Anda di halaman 1dari 2

Biro Dakwah Amar Maaruf Nahi Munkar, Masjid Jamek Kampung Nakhoda

Mimbar Nakhoda O a
BIL: 24/REJAB 1436H/MEI 2015M

PERCUMA UNTUK AHLI JEMAAH MASJID

Israk Mikraj Dan


Keistimewaan Bulan Rejab
Bulan Rejab adalah di antara bulan yang mulia dalam Islam. Umat Islam
tentu akan kedatangan bulan ini setiap tahun. Pada malam 27 Rejab tahun ke-11
kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam telah terjadi suatu
peristiwa luar biasa yang mengemparkan serta menakjubkan fikiran, iaitu
peristiwa Israk dan Mikraj. Israk bererti Allah membawa atau memperjalankan
Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam pada malam hari dari MasjidilHaram Makkah ke Masjidil-Aqsa di Palesin. Sementara Mikraj pula perjalanan
Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam dari bumi di Masjidil-Aqsa naik
ke langit. Dengan itu Israk dan Mikraj bermaksud perjalanan Nabi Muhammad
Shallallahu Alaihi Wasallam pada waktu malam hari dari Masjidil-Haram ke
Masjidil-Aqsa, kemudian naik ke langit hingga ke Sidratul-Muntaha, dengan
menembusi planet-planet dunia serta menjelajahi 7 lapis langit kemudian kembali
semula ke Makkah pada malam itu juga.
Peristiwa Israk dan Miraj yang dialami sendiri oleh Nabi Shallallahu
Alaihi Wasallam dengan jasad dan tubuhnya adalah satu peristiwa ghaib yang
mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia. Ia dikatakan luar biasa
kerana kejadian tersebut dilalui oleh Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi
Wasallam dalam waktu yang singkat, cuma memakan masa 1/3 malam. Walhal
jika difikirkan jarak antara Masjidil-Haram dengan Masjidil-Aqsa bukanlah satu
jarak yang dekat, lebih-lebih lagi naik ke langit hingga naik ke langit yang ke-7
tanpa menggunakan peralatan yang canggih sepertimana hari ini. Kemudian
banyak peristiwa yang dialami dan banyak permandangan yang dapat dilihat oleh
Baginda Rasullulah Shallallahu Alaihi Wasallam terutamanya kenikmatan
Syurga dan juga berbagai bentuk penyeksaan di dalam Neraka.

Israk Mikraj Sebagai


Ujian Atas Keimanan
Setelah Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam selesai mengalami
Israk dan Mikraj, Baginda Shallallahu Alaihi Wasallam membuat pengumuman di
hadapan orang ramai memberitahu yang Baginda Shallallahu Alaihi Wasallam telah
diisrak-Mikrajkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala disamping menceritakan semua
perkara yang Baginda Shallallahu Alaihi Wasallam alami ketika itu dengan harapan
golongan Kafir Quraisy yang mendengar penjelasan Baginda Shallallahu Alaihi
Wasallam itu akan beriman kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan mengikut
ajaranNya.
Namun mereka tidak juga mempercayai kata-kata Rasullulah Shallallahu
Alaihi Wasallam malah memperolok-olokkannya dengan dalih bahawa semua cerita
Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam itu tidak masuk akal. Hanya sedikit
yang beriman, itu pun dalam keadaan yang was-was. Bagi kita sebagai Muslim dan
Mukmin, kejadian Israk dan Mikraj ini tidak sulit untuk difikirkan ini kerana kita sendiri
mengetahui dan mengakui bahawa kekuasaan Allah Subhanahu Wa Taala boleh berlaku
dengan kehendakNya.
Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam berangkat dari Masjidil
Haram bersama Malaikat Jibrail adalah dengan menaiki Buraq yang sekali melangkah
jauhnya adalah sejauh mata memandang. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman, Surah
Al-Isra ayat 1:

Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj benar-benar dialami oleh Nabi


Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam kerana telah termaktub di dalam Al-Quran
dan kita wajib percaya dan beriman dengannya.
Mimbar Nakhoda ini diterbitkan secara bulanan oleh Biro Dakwah Amar Maaruf Nahi Munkar, Masjid Jamek Kampung Nakhoda,
Jalan Nakhoda Tengah, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan dengan kerjasama Naqsyabandi Akademi Quran Sunnah Hadits,
Madrasah Ulul Azmi, Kampung Sepakat Wira Damai, Batu Caves. Cetakan adalah terhad, maka digalakkan untuk difotostat dan
diedarkan kepada orang lain, semoga Allah memberkati dan memberikan ganjaran pahala yang berterusan, Amin.

