Anda di halaman 1dari 19

Motif Tabarra Disebalik Hukuman Hudud Ke Atas Anak

Khalifah Umar r.a.

Dipetik dari web: www.darulkautsar.net

Kisah Abu Syahmah, anak Sayyidina Umar r.a. menerima hukuman had (hudud)
daripada ayahnya khalifah Umar r.a. kerana telah berzina adalah satu kisah yang
tersebar dengan meluas sekali dalam masyarakat Islam di mana-mana jua. Ia
bukan sahaja disampaikan oleh tuan guru-tuan guru, ustaz-ustaz dan pensyarah-
pensyarah di dalam ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah mereka yang tertutup
malah kerapkali juga dikumandangkan oleh khatib-khatib menerusi khutbah-
khutbah Jumaat.

Pada anggapan mereka, inilah salah satu contoh keadilan Sayyidina Umar r.a.
yang tiada tolok bandingnya di zaman khilafah beliau.

Tidak pernah terlintas di hati mereka bahawa adunan cerita yang cukup
menyelerakan itu sebenarnya himpunan racun atau longgokan najis yang telah
disaluti kertas emas yang bersinar-sinar. Lantaran kenaifan pemikiran dan modal
ilmu yang tidak mencukupi, umat Islam berterkaman kepada cerita-cerita
seumpama ini. Usahkan mata orang-orang awam, mata orang-orang alim di
kalangan mereka pun tidak dapat menembusi kertas emas yang disalutkan pada
longgokan najis itu. Maka mereka tidak jemu-jemu dengan sepenuh-penuh mulut
menjadikannya sebagai modal ceramah. Aduh malangnya masyarakat Islam! Ke
manakah hilangnya daya pemikiran mereka yang terkenal kritis di suatu ketika
dahulu?! Agaknya ia telah lenyap bersama-sama dengan lenyapnya dan
tersisihnya ilmu-ilmu yang dijadikan nilai dan pengukur oleh generasi Islam di
zaman lampau.

Kerana terlalu ketinggalan di belakang, mereka tidak lagi mengetahui istilah


‘tabarra’ umpamanya yang merupakan motif utama di dalam banyak kisah-kisah
dan cerita-cerita yang terdapat di dalam sirah dan sejarah awal Islam.

Sebelum pergi lebih jauh elok sekali kita menjelaskan terlebih dahulu istilah
‘tabarra’ itu. Pengetahuan tentang ‘tabarra’ akan berguna kepada kita sebagai
mikroskop. Kita dapat melihat dengannya sesuatu yang tidak dapat dilihat
dengan mata kasar kerana tersangat halusnya.
‘Tabarra’ adalah satu konsep yang telah menjadi prinsip dalam gerak kerja
musuh-musuh Islam terutama Syi’ah untuk memadamkan cahaya kegemilangan
sejarah awal Islam iaitu dengan menyatakan sikap permusuhan dan perasaan
dendam kesumat terhadap tokoh-tokoh utama Islam di zaman permulaan sama
ada dengan melaknat atau mengutuk mereka dalam majlis-majlis khusus atau
seandainya keadaan tidak mengizinkan mereka berbuat demikian secara terbuka,
mereka akan meluahkan perasaan jahat itu melalui cereka-cereka atau hikayat-
hikayat yang pada lahirnya (menurut apa yang tersirat) adalah satu penghinaan
dan cemuhan terhadap mereka.

Sebenarnya musuh-musuh Islam itu telah menggunakan satu method ilmu


balaghah dengan mewah sekali dalam cerita-cerita mereka. Method itu dikenali
dengan ‘ta’kidu adz-zammi bima yusybihu al-madha (cela dalam bentuk puji)’.

Sesungguhnya di sebalik tirai keadilan Sayyidina Umar yang dihulurkan dalam


rupa kisah ini, mereka mahu membuktikan betapa jahat dan fasiqnya anak
khalifah umat Islam Sayyidina Umar r.a. yang dikatakan ‘agung’ itu, di samping
mempamerkan juga kejahilan khalifah tentang hukum-hakam agama dan
seterusnya menyatakan betapa kejam dan zalimnya beliau. Namun mujur tetap
ada di pihak kita, justeru sesuatu yang palsu itu sifatnya ialah saling
bertentangan dan bercanggahan. Maka demikian pula dengan cerita ini.
Percanggahan dan pertentangan yang terdapat dalam cerita ini amat ketara
sekali sehingga kita berani mengatakan ia tidak mungkin dapat dihilangkan
sampai kiamat oleh sesiapa pun.

Pereka-perekanya telah mengemukakannya dalam tiga bentuk. Pertama secara


ringkas, kedua dan ketiga secara terperinci.

Dalam bentuk pertama kisah ini dihubungkan riwayatnya dengan Sa’id bin
Masruq. Beliau menerangkan bahawa ada seorang perempuan (imraah) selalu
berulang-alik ke rumah Sayyidina Umar r.a. Bersamanya ada seorang kanak-
kanak. Pada suatu hari Sayyidina Umar bertanya dia, “Anak siapakah bersamamu
ini?” Perempuan itu menjawab, “Inilah anak kepada anak tuan, Abu Syahmah.
Dia telah menyetubuhi saya sehingga melahirkan anak ini.” Sayyidina Umar terus
memanggil anaknya Abu Syahmah dan bertanya beliau tentang perkara itu. Abu
Syahmah mengaku. Lantas Sayyidina Umar memerintahkan Sayyidina Ali supaya
menyebat anaknya itu. Maka Sayyidina Ali menyebatnya sebanyak 50 sebatan,
50 sebatan lagi dilaksanakan oleh Sayyidina Umar sendiri. Kemudian anak itu
dibawa ke hadapan Sayyidina Umar dalam keadaan tercungap-cungap seperti
akan mati. Anak itu berkata, “Ayah! Ayah telah membunuh saya.” Mendengar
kata-kata anaknya itu Sayyidina Umar berkata, “Bila engkau bertemu Tuhan,
ceritakanlah kepadaNYA bahawa ayahmu telah melaksanakan hudud Allah.”

Sebenarnya kisah ini telah diriwayatkan dalam berbagai-bagai bentuk. Masing-


masing ahli cerita mewarnainya dengan khayalannya sendiri sehingga sukar
untuk dikompromikan di antara satu dengan yang lain.

Walaubagaimanapun sebelum kita mengemukakan cerita ini dalam bentuknya


yang lain, terlebih dahulu elok kiranya kita menganalisa dan mengomentari
riwayat Sa’id bin Masruq di atas agar dapat dikesan di mana letaknya motif
tabarra itu di dalamnya.

Di sana ada beberapa perkara yang dapat ditarik sebagai intisarinya. Antara lain
ialah:

(1) Ada seorang perempuan (imraah) yang tidak diketahui apa namanya selalu
berulang-alik bersama anak kecilnya ke rumah Umar r.a. Sebelum ditanya oleh
Sayyidina Umar perempuan itu tidak pernah menyatakan kepada sesiapa pun
tentang anak kecil yang selalu dibawanya itu, anak siapakah dia?

