Anda di halaman 1dari 1

Yang saya hormati saudara peneraju majlis, dif-dif kehormat, barisan hakim

yang bijaksana serta hadirin dan hadirat sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan
kepada semua.
Berdirinya saya di pentas yang indah ini adalah untuk menyampaikan
sebuah syarahan yang bertajuk “Hargai Barangan Buatan Malaysia” yang
bermaksud membeli dan menggunakan hasil produk yang dikeluarkan oleh
warga tempatan dari segi automotif, barangan elektronik, makanan, pakaian dan
sebagainya.
Hadirin yang dihormati,
Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi, memang tidak
dapat dinafikan bahawa Malaysia telah melangkah ke arah modenisasi. Sebagai
negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan
mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri yang sudah setanding
dengan produk di luar negara dari segi kualitinya. Oleh itu, kita perlu mengikis
sikap ego dan sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan
seharusnya dilontar jauh-jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina
semangat Malaysia Boleh.
Salah satu kepentingan membeli barangan buatan Malaysia ialah dapat
menaikkan taraf ekonomi Negara. Usaha murni ini bukan sahaja memajukan
negara tetapi mempersiapkan negara mencapai wawasan 2020. Permintaan
tinggi produk tempatan mampu menjana aliran wang Negara yang stabil tatkala
kita menghadapi kegawatan ekonomi. Seterusnya, kita mendekatkan diri kita
dengan negara apabila membeli produk Malaysia ini. Dalam konteks ini, kita
lebih mencintai negara dan seterusnya membina jati diri serta menjadi insan
yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Berbagai-bagai pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama bagai aur
dengan tebing dalam mempromosikan kebaikan membeli barangan buatan
Malaysia. Karnival Membeli-belah Malaysia, Kempen Beli Barangan Malaysia,
ekspo-ekspo, jualan megah merupakan perancangan kementerian dan pihak
yang lain untuk memperkenalkan dan mempromosikan barangan buatan
Malaysia kepada seluruh rakyat dan sebagai usaha untuk membantu
merancakkan dan memacu transformasi ekonomi negara. Di samping itu, pihak
sekolah perlu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak kecil
lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya supaya mereka mengamalkan
sikap cinta akan negara dengan membeli barangan Malaysia.
Natijahnya, rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan :
1 Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar
seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan
sikap dengan membeli barangan Malaysia. Negara kita, tanggungjawab kita
merupakan azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan
Malaysia yang bermutu tinggi.
Sekian, terima kasih.