Anda di halaman 1dari 3

KETIDAKSEIMBANGAN KEKAYAAN DUNIA DAN KEMISKINAN NEGARA KETIGA

Setiap negara dalam dunia ini mencapai tingkat pertumbuhan ekonomi yang
berbeza-beza. Oleh itu, taraf hidup pelbagai negara juga adalah berbeza. Secara amnya,
negara yang telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi akan menikmati taraf hidup
yang tinggi, misalnya Amerika Syarikat, United Kingdom, dan negara barat yang lain.
Sebaliknya, negara yang mencapai tingkat pertumbuhan ekonomi yang rendah akan
menikmati taraf hidup yang rendah seperti Amerika Latin, India, Afrika, dan lain-lain.
Negara-negara dunia ketiga merupakan satu kelompok negara yang terbesar dalam
dunia. Pengiktirafan negara-negara dunia ketiga ini adalah berdasarkan kepada konsep
pembangunan dalam negara-negara berkenaan. Hampir keseluruhan negara dunia ketiga
ini mempunyai perkaitan yang rapat dengan negara-negara barat, terutamanya negara
kuasa barat yang suatu masa dahulu menjajah negara dunia ketiga.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, negara-negara barat yang datang ke negara
dunia ketiga ini mempunyai sebab-sebab yang tertentu dan akhirnya mereka akan
menguasai dan menakluk negara tersebut. Negara imperialisme ini mengamalkan dasardasar negara mereka dan memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis mereka di negara
jajahan mereka. Pada asalnya negara-negara dunia ketiga ini merupakan negara yang kaya
dengan kegiatan ekonomi seperti perlombongan, pertanian, hasil-hasil hutan dan aktiviti
perdagangan dengan struktur sosial-politik yang stabil dan bebas daripada kawalan dan
cengkaman negara asing.
Keadaan ini berubah selepas kedatangan pihak barat yang menjajah negara mereka
dan telah menyebabkan negara dunia ketiga ini mengalami krisis ekonomi kerana segala
khazanah alam dan hasil bumi yang lumayan telah dimiliki dan diambil oleh pihak penjajah,
maka bermulalah satu proses pembangunan semula di negara-negara dunia ketiga. Akibat
daripada proses pembangunan yang tidak seimbang di negara dunia ketiga ini telah
mewujudkan negara yang dikenali sebagai negara miskin dan negara barat yang menjajah
itu dikenali sebagai negara kaya.
Setelah meninjau daripada pelbagai aspek dan permasalahan yang timbul dalam
dunia sekarang ini, wujudlah persoalan dalam diri kita betapa kuatnya pengaruh dan
dominasi pihak Negara Kaya dalam mempengaruhi kehidupan dan arah tuju negara miskin.
Semuanya ini diperlakukan sedemikian rupa bagi mengekalkan cengkaman pemerintahan,
dengan kata lain mengekalkan penjajahan walaupun dengan cara yang lebih berhemah iaitu
cara ekonomi. Hal ini terbukti daripada cara mereka mendominasikan kekuatan, kalau
dulunya mereka lebih cenderung menggunakan kekuatan ketenteraan tetapi sekarang ini
2

penjajahan mereka lebih kepada kuasa ekonomi dengan menguasai pasaran, penguasaan
harga bahan mentah, penakrifan harga hasil bumi dan lain-lain lagi.
Pada hakikatnya, sesebuah negara yang kaya atau maju adalah didasarkan kepada
pembangunan yang terdapat dalam sesebuah negara tersebut, akan tetapi dalam tahuntahun kebelakangan ini, pembangunan sesebuah negara pada asasnya dirujuk kepada
pertumbuhan ekonomi dari segi Keluaran Negara Kasar [KNK]. Keluaran Negara Kasar
yang tinggi dianggap sebagai ukuran kejayaan dalam pembangunan. Namun begitu, ianya
telah mula berubah, faktor pembangunan pada masa ini adalah lebih menyeluruh meliputi
objektif sosial dan dianggap bahawa jika kemajuan masyarakat hendak diperolehi,
pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai walaupun ia diperlukan. Menurut Adiseshian,
pembangunan adalah pertumbuhan ekonomi berserta dengan perubahan sosial dalam
sesebuah negara tersebut. Pembangunan juga merujuk kepada modenisasi di mana
institusi negara dan sistem nilai ubah untuk memenuhi revolusi jangkaan yang bertambah.
Ketidakseimbangan kekayaan dunia menunjukan negara miskin semakin miskin dan
negara kaya semakin kaya. Menurut laporan Human Development Report (2000) meskipun
terdapat pertumbuhan pendapatan per kapita yang tinggi dalam era globalisasi namun tidak
semua negara mampu menikmatinya. Hal ini kerana hanya mereka yang berdaya saing
sahaja mampu bertahan dan memaksimumkan keuntungan dalam era ekonomi global
(Mingguan

Malaysia,

2001).