Tentu sekali perempuan itu perempuan yang sudah berkahwin (muhsonah),


kerana kalau perempuan itu masih anak dara, tentu masyarakat saling bertanya-
tanya tentang anaknya itu sebaik sahaja ia dilahirkan. Akan tetapi apa yang
berlaku tidak begitu.

Keadaan perempuan dalam cerita ini yang membisu seribu bahasa dan membawa
ke sana ke mari anaknya itu membuktikan dia juga terlibat dalam maksiat zina,
sekiranya perzinaan telah benar-benar berlaku. Ini bermakna kalau dia seorang
anak dara, maka dia perlu disebat sebanyak 100 rotan dan kalau dia sudah
berkahwin maka dia perlu direjam sampai mati. Tetapi kedua-dua bentuk
hukuman perzinaan tidak dilaksanakan keatasnya hanya dilaksanakan ke atas
Abu Syahmah sahaja. Seolah-olahnya perawi kisah ini mahu menampilkan
kepada manusia kejahilan Sayyidina Umar r.a. dan para sahabat Rasulullah
(s.a.w) pada masa itu apabila permasalahan agama yang sekecil itu pun tidak
diketahui mereka. Kejahilan itulah kononnya yang membuatkan mereka terus
berdiam diri.

(2) Jika diandaikan perempuan itu telah dirogol oleh Abu Syahmah, maka
kenapa dia tidak mengadukan halnya kepada Sayyidina Umar r.a. sejak awal-
awal lagi? Apakah perkara yang mendorongnya menyembunyikan anak luar
nikahnya itu di dalam perutnya selama 9 bulan? Kemudian setelah melahirkannya
dibawanya pula anak haram itu ke sana ke mari?

Siapa sebenarnya perempuan itu? Apa namanya? Dari qabilah atau keluarga
manakah dia? Di mana tempat tinggal atau negerinya? Berbangsa apa? Semua
perkara ini tidak dinyatakan oleh seorang pun perawi kisah ini. Agaknya dia dari
keturunan Yahudi atau Majusi yang menjelma ke alam nyata untuk menyeret
Sayyidina Umar r.a. melaksanakan had zina ke atas anaknya!

Pernah seorang sahabat Rasulullah (s.a.w) iaitu Maa’iz al-Aslami r.a. tersasul
melakukan perzinaan, kemudian menyesal di atas perbuatannya lalu mengaku di
hadapan Rasulullah (s.a.w). Baginda memalingkan muka. Sampai tiga kali dia
mengaku, Rasulullah (s.a.w) tetap memalingkan muka. Akhirnya Rasulullah
(s.a.w) menyatakan kepadanya., “Engkau ini gilakah?” Beliau menjawab, “Tidak.”
Maka Rasulullah (s.a.w) berkata, “Mungkin engkau mendakapnya sahaja.”
Pendek kata Rasulullah (s.a.w) terus berusaha agar Maa’iz menarik balik
pengakuannya.

Dari tindakan Rasulullah (s.a.w) itu dapat diketahui bahawa seboleh-bolehnya


usaha supaya tidak terlaksananya had ke atas seseorang perlu dicari. Justeru itu
Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda (bermaksud), “Elakkan dari menjatuhkan
hukuman hudud semampu-mampu kamu.”

Apa yang kelihatan kepada kita dalam kisah ini ialah paksaan dari pihak
Sayyidina Umar r.a. supaya anaknya mengaku. Dan ini jelas bertentangan
dengan syariat Islam, selain daripada menunjukkan jahilnya Sayyidina Umar
tentang sunnah Rasulullah (s.a.w).

Ringkasnya motif tabarra dalam cerita ini dapat dikesan dengan mudah sekali
walaupun ia disembunyikan di balik tabir keadilan Khalifah Agung Rasulullah
(s.a.w), Umar bin al-Khattab r.a. Kerana itulah ulama’-ulama’ yang pakar dalam
bidang hadits menghukum riwayat ini sebagai maudhu’ (palsu). Imam Ibn al-
Jauzi berkata, “Hadits ini maudhu.” Ia telah direka oleh ahli-ahli cerita. Banyak
kekarutan dimasukkan ke dalamnya. Mereka mengulang-ulanginya dengan
panjang lebar.” (Al-Maudhu’aat, jilid 3 ms. 279).

Hafidz Jalaluddin as-Suyuthi pula berkata, “Riwayat ini maudhu’. Ia telah direka
oleh ahli-ahli cerita. Dalam sanadnya terdapat seorang majhul, sementara Said
bin Masruq pula adalah salah seorang murid A’masy. Bagaimana ia bertemu
dengan Hamzah?” (Al laali’u al-Masnu’ah jilid 2, ms 194).

Allamah Muhammad Thahir bin Ali al-Hindi berkata, “Kisah Abu Syahmah anak
Sayyidina Umar berzina kemudian Umar menjalankan hukuman had ke atasnya
dan kematiannya dengan panjang lebar itu tidak benar malah ia telah direka oleh
ahli-ahli cerita.” (Tazkiratul al-Maudhu’aat ms. 180)

Kecacatan yang terdapat pada sanad riwayat ini sahaja pun sudah begitu banyak
selain daripada yang terdapat pada isi ceritanya. Di antara yang dapat
dikemukakan di sini ialah:

Ada beberapa orang perawinya majhul seperti Muhammad bin ’Ubaid al-Asadi
dan Abu Abdillah Hasan bin Ali. Perawinya yang paling atas sekali ialah Said bin
Masruq. Beliau wafat pada tahun 126H, merupakan seorang tabi’i-tabi’in, murid
kepada Imam A’masy. Beliau adalah ayah kepada Imam Sufyan ats-Tsauri.
Semasa hayatnya beliau tidak sempat melihat seorang pun sahabat Rasulullah
(s.a.w). Dengan itu dapat diputuskan bahawa perawi di atas dighaibkan. Riwayat
seperti ini dalam istilah ulama’ hadits dikenali dengan munqati’. Jika riwayat ini
ditimbang dengan neraca dirayah maka kita dapati Sufyan ats-Tsauri adalah
seorang tokoh Ahlus Sunnah yang sentiasa mentajrihkan (mendiskreditkan)
perawi-perawi yang tidak muktabar. Jadi dengan menghubungkan cerita palsu
seperti ini kepada ayahnya, sebenarnya golongan Sabaiyyah (pengikut-pengikut
Abdulllah bin Saba’) mahu menyejukkan sedikit bahang kepanasan yang
membakar hati mereka.

