Anda di halaman 1dari 12

DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

Nota Minggu Pertama

PENGENALAN KEPADA EKONOMI DAN SISTEM EKONOMI

Matlamat Pengajaran

Adalah diharapkan selepas kuliah ini pelajar dapat:


1. menerangkan definisi ekonomi
2. menerangkan analisis ekonomi dalam bentuk analisis positif dan analisis normatif
3. menerangkan maksud ceteris Paribus
4. menerangkan perbezaan cabang kajian ekonomi iaitu ekonomi mikro dan ekonomi
makro
5. menerangkan konsep kekurangan, pilihan dan kos lepas
6. mengetahui apakah masalah asas ekonomi
7. mengenalpasti sistem ekonomi yang diamalkan sekarang

Definisi Ekonomi

Perkataan ekonomi berasal daripada Yunani iaitu perkataan “OIKAU” bermaksud


isirumah dan “NOMOS” bermaksud peraturan.

Manusia mempunyai kehendak yang tidak terhad dan selalunya inginkan sesuatu melebihi
daripada apa yang mereka mampu sama ada seseorang itu kaya atau miskin. Oleh yang
demikian, mereka perlu membuat pilihan terbaik dan terpaksa melepaskan pilihan yang
lain.

Secara ringkasnya definisi ekonomi adalah mengkaji tingkah laku (gelagat) manusia di
dalam membuat pilihan menggunakan sumber ekonomi (faktor-faktor pengeluaran) yang
terhad untuk memaksimukan kehendak-kehendak atau kepuasan mereka yang tidak
terbatas.

Cabang Ekonomi

Ekonomi Mikro – merujuk kepada kajian di dalam unit yang lebih kecil iaitu individu dan
firma.

Ekonomi Makro – merujuk kepada kajian ekonomi dengan lebih menyeluruh dan global
serta bersangkutan isu-isu semasa bagi sesebuah negara.

Analisis Ekonomi

Analisis Positif – ia menjawab persoalan apa dia? Atau, apa yang akan terjadi? Kenyataan
adalah berasaskan fakta, berkenaan perkara yang sebenar. Ia bersifat lebih objektif.
Contohnya harga bagi sesuatu barang telah ditentukan oleh permintaan dan penawaran.
Pernyataan yang menyatakan peningkatan harga akan menyebabkan pengurangan
terhadap permintaan barangan adalah pernyataan positif.

Analisis Normatif – ia cuba menjawab apa yang seharusnya dilakukan? Ianya melibatkan
penilaian yang abstrak dan pertimbangan nilai sama ada baik atau buruk (dalam bentuk
pendapat). Ia lebih bersifat subjektif. Di mana ia boleh menimbulkan pelbagai tanggapan

Semester April 2006/2007 1


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

dan pandangan berdasarkan pelbagai golongan individu. Contohnya peningkatan harga


ayam merupakan tekanan kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Tetapi kenaikan harga ayam ini tidak memberi kesan kepada golongan yang berada. Satu
lagi contoh, pemberian subsidi kepada petani merupakan suatu langkah yang patut dan
adil. Perkataan patut dan adil adalah suatu yang melibatkan pertimbangan nilai kerana
penilaian terhadap perkataan tersebut adalah berbeza di antara seseorang dengan
seseorang yang lain.

Ceteris Paribus

Adalah satu perkataan Latin yang bermakna faktor-faktor lain adalah tetap atau tidak
berubah.

Lima Persoalan yang wujud dalam ekonomi

Bagi mencapai kepuasan yang maksimum, manusia perlu membuat pilihan yang tepat dan
sebagai panduan, lima persoalan ini perlu dijawab terlebih dahulu.

1. Apa dan Berapa


Manusia perlu memikirkan apakah barang yang akan dikeluarkan dan berapa
banyak kuantiti yang hendak dikeluarkan.

2. Bagaimana
Keputusan bagaimanakah cara pengeluaran barang tersebut. Cara yang digunakan
ialah cara yang cekap iaitu dengan memaksimumkan untuk dan meminimumkan
kos pengeluaran. Adakah pengeluaran dilakukan secara intensif buruh, atau
intensif modal, atau intensif teknologi.

3. Bila
Bilakah waktu yang sesuai untuk mengeluarkan barangan tersebut. Adakah sesuai
membina projek mega dalam keadaan ekonomi menghadapi kemelesetan?

