Anda di halaman 1dari 4

Khutbah Jumaat 09 Rabiulakhir 1436H bersamaan 30 Januari 2015M

ISTIGHFAR PENGHAPUS DOSA,


PEMBUKA PINTU REZEKI
Oleh: JHEAINS


(Surah Hud, ayat 52)

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG MULIA,


Iman dan takwa merupakan prasyarat utama bagi seseorang Muslim meraih keberkatan dan kebajikan
melimpah ruah dari Allah SWT. Oleh itu, marilah kita sentiasa berusaha meningkatkan keimanan dan
ketakwaan kita kepada Allah SWT dalam erti kata mengabdi diri secara menyeluruh kepada-Nya secara
berterusan dan istiqamah. Mudah-mudahan kita tergolong orang yang beroleh kemuliaan dan kejayaan di
sisi Allah SWT selaras firman-Nya:



Maksudnya: (Wali-wali Allah itu ialah) orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk
mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang)
perubahan pada janji Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar. (S. Yunus: 63-64)
SAUDARA MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH,
Penghujung tahun 2014 lalu dan awal tahun 2015 ini, sebahagian daripada penduduk di Sabah dan
beberapa negeri di Semenanjung diuji dengan musim tengkujuh dan banjir.

Musibah berkenaan melanda saat sebahagian besar daripada kita sedang bersiap menyambut musim
persekolahan tahun 2015. Dan sebagaimana yang dilaporkan, bencana banjir berkenaan mengakibatkan
kerosakan harta-benda yang banyak seperti rumah penduduk, sekolah dan berbagai infrastruktur lainnya.
Perlu diingat bahawa ujian yang berupa musibah atau bencana tersebut adalah di luar jangkauan manusia.
Ia adalah ketentuan iIIahi yang pastinya tersirat sebab-musabab dan hikmahnya yang tersendiri. Yang
jelas, petaka yang tidak pernah diundang itu menghantar mesej serta peringatan agar kita semua mengakui
kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, dan kita adalah makhluk-Nya yang sangat lemah dan tidak berdaya.
Atas sebab itu, kita tidak sepatutnya berprasangka buruk kepada Allah SWT. Sebaliknya, kita selaku
hamba-Nya wajib bersangka baik kepada Allah SWT dengan terus mempererat hubungan kita dengan-Nya
sambil bermuhasabah diri menghitung serta menilai kemakrufan dan kemungkaran yang dilakukan selama
ini.
Pada masa sama, musibah yang berupa pengajaran itu juga hendaknya mempererat hubungan kita
sesama manusia. Kesengsaraan dan penderitaan mereka yang ditimpa bencana sayugianya mendorong
kita semua saling bantu membantu dan berkerjasama meringankan kesan musibah yang dialami. Inilah
masa yang sewajarnya untuk membangun kembali ikatan keprihatinan dan kepekaan kita sebagai Muslim
bagi memperkukuh tali silaturrahim, mengelak sebarang konflik selain menghindari diri daripada melakukan
perkara-perkara mungkar dan maksiat seperti zina, judi, berfoya- foya, rasuah dan lain-lain lagi yang
mengundang dosa dan murka Allah SWT.
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:


Maksudnya: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang
bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu
secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya. (S. Al-Anfal: 25).
Melalui firman-Nya ini, Allah SWT mengingatkan kita bahawa antara sebab berlakunya sesuatu bencana
atau musibah ialah perbuatan maksiat dan dosa yang manusia lakukan sama ada zahir ataupun batin.
Tompokan dosa itulah yang menjadi sebab-musabab Allah SWT menurunkan bala bencana sebagai
pengajaran serta kifarat selain menjadi penyebab tertutupnya pintu rahmat dan rezeki dari-Nya Yang Maha
Berkuasa.
Oleh yang demikian, sebagai manusia dan hamba Allah SWT yang sering melakukan kesalahan dan dosa,
kita harus segera meninggalkan segala perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.
Bersegeralah melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ini termasuklah tuntutan
memohon ampun (istighfar) dan bertaubat kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya:


Yang bermaksud: Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah
adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (S. An-Nisa: 106).
MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,
Kita dianjurkan serta digalakkan supaya selalu beristighfar dan bertaubat kerana sebagai manusia biasa
kita tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan.