Sekarang marilah pula kita lihat riwayat ini dalam bentuknya yang terperinci.
Riwayat terperinci ini telah dihubungkan kepada Abdullah bin Abbas dan tentu
sekali lebih menarik daripada riwayat sebelumnya. Marilah sama-sama kita
membaca dan menikmatinya.
Imam Mujahid menerangkan bahawa pernah pada suatu hari orang ramai
berbual-bual dalam majlis Ibnu Abbas. Secara kebetulan mereka membicarakan
tentang keutamaan Sayyidina Abu Bakar r.a. kemudian menyebutkan keutamaan
Sayyidina Umar r.a. Apabila sahaja Ibnu Abbas mendengar nama Umar disebut,
terus beliau menangis sampai pengsan. Beliau lantas berkata, “Semoga Allah
mencucuri rahmatNya kepada orang yang tidak takut kepada celaan sesiapa pun
dalam urusan agama. Semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada orang yang
mengamalkan apa yang dibacanya daripada al-Quran dan melaksanakan hudud
Allah (s.w.t) sebagaimana yang diperintahNya. Dalam hal ini beliau tidak
menghiraukan sesiapa pun baik dari kalangan keluarga atau musuhnya. Demi
Allah! Umar telah melaksanakan hukum had ke atas anaknya sampai anaknya
mati.”

Kemudian Ibnu Abbas menangis, melihatnya menangis orang-orang lain juga


turut menangis. Kami pun berkata, “Wahai sepupu Rasulullah! Ceritakanlah
kepada kami peristiwa Sayyidina Umar melaksanakan had ke atas anaknya itu
bagaimana beliau melaksanakannya?” Maka berkatalah Ibnu Abbas, “Oh! Kamu
telah mengingatkan aku perkara yang telah pun aku lupa.” Mujahid berkata,
“Kerana al-Mustafa, kami meminta engkau dengan bersumpah supaya engkau
menceritakan kepada kami peristiwa itu.”

Ibnu Abbas mula menceritakan dengan berkata, “Tuan-tuan! Pernah pada suatu
hari kami berada di masjid Nabi (s.a.w). Pada ketika itu Umar juga ada bersama
kami. Di sekeliling beliau orang ramai bersesak-sesak. Beliau memberikan
nasihat kepada mereka selain memutuskan perkara-perkara yang berlaku di
antara mereka. Sekonyong-konyong datang seorang perempuan (jariah) melalui
pintu masjid dengan melangkah belakang-belakang tengkuk para Muhajirin dan
Ansar sampai ia tercegat di hadapan Umar, lalu memberi salam kepada Umar,
“Assalamualaika ya Amiral Mukminin wm wb.” Umar menjawab, “Waalaikissalam
ya Amatallah. Adakah engkau mempunyai apa-apa hajat?” Perempuan itu
berkata, “Hajat saya yang paling besar ialah dengan tuan sendiri. Nah! Ambillah
anakmu ini daripada saya kerana tuanlah yang lebih berhak terhadapnya
daripada saya.” Terus perempuan (jariah) itu membuka tudungnya maka
kelihatanlah di tangannya seorang bayi yang baru berusia beberapa hari.
Sayyidina Umar melihat perempuan (jariah) itu lalu berkata kepadanya,
“Tutuplah tudungmu,” seraya mengucapkan, “Lahaula wala quwwata illa billah.
Awak pun saya tak kenal, bagaimana pula anak ini menjadi anak saya?”
Mendengar kata-kata Sayyidina Umar itu perempuan itu menangis sampai basah
kain tudungnya dengan air mata, kemudian barulah dia bersuara, “Wahai Amiral
Mukminin! Kalaupun bayi ini bukan anakmu, tidakkah ia tentu anak kepada
anakmu?” Sayyidina Umar bertanya, “Anak kepada anakku yang mana satu?”
Perempuan itu berkata, “Abu Syahmah.” Sayyidina Umar bertanya lagi, “Anak
melalui jalan halalkah atau jalan haram?” Kata perempuan itu, “Dari pihak saya
halal dan dari pihaknya haram.” Sayyidina Umar bertanya “Bagaimana ini boleh
berlaku?” Maka berceritalah perempuan itu, “Wahai Amiral Mukminin! Dengarlah
baik-baik cerita saya ini. Demi Allah! Saya tidak akan menokok tambahnya
sedikit pun.” Sayyidina Umar pun berkata, “Takutlah kepada Allah dan
ceritakanlah.” Perempuan itu pun meneruskan ceritanya, “Sebetulnya pada suatu
hari saya lalu dekat sebuah kebun Abu an-Najjar. Tiba-tiba saya terdengar satu
tempikan dari belakang. Apabila saya menoleh ke belakang, saya dapati anak
tuan, Abu Syahmah sedang terhoyong-hayang kemabukan. Dia telah meminum
arak di sebuah kedai arak kepunyaan seorang Yahudi. Dia menghampiri saya lalu
mengugut dan mengancam saya kemudian menarik saya ke dalam kebun. Saya
terjatuh dan pengsan. Demi Allah! Saya tidak sedar kecuali setelah dia
melakukan terhadap saya apa yang dilakukan oleh seseorang terhadap isterinya.
Saya menyembunyikan perkara ini daripada bapa, saudara dan jiran taulan
sehingga cukup bulan kandungan saya. Apabila sudah terasa sakit perut saya
kerana akan melahirkan anak, saya pun pergi ke tempat anu dan melahirkan
anak ini. Pada mulanya mahu saya bunuh saja anak ini tetapi kemudian saya
menyesal. Jadi tuan putuskanlah hukum tentang saya dan dia menurut hukum
Tuhan.”

Abdullah bin Abbas terus bercerita, katanya, “Sayyidina Umar pun


memerintahkan juruhebah menyeru orang ramai supaya berhimpun. Maka
datanglah orang ramai berbondong-bondong ke masjid. Setelah mereka semua
berhimpun, Sayyidina Umar bangun dari tempat duduknya seraya berkata,
“Wahai golongan Muhajirin dan Ansar, tuan-tuan jangan meninggalkan tempat ini
sehinggalah saya datang membawa berita.” Langsung beliau keluar dari masjid.
Ketika itu saya (Ibnu Abbas) ada bersamanya, sambil melihat kepada saya
beliau berkata, “Marilah pergi bersamaku dengan segera.” Dengan pantas
Sayyidina Umar meluru ke pintu rumahnya dan mengetuknya. Seorang sahaya
perempuan keluar membuka pintu, melihat muka beliau yang menitis
kemarahan, dia pun berkata, “Wahai Amiril Mukminin, apahal ini?” Amiril
Mukminin terus bertanya, “Anakku Abu Syahmah ada di dalam?” Sahaya itu
menjawab, “Ada, dia sedang makan.” Sayyidina Umar masuk ke dalam dan terus
berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, makanlah! Mungkin ini adalah bekalmu
yang terakhir dari dunia ini.”

Ibnu Abbas berkata, “Saya lihat muka budak (ghulam) itu pucat lesi. Dia
gementar dan makanan terjatuh dari tangannya.” Lepas itu Sayyidina Umar pun
bertanya, “Wahai anakku, siapakah saya ini?” Abu Syahmah menjawab, “Tuan
adalah ayah saya dan Amiril Mukminin.”