4. Di mana
Di mana hendak dipasarkan barang yang telah dikeluarkan

5. Siapa
Barangan yang dikeluarkan juga perlulah diagihkan kepada sasaran yang betul.
Siapakah yang menerima barangan tersebut juga perlulah ditentukan.

Konsep Asas Ekonomi

Kekurangan

Oleh kerana faktor-faktor pengeluaran yang ada tidak dapat mengeluarkan ke semua
barang dan perkhidmatan yang dikehendaki oleh masyarakat maka dikatakan faktor-
faktor pengeluaran berada dalam keadaan kekurangan. Kehendak manusia memang tidak
terbatas, tetapi manusia mungkin menghadapi masalah kekurangan dari segi sumber-
sumber semulajadi, masa, tenaga, kewangan, serta faktor-faktor yang lain.

Semester April 2006/2007 2


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

Pilihan

Pilihan perlu dibuat apabila manusia terpaksa berhadapan dengan masalah kekurangan.
Biasanya pilihan ini adalah pilihan yang terbaik atau memberikan kepuasan yang paling
maksimum.

Kos Lepas

Apabila kita membuat pilihan, ia melibatkan pengorbanan pilihan yang lain. Pengorbanan
ini kita namakan ia sebagai kos lepas iaitu terpaksa melepaskan sesuatu pilihan yang lain
atau melepaskan peluang untuk memperolehi sesuatu yang lain. Secara umumnya kos
lepas boleh didefinisikan sebagai nilai faedah yang boleh diperolehi daripada pengeluaran
atau penggunaan sesuatu barang lain tetapi terpaksa dilepaskan apabila mengeluarkan
atau menggunakan sesuatu barang atau perkhidmatan.

Faktor-faktor Pengeluaran

Tanah

Tanah merujuk kepada kesemua pemberian alam semulajadi termasuk udara, air,
matahari, hasil hutan, sumber bawah tanah.

Buruh

Buruh meliputi tenaga fizikal, kemahiran, dan kebolehan mental manusia yang digunakan
dalam proses pengeluaran.

Modal

Modal merujuk kepada input tahan lama / kekal yang digunakan untuk menghasilkan
barangan atau perkhidmatan. Ia boleh terdiri daripada jentera, bangunan, wang,
kenderaan, dan kemudahan infrastruktur lainnya.

Pengusaha / Usahawan

Ia merujuk kepada pemimpin ekonomi, pengambil risiko, berinovasi, penyelaras, dan


pembiaya perniagaan. Pengusaha atau Usahawan memiliki kemahiran dan kebolehan
untuk menjalankan perniagaan atau perusahaan dengan cekap dan menguntungkan.

Keluk Kemungkinan Pengeluaran (KKP)

Definisi KKP – kombinasi pengeluaran 2 barangan yang berlainan dan mewakili had
pengeluaran maksimum yang boleh dicapai oleh sesebuah masyarakat berasaskan faktor-
faktor pengeluaran sedia ada dengan tahap teknologi tertentu.

Andaian KKP
1. terdapat 2 barang sahaja yang dihasilkan / dikeluarkan
2. faktor pengeluaran adalah terhad dan tetap
3. tahap kemajuan teknologi adalah malar / tidak berubah

Semester April 2006/2007 3


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

4. ekonomi berada / mencapai tahap kecekapan yang maksimum (guna tenaga


penuh) iaitu menggunakan semua faktor-faktor pengeluaran yang ada.

KKP berbentuk Garis Lurus

Bentuk KKP adalah dipengaruhi oleh kos lepas. Apabila kos lepas malar / tetap, maka
KKP akan bergaris lurus dari kanan ke kiri (seperti rajah di bawah).
Pakaian

Makanan

KKP berbentuk Cembung

Kos lepas semakin bertambah bagi setiap tingkat kombinasi pilihan.


Rumah

Kereta

KKP – Kecekapan dan Ketidakcekapan (pembaziran) Pengeluaran


Rumah

Kereta

Kecekapan pengeluaran boleh dicapai pada kombinasi titik A, B, C, D dan E iaitu semua
titik yang berada di sepanjang KKP. Pada kombinasi ini kesemua faktor pengeluaran
telah digunakan sepenuhnya.

