Anda di halaman 1dari 7

W E D N E S D AY , 2 5 J A N U A RY 2 0 1 2

HBML4403 KOMPETENSI DALAM BAHASA MELAYU

PENGUCAPAN AWAM
PENGENALAN
Menurut Ahmad Kamal (1992), pengucapan awam adalah satu proses bercakap dalam kalangan
khalayak ramai atau satu kumpulan manusia melalui cara yang tersusun dengan tujuan untuk
memaklumkan, meyakinkan atau menghiburkan pendengar. Ia sangat serasi dengan
"mempersembahkan". Semasa pengucapan awam, terdapat banyak bentuk komunikasi yang boleh
digunakan dan terdapat 5 elemen asas selalunya dinyatakan begini "siapa bercakap,
mengenai apa, kepada siapa, menggunakan kaedah apa dengan kesan @ tujuan apa ? Pengucapan
awam biasanya bertujuan menyampaikan maklumat, memotivasikan manusia untuk melakukan
sesuatu atau menyampaikan cerita dan mampu menjadi satu medium yang berkesan. Seorang
penyampai yang baik mampu mengubah emosi pendengarnya, bukan hanya menyampaikan
maklumat semata-mata. Pengucapan awam ini merangkumi beberapa komponen termasuk ucapan
motivasi, pembangunan kepimpinan, perniagaan, perkhidmatan pelanggan, komunikasi kumpulan
yang besar dan komunikasi massa.
Abdul Muati Ahmad, (1994) dalam bukunya; Panduan Pengucapan Awam, menyatakan
bahawa Pengucapan Umum menggunakan anggota komunikasi verbal dan bukan verbal.

Siti Hajar (2008), pula menyatakan pengucapan awam adalah merupakan pelahiran bahasa dengan
penuh makna melalui komunikasi lisan (suara dan perkataan) dan bukan lisan (anggota tubuh
perucap). Pengucapan awam ini walaupun sukar dikuasai namun terdapat teknik tertentu bagi melatih
dan memberi keyakinan kepada mereka yang ingin membabitkan diri dalam pertandingan pidato,
debat atau syarahan. Seni pengucapan awam sama ada pidato, debat perbahasan, pembentangan,
forum atau syarahan merupakan satu seni unik yang bukan semua orang berbakat menguasainya. Apa
yang penting setiap mereka yang ingin menguasai seni pengucapan awam yang baik perlu melakukan
latihan yang konsisten selain memberi komitmen yang tinggi untuk membolehkan mereka
menghilangkan rasa gugup dan tidak yakin .
ELEMEN-ELEMEN PENGUCAPAN AWAM
Mesej

Tajuk pengucapan awam yang hendak disampaikan mestilah sesuai dan relevan dengan
kandungan mesej yang hendak disampaikan. Mesej hendaklah dapat dirasai kepentingannya
secara jelas oleh audien. Perkataan dan ayat hendaklah tepat serta dapat memberi gambaran

