Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN HARI GURU 2015 - WAKIL PELAJAR/MURID

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh....
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha, En Mohd. Nazri b.
Ibrahim, Guru Besar Sek. Keb. Pahit, Yang Dihormati Yang Dipertua PIBG En.
Mohd. Baharuddin b. Ahmad , barisan penolong kanan, guru-guru yang
diraikan, warga kerja Sek. Keb. Pahit dan rakan-rakan sekalian.
Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah SWT
kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, maka dapatlah kita bersama-sama
pada hari ini, menyambut Hari Guru Tahun 2015 ini.
Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan Hari Guru. Tema Hari Guru pada
tahun ini ialah
'GURU MEMBINA ILMU, MENYEMPURNAKAN AKHLAK .
Tema ini adalah tepat sekali berdasarkan peranan guru dalam mendidik
anak bangsa ke arah melahirkan modal insan yang berketerampilan untuk
membawa negara kita ke arah negara maju.
Guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi,
Setiap insan di dunia ini belajar daripada seorang guru. Tanpa guru kita
tidak akan boleh membaca, menulis dan menguasai ilmu. Guru ibarat lampu
yang menerangi kegelapan malam. Guru ialah insan yang mesti kita hormati
selepas ibu bapa kita. Menghormati dan mematuhi arahan guru adalah
sangat dituntut agar apa yang kita pelajari menjadi berkat dan dirahmati
Illahi.
Rakan-rakan sekalian,
Marilah kita tanamkan tekad dan azam, untuk belajar bersungguh-sungguh
bukan sahaja untuk diri kita dan ibu bapa kita, tetapi juga untuk guru-guru
yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan buah fikiran demi untuk

kecemerlangan kita semua. Guru-guru kita akan berasa bangga jika kita
berjaya, namun guru juga akan turut kecewa dan berdukacita seandainya
kita gagal dalam pelajaran.
Pada kesempatan ini, saya mewakili pelajar-pelajar sekolah ini,
mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di Sek. Keb. Pahit.
Semoga guru-guru terus dianugerahi kekuatan dan ketabahan dalam
mendidik kami.
Akhir kata, kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf,
seandainya antara kami telah melakukan kesalahan dan kesilapan kepada
guru-guru sama ada kami sedari atau tidak.
Pohon sirih pohon selasih
Tumbuh merimbun di hujung laman
Kalungan budi junjungan kasih
Menjadi kenangan sepanjang zaman
Sekian, wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum wbkh