Semester April 2006/2007 4


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

Di titik F, kombinasi pengeluaran berada dalam ketidakcekapan pengeluaran. Ini


menunjukkan ada lagi sumber ekonomi / faktor-faktor pengeluaran yang tidak digunakan.
Ia mungkin tidak diagihkan dengan sekata di mana boleh menyebabkan pembaziran dan
pengangguran berlaku.

Di titik G, pengeluaran adalah diluar ruang KKP, maka dititik ini pengeluaran tidak boleh
dicapai kerana kekurangan faktor pengeluaran.

Peralihan KKP

Dalam andaian awal, kita menyatakan bahawa faktor pengeluaran dan teknologi adalah
tetap, tidak berubah. Bagaimana jika kedua-dua perkara ini berubah? Apa akan terjadi
kepada KKP?

Peralihan KKP boleh berlaku sekiranya berlaku perubahan terhadap teknologi dan faktor
pengeluaran. Contohnya, sekiranya perkembangan teknologi dan pertambahan faktor
pengeluaran berlaku serentak (dan sama banyak) di dalam kedua-dua pengeluaran, kereta
dan rumah, KKP akan bergerak ke kanan secara selari.
Rumah

Kereta

Sekiranya berlaku perkembangan teknologi atau pertambahan faktor pengeluaran di


dalam industri perumahan sahaja, maka hanya jumlah rumah sahaja akan bertambah dan
bilangan kereta adalah tidak berubah.
Rumah

Kereta

Semester April 2006/2007 5


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

Begitu juga sebaliknya, sekiranya berlaku perkembangan dan perubahan terhadap


teknologi dan faktor pengeluaran dalam pengeluaran kereta sahaja maka jumlah kereta
sahaja akan bertambah manakala jumlah rumah tidak berubah.
Rumah

Kereta

Sistem Ekonomi

Umumnya pakar-pakar ekonomi membahagikan sistem ekonomi kepada tiga sistem


ekonomi iaitu kapitalis, sosialis, dan campuran. Walau bagaimanapun, untuk
perbandingan dimasukkan juga sistem ekonomi Islam sebagai perbincangan dan
pendedahan kepada pelajar.

Sistem Ekonomi Kapitalis

Juga dikenali sebagai sistem ekonomi pasaran bebas (laissez-faire). Sistem ekonomi yang
tidak melibatkan campurtangan kerajaan di dalam membuat keputusan ekonomi. Jika ada
campurtangan sangat minimum. Ini bermaksud, semua keputusan ekonomi diselesaikan
oleh individu-individu di dalam masyarakat tanpa campurtangan kerajaan. Segala
masalah asas ekonomi ditentukan oleh mekanisme harga iaitu keseimbangan permintaan
dan penawaran di pasaran bebas. Contoh negara yang mengamalkan sistem ekonomi ini
adalah US, Kanada, Britain, Perancis, Itali dan Jerman Barat.

Ciri-ciri sistem ekonomi kapitalis:


1. hak milik persendirian terhadap sumber ekonomi

2. Kebebasan untuk menjalankan perniagaan dan membuat pilihan

3. Pemaksimuman pendapatan, keuntungan dan kepuasan adalah penggalak yang


menentukan prestasi ekonomi

4. Persaingan sempurna di dalam pasaran dan industri

Semester April 2006/2007 6


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

5. campurtangan dan kawalan oleh kerajaan sangat terhad di dalam membuat


keputusan dan menjalankan aktiviti ekonomi

6. Barangan modal digunakan secara extensive

7. tingkat pengkhususan dan kecekapan yang tinggi di dalam mengendalikan serta


menjalankan aktiviti ekonomi.

Kekuatan Sistem Ekonomi Kapitalis


1. Kapitalis memberikan banyak insentif kepada pengguna, pengeluar dan pemilik
sumber ekonomi untuk menggunakan sumber yang mereka ada sebaik mungkin
(efficiently).

2. Tahap kebebasan dan persaingan yang tinggi menggalakkan pengeluar lebih


berinovasi dan sanggup mengambil risiko di dalam mengendalikan perniagaan
dan ekonomi.

3. Ekonomi berada pada tahap kecekapan yang tinggi.

Kelemahan Sistem Ekonomi Kapitalis


1. Mungkin menyebabkan jurang perbezaan di antara golongan kaya dan golongan
miskin semakin besar.

2. mungkin menyebabkan berlakunya pengangguran dan inflasi yang berterusan.

