Anda di halaman 1dari 6

"Alif tempang! Alif tempang!

"
Kedengaran riuh-rendah suara kanak-kanak sedang mengejek seorang budak
lelaki yang sedang berjalan terhincut-hincut di tepi jalan.
Alif hanya mampu tersenyum. Dia sudah lali dengan ejekan dan cacian yang
dilemparkan kepadanya. Suatu ketika dahulu, dia pernah bergaduh dengan
beberapa orang budak nakal yang mengejeknya. Namun, kini itu semua sudah
menjadi kebiasaan bagi dirinya.
Alif sedar dia cacat. Kakinya tempang semenjak dia masih kecil lagi. Menurut
ibunya, kecacatan itu terjadi kerana dia menghidap demam panas. Walaupun
begitu, Alif tetap reda dan bersyukur dengan apa yang terjadi kepadanya.
Alif terus berjalan tanpa menghiraukan kanak-kanak yang mengejeknya itu.
Kakinya yang tempang itu membuatkan Alif nampak sukar untuk berjalan. Di
tangannya terdapat sebuah bakul yang kosong.
Alif baru sahaja menghantar kuih ke kedai Mak Piah. Itulah sumber
pendapatan keluarganya. Alif tinggal bersama-sama ibunya, Mak Lijah yang
sudah tua. Wang yang diperoleh daripada hasil jualan kuih itu hanya cukup untuk
menyara kehidupan mereka seharian sahaja.
Ayah Alif telah meninggal dunia. Ketika itu dia baru berumur lima tahun. Ayah
Alif meninggal dunia kerana dilanggar oleh sebuah kereta ketika pulang daripada
bekerja.
Walaupun miskin dan cacat tetapi keadaan itu tidak menghalang Alif
daripada menuntut ilmu. Di sekolahnya, Alif terkenal sebagai murid yang pintar
dan rajin. Alif juga tidak lokek untuk membantu rakan-rakannya yang lemah
dalam pelajaran. Baginya, ilmu yang diperoleh harus dikongsi bersama dan
bukan untuk dirinya sahaja.
Sikap Alif itu menyebabkan dirinya disayangi oleh guru-guru dan rakanrakannya.
"Sudah kamu hantar kuih itu ke kedai Mak Piah, Alif?" tanya Mak Lijah sebaikbaik sahaja Alif sampai di rumah.
"Sudah, ibu!" jawab Alif ringkas.
Alif naik ke atas rumah lalu mengambil beg sekolahnya untuk pergi ke
sekolah. Itulah yang dilakukannya pada setiap hari. Sebelum ke sekolah, dia akan
menghantar kuih dahulu. Kemudian, pada waktu pulang dari sekolah, dia
akan singgah di kedai Mak Piah untuk mengambil hasil jualan kuihnya.
Bagi Alif, walaupun dia tempang tetapi dia tidak mahu menjadikan hal itu
sebagai alasan untuk tidak mahu membantu ibunya. Dia tidak mahu dianggap

sebagai beban dan menyusahkan ibunya yang sudah tua.


Ketika Alif menghampiri pintu pagar sekolah, tiba-tiba dia terdengar suara di
belakangnya.
"Alif, boleh kami tolong bawakan beg engkau? Nampak berat beg itu."
Alif menoleh ke belakang. Dilihatnya Ah Seng dan Raju sedang
menghampirinya. Mereka berdua merupakan rakan karibnya di sekolah.
"Tidak mengapalah! Aku boleh bawa beg ini," jawab Alif.
"Kita ini kawan. Marilah aku tolong bawa beg kau itu," kata Raju sambil
mengambil beg yang berada di tangan Alif.
"Terima kasih, Raju!" ucap Alif.
"Sama-sama!" ujar Raju.
Mereka bertiga kemudiannya berjalan seiringan menuju ke kelas 6 Bestari.
Pukul 7.40 pagi, loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan bermula.
Mata pelajaran pertama pada hari itu ialah Bahasa Melayu.
"Semua bangun," tiba-tiba terdengar suara Hafizuddin, ketua kelas 6 Bestari,
mengarahkan murid-murid bangun. Kelihatan Cikgu Zaiton, guru Bahasa Melayu
melangkah masuk ke dalam kelas sambil membawa beberapa buah buku.
"Selamat pagi, cikgu!" ucap Hafizuddin sambil diikuti oleh murid-murid lain.
Selepas membalas ucapan, Cikgu Zaiton mengarahkan semua muridnya
duduk.
"Hari ini, cikgu akan mengajar karangan bertajuk "Cita-cita Saya". Tetapi
sebelum itu, cikgu ingin mengetahui, apakah cita-cita kamu?" kata Cikgu Zaiton.
Seorang demi seorang, murid kelas 6 Bestari bangun sambil menyatakan
cita-cita mereka. Apabila tiba giliran Alif, dia pun bangun sambil berkata, "Citacita saya ingin menjadi doktor, cikgu!"
"Ha! Ha! Ha! Alif hendak menjadi doktor. Diri sendiri cacat, ada hati hendak
menjadi doktor," tiba-tiba kedengaran satu suara di barisan belakang kelas.
Alif berpaling ke belakang. Dilihatnya, Syanti sedang ketawa sambil
memegang perutnya. Hati Alif segera tersentuh. Tanpa disedari, air matanya
menitis membasahi pipinya. Dia berasa begitu sedih kerana diejek oleh Syanti.
Sebenarnya Syanti selalu mengejek dan membuli Alif, walaupun dia sering

dimarahi oleh guru dan murid-murid lain kerana perbuatannya itu.


