Anda di halaman 1dari 2

Konsep, Hierarki dan Peranan pembesar

Disediakan oleh: Ma Kong Guan (6A1)

Bincangkan peranan pembesar di negeri-negeri Melayu sebelum tahun 1874.


Sistem pembesar yang diamalkan di negeri-negeri Melayu digubal berasaskan warisan
Kesultanan Melayu Melaka, iaitu Sistem Pembesar Empat Lipatan. Pembesar dilantik oleh
sultan melalui surat tauliah. Jawatan pembesar diperoleh melalui dua cara iaitu taraf tersedia dan
taraf capaian. Sebelum kedatangan British, pembesar di negeri-negeri Melayu memainkan
peranan penting segi politik, ekonomi dan sosial.
Pentadbiran peringkat pusat/negeri, didahului oleh empat orang pembesar yang utama,
iaitu

Bendahara,

Penghulu

Bendahari,

Temenggung

dan

Laksamana.

Bendahara

bertanggungjawab sebagai penasihat sultan dan memangku jawatan ketika baginda berada di
luar negeri. Bendahara juga menjadi pemerintah tertinggi angkatan tentera, menguruskan adat
istiadat diraja, serta menjadi ketua hakim dalam kes jenayah yang besar. Penghulu Bendahari
menjadi ketua pemegang khazanah dan harta kerajaan serta menjaga hal kewangan negeri.
Seterusnya, penghulu bendahari juga mengawasi syahbandar, bendahari dan menyimpan daftar
segala hamba raja. Temenggung pula berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang dan
peraturan negeri. Temenggung juga berperanan dengan menjadi ketua polis negara dan
melaksanakan hukuman mati atas arahan raja. Laksamana pula menjaga keamanan di laut dan
menjadi ketua angkatan laut. Mereka bertanggungjawab menjaga keselamatan dalam negeri dan
mengetuai angkatan tentera sewaktu ketiadaan bendahara.
Pembesar peringkat daerah dilantik oleh Sultan bagi mentadbir sesebuah kawasan
setelah diberi surat tauliah. Kawasan yang ditadbir dipanggil kawasan pegangan yang
dianugerahkan atas jasa dan perkhidmatan mereka. Antara peranan pembesar daerah ialah

membantu Sultan dalam pentadbiran serta menyediakan tentera dan memastikan kawasan
mereka aman. Pembesar perlu memastikan rakyat sentiasa setia kepada Sultan. Pembesar juga
berperanan mengadili kes-kes jenayah di daerah mereka. Beliau juga berkuasa menjatuhkan
hukuman terhadap kes jenayah di kawasan tadbiran mereka. Mereka berhak mengutip cukai
daripada penduduk daerah dan menyerahkan sebahagian kepada sultan sebagai tanda ketaatan
mereka. Pembesar wajib melaksanakan sistem kerah iaitu dikehendaki membekalkan tenaga
buruh kepada sultan untuk membina dan menghias istana, membina kapal dan sebagainya.
Di peringkat jajahan/kampung, penghulu dilantik untuk menguruskan pentadbiran.
Penghulu atau penggawa mempunyai kuasa mutlak di kampung mereka. Mereka dilantik oleh
sultan melalui surat tauliah secara turun-temurun dan dipilih dalam kalangan orang kampung
yang paling dihormati oleh penduduk kampung. Penghulu bertanggungjawab untuk menjaga
keamanan dan keselamatan anak buah di kampung mereka. Penghulu juga perlu melaksanakan
semua tugas yang diarah oleh pembesar daerah. Penghulu mesti memastikan anak buahnya taat
setia kepada sultan. Penghulu harus menyelesaikan sebarang pertelingkahan antara anak buahnya
serta menghakimi kes-kes yang kecil. Penghulu perlu memungut cukai daripada anak buah di
kampung dan menyerahkan kepada pembesar daerah. Penghulu juga perlu menyediakan dan
membekalkan tenaga buruh melalui sistem kerah.
Kesimpulannya, pembesar memainkan peranan penting dalam bidang politik, ekonomi
dan sosial sebelum campur tangan British. Namun selepas campur tangan British peranan
pembesar mulai berubah. Pembesar tidak lagi memainkan peranan dalam pentadbiran British
sebaliknya British melantik pegawai pemungut dan majistret yang mengambil alih tugas dan
peranan pembesar. Tindakan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan
pembesar yang akhirnya membawa kepada penentangan terhadap British.