Sayyidina Umar: “Apakah engkau tidak bertanggungjawab mentaati saya?” Abu


Syahmah: “Bahkan dua ketaatan perlu saya berikan kepadamu. Pertama kerana
seorang bapa dan kedua kerana seorang Amiril Mukminin.” Sayyidina Umar:
“Demi kerana Nabimu dan kerana ayahmu sesungguhnya aku mahu bertanya
engkau satu soalan. Jawablah dengan betul.” Abu Syahmah: “Tentu saya akan
menjawab dengan betul.” Sayyidina Umar: “Adakah engkau telah pergi ke kedai
arak Yahudi itu sebagai tetamu dan minum arak di sana lalu mabuk.” Abu
Syahmah: “Ya, memang begitu telah berlaku tetapi saya sudah bertaubat.”
Sayyidina Umar: “Memang taubatlah modal paling besar bagi orang-orang yang
berdosa, tetapi aku mahu bertanya engkau dengan bersumpah atas nama Allah,
adakah pada hari itu engkau telah pergi ke kebun Banu an-Najjar kemudian
engkau ternampak seorang perempuan dan terus memperkosanya?” Budak
(ghulam) itu diam, tidak berkata apa-apa. Dia terus menangis dan menampar-
nampar mukanya. Sayyidina Umar: “Cakaplah dengan betul, Allah suka kepada
orang-orang yang bercakap benar.” Abu Syahmah: “Ya, ayah. Memang saya
telah melakukan perbuatan keji itu. Syaitan telah menggoda saya. Tetapi
sekarang saya sudah bertaubat dan menyesal.” Mendengar jawapan Abu
Syahmah itu Sayyidina Umar terus memegang tangannya dan dengan menyentap
kolar bajunya, Sayyidina Umar menyeretnya ke masjid. Maka berkatalah Abu
Syahmah: “Ayah! Janganlah ayah permalukan saya di hadapan orang ramai.
Ambillah pedang ini dan keratlah tubuh saya sepotong-sepotong.” Sayyidina
Umar: “Tidakkah pernah engkau mendengar firman Allah ini bermaksud: “ Dan
hendaklah hukuman ke atas mereka berdua (penzina lelaki dan penzina
perempuan) disaksikan oleh segolongan orang-orang mukmin?” Setelah itu
dibawanya Abu Syahmah ke hadapan para sahabat dan beliau berkata, “Memang
benar kata perempuan ini, Abu Syahmah sudah mengaku.” Di situ ada seorang
hamba Sayyidina Umar bernama Aflah. Sayyidina Umar berkata kepadanya: “Aku
ada satu hajat denganmu. Kalau engkau dapat menyempurnakan hajatku itu
maka engkau kumerdekakan kerana Allah.” Aflah: “Amiril Mukminin,
perintahkanlah saya.” Sayyidina Umar: “Pukullah dia dengan 100 sebatan.
Janganlah ada apa-apa pun kekurangan pada pukulanmu itu.” Aflah: “Saya tidak
dapat melakukannya.” Aflah terus menangis sambil berkata, “Aduhai kiranya
ibuku tidak melahirkan aku untuk menghadapi hari ini di mana aku dibebankan
untuk memukul tuanku sendiri.” Sayyidina Umar: “Taat kepadaku merupakan
taat kepada Rasul. Bukalah bajunya dan laksanakanlah perintahku.”

Ibnu Abbas berkata, “Ketika itu orang ramai pun mula berteriak dan menangis,
sedang budak (ghulam) itu menunjuk-nunjukkan jarinya kepada ayahnya sambil
berkata, “Ayah, kasihanilah saya.” Sayyidina Umar: “Semoga Allah mengasihani
engkau.” Ketika itu Sayyidina Umar sendiri pun menangis. Kemudian beliau
berkata pula kepada Aflah, “Sebatlah dia.” Aflah pun melepaskan sebatan
pertamanya. Abu Syahmah: “Bismillahirrahmaanirrahim.” Sayyidina Umar:
“Alangkah baiknya nama yang engkau sebutkan itu anakku.” Bila pukulan kedua
mengenainya, Abu Syahmah berkata, “Aduh! Ayah, maafkanlah saya!” Sayyidina
Umar: “Sabarlah, seperti engkau melakukan dosa.” Bila pukulan ketiga mengenai
Abu Syahmah, terkeluarlah dari mulutnya perkataan “Al-Aman.” Sayyidina Umar:
“Tuhanmu akan memberikan aman kepadamu.” Bila pukulan keempat
mengenainya, Abu Syahmah meraung, “Tolonglah!” Sayyidina Umar:
“Pertolongan diberi ketika kesusahan.” Bila pukulan kelima mengenainya, Abu
Syahmah memuji Tuhan. Sayyidina Umar: “Ya! Allah jua yang layak dengan
segala puji.” Bila pukulan kesepuluh mengenainya, dia pun berkata, “Ayah! Ayah
telah membunuh saya!” Sayyidina Umar: “Dosamulah yang telah membunuhmu.”
Bila pukulan ketiga puluh mengenainya, maka Abu Syahmah pun berkata, “Demi
Allah! Ayah telah membakar hati saya.” Sayyidina Umar: “Kepanasan api neraka
lebih lagi daripada ini.” Bila pukulan yang keempat puluh mengenainya maka Abu
Syahmah berkata, “Ayah! Benarkan saya balik ke rumah dengan berjalan di atas
muka saya.” Sayyidina Umar: Bila selesai nanti hukuman ini ke atasmu, maka
pergilah ke mana yang engkau suka.” Bila pukulan kelima puluh mengenainya,
Abu Syamah berkata, “Demi Quran! Lepaskanlah saya.” Sayyidina Umar:
“Kenapa Quran tidak dapat menasihatimu sebelum ini dan kenapa ia tidak dapat
mencegahmu?” Sayyidina Umar berkata kepada Aflah, “Wahai hambaku! Pukullah
dia.” Bila Aflah memukulnya buat kali keenam puluh, Abu Syahmah pun berkata,
“Wahai ayahku! Tolonglah aku.” Sayyidina Umar: Anakku! Apabila ahli neraka
meminta pertolongan, mereka tidak diberi pertolongan.” Bila pukulan ketujuh
puluh mengenainya Abu Syahmah berkata, “Ayah! Berilah saya minum seteguk
air.” Sayyidina Umar: “Nanti setelah Allah mensucikan engkau, Muhammad
(s.a.w) akan memberi minum kepadamu air yang kamu tidak akan dahaga
selepas meminumnya buat selama-lamanya. Wahai hambaku (ghulamku)
pukullah terus.” Bila pukulan kelapan puluh mengenainya, Abu Syahmah
mengucapkan, “Ayah! Assalamu’alaikum.” Sayyidina Umar: “Wa’alaikum salam.
Bila engkau bertemu Muhammad (s.a.w) maka sampaikanlah salamku kepadanya
dan katakanlah kepadanya bahawa aku meninggalkan Umar dalam keadaan
membaca al-Quran dan melaksanakan hudud Tuhan. Wahai hambaku (ghulamku)
pukullah lagi.” Lidah Abu Syahmah terkeluar setelah menerima 90 pukulan, maka
berkejaranlah para sahabat kepada Amiril Mukminin sambil mereka berkata:
“Tundakanlah sebatan yang baki lagi itu.” Sayyidina Umar: “Sebagaimana
perlakuan dosa tidak ditunda, begitulah juga hukumannya tidak boleh ditunda.”

