Anda di halaman 1dari 3

Gejala Sosial..

Di Mana Silapnya
Fenomena pembuangan bayi kini seolah-olah seperti kita membuang sampah sahaja. Jasad
bernyawa yang tidak berdosa ini kerap ditemui terkulai layu tidak bernyawa di dalam tong sampah,
lubang tandas, di tepi jalan, di pintu masjid dan lebih menyedihkan apabila diratah oleh anjing. Setiap
hari pasti ada kes pembuangan bayi sama ada yang dilaporkan atau tidak dilaporkan. Rekod yang
ditunjukkan pada tahun 2009 menunjukkan setiap 17 minit pasti ada satu kes pembuangan bayi.
Lebih menyedihkan perbuatan ini bukan dilakukan oleh bangsa Cina atau India, tetapi
kebanyakkannya adalah daripada bangsa Melayu. Mengikut perlembagaan Malaysia, bangsa Melayu
adalah beragama Islam. Nah, bertapa mulianya bangsa kita yang beragama Islam ini melakukan
perbuatan yang sangat dilaknat oleh Allah SWT.

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih
257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan
Julai 2008. Adakah rekod seperti ini kita hendak banggakan sebagai seorang rakyat di sebuah
negara Islam? Kini di Malaysia, masalah penglibatan seks di kalangan remaja atau pelajar sekolah
begitu membimbangkan. Kita mungkin tidak terlepas dengan berita yang melaporkan seperti
tangkapan khalwat di kalangan pelajar, video seks yang dilakonkan oleh pelajar sendiri, pelajar
melahirkan anak di dalam tandas, pelajar merogol rakan sekelas dan banyak lagi kes yang
melibatkan pelajar. Kesemua kes seperti ini begitu menyedihkan bagi kita kerana mereka semua
adalah generasi akan bakal menjadi pelapis kepada kepimpinan negara.

Kebanyakkan mereka sudah berani melakukan perbuatan yang dilaknat iaitu zina sejak di bangku
sekolah lagi yang masih lagi berusia belasan tahun. Sepatutnya usia dan peluang yang mereka
perolehi tersebut perlu diisi dengan menuntut ilmu tetapi telah dinodai dengan perbuatan yang
menurut hawa nafsu. Di manakah silapnya? Adakah ini bermakna sistem kurikulum yang diguna

