Anda di halaman 1dari 2

LANGKAH - LANGKAH UNTUK MENGGALAKKAN PELAJAR MENYERTAI

KEGIATAN KOKURIKULUM
Memang tidak dapat kita nafikan bahawa pengllibatan pelajar dalam
kegiatan kokurikulum di sekolah semakin menurun dari semasa ke semasa.
Sebenarnya, jika kita halusi kegiatan kokurikulum merangkumi kegiatan atau
aktiviti yang dilaksanakan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran yang
dianjurkan oleh pihak sekolah seperti kegiatan unit beruniform, persatuan atau
kelab dan permainan.
Sebenarnya, kegiatan kokurikulum banyak mendatangkan faedah kepada
pelajar-pelajar terutamanya dari aspek ilmu, kepemimpinan dan kesihatan. Oleh itu,
semua pihak termasuklah ibu bapa haruslah mengambil tindakan proaktif untuk
menggalakkan pelajar-pelajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum.
Antara langkah yang patut diambil ialah memberikan taklimat dan kesedaran
kepada ibu bapa atau penjaga. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa
mempunyai konsep dan persepsi yang salah tentang kegiatan kokurikulum. Mereka
berpendapat bahawa markah peperiksaan merupakan segala-galanya. Penglibatan
pelajar dalam kegiatan kokurikulum kononnya akan mengurangkan masa belajar
anak-anak mereka. Oleh itu, mereka akan cuba menghalang anak-anak mereka
daripada menyertai kegiatan kokurikulum. Bagi mengubah konsep dan persepsi
salah mereka, maka kerajaan haruslah menganjurkan kempen dan sesi ceramah
untuk memberi ibu bapa maklumat yang betul tentang tujuan dan manfaat pelajar
yang melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Dengan adanya usaha
sedemikan, maka mereka akan menggalakkan anak-anak mereka menyertai
kegiatan kokurikulum.
Selain itu, pihak sekolah juga harus senantiasa menekankan kepentingan
kegiatan kokurikulum dalam dunia kehidupan dan kerjaya masa depan pelajar.
Pihak sekolah boleh menganjurkan sesi ceramah atau merealisasikan minggu
kokurikulum bagi menanamkan minat pelajar terhadap kegiatan kokurikulum.
Orientasi kokurikulum difikirkan amat perlu untuk memberikan pendedahan dan
pengalaman kepada pelajar-pelajar baharu, khususnya pelajar-pelajar Kelas
Peralihan dan Tingkatan Satu pada minggu pertama sesi persekolahan supaya
mereka lebih mengenali dan mengetahui jenis kegiatan kokurikulum yang wujud
dan akan dijalankan sepanjang tahun di sekolah, bak kata peribahasa Melayu tak
kenal, maka tak cinta. Minat pelajar baharu akan meningkat apabila mengetahui
wujudnya pelbagai aktiviti mengikut cita rasa dan minat pelajar dijalankan oleh
pihak sekolah seperti program perkhemahan, ekspedisi dan sebagainya.
Tambahan pula, kerajaan harus memberikan penekanan kepada kegiatan
kokurikulum dengan menjadikan markah pencapaian kokurikulum tahunan sebagai
salah satu syarat utama bagi pelajar-pelajar untuk memasuki kolej ataupun
universiti awam tempatan. Mereka yang aktif dalam kegiatan kokurikulum dan juga
mempunyai keputusan peperiksaan akademik yang cemerlang harus diberi

keutamaan. Hal ini difikirkan mampu menggalakkan pelajar untuk menyertai lebih
banyak aktiviti kokurikulum dalam pelbagai peringkat dan jenis untuk meraih
peluang dan kesempatan untuk memasuki kolej atau universiti awam tempatan
pilihan mereka. Syarat ini juga boleh diaplikasikan dalam penentuan calon untuk
mendapat biasiswa negeri atau biasiswa persekutuan.
Sehubungan dengan hal itu, sistem pengiraan markah kokurikulum di
peringkat sekolah harus diperketat bagi mengelakkan penipuan. Usaha
pemantauan dan pemerhatian oleh guru-guru penasihat dan pihak berwajib
kokurikulum sekolah dapat membantu usaha untuk mengekang gejala negatif
tersebut. Setiap aktiviti yang disertai oleh pelajar perlu disokong dengan bukti
seperti sijil penyertaan, sijil kepujian atau sijil kecemerlangan sama ada di
peringkat sekolah, negeri, kebangsaan mahupun di arena antarabangsa. Bagi
mengelakkan berlakunya masalah ini, guru-guru penasihat haruslah senantiasa
memantau buku rekod kehadiran pelajar dari semasa ke semasa.
Masyarakat luar juga harus menyokong usaha kerajaan dalam memberikan
kesedaran kepada orang ramai melalui kempen dan sesi ceramah. Mereka boleh
menyediakan tempat yang sesuai kepada pihak yang berwajib di samping
menghulurkan bantuan sama ada berupa sokongan moral, wang ringgit, hadiah
galakan dan perkhidmatan agar masyarakat umum memahami matlamat dan
objektif kegiatan kokurikulum dalam sistem pendidikan selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan dari
segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Kesimpulannya, kegiatan kokurikulum memainkan peranan yang amat
penting kepada pelajar-pelajar. Semua pihak haruslah senantiasa berganding bahu
dan berusaha gigih untuk menggalakkan setiap pelajar sama ada di bandar atau di
luar bandar untuk menyertai kegiatan kokurikulum kerana kegiatan tersebut dapat
melahirkan modal insan yang mampu memimpin negara kita sekali gus
merealisasikan Wawasan 2020. Sesungguhnya, generasi pelajar pada hari ini
merupakan umarak nusa bangsa yang cemerlang pada masa hadapan sejajar
dengan slogan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara!

Anda mungkin juga menyukai