Ketua Editor: Ust. Jalalluddin Ahmad Ar-Rowi / Penolong Editor: Sdr. Muhammad Taufiq

Biro Dakwah Amar Maaruf Nahi Munkar, Masjid Jamek Kampung Nakhoda

HIKMAH PERISTIWA
Israk Dan Mikraj

KESEDIHAN NABI MENJELANG

ISRAK DAN MIKRAJ


Apabila kita meneliti catatan sejarah, didapati pada bulan Rejab tahun ke-11
Kerasulan Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam, beliau benar-benar
berada dipuncak kesedihan. Baginda Shallallahu Alaihi Wasallam telah menghadapi 2
musibah berturut-turut, iaitu pemergian 2 insan yang amat berjasa dan sangat dikasihi.
Pemergian itu adalah pemergian buat selama-lamanya menghadap ke Hadhrat Ilahi. Musibah
yang dimaksudkan itu ialah wafatnya Siti Khadijah isteri yang dicintai. Tidak lama kemudian
menyusul pula kewafatan bapa saudaranya Abu Thalib. Tahun tersebut adalah tahun dukacita
bagi Rasullulah Shallallahu Alaihi Wasallam. Bagi Rasullulah Shallallahu Alaihi Wasallam
kewafatan Siti Khadijah bukan sekadar kehilangan isteri yang menumpahkan taat-setia, kasihsayang dan ketabahan yang luar biasa, tetapi Siti Khadijah juga berfungsi sebagai sumber
inspirasi dalam perjuangan Rasullulah Shallallahu Alaihi Wasallam.
Sebagai insan berharta, Siti Khadijah telah mengorbankan sebahagian besar harta
miliknya dengan penuh ikhlas dan rela demi kepentingan dan kemajuan dakwah Rasullulah
Shallallahu Alaihi Wasallam dalam menegakkan Islam. Adanya Siti Khadijah di sisinya
dengan perangsang yang diberikan, Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam merasa
segala beban yang dipikulnya menjadi ringan dan segala kepahitan terubat yang mana ia
menjadi sumber kekuatan dan semangat untuk mengembangkan Islam. Demikian juga
halnya kewafatan Abu Thalib, bapa saudaranya yang bermati-matian membela dan
melindunginya daripada ancaman orang Kafir Quraisy. Lantaran Abu Thalib tergolong di
dalam orang yang disegani di kalangan bangsa Arab, menyebabkan orang Kafir Quraisy
tidak berani menggangu Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam secara terang-terangan.
Namun, setelah Abu Thalib dan Siti Khadijah wafat mereka begitu berani sekali mengganggu
dan mengancam Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam.
Setelah Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam merasakan ruang pergerakan dakwah
di Makkah semakin sempit dan keselamatan Ummat Islam sudah tidak terjamin, Rasullulah
Shallallahu Alaihi Wasallam memutuskan untuk pergi ke Taif dengan harapan penduduk Taif
akan menerima seruan dan membantu perjuangannya. Namun di luar dugaan, mereka bukan
sahaja tidak memberikan perlindungan kepada Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam bahkan
melemparkan pelbagai cacian, penghinaan dan penganiayaan. Kerana cabaran itu Rasullulah
Shallallahu Alaihi Wasallam kembali semula ke Makkah. Betapa beratnya penderitaan
yang diterima oleh Baginda Rasullulah Shallallahu Alaihi Wasallam tentunya tidak dapat
kita bayangkan. Dalam keadaan seperti itu, bagi memantapkan dan menghiburkan Rasullulah
Shallallahu Alaihi Wasallam, maka Allah memerintahkan kepada Malaikat Jibril agar
mengisrak Mikrajkan Rasullulah Shallallahu Alaihi Wasallam.