3. Pengagihan yang tidak mencukupi bagi barangan dan perkhidmatan awam.

4. mungkin kapitalisme tidak akan selalu menunjukkan keputusan kecekapan


ekonomi di dalam pengeluaran.

5. Mungkin akan menghasilkan kesan sosial yang tidak sepatutnya.

Sistem Ekonomi Perancangan Pusat atau Sosialis

Struktur ekonomi di mana penyelesaian masalah ekonominya dibuat oleh suatu unit pusat
perancangan yang terletak di bawah kawalan kerajaan. Sistem ini juga dikenali sebagai
sistem ekonomi terancang, sistem komunis atau sistem ekonomi terkawal. Contoh negara
yang mengamalkannya adalah Korea Utara, China, Cuba dan Vietnam.

Ciri-ciri sistem ekonomi ini:

Semester April 2006/2007 7


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

1. Pemilikan sumber oleh awam.

2. keputusan ekonomi dibuat oleh kerajaan melalui unit ekonomi perancangan pusat.

3. Mekanisme harga digunakan sangat minimum dan terhad untuk menyelesaikan


masalah ekonomi.

Kekuatan sistem Sosialis


1. mempromosikan keadilan sosial

2. Tiada masalah pengangguran dan recession yang serius.

Kelemahan sistem Sosialis


1. Tidak memberikan tahap kehidupan yang tinggi kepada masyarakat.

2. kekurangan insentif menyebabkan ketidakcekapan ekonomi.

3. kedaulatan pengguna tidak wujud dalam sistem ekonomi Sosialis.

4. Pembaziran sumber ekonomi.

Sistem Ekonomi Campuran

Di dalam situasi sebenar dunia ekonomi tiada kapitalis dan sosialis yang tulen. Tetapi
yang ada adalah sistem ekonomi campuran.

Ciri-ciri sistem ekonomi campuran


1. Pemilikan sumber ekonomi oleh awam dan persendirian.

2. Masalah asas ekonomi diselesaikan menggunakan kedua-dua mekanisme harga


dan perancangan ekonomi oleh kerajaan.

3. Campurtangan kerajaan di dalam ekonomi

4. Kerajaan cuba mengurangkan perbezaan pendapatan.

5. kerajaan akan mengawal kewujudan monopoli.

Semester April 2006/2007 8


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

Sistem Ekonomi Islam

Kegagalan Sistem Ekonomi Konvensional


1. Kegagalan kapitalis untuk mempromosikan keadilan sosial – terdapat jurang
perbezaan pendapatan yang besar di antara golongan kaya dan miskin.
2. Kapitalis juga gagal menyelesaikan masalah sosial masyarakat – masyarakat
semakin bersifat ke arah individualistik, bebas, dan materialistik.
3. Sosialis menafikan hak kebebasan masyarakat dan penduduk untuk memilih,
menentukan dan berbuat sesuatu.
4. Terdapat kekurangan barangan dan perkhidmatan yang berterusan bagi memenuhi
kepuasan penduduk, malah keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan rumah
amat sedikit disediakan menimbulkan masalah sosial dan moral.
5. Di dalam sistem ekonomi campuran, hutang awam meningkat akibat perbelanjaan
kerajaan, kekurangan barangan dan perkhidmatan terutamanya yang diperlukan
oleh golongan berpendapatan rendah seperti rumah kos rendah.

Falsafah Asas Sistem Islam

Definisi – suatu kajian yang melihat tingkah laku (gelagat) manusia berasaskan prinsip
syarak untuk mendapatkan, mengguna, dan menguruskan sumber-sumber ekonomi
dengan baik bagi dirinya dan masyarakat secara material dan spiritual untuk mencapai
keredhaan Allah s.w.t.

Menurut Nejatullah Siddiqi (1981), kepercayaan utama sistem ekonomi Islam adalah
berasaskan kepada:
1. hubungan manusia dengan Penciptanya, Allah s.w.t.
Secara istilahnya disebut sebagai Tawhid iaitu kepercayaan, kefahaman, prinsip
pegangan yang menyatakan bahawa Allah s.w.t. itu adalah Pencipta, Pentadbir
sekalian alam.