"Syanti, tidak baik kamu berkata begitu! Masa depan seseorang tidak diukur
daripada fizikalnya, tetapi daripada usahanya," marah Cikgu Zaiton kepada
Syanti.
Syanti terdiam apabila dimarahi oleh Cikgu Zaiton. Cikgu Zaiton
kemudiannya menyambung kembali pengajarannya.
Pada pukul satu tengah hari, waktu persekolahan tamat. Alif, Ah Seng, dan
Raju keluar dari kelas bersama-sama.
"Alif, bersabarlah! Jangan berkecil hati dengan kata-kata Syanti tadi," kata Ah
Seng.
"Aku sedar aku cacat tetapi aku akan membuktikan bahawa insan yang cacat
juga boleh berjaya," balas Alif dengan nada penuh keyakinan.
"Bagus, Alif! Inilah yang kami hendak dengar. Tetapi kalau ikutkan hati, aku
ingin aku belasah sahaja Syanti itu," jawab Raju pula sambil menggenggam
penumbuknya.
"Ah, sudahlah! Jangan kita ungkit lagi peristiwa tadi," kata Alif sambil
mengajak rakan-rakannya itu pulang.
Pada suatu petang, Ah Seng dan Raju bertandang ke rumah Alif. Mereka
sudah berjanji untuk belajar bersama-sama. Tahun ini merupakan tahun yang
penting kepada kepada mereka kerana akan menghadapi peperiksaan UPSR.
"Alif ada, mak cik?" tanya Ah Seng dan Raju kepada Mak Lijah.
"Ada! Tunggu sebentar, ya! Alif sedang mandi," jawab Mak Lijah.
Tidak lama kemudian, Alif pun keluar dan mengajak rakan-rakannya itu untuk
belajar di bawah pokok berhampiran rumahnya. Di bawah pokok itu sudah
tersedia bangku dan meja untuk mereka belajar.
"Alif, kamu fikir boleh atau tidak, dapat 5A dalam UPSR nanti?" tanya Ah Seng
kepada Alif.
"Entahlah, Ah Seng! Harap-harap boleh dapat kerana aku ingin benar
memasuki Maktab Rendah Sains Mara. Aku ingin mencapai cita-citaku untuk
menjadi doktor," jawab Alif.
"Apalah kamu ini, Ah Seng! Tentulah Alif boleh dapat 5A. Dia murid paling
pintar di sekolah kita. Yang aku risau, kita ini. Entah-entah dapat 5E," sampuk
Raju pula.

Alif dan Ah Seng ketawa berdekah-dekah mendengar kata-kata gurauan


daripada Raju itu.
Setelah kira-kira satu jam belajar bersama-sama, Ah Seng dan Raju meminta
diri untuk pulang ke rumah masing-masing.
Beberapa bulan kemudian, tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Sebelum turun
dari rumah untuk ke sekolah, Alif mencium tangan ibunya sambil memohon
restu.
Sebaik-baik sahaja sampai di sekolah, Alif lihat sudah ramai rakannya yang
datang. Dia tercari-cari Ah Seng dan Raju. Tiba-tiba bahunya ditepuk dari
belakang.
"Ah, kamu berdua ini! Tidak habis-habis mengejutkan aku. Nasib baik aku tidak
ada penyakit lemah jantung. Kalau tidak, sudah lama aku meninggal dunia," kata
Alif sambil memandang Ah Seng dan Raju yang tersengih-sengih seperti kerang
busuk.
"Maaflah, Alif! Kami bukan sengaja," jawab mereka berdua.
"Tidak mengapalah! Mari kita masuk ke dewan peperiksaan," ajak Alif.
Mereka bertiga kemudiannya menuju ke dewan peperiksaan.
Sewaktu peperiksaan berlangsung, Alif menjawab dengan berhati-hati.
Segala ilmu yang diajar oleh gurunya digunakan sepenuhnya untuk menjawab
soalan peperiksaan. Alif yakin, dia boleh mendapat keputusan yang cemerlang.
Pada suatu petang, seminggu selepas peperiksaan UPSR, Ah Seng dan Raju
pergi ke rumah Alif. Setibanya mereka di rumah Alif, mereka melihat Alif sedang
duduk termenung seperti orang yang bermasalah. Mereka segera menghampiri
Alif.
"Mengapa, Alif? Kami lihat engkau seperti ada masalah," tanya Ah Seng.
"Sebenarnya, aku sedang memikirkan nasibku. Aku mungkin tidak dapat pergi ke
Maktab Rendah Sains Mara, walaupun mendapat keputusan yang cemerlang
nanti," jawab Alif.
"Mengapa pula?" serentak Ah Seng dan Raju bertanya.
"Kamu sendiri tahu, kami orang miskin. Jika aku berjaya pun, siapa yang akan
menanggung perbelanjaan persekolahanku nanti? Dengan pendapatan yang
diperoleh sekarang, kami tidak mampu," jelas Alif dengan nada yang sayu.
"Bersabarlah, Alif! Jangan berputus asa. Mungkin ada jalannya nanti. Tuhan
pasti akan menolong orang yang berada dalam kesusahan," kata Raju memujuk
Alif.