Daripada peristiwa Israk Mikraj ini terdapat beberapa Hikmah yang


terkandung di dalamnya beberapa pengajaran yang amat berguna sekali untuk
Ummat Islam, di antaranya ialah:
1-

2-

3-

4-

Agar manusia sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik ketika ditimpa kesusahan
mahupun kesenangan. Ini kerana hanya Allah sahajalah yang mampu memberikan pertolongan dan
menghilangkan segala kesedihan serta kesusahan pada diri manusia, sebagaimana Nabi
Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadinya
Israk Mikraj. Ia memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah
sewaktu mendapat musibah dan permasalahan dalam kehidupan. Caranya adalah dengan
melaksanakan apa yang diperintahkan dan menjauhi semua laranganNya di samping terus
meningkatkan ketaqwaan dan amalan Ibadah. Ternyata apabila Jibril Alaihissalam mengajak Nabi
Shallallahu Alaihi Wasallam berangkat dan keberangkatan itu adalah untuk menemui Allah,
alangkah gembira hati Rasullulah Shallallahu Alaihi Wasallam sehingga Baginda Shallallahu
Alaihi Wasallam lupa segala masalah yang telah berlaku, tidak dihiraukan lagi kegelapan malam
dan jauhnya perjalanan yang bakal ditempuhi itu.
Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, sewaktu Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam diajak
meninjau keadaan Neraka. Baginda ditunjukkan berbagai penyeksaan yang amat dahsyat sedang
dialami oleh berbagai kaum akibat dari bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan di Dunia.
Misalnya, Baginda bertemu dengan satu kaum yang memecahkan kepala mereka dengan batu
besar. Setelah pecah, ia kembali lagi seperti sediakala. Malaikat Jibril Alaihissalam menyatakan
bahawa mereka ini orang yang berat kepalanya mengerjakan Shalat. Nabi Muhammad Shallallahu
Alaihi Wasallam juga melihat lain-lain bentuk penyeksaan bagi pemakan riba, penzina, orang yang
suka memfitnah dan lain-lain. Ini semuanya memberi teladan dan iktibar agar kita yang hidup di
Dunia ini tidak melakukan perbuatan tersebut dan lain-lain perbuatan yang jelas dilarang oleh
Allah.
Mendapat perintah Shalat sebagai satu bentuk Ibadah. Sesungguhnya kewajiban Shalat berbeza
dengan kewajiban-kewajiban yang lain seperti Puasa, Zakat dan Haji. Lantaran itu kewajiban Shalat
disampaikan oleh Allah secara langsung kepada Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam
tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril Alaihissalam. Shalat merupakan amalan yang paling awal
dihisab di Akhirat kelak. Ini menunjukkan bahawa Shalat memiliki kelebihan berbanding Ibadahibadah yang lain. Kita harus bersyukur kerana melalui Ibadah Shalat, seseorang Muslim
berpeluang untuk berdialog terus dengan Allah.
Memperlihatkan kebesaran Allah sebagai Pencipta agar keyakinan terhadap KekuasaanNya benarbenar tumbuh di dalam jiwa manusia. Sesungguhnya Allah yang menciptakan alam yang serba luas
dan indah ini. Dalam Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu
Alaihi Wasallam akan keagungan dan pelbagai keajaiban ciptaanNya yang terdapat di alam lain
seperti Sidratul-Muntaha, Arasy, Syurga dan lain-lain lagi.

Adalah diharapkan Ummat Islam yang memperingati peristiwa Israk dan Mikraj pada saban tahun tidak
sekadar terikut-ikut atau cuma memperingati tarikh berlakunya peristiwa tersebut tetapi kosong tanpa
penghayatan. Apa yang penting, berbagai Hikmah yang terkandung di dalamnya hendaklah direnungkan
dengan teliti, agar nanti dapat memberi nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan
ketaqwaan dan prestasi Ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan Ilmu pengetahuan dalam
menghadapi Dunia yang semakin mencabar ini.