Anda di halaman 1dari 3

GENERASI AL-QURAN GENERASI TELADAN

Bismillahirrrahmanirrahiim
Assalamualaikum warahmatullahi wabaraakaatuh..
Terima kasih buat saudara pimpinan majlis,yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi
bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi tatkala kita berhimpun dalam majlis ilmu yang mana
para malaikat menebrkan sayapnya menaungi kita yang berzikir dan mendengar fikrah
islamiyyah sekarang. Insyaallah pada hari ini saya akan cuba membawa hati dan akal para
hadirin agar turut menyelami akan satu mauduk yang berjudul Generasi Al-Quran Generasi
Teladan.
Namun sebelum itu,ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan
saya.Frasa Generasi Al-Quran merujuk kepada generasi yang bersih hatinya, bersih
pemikirannya ,bersih pandangan hidupnya, perasaannya dan murni jalan hidupnya dari
sebarang unsur selain landasan Ilahi yang terkandung dalam Al-Quranul Karim.Manakala
generasi teladan bermaksud suri tauladan yang baik bagi melahirkan insan berakhlak mulia.
Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Meniti wacana fikrah saya yang pertama, Generasi Al-Quran mempunyai hubungan dan
pertalian erat dengan ketuhanan.Dakwah Islamiyyah telah berjaya melahirkan satu generasi
manusia iaitu generasi sahabat Rasulullah yang paling istimewa dalam sejarah Islam dan
sejarah kemanusiaan amnya.Siapa yang tidak kenal Bilal bin Rabah, Saidina Abu Bakar AsSiddiq ,Saidina Umar Al-Khattab dan ramai lagi sahabat nabi.Mereka adalah generasi sahabat
yang mendapat tarbiyah secara langsung dari Rasulullah SAW.Generasi yang diwujudkan oleh
baginda ini tidak pernah berlaku pada sejarah silam sebelum ini dan sesudah itu,kerana mereka
generasi unik yang menjadi modelgenerasi hari ini .Sumber pengetahuan utama di zaman
mereka ialah Al-Quran yang menjadi petunjuk dan perlembagaan hidup walaupun ketika itu AlQuran masih diturunkan secara beransur-ansur mengikut keperluan semasa.Benarlah firman
Allah dalam surah Al-Isra ayat 82 : dan kami turunkan Al-Quran itu menjadi penawar dan
rahmat kepada orang-orang beriman manakala orang-orang zalim pula tidaklah menambah
apa-apa kecuali kerugian semata-mata. Seandainya umat Islam hari ini berjaya mewujudkan
generasi yang memahami dan mendalami isi kandungan Al-Quran, nescaya kita akan menjadi
kuat dan disegani oleh sesiapa sahaja kerana mempunyai akhlak dan peradaban yang beretika
dan manhaj hidup yang mempunyai kaitan dengan ketuhanan Allah.
Hadirin pemilik minda bijaksana,
Wacana fikrah saya yang kedua ialah Generasi Al-quran generasi yang praktikal dan
sentiasa bersiap sedia untuk mengaplikasikan kehidupan di bawah pengawasan Allah.
Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 71 lelaki yang beriman dan perempuan yang
beriman menjadi penolong di antara satu sama lain ,mereka menyeru kepada kebaikan dan
mencegah kemungkaran. Gambaran pelaksanaan konsep hidup generasi yang hendak dibina

menurut perspektif Islam ialah amalan amalan hidup yang dilaksanakan tidak boleh keluar
melepasi sempadan dalam manhaj Islam manakala sebarang unsur negatif menyalahi syarak
mesti dihapuskan dalam kehidupan.Generasi Al-Quran menjadi teladan kerana bertindak bijak
dalam masyarakat, tetap berdiri di jalan benar dan tetap berkata benar sekalipun tidak disukai
manusia lain.Isu penggunaan kalimah Allah , isu penggunaan logo halal dan sebagainya
membuktikan kita perlu berani bergerak dan bertindak mengubah sesuatu perkara untuk
disesuaikan dengan keadaan semasa dan perlu bijak menggunakan ijtihad dalam persoalan
hukum yang masih kabur dan persoalan-persoalan semasa dalam masyarakat.