Surah Al-Ankabuut ayat 61, maksudnya, “Dan sesungguhnya jika engkau (wahai
Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang
menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk
faedah makhluk-makhlukNya)? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka
bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui
keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?”

2. hubungan manusia dengan manusia


3. hubungan manusia dengan alam semulajadi sekelilingnya
4. tujuan kehidupan manusia di dunia ini.

Tugas dan tanggungjawab seorang Muslim


1. Peranan Manusia sebagai Khalifah
Manusia diciptakan ke dunia ini dengan tujuan dan misi, dalam konteks ekonomi
sebagai pemegang amanah sumber-sumber yang dikurniakan oleh Allah. Sebagai
pemegang amanah manusia perlu menggunakan sumber yang dikurniakan sebaik-
baiknya, pada jalan/cara yang betul dan mereka seterusnya mengambil langkah
untuk memperkayakan sumber-sumber yang ada.

Semester April 2006/2007 9


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

Manusia perlu memastikan dirinya, semangatnya, kekayaan dan sumber yang


dimilikinya sentiasa “suci dan bersih” melalui konsep Tazkiyah iaitu penyucian
rohani dan mencapai standard moral yang tinggi bagi membolehkan manusia
mencapai Al-Falah – kebahagian/kejayaan di dunia dan di akhirat. Tazkiyah boleh
dilakukan menerusi zakat, waqaf, dan sadaqah.

2. Peranan Manusia di dalam menguruskan sumber-sumber ekonomi


Di dalam Islam, sumber ekonomi tidak pernah kurang atau tidak mencukupi.
Sumber yang dikurniakan oleh Allah adalah banyak dan melimpah ruah.

Surah Ibrahim ayat 34, “Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari
tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah
nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang
ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak
menghargai nikmat Tuhannya.”

Walaupun sumber yang ada sangat banyak, tetapi ia bukan dicipta dan diadakan
tersedia untuk kegunaan manusia. Allah s.w.t. menciptakan sumber susah untuk
diperolehi, dieksploitasi dan digunakan terus oleh manusia kerana Dia mahukan
manusia supaya kuat bekerja dan sentiasa berusaha. Allah tahu jika Dia
menciptakan semuanya mudah untuk diperolehi, manusia tidak akan
menghargainya. Bahkan akan membazir dan menyalahgunakan sumber yang
tersedia itu.

Surah Al-Najm ayat 39, “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi
seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”.

Surah Al-Qasas ayat 77, “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah
dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan
janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia
dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat
baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan
janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.

Manusia terhad/kekurangan dari segi kebolehannya untuk mengawal, memiliki,


mengeksploitasi dan menggunakan sumber yang dikurniakan Allah kepadanya.
Akibatnya mereka perlu menentukan/memilih apa yang perlu dikeluarkan,
bagaimana untuk mengeluarkan, dan bagaimana mengagihkannya supaya
akhirnya nanti mendapat keberkatan Allah s.w.t.

Surah Al-Humazah ayat 1-4, “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji,
Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya. Dia
menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! Tidak!
Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah"”.

Kekurangan sumber bukanlah alasan utama aktiviti ekonomi. Ia disebabkan


kekurangan kemahiran, pengetahuan teknikal dan perkara inilah yang
menggerakkan manusia untuk menjalankan aktiviti ekonomi mereka.

Semester April 2006/2007 10


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

3. Penyerahan Diri kepada Allah s.w.t


Bermaksud mematuhi perintah dan laranganNya dalam pelbagai sudut dan aktiviti
kehidupan termasuk ekonomi, dan perniagaan.

Surah Al-Anaam ayat 162, “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan


ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan
mentadbirkan sekalian alam”.

4. Prinsip Persaudaraan dan Keadilan


Keadilan adalah objektif tunggal segala usaha individu, usaha sosial, dan usaha
para intelektual. Keadilan merangkumi keadilan sosial, keadilan berpolitik,
keadilan ekonomi, keadilan di antara sesama manusia, sesama individu, institusi
dan negara.

Sebagai saudara, seseorang Muslim mesti bekerjasama dan saling bantu


membantu untuk memenuhi keperluan asas semua orang. Mereka perlu
membangunkan potensi dan memperkayakan keseluruhan kehidupan.