Raungan dan teriakannya yang bergema itu sampai juga ke telinga ibu Abu
Syahmah. Ia datang sambil berteriak dan menangis lalu merayu, “Wahai Umar!
Sebagai ganti kepada tiap-tiap pukulan yang baki lagi itu, akan aku mengerjakan
haji dengan berjalan kaki dan akan bersedekah sekian banyak.” Sayyidina Umar:
“Haji dan sedekah tidak boleh menjadi kaffarah kepada hukuman had. Wahai
hambaku (ghulamku), sempurnakanlah pukulan.”

Bila pukulan terakhir mengenai tubuhnya, maka jatuhlah anak itu dalam keadaan
telah mati. Pada ketika itu, Sayyidina Umar kedengaran berkata, “Wahai anakku!
Semoga Allah menghapuskan dosamu.” Lalu diletakkan kepala Abu Syahmah
diribaan ibunya dan beliau menangis tersedu-sedu sambil berkata, “Kutebus
ayahku untuk orang yang mati ketika selesai menjalani hukuman had. Kutebus
ayahku untuk orang yang ayahnya dan keluarganya tidak mengasihaninya.”

Pada ketika itu orang ramai pun melihat kepada Abu Syahmah. Didapati mereka
dia telah pun mati. Tidak ada hari yang lebih menyedihkan mereka daripada hari
itu. Teriakan dan tangisan mereka bergema memenuhi angkasa.

Setelah 40 hari berlalu peristiwa itu, maka pada suatu pagi hari Jumaat datang
Huzaifah bin al-Yaman r.a. Beliau menceritakan kepada Amiril Mukminin dengan
berkata, “Wahai Amiril Mukminin! Malam tadi setelah selesai saya membaca
semua wirid-wirid, saya tertidur dan bermimpi bertemu dengan Rasulullah
(s.a.w). Bersama Baginda ada seorang anak muda yang memakai sepasang
pakaian hijau. Rasulullah pun berkata kepada saya, “Sampaikan salamku kepada
Umar. Katakan kepadanya, begitulah Allah menyuruh kamu membaca al-Quran
dan melaksanakan hukum had.” Kemudian budak itu pun berkata, “Sampaikan
juga salamku kepada ayahku dan katakan juga kepadanya semoga Allah
membersihkanmu sebagaimana engkau telah membersihkan saya.” (Al-
Maudhu’aat jilid 3 ms. 269, Al laali’u al-Masnu’ah, jilid 2, ms. 194-198).

Selepas mengemukakan riwayat ini, Imam Ibnu al-Jauzi memutuskan dengan


katanya, “Riwayat ini maudhu’ (palsu) biar melalui sanad dan jalan manapun ia
diriwayatkan. Kisah ini telah direka oleh ahli-ahli cerita dengan tujuan
membuatkan orang-orang awam dan orang-orang perempuan menangis.
Beberapa perkara daripada hasil rekaan fikiran mereka telah dihubungkan kepada
Sayyidina Umar dan para sahabat r.a. Perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang
digunakan di dalam cerita ini begitu lemah dan rapuh sehingga dengan terang
menunjukkan kepalsuannya selain daripada menunjukkan juga betapa jahilnya
pereka cerita ini kerana tidak mengetahui masalah-masalah fiqh yang biasa.”

Perawi kisah ini mengatakan bahawa Sayyidina Umar meminta anaknya


bersumpah supaya mengakui dosa yang dilakukannya. Ini adalah satu perkara
biasa yang agak sukar untuk diterima berlakunya daripada seorang seperti
Sayyidina Umar, kerana meskipun Maaiz al-Aslami r.a mengakui telah berzina di
hadapan Nabi (s.a.w) namun baginda berpaling daripadanya. Berkali-kali dia
mengakui berkali-kali pula baginda berpaling sehingga akhirnya baginda berkata
kepadanya, “Engkau ini sudah gilakah?” Rasulullah (s.a.w) juga pernah bersabda,
“Elakkan daripada melaksanakan hudud seboleh-bolehnya.” Sayyidina Umar r.a.
sendiri pernah berkata kepada seorang yang mengakui dosanya di hadapan Nabi
(s.a.w) bahawa, “Kalau Allah telah menutup keaibanmu kenapa pula kamu tidak
menutupnya?” Dalam keadaan ini mana mungkin Sayyidina Umar meminta
anaknya bersumpah supaya mengakui telah berzina?

Dialog di antara Sayyidina Umar dan anaknya Abu Syahmah pada setiap kali dia
dipukul juga merupakan bukti bahawa cerita ini telah diada-adakan oleh orang
pasar yang jahil. Perawi-perawi jahil itu juga menyatakan bahawa sahabat-
sahabat Rasulullah (s.a.w) telah menasihati Sayyidina Umar supaya
menghentikan hukuman had, begitu juga dengan kata-kata ibu Abu Syahmah
bahawa dia akan naik haji dengan berjalan kaki sebagai ganti kepada setiap
sebatan ke atas anaknya.
Perkara-perkara yang karut seumpama ini adalah tersangat jauh akan berlakunya
daripada sahabat-sahabat Rasulullah (s.a.w). Mimpi Huzaifah juga tidak kurang
karutnya. (Al-Maudhu’aat, jilid 3 ms. 274)

Imam as-Suyuthi mengomentari kisah ini dengan mengatakan riwayat ini


maudhu’. Beberapa orang perawinya majhul. Daraquthi berkata, “Riwayat
Mujahid ini tidak sahih.” (Al laali’u al-Masnu’ah, jilid 2 ms. 198).

