Anda di halaman 1dari 10

Pengenalan

Objektif penulisan ini adalah untuk menghuraikan konsep, kepentingan, genre-genre yang
terdapat di dalam KOMSAS, aplikasinya serta pemilihan strategi yang berkesan dengan
menggunakan genre KOMSAS dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Kajian dilakukan ke atas
teks genre sastera bagi Tingkatan Satu seperti Puisi Tradisional (Pantun Dua Kerat, Pantun
Empat Kerat, Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiyah dan Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman),
Puisi Moden (Kian Kita Lupa, Lebah dan Madu, Hari Akhir Persekolahan, Jangan, Diari Lama
dan Asap), Prosa Tradisional (Taju`l Muluk, Hikayat Marakarma, dan Budi Seorang Bapa
Angkat), Cerpen (Kasut Kelopak Jantung, Tempang, Tukang Lama, Yuran, Trauma Embah, dan
Sepucuk Surat daripada Kawan), Drama (Surat untuk Ina, Arah ke Mana, dan Mendung Hitam
Beralih Jua) dan Novel (Istana Menanti, Sukar Membawa Tuah, Bukan Duniaku dan Hikmah).
Kajian ini juga cuba membuktikan kurikulum Bahasa Melayu jelas memperlihatkan perkaitan
yang rapat dengan penggunaan unsur sastera dalam pengajaran bahasa Melayu (Khairuddin
Mohamad et al, 2014:2). Menurut Abdullah Tahir (1989:5), kehalusan dan kepekaan sebagai
suatu reaksi daripada pencerminan masyarakat ditonjolkan melalui persoalan yang dihadapi
manusia seperti penderitaan, kemiskinan, perjuangan, keruntuhan peribadi, harapan dan cita-cita.

Konsep KOMSAS

Menurut Zurainu Mat Jasin dan Abdull Sukor Shaari (2012) komsas ialah akronim bagi
perkataan-perkataan komponen dan kesusasteraan Melayu. Komsas ialah komponen penting
dalam subjek Bahasa Melayu. Bagi pengajaran dan pembelajaran komsas dalam subjek Bahasa
Melayu, Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)
Tingkatan I hingga V pasca tahun 2003 telah memperuntukkan dua waktu dalam seminggu.

Berdasarkan kepada beberapa penyelidikan yang dijalankan mendapati bahawa umumnya guru
Bahasa Melayu kurang memahami falsafah pengajaran dan pembelajaran komsas dalam subjek
Bahasa Melayu. Sememangnya, komsas yang juga lebih dikenali sebagai si kecil adalah amat
berbeza dengan si besar yang mewakili konsep kesusasteraan sebagai mata pelajaran atau yang
mewakili konsep pendidikan Kesusasteraan Melayu sebenar, khususnya daripada segi matlamat,
objektif pengajaran dan pembelajaran serta penilaian atau peperiksaan yang menggunakan
kaedah dan metodologi yang tersendiri Nik Hassan Basri (2007),. Ada beberapa perkara yang
mengelirukan mereka sehingga kajian yang dijalankan mendapati bahawa ada antara guru yang
mengajar komsas dalam subjek Bahasa Melayu mengajarnya sama seperti mereka mengajar mata
pelajaran Kesusasteraan Melayu tulen. Malah, penyelidikan yang dijalankan mendapati mereka
juga kurang yakin dan cekap dalam usaha mereka menjalankan tanggungjawab pengajaran
komsas di sekolah.

Kepentingan Komsas
Kesusasteraan Melayu, khususnya komsas boleh memainkan peranan penting dalam
pembentukan emosi kerana kesusasteraan Melayu yang merupakan wadah fikiran, dan perasaan
yang dijalin oleh bahasa yang indah membenarkan murid-murid atau kanak-kanak sedar akan
perasaan sendiri semasa mereka memikirkan perasaan orang lain.
Kesusasteraan Melayu, seperti karya-karya seni yang lain bukan sahaja memukau deria rasa dan
intelek peminatnya, bahkan memaparkan kehidupan, menenangkan keadaan huru-hara,
menerangkan yang gelap dan mencadangkan alternatif untuk mengatasi masalah. Secara singkat
hal ini bermakna bahawa unsur-unsur kesusasteraan Melayu yang dibaca oleh murid-murid
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berupaya untuk membentuk dirinya agar menghormati
orang lain, membina sahsiah yang elok, dan bersikap toleransi. Selain itu, nilai-nilai estetik yang
diajar dalam pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dapat mendidik
murid mengamalkan keperibadian yang seimbang. Proses pengajaran dan pembelajaran
komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu akan mewujudkan tema
kemiskinan hidup murid di kawasan pedalaman dalam menempuh alam persekolahan dan
cabaran guru dalam mendidik anak murid daripada pelbagai latar belakang. Sebagai contoh
cerpen Kasut Kelopak Jantung memaparkan secara langsung dunia murid. Pengarang
mengemukakan watak murid yang bertanggungjawab terhadap pelajarannya, dan ia merupakan
satu role model yang wajar bagi seorang murid yang berumur tiga tahun, yang lahir dalam
keluarga yang miskin tetapi patuh dengan arahan guru, seorang yang lurus bendul dan sangat
berdikari (Kasut Kelopak Jantung, 2014: 106).
Di samping itu, proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam
subjek Bahasa Melayu akan dapat memotivasikan murid untuk belajar melalui bahan-bahan yang
dibaca. Dengan ini, bahan yang dibaca atau yang didengar akan menyalurkan pemikiran positif,
kreatif, dan kritis dalam proses pendidikan seumur hidup. Bahan-bahan komponen kesusasteraan
Melayu akan dapat menarik perhatian murid terhadap topik yang akan disampaikan. Keadaan ini
akan memupuk perkembangan daya cipta atau imaginasi murid dalam proses pembelajaran
secara berterusan. Malahan, semangat cinta akan tanah air akan tersemat dalam dada setiap
murid sekiranya mereka didedahkan dengan pengajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam
proses pembelajaran mereka. Melalui pengajaran komponen kesusasteraan Melayu, murid akan
diperkenal dengan unsur-unsur patriotik, perpaduan negara, dan kebudayaan kebangsaan.
Sebagai contoh sajak Diari Lama yang dinyatakan oleh penyair akan kesetiaannya yang tidak
berbelah bagi pada Malaysia dan cintanya tak perlu disangsikan pada negara (Khairuddin et al,
2014: 62). Di bawah ini dipetik rangkap-rangkap sajak tersebut.
Di halaman diari ini aku amati selembar
Tulisan