yang tepat dan makna yang jelas. Bahasa yang digunakan juga mudah difahami. Selain
daripada itu, contoh-contoh dan butir-buitr penyokong kepada mesej digunakan dengan baik.
Mesej yang disampaikan perlu menggunakan gaya persembahan yang baik agar tidak
menimbulkan kebosanan serta disusun dalam struktur yang jelas.
Audien
Manfaat asal pengucapan awam adalah tertumpu kepada audien. Oleh itu elemen audien akan
diterangkan secara lebih terperinci.
Tahap umur audien perlu diketahui secara umum. Ertinya pengucap perlu tahu dari segi umur,
kepada golongan manakah dia akan berucap nanti. Adakah audiennya nanti terdiri daripada remaja,
anak-anak sekolah, golongan dewasa atau warga tua. Ini penting kerana tahap umur audiens
mempengaruhi pemilihan istilah dan bahasa, contoh-contoh pembuktian serta penyusunan isi.
Jantina audien sama ada perempuan atau lelaki atau terdapat percampuran jantina. Ini penting
kerana ada isu-isu tertentu yang harus diucapkan secara berhati-hati kerana mungkin sensitif bagi
golongan tertentu.
Bangsa audien adalah perkara sensitive seperti agama. Bagi negara kita yang terdiri daripada pelbagai
bangsa, pembicaraan yang menyentuh isu bangsa juga hendaklah dibuat dengan berhati-hati. Oleh itu
amatlah perlu diketahui terlebih dahulu siapa yang ada dalam kelompok audiens kita ini. Selain itu,
item ini juga mempengaruhi bahasa yang akan digunakan dalam ucapan nanti.
Pekerjaan audiens perlu diketahui secara umum. Adakah audiens kita terdiri daripada golongan yang
bekerja sendiri, dengan firma swasta atau kakitangan kerajaan ? Pekerjaan audiens mempengaruhi
bahasa, contoh pembuktian dalam ucapan.
Seterusnya tahap pendidikan audiens mempengaruhi kemampuan mereka untuk memahami bahasa
yang digunakan, pembuktian hujah serta contoh-contoh yang diketengahkan oleh perucap.
Akhirnya perkara yang perlu diketahui ialah tentang ideologi audiens yang juga merupakan perkara
yang sensitif. Ambil tahu apa ideologi politik mereka. Jika boleh elakkan menyentuh persoalan politik
dalam ucapan yang tiada perkaitan dengan isu politik. Lainlah kalau kita memang dijemput untuk
membicarakan soal politik.
Kesimpulannya dapatkan seberapa banyak maklumat tentang audien dari segi bilangan, lingkungan
umur, anggaran jantina, taraf perkahwinan, anggaran bangsa, latarbelakang sosial dan budaya, taraf
pendidikan dan bahasa yang paling dominan digunakan, kerjaya, minat, tahap pengetahuan serta
pengharapan. Semua makulmat ini dapat membantu untuk kita berperanan sebelum dan ketika
membuat ucapan dan pemilihan fakta yang relevan.
Saluran (suara)
Semasa menyampaikan ucapan, kita menggunakan saluran lisan dan bukan lisan. Pengucapan lisan
hendaklah dilahirkan bersama perasaan dengan mengubah nada suara berdasarkan konteks ayat.
Ketika menyampaikan maklumat, nada yang sama digunakan sepanjang ayat. Apabila mengajukan

soalan, nada yang tinggi digunakan. Apabila menyampaikan arahan, nada semakin menurun. Bagi
saluran bukan lisan, gerak-geri badan dilakukan mengikut keperluan dan situasi.
Saluran (diam)
Merupakan alat saluran komunikasi semasa persembahan. Tujuannya adalah untuk menarik
perhatian dan mengawal audien.

Saluran (imej)
Imej adalah sebahagian daripada persembahan. Imej mestilah sama dengan imej yang
dipersembahkan. Imej menggambarkan cara anda menguruskan diri dan nilai. Imej dipengaruhi tiga
faktor iaitu ketrampilan diri (fizikal, suara, gaya), ciri-ciri dan kualiti diri (berpengetahuan,
berpengalaman dan boleh dipercayai), dan sikap diri (membentuk tingkah laku).
Pakaian
Pakaian merupakan perkara yang pertama dilihat dan dinilai. Ia menunjukkan kredibiliti dan
member keyakinan kepada diri sendiri. Pakaian yang dipilih hendaklah selesa, sesuai dengan audien
dan majlis, serta menyerlahkan kredibiliti. Pakaian yang keterlaluan sehingga mengganggu perhatian
audien juga perlu dielakkan.
Pertembungan mata
Mata merupakan tingkap dan lautan perasaan. Pandangannya mengukuhkan mesej dan member
keyakinan kepada audien. Ia merupakan perantara kepada pelbagai jenis perasaan serta berupaya
menyatakan kepada audien tentang pentingnya audien kepada speaker. Audien juga akan merasa
dihormati selain boleh mengetahui maklum balas audien untuk memperbaiki persembahan.
Mimik muka
Mimik muka adalah pusat pancaindera. Audien melihat kesungguhan anda. Ia menyatakan mood
mesej yang disampaikan serta menggambarkan perasaan yang sesuai dengan mesej supaya tidak
wujud konflik mesej yang boleh mengelirukan audien.
Pergerakan tangan
Pergerakan tangan amat penting dalam persembahan. Pergerakan yang sesuai dan semulajadi dapat
mengukuhkan mesej. Pengucap yang baik akan dapat menggerakkan tangannya seperti instrumen
dengan koordinasi yang baik dan saling mempengaruhi.