Prinsip-Prinsip Sistem Ekonomi Islam

Kebanyakan ekonomis Islam menggariskan tiga prinsip sistem ekonomi Islam:


1. keseimbangan di antara pemilikan persendirian dan pemilikan awam sumber
ekonomi.
Di dalam Islam, kekayaan merujuk kepada semua perkara yang dicipta oleh Allah,
oleh yang demikian, pemilik kekayaan ini adalah Allah. Manusia hanya diberikan
pemilikan sementara kekayaan ini. Sebagai pemegang amanah kekayaan ini,
manusia perlu menggunakan dan mengurusnya berdasarkan peraturan dan
undang-undang Islam (Syariah).

Pemilikan persendirian adalah di mana individu dibenarkan untuk memiliki


sumber ekonomi dan kekayaan secara peribadi. Walau bagaimanapun, sumber ini
mesti digunakan untuk mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang
dibenarkan di dalam Islam mengikut hieraki keperluannya.

2. Pengawalan dan menghadkan kebebasan ekonomi


Islam tidak membenarkan kebebasan mutlak kepada pembuat keputusan dan unit
ekonominya untuk menentukan apa, bagaimana dan kepada siapa untuk
dikeluarkan. Di dalam Islam sistem ekonomi, pengeluar, pengguna, dan pemilik
sumber ekonomi dipandu penuh oleh Syariah di dalam pengeluaran, penggunaan,
dan pengagihan aktiviti dan membuat keputusan.

Secara umumnya, mereka digalakkan untuk menjalankan aktiviti yang dibenarkan


dan secara tegas mengelak untuk menjalankan aktiviti terlarang (berjudi, riba’ dan
apa-apa jua aktiviti yang boleh merosakkan).

3. keperluan untuk campurtangan kerajaan


Di dalam Islam, kerajaan memainkan peranan penting di dalam menyediakan taraf
kehidupan yang bersesuaian, kebajikan material ekonomi kepada setiap penduduk.
Kerajaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya secara minimum atau

Semester April 2006/2007 11


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

mencukupi bagi memastikan kehidupan yang harmoni kepada golongan miskin,


lemah, sakit, orang tua dan orang kurang upaya.

Kerajaan perlu memastikan pengagihan pendapatan yang seimbang dikalangan


penduduk berdasarkan prinsip persaudaraan dan keadilan di dalam Islam.
Kerajaan seharusnya memberikan keadilan sosial yang berpatutan dari segi
peluang, harga pasaran dan keluaran, gaji sama seperti keadaan kerja, dan
melarang riba’, rasuah dan lain-lain aktiviti terlarang menerusi peraturan dan
hukuman.

Perbezaan Ekonomi Islam dan Konvensional


1. Tiada pengasingan di antara urusan ekonomi dan agama
Kesemua aktiviti dan keputusan ekonomi adalah berlandaskan peraturan dan garis
panduan yang telah diterangkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran dan Hadis.

2. Ekonomi Islam dipenuhi nilai-nilai agama


Ekonomi Islam dimulakan dengan nilai yang dikenali sebagai Halal dan Haram,
iaitu apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang.

3. Ekonomi Islam adalah berpusatkan manusia bukan kekayaan


Ekonomi Islam menumpukan kepada kekurangan manusia dari segi kebolehan
dan keupayaannya untuk mengawal, mendapatkan, mengeksploitasi dan
menggunakan sumber yang dicipta oleh Allah dengan banyaknya.

Matlamat akhir ekonomi Islam adalah mencapai Al-Falah-kebahagian/kejayaan di


dunia dan di akhirat. Ini akan menjadikan manusia sangat berpuashati baik secara
material atau rohani.

4. Konsep rasional Islam berbeza dengan ekonomi konvensional


Rasional di dalam membuat keputusan ekonomi Islam adalah untuk mencapai
kebahagian/kejayaan di dunia dan di akhirat. Rasional mempromosikan keadilan
sosial dan keadilan ekonomi dengan mengurangkan ketidaksamaan,
menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan hubungan yang harmoni dan aman.

5. Sistem Ekonomi Islam terdapat pemilikan awam dan persendirian sumber


ekonomi serta perniagaan

6. Sistem Ekonomi Islam melarang riba’

7. Konsep kepuasan

Semester April 2006/2007 12