Anda di halaman 1dari 5

Minggu 13

Kesan buruk globalisasi


GLOBALISASI ialah satu proses membuka keadaan. Sekarang ini 'globalisasi' pada
umumnya difahami sebagai proses di mana sempadan negeri-negeri semakin runtuh dan
seluruh buana (atau dunia) ini semakin berubah menjadi satu unit.
Dalam unit global itu hubungan adalah cepat dan rapat. Manusia boleh terbang mengelilingi
dunia dari satu kota ke satu kota lain dalam sehari semalam.
Mereka dapat menonton melalui televisyen di Kuala Lumpur perlawanan bola Piala Dunia
yang berlangsung di Paris pada ketika yang sama; mereka mungkin menguruskan jual-beli
saham atau perdagangan lain hanya melalui komputer tanpa perlu bertemu untuk
berbincang.
Semua ini dimungkinkan oleh perkembangan teknologi elektronik dan perhubungan yang
sangat pesat terutama sekali dalam dua tiga abad yang lalu.
Proses globalisasi ini juga terjelma dalam hubungan serta interaksi ekonomi di seluruh
dunia, akan tetapi secara tidak seimbang. Ini ialah kerana meluasnya perkembangan
syarikat-syarikat antarabangsa (multinational corporation - MNC) dari dunia pertama, yang
selalu disebut sebagai pusat kapitalis dunia ke kawasan-kawasan pinggirnya, iaitu negaranegara dunia ketiga.
Kebanyakan MNC menguasai sebahagian besar daripada bidang-bidang pengeluaran dan
perdagangan di dunia ketiga yang hendak membangun. Mereka selalunya mengaut
keuntungan banyak dengan membayar upahan yang rendah kepada pekerja dan menjual
mahal hasil pengeluaran syarikat mereka.
Penguasaan ekonomi oleh beberapa negara kapitalis global membawa juga kepada
pengaruh yang kuat dalam bidang politik ke atas negara-negara pinggir yang sedang
membangun. Semua ini membawa kepada pembentukan struktur ekonomi dan politik di
peringkat antarabangsa, yang kadang-kadang memainkan peranan lebih penting daripada
struktur ekonomi dan politik di peringkat kebangsaan.
Selain itu ia menggalakkan juga penyebaran apa yang sering disifatkan sebagai budaya
dunia, misalnya, jenis-jenis hiburan, pakaian atau makanan 'antarabangsa' menjadi lebih
penting dan popular di kalangan sesetengah orang muda daripada hiburan, pakaian atau
makanan 'kebangsaan'.
Ada anggapan bahawa globalisasi merupakan satu hal yang baru, bermula dan berkembang
terutama sekali dalam tahun 1980-an, selepas keruntuhan beberapa rejim sosialis dan
nasionalis, diikuti pula oleh kemunculan beberapa buah negara Asia sebagai kuasa kapitalis
yang bertambah kuat daya saingnya.
Oleh sesetengah pihak, globalisasi ini dilihat sebagai proses meluaskan pengaruh
perdagangan, perindustrian, teknologi dan ilmu pengetahuan daripada pusat pembangunan
kapitalis di Barat ke kawasan-kawasan pinggir dalam dunia ketiga. Oleh kerana itu ia
dianggap sebagai satu faktor pengaruh yang boleh mendatangkan kebaikan untuk
membawa kemajuan serta permodenan kepada negara-negara pinggir yang kurang maju.

Sebenarnya, ditinjau dari segi sejarah, globalisasi adalah proses yang sudah lama berlaku.
Ia berasal sejak apa yang dikenali sebagai ''voyages of discovery'', apabila Vasco da Gama
dan Columbus mengelilingi dunia untuk mencari kekayaan bagi raja mereka.
Ertinya ia bermula dengan munculnya perkembangan kapitalisme di Eropah kira-kira lima
ratus tahun dahulu. Perkembangan selanjutnya adalah dalam bentuk sistem penjajahan dan
imperialisme.
Ciri utama sistem ini ialah penindasan atau perompakan ekonomi ke atas wilayah atau
bangsa yang dijajah atau dikuasai, untuk memastikan penimbunan modal atau kekayaan
oleh negara-negara penjajah atau imperialis itu. Dari segi kualitatif, sebenarnya tidak banyak
perbezaan di antara penjajahan dan imperialisme dengan globalisasi sekarang. Cuma
mungkin proses globalisasi lebih mendalam.
Oleh itu ramai yang menganggap globalisasi itu sebagai satu bentuk penjajahan baru
ataupun imperialisme baru yang boleh mengakibatkan kemunduran serta kerugian kepada
negara atau bangsa sedang membangun yang dipengaruhi atau dikuasainya.
Pada masa-masa penjajahan yang lampau, kuasa ketenteraan sering digunakan untuk
melaksanakan penaklukan atau penguasaan ekonomi dan politik. Ini jarang berlaku dalam
zaman globalisasi terkini, walaupun masih ada unsurnya (misalan dalam kes Perang Teluk).
Jikalau tidak ada serangan militer pun, maka tekanan atau sekatan ekonomi dikenakan,
umpamanya, ke atas negara-negara seperti Cuba dan Iran, yang tidak mahu tunduk kepada
kuasa kapitalis Barat, terutama sekali Amerika Syarikat (AS).
Kuasa-kuasa besar boleh juga menggunakan agensi-agensi antarabangsa untuk
memperluaskan pengaruh global mereka. Contoh yang jelas ialah bagaimana AS sering
menggunakan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melaksanakan dasar atau
strategi globalnya.
Antara agensi dalam bidang ekonomi yang boleh digunakan oleh pusat kapitalis dunia,
khususnya AS, untuk mempengaruhi atau menguasai negara-negara pinggir dalam dunia
ketiga ialah Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (lebih terkenal dengan nama
IMF). Kedua-duanya ditubuhkan pada tahun 1945.
Kuasa undi di dalamnya adalah didasarkan kepada jumlah dana atau modal yang
disumbangkan oleh negara-negara anggotanya. AS merupakan penyumbang yang terbesar
- 36 peratus dalam IMF dan 35 peratus dalam Bank Dunia, bahkan AS beserta beberapa
buah negara kapitalis dunia yang lain, seperti Jepun, Jerman, Britain dan Perancis
menguasai majoriti modal dan sekali gus majoriti undi dalam kedua-dua institusi.
Apabila Bank Dunia atau IMF memberikan pinjaman kepada negara-negara membangun
yang memerlukannya, maka mereka mengenakan berbagai-bagai syarat. Antaranya ialah
apa yang disebut sebagai penyusunan semula (atau restructuring) dalam bidang ekonomi
dan juga politik. Penyusunan semula ekonomi atau korporat melibatkan langkah-langkah
untuk mengurangkan kos dan menguasai buruh, supaya kedudukan mereka untuk bersaing
boleh diperkuatkan. Ini biasanya mengakibatkan penurunan gaji ataupun peningkatan
produktiviti tanpa tambahan gaji. Seterusnya, perbelanjaan yang dianggap sebagai subsidi
kepada perkhidmatan sosial termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan dikurangkan,
dan dengan demikian bantuan kepada golongan yang lemah dalam masyarakat juga
terjejas. Pengalaman di beberapa buah negara (seperti Mexico dan Filipina) menunjukkan
bahawa pinjaman dari Bank Dunia dan IMF boleh mengakibatkan mereka terletak di bawah
telunjuk AS melalui badan-badan tersebut.

Negara-negara yang menjadi pusat globalisasi adalah yang kuat mengamalkan sistem
kapitalisme, dan yang paling besar sekali kuasanya ialah AS. Sistem kapitalis di pusat-pusat
kapitalis dunia itu berkembang luas dan meresap ke negara-negara pinggir yang tidak
berdaya menolak pengaruhnya. Banyak aspek sistem ini diterima oleh sebahagian besar
negara-negara pinggir yang juga mahu berkembang mengikut jalan kapitalis; di antaranya
ialah apa yang boleh dipendekkan sebagai dasar-dasar LDP, iaitu liberalisasi, deregulasi
dan penswastaan. Malaysia adalah salah sebuah negara dunia ketiga yang boleh dikatakan
telah menerima hampir sepenuhnya dasar-dasar tersebut.
Ini sesuailah dengan matlamatnya untuk memajukan negara dan memodenkan bangsa
mengikut landasan kapitalisme.
Dasar liberalisasi menggalakkan, antara lain, pasaran bebas dan kemasukan modal asing
tanpa batas. Pasaran bebas memang boleh menggalakkan kecekapan dan persaingan yang
sihat, akan tetapi ia sering didorongkan oleh matlamat untuk mengaut untung yang besar,
sehingga kepentingan atau kebajikan rakyat diketepikan. Banyak MNC, yang mempunyai
kuasa monopoli boleh menentukan syarat-syarat mereka ke atas gaji, kemudahan dan
keistimewaan pekerja khususnya. Umpamanya untuk menarik modal dalam bidang
elektronik, pemerintah negeri ini mengadakan berbagai-bagai peraturan yang
menguntungkan pemodal asing akan tetapi boleh merugikan negara dan rakyat seperti
bebas cukai untuk industri perintis, sekatan untuk menubuh kesatuan dan gaji rendah serta
pekerjaan bahaya bagi wanita.
Deregulasi menguatkan lagi kemungkinan perasingan bebas dengan cara mengurang,
mengetepi atau menghapus segala peraturan atau sekatan dan salah satu akibatnya ialah
melemahkan lagi kedudukan rakyat yang berpendapatan rendah. Sebagai contoh, kita boleh
ambil peraturan mengecualikan bayaran ataupun mengenakan bayaran murah untuk
golongan berpendapatan rendah bagi yuran sekolah ataupun bayaran perubatan. Sekiranya
peraturan ini dihapuskan atas desakan IMF, umpamanya yang tidak mahukan subsidi diberi
kepada mana-mana golongan maka sudah tentulah ia akan menimbulkan bebanan kepada
golongan yang daif kedudukan ekonominya.
Seterusnya ada desakan kuasa-kuasa besar -- melalui IMF, Bank Dunia dan APEC, supaya
dihapuskan umpamanya sekatan-sekatan di negara-negara sedang membangun yang
bertujuan untuk menjaga kepentingan ekonomi negara-negara tersebut dan dibuka pintu
seluas-luasnya untuk modal dan barangan dari negara-negara pusat kapitalis itu. Sekiranya
ini berlaku, maka lama kelamaan tentu sekali ekonomi negara pinggir yang baru hendak
membangun akan akhirnya dikuasai oleh negara pusat kapitalis tadi. Maka akan bermulalah
proses penjajahan bentuk baru.
Penswastaan, seperti yang luas diketahui sekarang ialah dasar memindahkan perusahaan
milik awam/pemerintah kepada swasta. Kini semakin nyata bahawa dasar ini boleh memberi
keuntungan besar kepada segelintir orang yang istimewa kedudukannya dan pada masa
yang sama membebankan rakyat terbanyak. Memang benar penswastaan lebih baik
sekiranya urusan/pentadbiran awam tidak cekap, membazir dan juga rasuah akan tetapi kita
lihat bahawa dalam amalannya penswastaan tidak semestinya menjanjikan urusan yang
lebih baik. Pengurusan air, api dan telefon selepas penswastaan tidak kelihatan lebih baik
daripada sebelumnya, akan tetapi bayaran untuk ketiga-tiga perkhidmatan tersebut telah
meningkat sehingga memberatkan lagi bebanannya ke atas orang ramai. Begitu juga, akibat
pengkorporatan IPT, yuran pelajar-pelajar ijazah tinggi dan juga - praijazah semakin
meningkat, manakala mutu pendidikan semakin merosot.
Walaupun proses globalisasi meluas berlaku, namun pada masa yang sama kita dapati
banyak negara dalam rantau-rantau tertentu memperkukuhkan kedudukan atau melindungi

kepentingan mereka sendiri. Misalnya, beberapa buah negara di wilayah Amerika Utara
mengadakan gabungan untuk perdagangan bebas bergelar NAFTA, yang merupakan satu
blok perdagangan. Pada hakikatnya NAFTA lebih menguntungkan AS, dan ia membolehkan
AS melakukan dumping ke atas Mexico, misalnya bagi industri-industri yang paling
mencemarkan alam sekitar dan membuka kilang-kilang yang membayar gaji lebih murah
kepada pekerja-pekerja tempatan.
Di rantau sebelah sini pula, atas inisiatif pemerintah Australia, APEC telah dibentuk. Kini ia
mempunyai 18 negara dari Asia Pasifik sebagai anggota termasuk AS, Australia, Kanada
dan New Zealand. Kehadiran keempat-empat negara tersebut mungkin untuk memastikan
APEC tidak menjadi satu blok yang akan bersaingan atau bertentangan dengan NAFTA.
Berbeza dengan NAFTA, APEC bukannya satu blok perdagangan dan tidak memberikan
apa-apa keutamaan perdagangan atau pelaburan kepada mana-mana negara anggotanya.
Pada masa ini peranan utama APEC ialah untuk mempercepatkan proses perundingan bagi
melaksanakan deregulasi di rantau ini dengan cuba meruntuhkan segala peraturan yang
dilaksanakan oleh dunia ketiga untuk melindungi kepentingan mereka sendiri.
Kita tahu memang wujud kebimbangan di kalangan sesetengah anggota ASEAN, terutama
Malaysia, bahawa APEC boleh didominasi oleh AS untuk melanjutkan kepentingannya
sendiri. Itu sebabnya Malaysia telah mempelopori usaha menubuhkan EAEC (East Asia
Economic Caucus), akan tetapi usaha ini tidak begitu berjaya oleh sebab Jepun tidak
sanggup memberikan pimpinan, sebagaimana yang diharapkan, semata-mata kerana tidak
berani bertentangan dengan AS. Pada tahun 1997 AS telah cuba mendesak supaya APEC
membuka pintu istimewa (preferential access) kepada negara-negara anggotanya.
Segala 'pagar' perlindungan atau sekatan hendaklah dirobohkan oleh negara-negara
anggota ini, dan ini pasti akan membuka peluang kepada AS untuk memperluaskan lagi
pengaruh serta kekuasaannya di rantau ini. Desakan ini belum diterima lagi untuk
dilaksanakan akan tetapi AS sudah tentu akan terus mendesak supaya ia terlaksana pada
masa akan datang. Bahkan ini telah pun disetujui akan dilakukan berperingkat-peringkat
pada tahun-tahun 2010 dan 2020. Apabila ini berlaku negara dan rakyat akan menanggung
kerugian, sebab asas sistem kapitalis atau pasaran bebas yang hendak dibawa oleh AS itu
ialah berasaskan penguasaan ekonomi, penindasan rakyat serta pengautan keuntungan
dalam berbagai-bagai bentuk.
Ramai pemimpin dari dunia ketiga sudah mulai sedar bahawa proses globalisasi dan dasardasar LDP yang dibawanya adalah bahaya. Ia boleh, dan dalam setengah-setengah negeri
sudah pun mengakibatkan krisis ekonomi. Tetapi merekalah yang pada mulanya menerima
proses serta dasar yang sama. Berikutan itu, mereka membenarkan 'wang panas' (atau
modal portfolio) masih untuk melakukan spekulasi, mereka melulus atau menggalak
pinjaman jangka pendek dengan menggunakan wang asing, mereka menganjurkan projekprojek gergasi yang tidak produktif, dan mereka membiarkan defisit akaun semasa
meningkat. Akhirnya nilai saham dan wang jatuh. Akibatnya harga barang keperluan harian
naik, gaji turun, ramai dibuang kerja dan krisis ekonomi bertambah serius sehingga di
beberapa negara menimbulkan krisis politik pula.
Jadi mengapa pemimpin-pemimpin tersebut menerima globalisasi dan LDP? pertama,
mungkin arus globalisasi dan pengaruh kuasa-kuasa besar terlalu kuat, sehingga tidak
dapat dibendung atau disekat oleh kebanyakan negara dunia ketiga. Kedua, di rantau Asia,
banyak negara atau pemimpin menerima sistem kapitalis sebagai sistem yang mereka fikir
terbaik untuk mencapai kemajuan dan pembangunan, dan oleh itu mereka menerima
pengaruh globalisasi yang berpunca dari negara-negara pusat kapitalis, walaupun mereka
sedar tentang beberapa kekurangan dan bahayanya. Ketiga, setengah-setengah pemimpin
politik beserta tokoh ekonomi yang rapat dengan mereka menganggap bahawa proses

globalisasi, dasar globalisasi dan sistem kapitalis itu boleh mendatangkan keuntungan besar
bagi diri dan golongan mereka. Seperti terbukti kini, ramai yang menjadi tamak dan kaya
melalui korupsi dan pilih kasih. Inilah yang akhirnya menjatuhkan mereka.
Oleh: DR. SYED HUSIN ALI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=1998&dt=0625&sec=Rencana&pg=ot_05.htm#ixzz2rFZyrYkP
Utusan Melayu (M) Bhd