Pada suatu petang, Alif berjalan-jalan berseorangan. Tiba-tiba dia ternampak


sebuah dompet di tepi jalan. Alif terus mengambil dompet itu. Sebaik-baik sahaja
dia membuka dompet itu, dilihatnya di dalam dompet itu mengandungi banyak
wang. Seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat wang sebanyak itu.
Alif segera membawa dompet itu ke balai polis berhampiran. Dia tahu tentu
tuan punya dompet itu mencari-cari dompetnya. Selepas menyerahkan dompet
itu kepada pihak polis, Alif pun pulang ke rumahnya.
Alif mengambil kertas tersebut dan melihat keputusan yang diperolehnya. Tanpa
disedari, air matanya mengalir laju. Dia telah mendapat keputusan 5A dalam
peperiksaan UPSR.
Sebaik-baik sahaja mengetahui keputusan yang diperoleh oleh Alif, rakanrakannya yang lain segera mengucapkan tahniah.
"Tahniah, Alif!" ucap Ah Seng dan Raju sebaik-baik sahaja mereka bertemu.
"Terima kasih! Kamu berdua pula bagaimana?" tanya Alif pula.
"Kami berdua dapat 4A 1B," jawab Ah Seng. Alif segera mengucapkan
tahniah kepada kedua-dua orang rakannya itu atas kejayaan mereka. Mereka
kemudiannya menemui guru-guru untuk mengucapkan terima kasih.
Alif berjalan dengan pantas. Dia ingin segera sampai di rumah untuk
menunjukkan keputusan peperiksaannya kepada ibunya.
Dari jauh dilihatnya ada sebuah kereta di halaman rumahnya. "Siapa pula
itu?" Alif tertanya-tanya di dalam hatinya.
Sebaik-baik sahaja Alif masuk ke dalam rumahnya, ada beberapa orang
anggota polis dan seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan pertengahan
40-an sedang berbual-bual dengan ibunya.
"Siapa ini, ibu?" tanya Alif.
"Alif, pak cik ialah orang kehilangan dompet yang dijumpai oleh Alif tempoh
hari. Sebenarnya di dalam dompet itu terdapat beberapa dokumen yang amat
penting. Pak cik amat terhutang budi kepada Arif kerana mendapat semula
dompet itu. Pak cik bangga kerana dompet itu dijumpai oleh orang jujur seperti
kamu," jelas lelaki itu.
"Bagaimana keputusan peperiksaan kamu?" tiba-tiba Mak Lijah bertanya.
"Alif berjaya mendapat 5A, ibu," jawab Alif.
"Wah, tiada sangka Alif ini cerdik orangnya! Nanti bolehlah melanjutkan

pelajaran ke sekolah berasrama penuh," kata lelaki itu.


Alif segera menundukkan kepalanya ke lantai sebaik-baik sahaja mendengar
kata-kata lelaki itu.
"Sebenarnya, encik, saya tidak mampu untuk menanggung pembelajarannya,
jika Alif pergi ke sekolah berasrama penuh. Maklumlah kami ini orang susah,"
Mak Lijah menjelaskan perkara yang sebenarnya.
"Oh, begitu! Jangan bimbang. Jika Alif berjaya ke sekolah berasrama penuh
nanti, segala perbelanjaan persekolahannya akan saya tanggung. Begitu juga
dengan perbelanjaan mak cik seharian," janji lelaki itu.
Alif terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Dia segera mengucapkan terima
kasih kepada lelaki itu. Masa depannya yang disangka gelap akhirnya telah
bersinar kembali.
Alif teringat kembali pada kata-kata yang pernah diucapkan oleh gurunya,
iaitu setiap kebaikan yang kita lakukan pasti akan dibalas dengan kebaikan juga
nanti.
Tanpa disedari, sekali lagi air mata Alif mengalir laju membasahi pipinya.

Anda mungkin juga menyukai