Anda di halaman 1dari 3

Lampiran 1

Si Tanggang

Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si


Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu
berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal.Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat
sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan
rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal itu dan meminta
untuk dijadikan anak kapalnya.
Si Tanggang : Tuan, saya bernama Si Tanggang. Saya berhajat untuk
menyertai tuan sebagai anak kapal.
Nakhoda : Boleh sahaja wahai Si Tanggang. Saya melihat kamu ini
seorang yang cekap dan cukup muda untuk bekerja di atas kapal ini.
Si Tanggang : Terima kasih tuan. Bilakah saya boleh mula bekerja di
atas kapal ini tuan?
Nakhoda : Kapal ini akan berlepas menjelang Maghrib nanti, sebaiknya
kamu tiba di sini selepas Asar.
Si Tanggang : Baiklah tuan. Saya akan pulang dulu untuk bersiap-siap.

Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si


Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah.
Si Talang : Wahai anakku, usahlah tinggalkan bapa. Kerja sahajalah di
sini. Ibumu juga telah meningkat usia Tanggang.
Si Deruma : Wahai Tanggang, benar sekali kata bapamu. Tinggallah
sahaja di sini. Ibu keberatan untuk melepaskan kamu pergi.
Si Tanggang : Sabarlah wahai ibuku, bapaku. Tanggang akan mengikuti
mereka sekejap sahaja. Setelah cukup duit yang Tanggang dapat,
Tanggang akan kembali nanti.
Si Talang : Usah dikejar sangat duit itu anakku. Kelak lupa diri, merana
diri.
Si Tanggang : Ampunkanlah Tanggang bapa. Tanggang berjanji akan
kembali ke kampung setelah menjadi kaya.
Si Talang : Kalau kamu sudah nekad, bapa hanya mampu mendoakan
sahaja kamu.
Si Deruma : Jagalah dirimu wahai Tanggang. Pulanglah nanti secepat
mungkin ya.

Si Tanggang : Baiklah ibu. Selamat tinggal.

Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh


Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si
Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur,
maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda
Tanggang.
Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh
itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun
berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke
banyak tempat di merata negeri.
Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung
asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang.
Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.
Si Talang : Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok.
Si Deruma : Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya
sekarang.

Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal


Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang,
iaitu pisang salai.
Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika
kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya.
Si Tanggang : Siapakah kedua-dua orang tua ini?
Anak kapal : Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan nakhoda.
Isteri Si Tanggang : Betulkah mereka ini ibu bapa kanda?

Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya.
Kesusahan dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu
uzur dan daif sekali.
Si Tanggang : Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu
bapa lagi. Mereka bukan ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua
pengemis ini naik ke kapal!
Si Deruma : Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan
pisang salai kegemaranmu, nak.
Si Tanggang : Pergi!

Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada bahagian tepi kapal. Pisang
salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut.Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu
sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka anak kesayangan mereka telah
berubah. Mereka pun berdayung ke tepi.
Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit. Sambil
mengangkat kedua-dua belah tangan dia berdoa.
Si Deruma : Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa
akulah ibu kandungnya.
Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang
berlabuh itu terumbang-ambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia
sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya
kerana telah menderhaka.
Si Tanggang : Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku,
Tanggang anak ibu!
Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat
memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi batu.
Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya turut
menjadi batu.