajaran pertama, Abdul Razak membentuk Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengiktiraf
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran di pusat-pusat pendidikan. Dengan
dasar yang berpandangan jauh ini, keharmonian kaum telah dapat disemaikan di peringkat
kanak-kanak. Dikira dari hari pertama Abdul Razak memikul tugas sebagai Menteri Pelajaran,
beliau telah membina sejumlah 3,000 buah sekolah, manakala tiga juta orang dewasa yang buta
huruf telah dapat membaca dan menulis. Selepas pilihan raya tahun 1969, satu perselisihan kaum
telah tercetus di Kuala Lumpur, ditiupkan pula oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Keadaan darurat telah diisytiharkan dan sebuah badan dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara
(MAGERAN) telah ditubuhkan, dengan Abdul Razak sebagai pengarahnya. Abdul Razak
mengepalai MAGERAN selama 21 bulan. Di bawah pengurusan bijaksana Abdul Razak,
ketenteraman dapat dipulihkan dan kedua-dua pihak bertelagah dapat berbaik semula dan bekerja
bersama seperti sebelumnya. Pada September 1970, Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai
Perdana Menteri Malaysia kedua, selepas Tunku meletakkan jawatan dari kerajaan dan Parti
Perikatan. Tun Abdul Razak menyambung usaha-usaha yang telah dimulakan oleh Tunku,

mengisi Kemerdekaan yang baru dicapai dengan pelbagai projek pembangunan ekonomi dan
sosial. Pentadbirannya yang tidak sampai enam tahun telah menyaksikan pembangunan yang
begitu pesat di seluruh negara. Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak
pada pertengahan 1970 untuk membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun
semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama. Jika
disenaraikan satu-persatu sumbangan Tun Abdul Razak kepada negara, pastinya ia akan menjadi
buku yang tebal, namun di antara pemberiannya yang paling berharga ialah pengwujudan Dasar
Kebudayaan Nasional, yang telah menyediakan asas penting bagi pembentukan satu budaya
Malaysia yang unik dan menggabungkan ciri-ciri semua kaum serta kesucian agama dan
pengenalan Rukunegara sebagai ideologi nasional yang menggariskan hasrat serta ikrar rakyat
Malaysia ke arah mencipta masyarakat Malaysia yang saksama, progresif, liberal dan
bertatasusila. Di sebalik perwatakannya yang pendiam dan lemah lembut, Tun Abdul Razak
sebenarnya adalah seorang wira berani yang sanggup mengharungi seribu rintangan dalam
memajukan dan membela nasib rakyat. Bertepatanlah bila beliau dinobatkan sebagai Bapa
Pembangunan Malaysia. Untuk kestabilan serantau, Abdul Razak mengusulkan pengwujudan
Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) bagi Asia Tenggara. Beliau juga telah merintis
jalan bagi menjalin hubungan yang lebuh baik dengan Republik Rakyat China. Dua tahun
selepas menjadi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak membuat keputusan untuk menjemput Dr
Mahathir Mohamad, yang tersingkir pada 1969, kembali ke pangkuan Umno. Natijah dari
keputusan ini telah mencipta beberapa dekad yang paling bermakna dalam sejarah Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai