Anda di halaman 1dari 3

1.

Meskipun senjata ini adalah senjata yang paling tua dan klasik, namun ia adalah senjata yang
bahaya dan berbisa malah kesan radiasinya lebih dahsyat membawa kemusnahan berbanding
letupan loji nuklear. Ia bukan sahaja mampu membunuh jasad manusia bahkan fitnah adalah
senjata yang mampu membunuh jiwa manusia dan peradabannya. Firman Allah swt :

dan fitnah itu adalah suatu yang sangat besar [ dahsyat dosa dan akibatnya ] dari membunuh
dan senantiasalah mereka memerangi kamu sehingga mereka boleh memalingkan kamu dari
agama kamu jika sekiranya mereka mampu melakukannya.
Surah Al Baqarah Ayat : 217
2. Bermula dari zaman pertarungan antara Qabil dan Habil yang bermula dengan api fitnah
merebut seorang perempuan untuk dicintai akhirnya meletus satu kesan radiasi yang membawa
kepada berlakunya pembunuhan dan itu adalah pembunuhan manusia pertama direkodkan
di atas muka bumi dan ianya bermula dari fitnah serta dendam. [boleh rujuk kisahnya di
dalam surah al Maaidah ayat 27 hingga 32].
3. Nabi Yusuf as terpaksa meringkuk di dalam penjara angkara fitnah. Nabi Yusuf as
dituduh bermukah dengan Zulaikha, isteri kepada seorang pembesar istana. Plot dan drama
fitnah itu dirancang selicik mungkin oleh orang - orang dalam istana yang bermula dari api
fitnah Zulaikha akhirnya Nabi Yusuf as diseret ke penjara sementara Nabi Yusuf as sedia ke
penjara demi mempertahankan maruah dan kesucian dirinya. Firman Allah : [boleh rujuk
kisahnya di dalam surah Yusuf ayat 21 - 36]

Ia [ nabi Yusuf as ] telah berkata : Tuhanku , Penjara lebih aku suka berbanding apa yang
mereka suruh aku lakukanya
Surah Yusuf. Ayat 33
4. Senjata fitnah sebagai senjata yang tiada nombor siri ini terus digunakan secara berleluasa di
sepanjang zaman sehinggalah ke zaman Nabi kita Muhammad saw. Apabila Isteri Nabi saw,
Aisyah rha. difitnah dan dituduh berzina dengan Sofwan bin Mua'attal al Sulami. Plot cerita
yang disusun rancang oleh Abdullah bin Ubai bin Salul cukup meyakinkan sehingga
sebahagian sahabat Rasulullah saw mencadangkan agar Nabi saw menceraikan sahaja Aisyah
rha sementara sebahagian yang lain mempertahankannya. Malah Nabi saw diam tidak terkata,
tambahan pula wahyu terhenti kira - kira sebulan lamanya. Sehinggalah akhirnya turun wahyu
membebaskan keluarga Rasulullah saw dari belenggu fitnah yang direka.
5. Allah swt berfirman di dalam surah an Nuur ayat 11, bermaksud :
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu
juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik
bagi kamu.
6. Melalui sejarah tamadun moden hari ini juga dapat disaksikan bagaimana kuasa manusia di
dunia ini, biarpun mereka telah memiliki peluru berpandu, jet pejuang, kereta perisai, bom

nuklear dan 1001 jenis senjata canggih termasuk pesawat tanpa pemandu, namun mereka tetap
menggunakan senjata tanpa nombor siri [fitnah] ini untuk menjatuhkan lawan mereka
samaada musuh mereka dalam persaingan ekonomi atau musuh mereka dalam
pergolakan politik.
7. Malah kuasa besar dunia sekalipun lengkap dengan segala kekuatan tentera dan senjata, demi
menjayakan misi penaklukan mereka ke atas negara - negara lain turut menggunakan fitnah
bagi mencetus huru hara dan perang saudara serta pergolakan politik dalaman sebelum mereka
menjadi "super hero" yang datang kononnya untuk misi menyelamat dan damai.
8. Dunia disepanjang zaman diletakkan dalam persaingan dan pertarungan fitnah. Manusia
walaupun baik, lebih - lebih lagi manusia buruk memang berpotensi untuk menjadi mangsa
senjata fitnah ini. Namun kebiasaannya manusia yang jahat [faajir] akan menggunakan senjata
ini untuk diacu kepada lawannya. Justeru manusia yang baik [soleh] sekali - kali tidak akan
bermain dengan senjata tanpa tuan ini.
9. Bukan sahaja individu akan derita sebaik sahaja terkena kesan radiasi fitnah ini, malah
rumahtangga akan runtuh, masyarakat akan huru hara, negara akan binasa malah dunia hilang
pertimbangan. Jika dunia mengutuk sekeras - kerasnya mana - mana negara yang
membina dan menggunakan senjata nuklear kerana menyedari kesan buruknya, maka
saya kira dunia wajar mengutuk berganda kali penggunaan senjata fitnah yang
membawa kesan buruk dan dahsyat berlipat ganda.
10. Bagi kita ummat Islam malah juga perlu diambil iktibar [pengajaran] oleh non muslim akan
nasihat dan panduan nabi kita Muhammad saw dalam menghadapi zaman penuh fitnah, krisis
dan konflik ini. Terutama kepada mereka yang sering menjadi mangsa fitnah tanpa mengira apa
tujuan atau objektifnya, wajar sekali menghayati wasiat dan pedoman Rasulullah saw. Sabda
Rasulullah saw :



Maksudnya : Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah swt dan dengar serta
taat sekalipun yang dilantik pemimpin ke atas kamu hanyalah seorang hamba. maka
sesungguhnya, sesiapa yang masih hidup dari kalangan kamu, nescaya ia akan melihat
berlakunya ikhtilaf [ krisis, konflik dan fitnah ] yang begitu berleluasa , maka wajiblah ke atas
kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa' ar Rasyidin yang mendapat
petunjuk dari Allah swt dan hendaklah genggam sunnah itu seerat - eratnya dengan geraham
kamu. Waspadalah akan perkara yang direka cipta maka sesungguhnya setiap perkara baru
yang direka cipta [ dalam urusan agama kamu ] adalah sesat.
Hadis riwayat : Abu Dawud dan at Turmuzi dan katanya Hadis ini Hasanun Sohih.
Penutup : Hanya taqwa serta keiltizaman kita kepada syariat dan sunnah Rasulullah saw
akan menjadi perisai berkesan dalam menghadapi peluru fitnah dan kesan radiasinya.
Meskipun fitnah itu melanda diri dan keluarga kita, insyaallah ketaqwaan akan menjadikan kita
mendapat lindungan Allah swt dan kita berjaya mengatasinya dengan jaya.

Bersabarlah insan yang terfitnah dan semoga mereka yang menabur fitnah mendapat
petunjuk Allah swt untuk kembali ke jalan yang benar, memohon ampun dan diredhai Allah
swt.
Salam dari Lembah Multazam
Masjidil Haram Makkah Al Mukarramah.
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Author: Nasruddin Hassan

Anda mungkin juga menyukai