Anda di halaman 1dari 1

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman bagi topik elektrik di sekolah
rendah menggunakan kaedah Susun Suai Gambar sebagai bahan bantu mengajar.
Kajian ini melibatkan 32 orang pelajar tahun 5 di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru
Salak Tinggi, Sepang Selangor. Hasil tinjauan awal mendapati bahawa pelajar
melakukan beberapa kesilapan semasa melakukan penyambungan litar elektrik
semasa amali. Pelajar melakukan penyambungan elektrik mengikut panduan lukisan
skematik yang telah mereka terjemah. Hal ini menunjukkan bahawa lukisan skematik
yang salah menyebabkan penyambungan litar elektrik tidak berjaya. Soal selidik,
ujian pra pos dan pemerhatian merupakan instrumen pengumpulan data bagi kajian
yang menggunakan model Kemmis & McTaggart (1998) ini. Kaedah Susun Suai
Gambar ini adalah kaedah permainan puzzle dimana murid perlu menyusun semula
simbol komponen elektrik menjadi lukisan skematik berdasarkan lukisan bergambar
yang disediakan dengan betul. Melalui analisis dokumen, pengkaji menyedari
bahawa berlakunya peningkatan kefahaman pelajar dalam menterjemah lukisan
skematik dengan betul. Hasil pemerhatian menunjukkan pelajar telah dapat
menjalankan aktiviti kaedah Susun Suai Gambar dengan lancar dan memperoleh
keputusan tepat selain terdapat penglibatan aktif dalam kumpulan. Analisis soal
selidik menunjukkan pelajar bersetuju kaedah Susun Suai Gambar memudahkan
mereka menterjemah lukisan skematik dan mereka suka pembelajaran menggunakan
kaedah ini. Selain itu, hasil dapatan juga menunjukkan bahawa pencapaian pelajar
dalam menjawab soalan berkaitan litar elektrik turut meningkat. Dapatan kajian
menunjukkan bahawa kaedah Susun Suai Gambar yang disediakan sesuai dengan
hasil pembelajaran dan telah dapat membantu pelajar untuk menjalankan eksperimen
litar elektrik dengan lebih baik. Pengkaji telah mengemukakan beberapa cadangan
bagi kajian lanjutan dan antaranya ialah peruntukan masa untuk menjalankan kajian
perlu dipanjangkan di samping penggunaan intrumen yang pelbagai.