Anda di halaman 1dari 2

Berulangkali YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak melaungkan

transformasi di era kepimpinannya. Asasnya ia adalah satu langkah yang baik untuk
sebuah perubahan. Namun malangnya sehingga kini, transformasi itu belum
menampakkan sebarang tanda bahawa parti - parti politik yang sah dan dibenarkan
bertanding dalam pilihanraya mempunyai akses media yang seimbang dengan parti
pemerintah.

Rakyat telah menghantar isyarat yang sangat jelas melalui Bersih dan Bersih 2.0
tempohari, bahawa mereka mahu akses media yang lebih telus dan luas guna
mewujudkan ruang dan peluang seimbang serta adil kepada semua parti yang
bertanding dalam pilihanraya.

Pilihanraya adalah platform untuk rakyat memilih pemimpin yang bakal membentuk
kerajaan dan pentadbiran yang baik ke arah memacu negara bersaing seiring sejalan
dengan pertumbuhan ekonomi global dan perkembangan sosial yang pesat serta
menguasai iklim politik serantau mahupun antarabangsa.

Justeru itu, rakyat terlebih dahulu berhak untuk mendapatkan maklumat dari parti
yang bertanding berkait kewibawaan calon, polisi parti, tawaran dan janji untuk rakyat
serta manifesto dan risalah perjuangan parti - parti yang bertanding.

Apa yang berlaku dalam negara kita hari ini, hanya parti pemerintah yang menguasai
media samaada cetak atau elektronik. Sementara parti bukan pemerintah dipaksa
berpada dengan media lidah rasmi parti yang terhad bilangan dan keluarannya untuk
ahli sahaja.

Fenomena ini tidak sihat untuk sebuah sistem demokrasi yang baik dan subur. Rakyat
kelak memilih pemimpin tanpa maklumat yang cukup dan masak sebaliknya lebih
bergantung kepada maklumat sebelah pihak dan satu hala. Selayaknya akhbar parti
dibenar terbit dan edar secara umum, pula diberi laluan serupa dan seimbang untuk
membawa suara perjuangan parti melalui chanel khas dalam media elektronik.

Jika kita berpolitik untuk memajukan negara dan membangunkan minda rakyat,
selayaknya rakyat dididik membuat pilihan dan pendirian berasaskan maklumat yang
seimbang dan masak. Inilah politik baru yang berkali saya tegaskan. Iaitu politik
berteraskan hujjah dan fakta bukan lagi politik tekan, paksa, sogok dan ugut.

Ketidakadilan ini bakal mengundang risiko besar apabila rakyat tertekan dan rasa
dinafikan hak mereka bersuara dan hak mereka untuk mendapatkan maklumat secara
bebas dan telus. Ia boleh sahaja menjadi bom jangka yang mampu meledak pada bila bila masa jika terus - terusan rakyat dikongkong. Satu peringkat mereka mungkin
boleh dan masih bersabar namun bila tiba saat tertentu, negara terpaksa membayar
harga yang tinggi untuk berdepan dengan kebangkitan rakyat.

Negara maju malah mengamalkan sistem demokrasi telah lama mendahului negara
kita dalam pendemokrasian media dan maklumat. Malah sebagai sebuah negara yang
meletakkan agama rasminya ialah Islam, sewajarnya menggalakkan keseimbangan
maklumat dan pertumbuhan sumber perbendaharaan ilmu dalam pelbagai bidang yang
mampu membina minda dan daya fikir masyarakat kita.

Kesalnya saya, apa yang berlaku dalam negara kita hari ini, media untuk membina dan
membentuk jalur pemikiran, resam budaya, budi peribadi, skema politik dan ekonomi
sangat terhad serta terbatas. Sebaliknya majalah picisan, novel separa porno dan
akhbar hiburan tanpa kawal berlambak dipasaran dengan kelulusan KDN sedang ia
sekali-kali tidak membangunkan harapan negara untuk melahirkan sebuah masyarakat
yang bertamadun dan berkualiti.

Nasrudin bin Hassan


Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Author: Nasruddin Hassan

Anda mungkin juga menyukai