Tambahan pula, memperbanyakkan istighfar dan taubat kepada Allah SWT adalah cara yang diajarkan
oleh Allah SWT dan Rasul-Nya untuk melepaskan diri daripada belenggu dosa yang dilakukan samada
secara sedar atau tidak. Malah, beristighfar juga merupakan satu ikhtiar menangani segala bentuk
kesusahan yang dihadapi selain melapangkan pintu rezeki. Ini bersandarkan kepada nas-nas berikut:
Firman Allah SWT:



Maksudnya: Pohonlah keampunan Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (Sekiranya
kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; Dan Dia
akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan
mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang
mengalir di dalamnya). (S. Nuh: 10-12).
Rasullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah
akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara
mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka." (HR
Abu Daud).
Dengan berpandukan kepada nas-nas tersebut, jelas sekali bahawa istighfar atau memohon ampun
kepada Allah SWT mengandungi banyak hikmah serta manfaatnya. Di samping ia merupakan satu amalan
bagi menghapuskan dosa yang dilakukan, beristighfar juga merupakan ikhtiar terbaik untuk mengatasi
segala kesulitan hidup hatta melapangkan rezeki. Malah dengan melazimi istighfar juga akan merasakan
diri sentiasa dekat kepada Allah SWT sehingga merasa tenang dan bebas daripada perasaan putus asa
atau lemah diri.
SAUDARA JEMAAH YANG MULIA,
Rasulullah SAW diriwayatkan beristighfar lebih 70 kali dalam sehari. Padahal baginda adalah rasul yang
maksum atau dipelihara daripada dosa besar dan kecil. Ini sebagaimana Hadith daripada Abu Hurairah RA,
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Allah, Aku beristighfar (memohon ampun)
kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya lebih 70 kali dalam sehari. (HR Al-Bukhari).
Manakala di dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, para sahabat Nabi SAW pernah melihat
baginda duduk dan beristighfar sebanyak 100 kali. Ini menunjukkan amalan beristighfar begitu penting dan
besar kedudukannya di sisi Allah SWT.
Sehubungan itu, antara lafaz istighfar yang pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW ialah sebagaimana
yang diriwayatkan daripada Ibnu Masud r.a: Astaghfirullahal aziim allazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum
wa atuubu ilaih. (HR Abu Daud).
Pun begitu, lafaz istighfar yang paling baik disebut sebagai Sayyidul Istigfar atau penghulu segala istighfar.
Nabi SAW bersabda, maksudnya: Sayyidul Istighfar ialah siapa yang menyebutkan Allahumma Anta Rabbi
la ilaha illa Anta khalaqtani wa ana abduka wa ana ala ahdika wa wadika mastatotu, aauzubika min
sharri ma sonatu, abuuulaka binimatika alayya wa abuuu bizanbi, faghfirli fainnahu la yaghfiruzzunuba
illa anta yang terjemahannya berbunyi: Ya Allah ya Tuhanku, engkaulah Rabbku. Tidak ada Tuhan selain
Engkau, Engkaulah yang menciptakanku. Aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku
dengan-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan yang aku lakukan. Aku mengakui
nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Oleh itu ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang
dapat mengampuni dosa melainkan Engkau. (HR al-Bukhari).

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,


Sebagai kesimpulannya, jangan sekali-kali menganggap diri kebal atau bersih daripada dosa dan
kesalahan. Sebaiknya, kita sebagai Muslim melazimi amalan beristighfar memohon ampun pada setiap
waktu terutama sekali sebelum dan selepas mengerjakan solat. Ini sangat dituntut kerana kita secara sedar
ataupun tidak adakalanya melakukan dosa terhadap diri sendiri, terhadap makhluk lain dan pencipta kita.
Beruntunglah hidup sesiapa yang apabila terlanjur melakukan dosa dan merasakan dirinya jauh dari Allah
SWT, lantas berusaha bersungguh-sungguh beristighfar dan bertaubat. Ini kerana kehidupan mereka yang
sentiasa beristighfar dan bertaubat pasti disinari kebahagiaan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:



Maksudnya: Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya dirinya sendiri,
mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada
yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang
mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (S. Ali-Imraan: 135).

Diedar oleh:
Bahagian Penyelidikan dan Informasi
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Anda mungkin juga menyukai