Sebahagian daripada kecacatan yang terdapat dalam riwayat ini telah


diisyaratkan oleh Imam Ibnu al-Jauzi dan as-Suyuthi seperti yang telah
dikemukakan di atas.
Tetapi di sana masih terdapat banyak lagi kecacatan yang meyakinkan kita
tentang kepalsuan cerita ini. Di antara yang dapat disebutkan di sini ialah:

(1) Perawi kisah ini menggunakan perkataan ‘ghulam’ pada beberapa tempat
dalam makna-maknanya yang berlainan. Pada beberapa tempat perkataan
‘ghulam’ dipakai dengan makna ‘hamba’ dan pada beberapa tempat yang lain
pula dengan makna ‘budak lelaki’. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa pereka
cerita ini adalah orang Persia, yang mana bahasa Arab bukan bahasa ibundanya.
Kerana itulah kadang-kadang ia memakai perkataan ini dengan makna Arab dan
kadang-kadang dengan makna Farsi. Dalam bahasa Farsi perkataan ‘ghulam’
bermakna ‘hamba’ dan ‘khadam’. Untuk Aflah, perawi menggunakan makna ini di
setiap tempat. Dalam bahasa Arab pula ‘ghulam’ bermakna budak lelaki yang
belum baligh (cukup umur). Tentu sekali dengan perkataan ghulam dengan
makna hamba tidak boleh digunakan untuk Abu Syahmah. Jadi bila perkataan ini
digunakan untuk Abu Syahmah maka penggunaannya itu mestilah dengan makna
Arab yakni ‘budak lelaki’. Tetapi perkataan ghulam pula tidak digunakan untuk
menunjukkan semua peringkat budak lelaki, ia menunjukkan hanya kepada
budak lelaki yang belum baligh. Kesimpulannya, cerita ini selain daripada
menunjukkan perekanya orang Persia, ia juga menunjukkan kedangkalannya
dalam bahasa Arab. Kalau Abu Syahmah seorang budak lelaki yang belum baligh
sebagaimana yang nyata pada penggunaan perkataan
ghulam, maka ini bermakna cerita ini telah merobohkan dirinya sendiri.

(2) Tidak ada seorang pun hamba Sayyidina Umar bernama Aflah. Yang ada
hanya Aslam. Aflah itu nama seorang muadzin di masjid Nabi (s.a.w). Sayyidina
Umar telah memerintahkannya supaya menjadi muadzin di masjid Nabawi.

(3) Riwayat pertama yang dikemukakan terdahulu menyatakan perempuan itu


selalu berulang-alik ke rumah Sayyidina Umar dengan membawa anaknya dan ini
menunjukkan ia seorang perempuan yang sudah berkahwin, bukan gadis
sedangkan riwayat ini pula menunjukkan bahawa ia masih gadis. Sayyidina Umar
r.a. tidak mengenalinya. Barulah di masjid itu kali pertama Sayyidina Umar
melihat perempuan itu. Bagaimanapun kedua-dua riwayat sepakat samada kita
mengatakan perempuan itu sudah berkahwin atau masih gadis - bahawa kedua-
duanya tidak bersungut apa-apa tentang anaknya itu sampai sekian lama. Ini
menunjukkan perbuatan keji itu berlaku dengan kerelaan dirinya. Oleh itu
sepatutnya kedua duanya menerima hukuman had kecuali kalau ia dirogol maka
barulah lelaki sahaja yang dihukum.

(4) Abu Syahmah itu adalah kuniah (nama samaran), bukannya nama sebenar.
Kedua-dua riwayat tidak menjelaskan apakah nama orang yang dikuniahkan
dengan Abu Syahmah itu.

(5) Riwayat pertama menyebutkan bahawa hukuman had telah dijalankan oleh
Sayyidina Ali r.a. dan Sayyidina Umar r.a. sedangkan dalam riwayat ini pula yang
menjalankannya ialah Aflah, seorang hamba Sayyidina Umar yang tak pernah
wujud itu.

(6) Dalam riwayat pertama tidak disebut langsung tentang arak sedangkan dalam
riwayat ini disebutkan arak sebagai punca perbuatan keji itu berlaku.

(7) Riwayat pertama juga langsung tidak menyebutkan mimpi dan dialog di
antara Sayyidina Umar dan anaknya Abu Syahmah begitu juga di sana tidak
disebut tentang
nazar ibu Abu Syahmah.

Ini bermakna telah berlaku beberapa penambahan dalam riwayat kedua ini
daripada riwayat pertama. Ia juga menunjukkan bahawa asalnya cerita ini
tidaklah sedetail yang tersebut dalam riwayat yang kedua. Perincian yang
terdapat di dalam riwayat kedua, dan begitu juga dalam riwayat-riwayat lain
adalah daripada tokok tambah ahli-ahli cerita yang datang kemudian. Bagaikan
mereka mengadu nasib pada cerita ini untuk dihiaskan dengan perhiasan-
perhiasan yang dirasakan elok oleh khayalan masing-masing. Kerana itulah ada
di antara mereka mengatakan bahawa Abu Syahmah mati apabila dikenakan ke
atasnya sebatan yang ke- 80, bererti 20 sebatan yang terkemudian itu telah
dilakukan ke atas mayat Abu Syahmah.

(8) Sesiapa yang membaca kisah ini akan terasa kepadanya bahawa di zaman
pemerintahan Sayyidina Umar, Madinah Rasulullah (s.a.w) adalah sebuah bandar
yang tidak asing daripada arak. Kedai-kedai arak ada di mana-mana sahaja.
Anak-anak sahabat-sahabat agung Rasulullah sendiri pun tidak terpelihara
daripada arak yang merupakan punca kepada segala kekejian. Sesungguhnya ini
adalah satu gambaran Khalifah Sayyidina Umar yang sungguh mengecewakan.
Tidakkah saksi-saksi sejarah telah mengakui bahawa Khalifah Umar r.a. telah
menghalau keluar orang-orang Yahudi daripada Tanah Arab di zaman
pemerintahnya? Atau cerita ini juga merupakan salah satu mata rantai usaha-
usaha orang-orang Yahudi yang bermaksud menonjol-nonjolkan kekurangan atau
keburukan Khalifah Umar yang diadaka-adakan mereka sendiri?

(9) Perbuatan keji yang dikatakan telah dilakukan oleh Abu Syahmah itu berlaku
di dalam sebuah kebun Banu an-Najjar. Besar sekali kemungkinan bahawa arak
itu diminumnya di kawasan yang berhampiran dengannya. Tetapi tahukah anda
di mana terletaknya kawasan Banu an-Najjar itu? Sesungguhnya kawasan itu
adalah kawasan Masjid Nabi (s.a.w) di mana ia merupakan tempat kediaman
Banu an-Najjar sebelum mereka menganut Islam. Kediaman Abu Ayyub al-Ansari
juga terletak di kawasan ini. Di kawasan itu dibangunkan Masjid Nabi bilamana
baginda datang ke Madinah. Kisah ini semacam mahu membuktikan bahawa
perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh Abu Syahmah di kawasan yang
berhampiran dengan Masjid Nabi. Perkara seumpama ini hanya boleh dikatakan
oleh musuh-musuh ketat Islam dan hanya boleh diterima oleh orang-orang Islam
yang buta sejarah atau telah kebas akalnya kerana telah begitu banyak
menerima suntikan-suntikan narkotik daripada musuh-musuh Islam.