pakai sekarang masih lagi gagal untuk mendidik murid menjadi lebih bertaqwa? Salah satu matlamat
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari
segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Malangnya, ternyata matlamat ini gagal untuk dicapai.
Buktinya adalah kes yang disebutkan tadi.
Di sekolah pula subjek Pendidikan Islam tidak dijadikan sebagai subjek teras bagi murid untuk lulus
dalam peperiksaan. Ibu bapa pula lebih mengutamakan subjek teras seperti Matematik, Sains, dan
Bahasa Inggeris dengan menghantar anak mereka ke kelas tambahan. Subjek Pendidikan Islam
hanya dipandang sebelah mata. Lulus atau gagal tidak dipedulikan oleh mereka. Ada murid yang
mendapat markah yang tinggi di dalam ujian atau peperiksaan dalam subjek PI. Tetapi
penampilannya tidak bertudung dan bila ditanya adakah menunaikan solat setiap hari, jawapan yang
keluar adalah jarang-jarang. Adakah kita hendak melahirkan murid yang hanya cemerlang di dalam
peperiksaan tetapi gagal untuk mengamalkan apa yang dipelajarinya. Keseimbangan dari segi rohani
dan intelek tidak berlaku sama sekali. Perkara ini amat menyedihkan bagi kita sebagai seorang
pendidik.
Di sini peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa sangat penting untuk mengamalkan ajaran Islam
yang asas pada anak mereka seperti menutup aurat dan bersolat. Rata-rata murid yang berada di
sekolah rendah kini tidak menutup aurat khususnya perempuan dan tidak menunaikan solat fardhu.
Perkara sedemikian kalian akan tempuhi jika berada di sekolah kelak. Sangat mengecewakan apabila
ditanya mengapa tidak bersolat, jawapannya ibu bapa saya tidak marah jika tidak bersolat. Jadi, ibu
bapa bukan hanya sekadar tahu hendak menghasilkan anak sahaja, tetapi perlu mendidik mereka
menjadi insan yang bertaqwa semenjak kecil. Keyakinan mereka terhadap perintah agama begitu
penting untuk membolehkan mereka mempunyai antibodi yang kuat bagi mengelakkan mereka
melakukan perbuatan terkutuk.
Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik pada anak mereka. Tidak guna guru menyuruh anak
murid supaya bertudung, bersolat, jangan merokok sedangkan ibu bapa mereka sendiri yang
melakukan perkara sedemikian. Malah, ada pelajar yang mengatakan mengapa guru perlu sibuksibuk menyuruh untuk memakai tudung sedangkan ibunya tidak menyuruh pun berbuat demikian
hatta ibunya sendiri tidak pakai tudung. Bagi pelajar lelaki pula mereka menganggap perbuatan
memakai rantai dan gelang tidak salah disebabkan bapanya sendiri pun berbuat demikian.
Bagaimana guru hendak mendidik anak murid mereka menjadi insan yang baik sedangkan ibu bapa
yang mereka lebih percayai tidak menunjukkan contoh yang baik dan mendidik anak mereka. Jadi,
tugas mendidik anak bukan hanya dipikul oleh guru di sekolah sahaja, tetapi ibu bapa juga
berperanan besar untuk mendidik mereka.
Oleh yang demikian, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menilai semula sukatan pelajaran
Pendidikan Islam ataupun Pendidikan Moral untuk membolehkan matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dapat dicapai. Mungkin sudah sampai masanya pihak kementerian menekankan
pendidikan agama pada peringkat sekolah rendah dan bukan hanya menjadikan subjek pelajaran
sahaja tetapi mesti diamalkan oleh setiap murid dengan sempurna. Ianya akan tercapai sekiranya
penggubalan akta pendidikan dilakukan oleh kementerian. Pihak kementerian perlu meneliti dengan
lebih mendalam masalah ini untuk menangani gejala sosial yang begitu meruncing yang melibatkan
pelajar sekolah rendah ataupun menengah.
Media penyiaran di Malaysia juga turut penyumbang kepada masalah sosial ini. Media yang mudah
diakses seperti televisyen, surat khabar, majalah, internet, dan sebagainya banyak memaparkan
gambar yang tidak sesuai untuk budaya di Malaysia. Tetapi pihak kerajaan melalui Kementerian
Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan seakan-akan menghalalkan apa yang dibuat oleh media
berkenaan. Sebagai contoh, kita boleh saksikan apa yang dipaparkan oleh akhbar Utusan, Berita

Harian, majalah Mangga, URTV dan banyak lagi. Kesemuanya memaparkan susuk tubuh wanita
yang menggoda. Bukankah ini boleh merangsang seseorang untuk berzina? Mengapa perkara
sedemikian tidak diambil berat oleh pihak kerajaan? Apabila terjadi kes pembuangan anak baru
hendak melatah sedangkan punca yang mendorong untuk berzina dihalalkan.
Di Malaysia juga tidak terdapat suatu media yang berunsur islamik yang dapat membimbing manusia
lebih mengenali Islam. Tidak ada satu pun rancangan televisyen yang berunsurkan Islam 100%.
Bagaimana umat Islam di Malaysia dapat memahami ajaran Islam yang syumul ini sekiranya tidak
diberikan penerangan secara menyeluruh. Jangan mengharapkan seluruh umat Islam ini hendak
hadir ke majlis ilmu di masjid untuk mempelajari Islam. Peratus kehadiran di masjid terlalu sedikit.
Kebanyakkan mereka lebih gemar berehat di rumah sambil menonton tv. Pihak kementerian perlu
menggunakan kesempatan ini untuk menyebarkan Islam menerusi kemudahan teknologi masa kini.
Tetapi mungkinkah kerajaan sekarang akan berbuat demikian?
Kesimpulannya, pencegahan gejala sosial di kalangan murid dan pelajar perlu dibendung secepat
mungkin agar lebih ramai lagi generasi muda dapat di jaga. Peranan ini perlu dimainkan oleh semua
pihak bermula dari pihak kerajaan, masyarakat, sekolah, ibu bapa dan diri sendiri.

Anda mungkin juga menyukai