Tentang perjuangan bertitis air mata


Mengalir
Namun tak sederas darah yang tumpah.

Mengikut Nik Hassan Basri (2007), semangat cinta akan tanah air akan tersemat dalam dada
setiap murid, sekiranya murid dengan bantuan guru dapat menilai dan mengaplikasikan
pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu. Malah, dengan demikian akan meningkatlah rasa cinta mereka kepada tanah air.
Satu perkara lagi yang penting dan menariknya tentang kesusasteraan Melayu dalam pendidikan
Bahasa Melayu yang dikenali sebagai si kecil yang ada dalam sistem pendidikan di Malaysia
adalah kerana kesusasteraan Melayu dapat membantu melahirkan manusia yang mempunyai
sifat-sifat yang mulia. Melalui pembacaan teks-teks atau bahan kesusasteraan Melayu dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu, murid dapat meneladani dan menambahkan ilmu pengetahuan,
menyuburkan emosi, membina moral dan pengajaran, unsur kemasyarakatan dan nilai
kemanusiaan, dan estetik. Hal ini kerana dalam proses pengajaran dan pembelajaran komponen
kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu terdapat pelbagai gubahan yang
menyingkapkan nilai budaya. Bahan-bahan kesusasteraan Melayu yang bertemakan moral dapat
membantu murid menghayati nilai-nilai murni. Perkara ini disebabkan murid dapat belajar
melalui peniruan watak-watak baik yang ditonjolkan dalam sesebuah karya kesusasteraan
Melayu. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah disiplin pada kalangan
murid kerana murid tertarik dengan cerita tersebut, mereka akan mendengarnya atau
membacanya dengan teliti dan tidak mungkin akan menimbulkan masalah disiplin.
Pertimbangan utama dalam kehidupan bermasyarakat ialah soal sejauh manakah seseorang itu
dapat mengutamakan nilai-nilai murni dalam tindak-tanduk, perancangan, dan keputusankeputusannya dalam kehidupan. Sebagai contoh seorang individu Muslim sentiasa dipandu oleh
nilai-nilai yang sesuai dengan kepercayaan akidah dan akhlak Islam. Demikianlah halnya dengan
yang lain yang sebahagian besar daripada mereka, terutama yang berpegang kepada agama akan
melihat nilai-nilai yang positif, seperti menghormati hak-hak manusia lain dan menghargai
sebarang hal yang secara universalnya diterima sebagai baik dan memberi kesejahteraan kepada
masyarakat. Malahan, Islam memaparkan nilai-nilai murni yang diterima sebagai bersesuaian
dengan semua agama di dunia.

Oleh itu, wajarlah karya-karya kesusasteraan Melayu yang terpilih perlu memancarkan nilai-nilai
murni yang dapat membentuk konsep-konsep kebaikan, keikhlasan dan kebenaran dalam
pemikiran dan perasaan murid-murid yang mempelajari kesusasteraan Melayu. Hal sedemikian
bersesuaianlah dengan dasar pendidikan kebangsaan, yang antara tujuan pentingnya adalah untuk
menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Kadang-kadang, proses pengajaran
dan pembelajaran unsur kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu sebelum