(10) Di permulaan riwayat ini dikatakan bahawa Sayyidina Umar mengajak Ibnu
Abbas ke rumahnya kemudian Sayyidina Umar masuk ke dalam rumah. Di sini
timbul satu pertanyaan samada Ibnu Abbas turut masuk ke dalam bersama
Sayyidina Umar atau tidak. Kalau dikatakan masuk, tidak mungkin sebab beliau
bukan mahram. Bagaimana Sayyidina Umar menerima kemasukannya. Kalau
dikatakan pula bahawa beliau tidak masuk, maka siapa pula yang menceritakan
kepadanya segala apa yang berlaku berupa dialog dan sebagainya di antara
Sayyidina Umar dengan anaknya Abu Syahmah? Dari siapa Ibnu Abbas menerima
semua cerita itu? Adakah sesiapa yang berani tampil ke hadapan untuk
menjelaskan perkara ini?

(11) Seperkara lagi yang terlalu aneh dalam kisah ini iaitu Sayyidina Umar telah
menghimpunkan penduduk Madinah di Masjid Nabi (s.a.w) sebelum lagi beliau
bertanya anaknya Abu Syahmah. Seolah-olahnya sudah lama benar beliau
mengintai-intai peluang untuk membunuh anaknya.

RIWAYAT VERSI ABDUL QUDDUS

Sebetulnya banyak lagi keaiban dan kecacatan yang terdapat dalam cerita ini
selain daripada yang dikemukakan tadi. Tetapi ada lagi seorang manusia yang
membawa cerita ini dengan warnanya yang tersendiri iaitu Abdul Quddus. Dia
menukilkan riwayat ini daripada Safwan. Ada baiknya kita melihat dahulu
ceritanya sebelum kita mengomentarinya dengan lebih lanjut. Ceritanya berbunyi
begini:

Bahawasanya Sayyidina Umar mempunyai dua orang anak lelaki. Seorang


bernama Abdullah dan seorang lagi bernama Ubaidullah. Ubaidullah inilah yang
dipanggil Abu Syahmah. Perawi menceritakan bahawa Abu Syahmah ini mirip
rupanya dengan Rasulullah (s.a.w). Dia sentiasa asyik membaca al-Quran.
Pernah dia sakit teruk, ketika itu Ummahatul Mukminin selalu datang
menziarahinya. Pada suatu hari mereka datang melawatnya lalu mereka berkata
kepada Sayyidina Umar, “Wahai Umar! Bernazarlah untuk anakmu ini
sepertimana pernah Ali r.a. bernazar untuk anak-anaknya Hasan dan Husain.
Allah (s.w.t) telah menyembuhkan mereka berdua.” Maka bernazarlah Sayyidina
Umar bahawa “Kalau anakku Ubaidullah (Abu Syahmah) ini sembuh daripada
penyakitnya, aku akan berpuasa selama 3 hari.” Ibu Abu Syahmah juga bernazar
seperti ayahnya Khalifah Umar r.a. Hasilnya anak itu sembuh. Selepas sembuh
dia pergi ke kedai arak seorang Yahudi dan
mabuk setelah meminum nabiz di situ. Kemudian dia masuk ke kebun Banu an-
Najjar. Di situ didapatinya ada seorang perempuan sedang tidur. Dia terus
mendakapnya dan memadamkan api nafsu buasnya yang bernyala-nyala dengan
hebatnya. Apabila dia selesai melakukan perbuatan terkutuk itu, perempuan itu
menyumpah-nyumpahnya dan mengoyak-rabakkan pakaiannya. Kemudian
perawi terus menceritakan lebih kurang seperti yang telah dikemukakan sebelum
ini.

Imam Ibnu al-Jauzi mengomentari cerita ini dengan berkata, “Mula-mula mereka
(pereka cerita) mengatakan Abu Syahmah itu rupanya mirip dengan rupa
Rasulullah
(s.a.w). Kemudian mereka menuduh pula dia merogol perempuan. Perawinya
ialah Abu al-Quddus bin al-Hajjaj, seorang pendusta besar.” Ibnu Hibban berkata,
“Mengemukakan riwayat-riwayat darinya sahaja pun tidak halal.” (Al-Maudhu’aat
jilid 3 ms. 275)

Riwayat ketiga ini menunjukkan dengan seterang-terangnya kepada kita hakikat


pereka-perekanya. Siapakah mereka dan apakah sebenarnya motif yang
mendorong mereka mencipta cerita-cerita yang seperti ini. Hasil analisa kita
terhadap cerita ini menampilkan beberapa kesimpulan seperti berikut:

(1) Maksud mereka bukan sekadar melakukan ‘tabarra’ terhadap Sayyidina Umar
dan keluarga beliau tetapi juga melalui beberapa perkataan yang terdapat di
dalamnya mereka melakukan ‘tabarra’ terhadap Rasulullah (s.a.w) dengan
menyerang Baginda dengan serangan yang sangat halus tetapi sangat tajam.

(2) Oleh kerana mereka juga tidak percaya kepada al-Quran yang ada ini maka
mereka mempersenda-sendakan orang-orang yang membacanya seolah-olah al-
Quran yang ada ini tidak membuah apa-apa pekerti yang baik di dalam diri
pembaca-pembacanya. Lihatlah kepada Abu Syahmah yang sentiasa asyik
membaca al-Quran. Apakah hasil yang diperolehinya dari membaca al-Quran itu?
Tidak lain hanyalah perlakuan keji yang telah menyeretnya menerima hukuman
had hingga mati.

(3) Paling mendukacitakan ialah pereka-pereka cerita ini tidak mengetahui


bahawa Abu Syahmah bukannya kuniah Ubaidullah. Sekiranya mereka berkeras
mengatakan Abu Syahmah ialah kuniah Ubaidullah maka sikap itu merupakan
bukti paling besar tentang pendustaan mereka. Sebabnya ialah Ubaidullah bin
Umar terus hidup sampai kepada peperangan Siffin dan dalam peperangan itu
beliau syahid di pihak Mu’awiyah. Semua ahli sejarah termasuk ahli sejarah dari
kalangan Syi’ah mengatakan apabila Sayyidina Umar terbunuh syahid, maka
Ubaidullah terus membunuh Hurmuzan yang dianggapnya bersubahat dalam
pembunuhan Khalifah Umar. Kes pembunuhannya itulah merupakan kes pertama
yang dihadapi Sayyidina Utsman setelah beliau dilantik menjadi Khalifah. Adakah
Ubaidullah telah hidup kembali setelah mati menerima hukuman had seperti yang
tersebut dalam kisah yang sedang kita bicarakan sekarang? Atau musuh-musuh
Islam itu tidak nampak sesuatu yang lain selain daripada hasrat mereka
memburuk-burukkan dan menghina Sayyidina Umar serta keluarganya dan
dalam kekalutan mereka memburu hasrat itu, mereka tidak sedar lagi siapa yang
telah mati dan siapa pula yang masih hidup?