Sebagai

contoh,

ketidaksamaan

pendapatan

dalam

pembangunan ekonomi negara Malaysia semenjak tahun 1970 hingga pelaksanaan RMK9
(2006-2010) adalah menjadi isu utama dalam usaha untuk mencapai pertumbuhan dengan
pengagihan. Isu ketidaksamaan ini menjadi agenda penting dalam misi nasional sebagai
teras ketiga, iaitu menangani masalah ketidakseimbangan sosio ekonomi yang berterusan
secara membina dan produktif. Kenyataan ini dikukuhkan bahawa ketidaksamaan
pendapatan termasuk dalam setiap kumpulan etnik telah meningkat.
Aspek ketidaksamaan lain juga menunjukkan arah aliran yang membimbangkan.
Walaupun jurang ketidaksamaan pendapatan etnik secara relatifnya telah mengecil
semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, jurang tersebut dari segi nilai mutlak terus
meluas. Ketidaksamaan antara negeri dan antara wilayah berterusan dan kekal lebar.
Pertumbuhan ekonomi merupakan daya penggerak dalam meningkatkan pendapatan dan
taraf hidup, namun pertumbuhan ekonomi tidak dengan sendirinya menjamin manfaat
pertumbuhan dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.

Selain itu, kemiskinan dan hidup melarat masih menjadi satu perkara biasa dalam
kehidupan jutaan rakyat di India. Berdasarkan standard Bank Dunia, taraf kemiskinan diukur
jika pendapatan yang diperolehi adalah kurang dari AS$2 (RM7.20) sehari. Malah,
berdasarkan anggaran kerajaan pada 2007 seramai 220.1 juta penduduknya hidup melarat
akibat hidup di bawah paras kemiskinan. Seramai 21.1 peratus dari keseluruhan
penduduknya di kampung manakala 15 peratus penduduk bandarnya pula hidup dalam
kesempitan dan kemiskinan melampau. Menambahkan lagi kekusutan, pembahagian
kekayaan antara negeri-negeri juga tidak sama rata. Negeri seperti Delhi dan Punjab
mempunyai jumlah populasi kemiskinan yang sangat kurang berbanding negeri-negeri
seperti Bihar dan Orissa. Lebih 50 peratus rakyat di negeri ini hidup di bawah paras
kemiskinan. Jumlah kemiskinan juga adalah sangat berbeza antara penduduk di luar dan
dalam bandar.
Masalah kemiskinan di India banyak disumbangkan oleh penduduk di luar bandar
akibat terlalu bergantung kepada sumber pertanian. Maka faktor cuaca seperti kekurangan
hujan dan sebagainya sangat mempengaruhi kehidupan harian mereka. Oleh itu, tidak
menghairankan lebih 150,000 petani di India membunuh diri dalam tempoh satu dekad
lepas akibat dihimpit kemiskinan. Namun, masalah utama kemiskinan mereka pastinya
kerana kedudukan kasta yang memainkan peranan penting dalam kehidupan. Hal ini
demikian kerana akibat berasal dari kasta rendah maka tidak menghairankan kebanyakan
mereka tidak menikmati kemudahan awam seperti hospital dan sekolah. Akibat dari
kemiskinan yang melampau di kawasan luar bandar maka kebanyakan mereka ini mencuba
untuk mencari kehidupan yang lebih baik dengan berhijrah ke bandar.
Secara keseluruhannya, perkembangan ekonomi dunia bergerak dengan pantas dan
maju. Masalah kemiskinan wujud akibat ketidakseimbangan pengagihan kekayaan
dan pendapatan di antara individu masyarakat atau negara. Persoalan kemiskinan
merupakan masalah utama dunia pada masa ini. Implikasi dari kemiskinan telah
menyebabkan pertelingkahan yang mendorong kepada konflik kaum dan pemisahan
wilayah di sesetengah tempat. Justeru, masalah kemiskinan perlu dibasmi agar
menghindarkan ekonomi negara daripada terjerumus dalam kancah kemelesetan.