Hadirin yang dirahmat Allah,


Meniti wacana saya yang ketiga, Generasi Al-Quran Generasi Teladan ,Insan Bestari
Berilmu Pengetahuan. Ilmu pengetahuan akan memberi laluan kepada generasi hari ini untuk
mengeluarkan masyarakat dari kemelut kejahilan dengan memberi kefahaman yang mendalam
dalam apa jua persoalan hidup, sama ada yang berkait dengan ibadat,pergaulan,moral, akhlak
dan lain-lain.Mereka bertanggungjawab memimpin masyarakat ke jalan yang benar,
mengeluarkan manusia dari lubuk kejahilan.Firman Allah dalam surahAn-Nahlu ayat 125
serulah manusia ke jalan tuhan dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, berdebatlah
dengan mereka mengikut cara yang sebaik-baiknya.Lihatlah contoh teladan para sahabat
,setelah kewafatan Rasulullah SAW ,pelbagai kajian dilakukan melalui ijtihad,qias ,istihsan dan
qaul ulama untuk menyelesaikan permasalah dalam masyarakat selain merujuk kepada AlQuran dan Sunnah.

Warga dewan sekalian,


Tibalah kepada wacana saya yang keempat Generasi Al-Quran Generasi Teladan ,Pemilik
Jati Diri Yang Utuh.Kekuatan jiwa para sahabat menyaksikan pengorbanan mereka
meninggalkan keluarga dan harta benda demi berhijrah mengikut RasululLah SAW . Oleh itu ,
generasi hari ini memerlukan satu bentuk kekuatan lain yang ditanam ke dalam jiwa dan
sanubari supaya prinsip kehidupan dan maruah diri tidak mudah tercemar dek anasir negatif
yang melampaui batas seperti hedonisme dan penularan dakyah agama lain. Generasi AlQuran diharapkan sentiasa beramal dengan arahan Al-Quran,menjadikan ayat-ayatnya sebagai
zikir atau doa sepanjang masa seterusnya melahirkan generasi berakhlak mulia untuk membina
kekuatan Islam dari sudut politik,ekonomi, pendidikan,sosial dan kebudayaan termasuklah
teknologi. Memetik kata-kata HAMKA :jika mahu melihat masa depan negara ,lihatlah pada
anak-anak muda yang ada padanya. Justeru wajarlah generasi muda hari ini mencontohi
generasi sahabat Rasulullah terdahulu.

Sidang hadirin sekalin,


Beralih kepada wacana saya yang kelima Generasi Al Quran Generasi Teladan , Suka
berjuang dan berjihad di jalan Allah. Generasi yang hendak dibentuk itu ialah generasi
pejuang yang berani terjun ke medan menyeru manusia kembali ke jalan Allah.Tugas ini akan
menambahkan bilangan manusia memahami Islam secara syumul dan memeluk Islam untuk
mendapat petunjuk Allah.Sebab itu,mereka mesti bersiap sedia memprogramkan prinsip syariat
dalam kehidupan bermasyarakat kerana mereka mempunyai kehebatan dan keistimewaan
mempengaruhi masyarakat supya kembali kepada Islam. Sesuailah dengan firman Allah dalam
surah Muhammad ayat 7 wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong meninggikan
agama Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.

Sidang hadirin sekalian,


Rumusannya pembentukan generasi masa depan yang menepati nilai-nilai kemanusiaan
bermula dari dalam diri setiap individu itu sendiri.Seorang hamba yang mampu dan
berkebolehan akan berusaha membina impian hidup yang soleh kerana dari situlah bermulanya
titik tolak operasi kehidupan memimpin masyarakat.Maka generasi yang muncul nanti ialah
generasi yang faham dan mengerti akan peranan dan tujuan hidup dan mempunyai pertalian
dengan Allah ,Tuhan Yang Maha Agung.Akhirnya mereka akan menjadi generasi unggul
,generasi pewaris kepada khazanah yang ditinggalkan oleh para nabi.

Sekian , wabillahittaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Anda mungkin juga menyukai