Anda di halaman 1dari 2

ARKIB : 06/05/2008

Utamakan budaya pembelajaran


TRONOH 5 Mei - Kerajaan harus meletakkan budaya pembelajaran, analitikal dan
intelektual sebagai keutamaan dalam agenda negara jika mahu membangunkan modal
insan, titah Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Titah baginda, sekiranya kerajaan mahu mengelakkan jurang perbezaan sosial dan
membangunkan modal insan adalah wajar pandangan terhadap tiga perkara itu
diperluaskan.
Menurut baginda, matlamat itu boleh dicapai jika kerajaan berusaha merapatkan jurang
antara institusi pendidikan di negara ini dengan luar negara.
''Apa yang kita perlukan ialah melihat cara kita menanam nilai dan kepercayaan dalam
mempromosikan pembelajaran di kalangan rakyat Malaysia.
''Kita perlu kurangkan pendekatan yang hanya memberi penekanan kepada aspek
membaca, menulis dan peperiksaan kerana budaya pembelajaran sebenar lebih luas.
''Rakyat negara ini perlu digalak 'memburu' maklumat daripada sekadar menerimanya
secara pasif sahaja," titah baginda ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Cabaran
Pembangunan Modal Insan' di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini
hari ini.
Kira-kira 2,000 orang terdiri daripada penuntut UTP dan pelajar sekolah menengah
mengikuti syarahan yang disampaikan oleh baginda.
Raja Nazrin bertitah, segala bentuk pendekatan yang diambil biarpun membawa kepada
perbezaan perspektif perlu diterima bagi menggalakkan rakyat bersikap terbuka pada idea
baru dan berlainan.
Titah baginda, selain budaya pembelajaran, masyarakat Malaysia juga harus meningkatkan
pembangunan dalam budaya analitikal.
''Kita perlu banyak merenung dan faham 'apa', 'bagaimana' dan 'kenapa' sesuatu perkara itu
kita lakukan.
''Tanpa budaya analitikal ini, setiap keputusan dibuat akan menimbulkan pelbagai
pandangan dan prejudis berbanding logik dan bersebab," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, pembangunan intelektual pula sudah tidak lagi menjadi perhatian
utama dalam kebanyakan masyarakat termasuklah negara-negara kaya yang kelihatan
enggan menyokong budaya tersebut.
Bagaimanapun, jelas baginda, ramai yang tidak menyedari bahawa tanpa budaya ini, adalah
sukar dan hampir mustahil bagi sesuatu negara itu mendapatkan ilmu pengetahuan yang
semakin berkembang hebat ketika ini.
''Jika kita mahu membangunkan modal insan, kita harus memiliki komuniti yang
mengamalkan budaya kerja yang banyak bertanya, mencabar dan berfikir," titah baginda.
Selain itu, titah baginda, institusi pengajian tinggi, pihak industri, badan bukan kerajaan, alim
ulama, kerajaan dan masyarakat perlu memainkan peranan bagi menjayakan agenda
berkenaan.

Artikel

Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?

y=2008&dt=0506&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_08.htm&arc=hive#ix
zz3WL8SeyVq
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai