Anda di halaman 1dari 6

Faedah-faedah Bersukan

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa
lapang atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan
sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih
berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih
dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah
banyak membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan
dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang
sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?
Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu
mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih
banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan
separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan
kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua
lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental.
Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai
kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan
merupakan langkah awal seperti kata pepatah sediakan payung sebelum hujan
dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit
jantung. Kegiatan sukan juga dapat membantu mereka yang telah menghidap
penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga
mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental.
Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan
lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan
membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan
dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang
sihat.
Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang
sebenarnya amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang
melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa lapang
dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu
sangat berharga .Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk
bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan
remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada
melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa
sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan
dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang
lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya
masyarakat dan melangkah gagah dengan yakin ke peringkat antatabangsa

walaupun melalui ranjau pidana dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan
dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.
Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan
hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan
sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih
kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam
kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana
muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan
yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang
kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai
perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara
dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri
dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat
bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan.
Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan
secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional
boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan
pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang
besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global
mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu,
industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan
sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan mengembangkan
bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka. Pemain
bola sepak secara professional, pemain badminton seperti Datuk Lee Chong Wei
dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan bowling sebagai
kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.
Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah
kepada masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan
menyertai semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat
yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu
mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu
duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang lain.
Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara.
Tegasnya, kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

Punca Dan Langkah Mengatasi Jenayah Ragut


Sejak dahulu masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun ada
kalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang
kemas. Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak
memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut
sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa
manusia. Kematian dua wanita, Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat
terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut beg tangannya
di Brickfields dan seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau Chong See
Cheng, 37, pada 14 Jun 2004 menyedarkan masyarakat bahawa jenayah
ragut bukan lagi isu remeh sebaliknya jenayah yang harus diberi perhatian
serius khususnya oleh kaum wanita.
Kenapa hanya wanita yang menjadi mangsa kebanyakan kes ragut? Pada hal
selama ini mereka langsung tidak pernah terfikir bahawa ragut boleh
mengancam nyawa. Fenomena ini telah membawa satu lagi amaran kepada
wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka terutama
kala berada di khalayak. Banyak pihak apabila memperkatakan tentang
jenayah ragut ini meletakkan kesalahan kepada wanita kerana leka dan tidak
peka kepada jenayah yang akan mereka hadapi. Menurut mereka peragut
terpanggil melakukan jenayah kerana didorong oleh penampilan mangsa
yang membawa beg tangan dengan penuh gaya tanpa memikirkan
keselamatan atau memakai barang kemas yang tidak sepatutnya semasa
berada di tempat awam.
Menurut
Profesor
Mahmood
Nazar
Mohamad,
Pensyarah
Fakulti
Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM), kejadian
maut yang berlaku membabitkan ragut ini adalah amaran awal kepada
wanita supaya mengambil langkah memperkasakan diri untuk menentang
kejadian seumpama itu. Jenayah ragut kini sama kejamnya dengan jenayah
genre lain seperti rogol dan pembunuhan kejam yang dilakukan kepada
wanita. Sudah sampai masanya wanita memberi perhatian serius terhadap
perkara ini dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di luar
rumah terutama di tempat awam. Wanita perlu peka dan menanamkan
dalam jiwa mereka bahawa kes ragut kini adalah serius dan kemungkinan
akan berlaku kepada diri mereka pada bila-bila masa. Selama ini wanita
terkenal dengan sikap mengambil mudah dan berperasaan tidak apa.
Wanita patut memulakan usaha melengkapkan diri dengan langkah-langkah
keselamatan sewajarnya. Contohnya apabila hendak ke tempat meletak

kereta, pastikan anda telah bersedia untuk melakukan sesuatu apabila


diserang. Pada masa yang sama, mereka harus peka kepada keadaan
keliling serta mengawasi orang-orang yang mencurigakan di samping
berusaha mendapatkan maklumat tentang cara-cara mengendong beg yang
betul, cara berjalan dan elakkan daripada menghampiri kawasan yang tidak
perlu. Sebagai contohnya, apabila berjalan di kaki lima jalan, pastikan beg
tangan yang dipegang atau dikendong berada pada sebelah kiri. Ini bagi
menghalang peragut daripada menghampiri dengan mudah untuk merentap
beg tangan yang sedang disandang atau dipegang itu.
Wanita juga perlu membina kesedaran untuk sentiasa berhati-hati tidak kira
masa dan tempat. Bagi mereka yang pernah mengalaminya, hendaklah
berhati-hati supaya kejadian itu tidak akan berulang. Sehubungan itu,
wanita harus mempelajari seni mempertahankan diri untuk berdepan
dengan peragut sekiranya mengalaminya Dalam hubungan ini, wanita
terbabit perlu bijak membuat keputusan pada saat itu sama ada hendak
melepaskan beg yang diragut atau mempertahankan beg tersebut bagi
mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap mereka. Wanita
seharusnya tidak membawa dokumen penting dan wang tunai yang banyak
di dalam beg tangan kerana peragut lebih gemar meragut beg tangan
berbanding barang kemas. Begitu juga dengan barang kemas, kalau hendak
pakai juga biarlah patut padan kecuali jika berada di tempat yang terjamin
selamat.
Sudah sampai masanya wanita melancarkan gerakan pre-mansion untuk
mengingatkan kaum wanita akan bahaya ragut terhadap mereka. Ini boleh
dilakukan melalui kempen di tempat kerja, kawasan perumahan, di surau
dan majlis-majlis rasmi. Wanita yang pernah menjadi mangsa peragut boleh
tampil bercerita tentang pengalaman mereka untuk dikongsi bersama
dengan rakan-rakan sejenis. Seperkara lagi, masyarakat juga harus lebih
prihatin dengan keadaan sekeliling. Mereka patut tampil memberi bantuan
apabila berada di dalam situasi seperti itu. Sekiranya ternampak seakanakan sesuatu yang buruk akan berlaku di kawasan anda berada, segeralah
bertindak dan berusaha untuk menghalangnya. Jangan hanya menjadi
pemerhati. Selanjutnya, undang-undang untuk pesalah kes ragut ini
ditimbang semula dan perketatkan supaya mereka yang mungkin akan
melakukan jenayah tersebut merasa takut dan berfikir banyak kali sebelum
melakukannya.
Peragut adalah mereka yang yang suka mencuri. Mereka hanya inginkan
barang daripada mangsa dan tidak ambil kisah yang perbuatan mereka itu

boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa. Seperkara yang perlu


diingati oleh wanita adalah bertindak bijak semasa diserang tetapi jangan
melawan untuk keselamatan diri. Apabila diragut, elak diri daripada bergelut
dan sebaik-baiknya lepaskan beg yang disentap kerana menjadi resam
peragut akan berusaha mendapatkan apa yang mereka ingini. Jika terus
melawan, kemungkinan mangsa akan tercampak atau berpusing-pusing
kerana kekuatan peragut telah berlipat ganda akibat kelajuan motor yang
dipandu. Dalam apa juga keadaan, langkah terbaik adalah sentiasa berhatihati. Berpeganglah kepada pepatah, berjimat sebelum habis, beringat
sebelum kena