(4) Nabiz itu sendiri asalnya bukanlah sesuatu yang haram kecuali kalau ia
memabukkan. Dan ia tidak memabukkan melainkan selepas 3 atau 4 hari.
Kenapakah
golongan pereka cerita palsu yang bodoh ini telah menganggap setiap nabiz
memabukkan. Di dalam riwayat yang pertama sebelum ini telah kita lihat
bagaimana
dengan jelas mereka menuduh Abu Syahmah meminum arak (khamar)
sedangkan di sini lain pula ceritanya.

(5) Riwayat ini membuktikan bahawa wanita yang dengannya Abu Syahmah
melakukan perzinaan itu adalah seorang perempuan (imraah) yang memberi erti
seorang yang sudah berkahwin. Soalnya kenapakah perempuan itu
menyembunyikan sampai begitu lama perkara yang mencemarkan
kehormatannya sehingga melahirkan anak. Sebenarnya bagi seorang perempuan
yang sudah berkahwin Melahirkan anak bukan satu perkara pelik. Apa buktinya
anak itu bukan anak suaminya? Dakwaannya
semata-mata tidak boleh dijadikan bukti kerana bukti dan dalil itu adalah sesuatu
yang lain daripada dakwaan. Bahkan kita berpendapat diamnya perempuan itu
selama 9 bulan merupakan sebesar-besar bukti kebohongannya. Seperti sama-
sama telah kita maklum bahawa kisah ini telah diriwayatkan melalui 3 jalan.
Tetapi tidak disebutkan di dalam mana-mana jalan pun tentang perempuan
tersebut. Orang Arabkah dia atau orang Yahudi? Atau perempuan itu sengaja
dibawa datang dari Persia untuk menyiapkan cerita ini?

(6) Lihatlah bagaimana tabarra yang telah mereka lakukan terhadap Nabi (s.a.w)
dan al- Quran pada satu tempat di dalam cerita ini dan pada tempat yang lain
pula tabarra terhadap Sayyidina Umar dan keluarganya sedangkan pada masa
yang sama diajarkan supaya menuruti jejak langkah Sayyidina Ali.

Walaupun begitu mereka tetap bercanggah pendapat yang menunjukkan pula


kepalsuan cerita-cerita ini. Ada yang mengatakan hukuman had ke atas Abu
Syahmah dijalankan oleh Aflah. Yang lain pula mengatakan ia dijalankan oleh
Sayyidina Ali dan Sayyidina Umar. Di antara mereka ada yang mengatakan,
“Wanita yang memegang watak penting dalam cerita ini masih gadis (jariah). Ada
pula yang mengatakan, “Wanita itu sudah berkahwin (imraah). Ada yang
mengatakan Abu Syahmah itu Ubaidullah tetapi ada yang dengan segera
membantah, “Mana boleh, kerana Ubaidullah itu terus hidup selepas kematian
ayahnya Khalifah Umar dan ikut serta dalam peperangan Siffin di pihak
Mu’awiyah.” Justeru itu mereka hanya menyebutkan Abu Syahmah sahaja, tidak
berani menyebutkan nama sebenar Abu Syahmah. Begitulah rupanya episod dan
kesudahan pembohong-pembohong yang mengarang cerita-cerita bohong.
Sampai akhir fikiran mereka bercelaru dan bertentangan di antara satu dengan
yang lain.
UMAR MEMUKUL ABDUL RAHMAN

Sebenarnya Abu Syahmah itu bukanlah kuniah Ubaidullah tetapi kuniah Abdul
Rahman al-Ausath, iaitu salah seorang anak Sayyidina Umar. Kisah sebenarnya
sejauh yang diterima oleh ulama’-ulama’ pengkaji hadits tidak lebih dari yang
disebutkan oleh mereka bahawa pernah Abdul Rahman al-Ausath mengikuti Amar
bin al-’Ash r.a. dalam satu angkatan jihad di Mesir. Pada suatu hari beliau minum
nabiz dan kebetulannya beliau mabuk.Pada pagi keesokannya beliau pergi
menemui Amar bin al-’Ash meminta supaya dijalankan had ke atasnya. Akan
tetapi Amar bin al-’Ash enggan melaksanakannya justeru beliau tidak mendapati
langsung kesan-kesan mabuk padanya dan tidak ada pula saksi yang
menyaksikan (selain daripada keyakinannya yang berasaskan pendapat bahawa
bukan semua nabiz itu memabukkan dan Abdul Rahman atau Abu Syahmah pula
tidak meminumnya dengan kesedaran bahawa nabiz itu sudah memabukkan).
Abdul Rahman pun berkata, “Kalau engkau tidak melaksanakan hukuman had ke
atas saya, saya akan mengadukan perkara ini kepada ayah saya.” Dengan
terpaksa Amar bin al-’Ash pun menjalankan hukuman had ke atasnya di dalam
khemahnya sampai tidak diketahui oleh sesiapa pun. Kemudian Sayyidina Umar
mendapat tahu perkara ini, beliau menegur Amar bin al-’Ash dengan katanya,
“Kenapakah engkau tidak jalankan hukuman itu di hadapan khalayak ramai
malah sebaliknya engkau sembunyikan perlaksanaannya?” Tatkala Abdul Rahman
pulang ke Madinah berikutan kemenangan yang dicapai oleh orang-orang Islam
di Mesir maka Sayyidina Umar memukul Abdul Rahman sebagai ta’dib dan
tarbiyah. Secara kebetulan beberapa hari kemudian Abdul Rahman jatuh sakit
dan sakitnya itu rupa-rupanya membawa beliau menemui ajalnya.

Selepas mengemukakan cerita ini, Imam Ibnu al-Jauzi dan as-Suyuthi menulis
bahawa, “Sekadar inilah asalnya cerita ini tetapi ahli-ahli cerita telah menokok
tambahnya sehingga menjadi satu cerita yang tersendiri pula.” (Al-Maudhu’aat
jilid 3 ms. 275, Al laali’u al-Masnu’ah jilid 2 ms. 198)

KESIMPULAN

Walaubagaimanapun agaknya kita telah sama-sama dapat menyimpulkan


daripada pembentangan kisah-kisah ini melalui ketiga-tiga jalannya bahawa
merekacipta cerita-cerita seumpama ini merupakan permainan dan pekerjaan
orang-orang Majusi dan Yahudi yang menaruh dendam kesumat dan kebencian
yang tiada terperi terhadap Sayyidina Umar yang bertanggungjawab
menjatuhkan kedua-dua empayar mereka.

Kelainan yang terdapat pada cerita-cerita tersebut adalah hasil kecekapan


mereka dalam persembahan silap mata mereka semata-mata. Walaupun motif
kesemuanya adalah sama iaitu ‘tabarra’ terhadap musuh dan ‘tawalla’ kepada
orang yang didakwa disayangi seperti Sayyidina Ali dan lain-lain.

Saringan oleh www.darulkautsar.net dari artikel asal oleh Maulana Muhammad Asri Yusoff