Badan
Posture, pergerakan badan yang baik boleh menarik perhatian dan member impak yang dramatik. Ia
memperlihatkan minat, kesungguhan, keprihatinan dan sikap positif speaker kepada majlis dan
audien.
Maklum balas
Maklum balas merupakan proses speaker menerima maklum balas semasa persembahan dan speaker
bertindakbalas memperbaiki persembahan. Speaker perlu peka kepada maklum balas, meminta
maklum balas, bertindak dengan maklum balas serta ulang penerangan untuk mendapat maklum
balas.

Gangguan
Gangguan terbahagi kepada dua bahagian iaitu gangguan dalaman (speaker) dan gangguan luaran
(audien). Gangguan dalaman merujuk kepada diri penyampai itu sendiri seperti kesihatan, kurang
minat dan sokongan, prasangka psikologi, tidak membuat persediaan, kurang mahir serta tidak jelas
dengan mesej yang hendak disampaikan. Gangguan luaran pula melibatkan penerimaan dan persepsi
audien, kefahaman, kurang minat, prasangka psikologi, bunyi-bunyian, penerimaan negatif audien,
serta tidak mendengar secar aktif.
Setting
Speaker bertanggungjawab tentang setting bilik atau tempat. Perlu mengetahui terlebih dahulu bagi
menyesuaikan keadaan. Maklumat yang perlu diketahui ialah tentang saiz bilik, kemudahan yang ada,
pencahayaan, susunan tempat duduk dan suhu bilik.
PERSEDIAAN AWAL PENGUCAPAN AWAM
Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memilih tajuk pengucapan awam yang sesuai.
Sekiranya dikehendaki membuat pengucapan awam, dan kita akan diberikan tajuk atau skop tajuk,
maka langkah pertama ini menjadi lebih mudah berbanding jika tidak mempunyai idea langsung
berhubung tajuk pengucapan awam. Sebelum memilih tajuk, kita haruslah membuat sedikit kajian
mengenai siapakah yang menjadi pendengar? Apakah latar belakang mereka? Dengan membuat
kajian mengenai latar belakang pendengar, ia memudahkan untuk memilih tajuk yang sesuai dan juga
pendekatan yang sesuai. Sebagai contoh, sekiranya pendengar adalah Dalam kalangan pelajar sekolah
menengah, maka tajuk dan pendekatan yang digunakan biarlah sesuai dengan tahap pemahaman dan
penerimaan mereka. Sekiranya tidak diberikan apa-apa tajuk, maka pilihlah tajuk yang sesuai dan.
Pilih tajuk yang mana maklumat mengenainya mudah diperolehi. Sebagai contoh, anda adalah
seorang pegawai kewangan, maka pilihlah tajuk yang bersangkut paut dengan aspek kewangan, dan
jangan pula cuba-cuba bercakap mengenai perubatan. Pilih tajuk yang mudah untuk kita kuasai
kerana sekiranya berdiri sebagai pengucap awam untuk meyampaikan maklumat atau untuk
mempengaruhi orang lain, maka sekurang-kurangnya perlu lebih tahu berbanding pendengar.
Dengan cara ini juga, ia dapat membantu semasa menyampaikan ucapan. Selain itu. kita juga boleh
memilih tajuk berhubung isu semasa kerana maklumatnya lebih mudah diperolehi dan pendengar
akan tertarik untuk mendengar. Kalau boleh, cari satu tajuk yang mudah tetapi menarik. Pastikan
juga terdapat sesuatu yang baru untuk dikongsikan di dalam maklumat yang ingin sampaikan supaya
pendengar akan terus mendengar.
Perkara kedua adalah penyediaan teks ucapan awam sekiranya diberi masa untuk membuat
persediaan. Di dalam teks ucapan ,selitkanlah unsur-unsur jenaka, atau mungkin pantun, atau barisbaris sajak sebagai daya penarik atau gimik. Ia juga salah satu cara membolehkan pendengar terus
mendengar ucapan anda. Pastikan ucapan mempunyai kata-kata aluan sebagai pendahuluan, isi
kandungan dan seterusnya penutup. Beri tekanan kepada isi yang ingin sampaikan supaya pendengar
dapat memberi perhatian setiap kali menyampaikan isi kandungan baru. Sebagai contoh "...persoalan
pertama yang ingin saya kupas adalah......", atau mungkin juga "....hujah saya yang pertama adalah
bertunjangkan .......". Ia bukan sahaja memudahkan penyampaian ucapan dengan lebih teratur dan
tersusun, malahan pendengar atau panel juri juga dapat mengenal pasti apakah sebenarnya yang
ingin disampaikan.

Dalam proses penyediaan teks ucapan, terdapat dua perkara utama iaitu sumber maklumat dan fokus
tajuk. Andaikan sekarang telah mengenal pasti apakah topik atau subjek untuk diucapkan,
bagaimanakah cara untuk mencari isi ucapan ? Jangan tergesa-gesa untuk ke perpustakaan. Dapatkan
sekeping kertas atau buku nota dan pen. Renung dulu sejenak akan subjek atau topic tersebut.
Kemudian catatkan segala apa yang terlintas dalam pemikiran. Mungkin kita pernah terbaca
mengenainya atau mendengar daripada orang lain. Katakanlah kita diminta menyampaikan sebuah
ucapan mengenai penyalahgunaan dadah. Tentu pernah mendengar mengenainya daripada kawankawan atau membacanya melaui akhbar atau memang pernah menyaksikan sendiri kejadian tersebut.
Seterusnya rujuklah kepada bahan-bahan diperpustakaan atu melayari internet. Maklumat boleh
dirujuk dalam buku, jurnal, ensiklopedia, majalah, makalah, risalah dan juga akhbar asalkan
maklumat tersebut berkaitan dengan tajuk.
Setelah memperoleh maklumat yang mencukupi, focus topic hendaklah dibuat agar masa yang
diperuntukkan sesuai dan sasaran maklumat yang hendak disampaikan tercapai bagi pengetahuan
audiens.
Sekiranya mampu, maka boleh menghafal teks ucapan awam. Tetapi ramai yang kurang mampu
berbuat demikian. Maka apa yang boleh dibuat ialah biasakan diri dengan tajuk ucapan awam dan
carilah maklumat sebanyak yang boleh mengenainya. Oleh yang demikian idea tidak akan putus
apabila bercakap mengenainya. Selain itu, yang biasa dilakukan ialah dengan mengingat kata kunci di
dalam teks ucapan. Setiap perenggan teks ucapan yang telah sediakan, buatlah satu kata kunci. Maka
ia akan membantu mengingati apa yang perlu diucapkan. Selain itu, kad-kad kecil juga boleh
disediakan. Ia amat penting lebih-lebih lagi jika kita mempunyai masalah menggigil apabila bercakap
dalam khalayak ramai. Sekiranya memegang teks ucapan yang dicetak di atas kertas A4 yang besar,
maka kesan menggigil itu lebih mudah dilihat dan ia akan menambah kegugupan .. Jadi, berusahalah
untuk menyediakan kad-kad kecil bagi teks ucapan kemudian bacalah teks tersebut berulang kali.
Kita perlu tahu menggunakan intonasi dengan baik. Di mana perlu menjerit menegaskan hujah dan di
mana perlu merendahkan suara. Hal ini amat penting kerana sekiranya tidak menggunakan intonasi
yang betul ditempat yang betul, maka ia akan menunjukkan kepincangan di dalam pengucapan awam.
Bagi mereka yang baru berjinak-jinak di dalam pengucapan awam, tandakan pada teks ucapan di
mana perlu menggunakan intonasi tinggi dan rendah. Bahasa tubuh seperti mimik muka, pandangan
mata dan pergerakan badan juga membantu menyampaikan pengucapan awam dengan baik. Tidak
lupa juga senyuman.
Semasa membuat pengucapan awam, kita juga mungkin tidak mempunyai keyakinan diri. Pendengar
yang ramai memenuhi dewan boleh menggugat keyakinan. Sebagai permulaan, apa yang boleh
dilakukan ialah pandang seseorang yang dikenali seolah-olah hanya bercakap dengannya. Namun,
'eye contact' amat penting semasa pengucapan awam, maka sesekali perlu mengerling pendengar
yang lain (terutamanya juri jika ada) tetapi jangan pandang tepat di mata kerana ia boleh menambah
kegugupan. Lama-kelamaan, semua ini bukanlah satu masalah lagi. Sebenarnya gugup adalah perkara
biasa yang dialami oleh semua pengucap awam, cuma masing-masing ada cara tersendiri untuk
mengatasinya.
KESIMPULAN
Pengucapan awam merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari oleh semua orang dan menjadi
laluan untuk mencapai kejayaan. Perucap yang cemerlang merupakan perucap yang sentiasa

berupaya dalam menyampaikan setiap ucapannya dengan baik dan berkesan tanpa mengira audiens,
suasana, dan saluran berucap. Adalah amat perlu bagi pihak yang berwajib menganjurkan kursus dan
bengkel pengucapan awam agar kemahiran ini dapat terapkan kepada segenap lapisan masyarakat
bagi melahirkan modal insan yang berwibawa dan mampu mendepani cabaran dengan penuh
keyakinan.
APENDIKS

RUJUKAN / REFERENSI
Abdul Muati Ahmad, (1994). Panduan Pengucapan Awam.
Dewan bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2001). Teori & teknik ucapan berpengaruh.
Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Dr Adenan Ayob (2010), HBML4403 Kompetensi Dalam Bahasa Melayu.


Kuala Kumpur: Open University Malaysia.

Carnegie, D. (2000). Cara cepat & mudah berbicara efektif: Teknik modern untuk
komunilasi yang dinamik (Terjemahan oleh Ana Budi Kuswadani SS). Jakarta: Pustaka Delapratasa.

Fletcher, L. (1995). How to design and deliver a speech (5th. Edition). New York:
HarperCollins College Publishers Inc.

Kulwindr Kaur Sidhu (2006). Pengucapan awam dan kemahiran persembahan.


Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Maimunah Osman (2000). Pengucapan Awam yang Berkesan.


Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara.
Md Izuddin Ali & Zetty Zahureen Mohd Yusoff (2005). Berucap dengan yakin.
Batu Caves, Selangor: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Rahmat Ismail (2000). Pidato & berpidato: Seni dan teknik. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Sallehuddin Hj. Mohd Noor, Jallaluddin Hj. Mohd Noor & Ishak Hj. Abdul Rahman

(2003). Pengucapan awam. Kuala Lumpur: Thomson Learning


(a division of Thomson Learning Pte. Ltd.)

Zawiyah Mohammad Yusof (2009). Kemahiran Komunikasi.


Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.