pelaksanaan pada tahun 2000 tidak mencapai objektifnya kepada murid. Hasil atau bahan
kesusasteraan Melayu yang dibaca oleh murid ada kalanya bukannya hasil kesusasteraan Melayu
yang sesuai dengan kebolehan, tahap atau keupayaan murid, tetapi lebih berupa cerita sematamata. Malah kajian yang dijalankan sebelum ini juga mendapati bahawa buku-buku bacaan
kesusasteraan Melayu yang disenaraikan oleh KPM itu sesetengah daripadanya kurang sesuai
untuk bacaan murid kerana berunsur negatif (Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir, 1997: 189). Oleh
yang demikian, kurikulum baru yang berorientasikan komponen kesusasteraan Melayu lebih
berupaya untuk mewujudkan individu yang berminat dengan karya-karya yang bermutu.
Selain itu, penggunaan kesusasteraan Melayu melalui pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu yang berkesan dapat membantu dan mempercepat proses itu, selari dengan dasarnya,
iaitu untuk membina dan mengukuhkan lagi pengetahuan asas kepada cita rasa warisan bangsa
Melayu supaya lahir kesedaran; rasa hormat kepada nilai-nilai Melayu, di samping menanamkan
bibit-bibit penghayatan yang dapat melahirkan rasa keinginan untuk menyumbang kepada
khazanah kesusasteraan kebangsaan yang dimiliki bersama itu.
Seterusnya, penggunaan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu yang berkesan juga berupaya untuk melahirkan sebilangan besar anggota masyarakat
yang dapat menghargai kesusasteraan bangsa. Sekali gus menambahluaskan bilangan pembaca
buku kesusasteraan Melayu. Dalam masa yang sama akan lahir penilai-penilai, pengkritikpengkritik, penghasil-penghasil, dan penerbit-penerbit karya kreatif dan kritis yang lebih
bertanggungjawab kerana fenomena yang seumpama itu dapat mengangkatkan taraf
kesusasteraan Melayu kita kepada tahap profesional yang tinggi. Di samping itu, pengetahuan
tentang konsep dan teori-teori kesusasteraan yang berhubungan dengan beberapa pendekatan
seperti pendekatan sosiologi sastera yang digunakan oleh pengarang dalam menganalisis karyakarya kesusasteraan Melayu yang estetik dapat meluaskan pengetahuan guru. Malah
pengetahuan itu akan dapat menjadi daya penarik kepada murid semasa proses pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu. Guru Bahasa Melayu yang terlatih harus sedar akan adanya
perbezaan perkembangan antara sains sosial dan sains kemanusiaan. Bahkan, guru Bahasa
Melayu perlu sentiasa peka bahawa terdapatnya perubahan yang radikal dan bersifat revolusioner
dalam dunia sains kemanusiaan atau dalam dunia era globalisasi atau dunia tanpa sempadan
berbanding dengan yang lainnya. Apabila seseorang guru itu dapat mengikuti atau menangani
perkembangan dalam ilmu sains kemanusiaan yang cepat berubah itu, maka, tidaklah pula guru
Bahasa Melayu itu akan ketinggalan zaman. Pandangan tentang fenomena itu sering dikaitkan
oleh cerdik pandai dengan perkembangan kesusasteraan Melayu yang sentiasa menerima
perubahan. Dengan memahami situasi ini, teks atau sumber kesusasteraan Melayu tidak hanya
sebuah cerita tetapi mampu membawa perubahan terhadap alam pendidikan atau dunia
kehidupan itu sendiri. Tanpa memahami segala hal, komponen kesusasteraan Melayu tidak akan
hidup seperti sepatutnya. Oleh itu, guru Bahasa Melayu wajar bijak menangani bahawa
penggunaan komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu itu bukan sekadar
mengajar bahasa, seni, falsafah, sejarah, peradaban, atau agama, bahkan mengajar erti atau nilai
kehidupan itu sendiri.

Genre KOMSAS

Pembahagian genre di dalam Kesusasteran Melayu terbahagi kepada Kesusasteraan Melayu


Tradisional dan Kesusasteraan Melayu Moden.
Kesusasteraan Melayu Tradisional terbahagi kepada dua kategori, iaitu:
i.Prosa
ii.Puisi
Prosa Melayu Tradisional terbahagi kepada dua cabang utama, iaitu:
i.Naratif
ii.Bukan Naratif
Prosa tradisional berbentuk naratif terbahagi pula kepada dua jenis, iaitu:
i.Naratif Lisan
ii.Naratif Tulisan
Naratif Lisan di dalam Kesusasteraan Melayu terbahagi kepada tiga genre, iaitu:
i.Mitos
ii.Legenda
iii.Cerita Rakyat
Cerita Rakyat terbahagi kepada tiga subgenre, iaitu:
i.Cerita Jenaka
ii.Cerita Binatang
iii.Cerita Dongeng
Cerita Dongeng ialah:
i.Lipur Lara
ii.Cerita Teladan
Ada dua pengaruh di dalam Naratif Tulisan, iaitu:
i.Pengaruh Hindu
ii.Pengaruh Islam
Pengaruh Hindu terdapat di dalam genre:
i.Sastera Panji
Pengaruh Hindu-Islam terdapat di dalam genre:
i.Sastera Transisi
Pengaruh Islam mempengaruhi genre-genre yang berikut:

i.Sastera Hikayat
ii.Sastera Sejarah dan
iii.Sastera Epik.
Sastera Epik ada dua subgenre, iaitu:
i.Epik Kebangsaan
ii.Epik Melayu-Islam
Genre-genre yang tergolong di dalam kategori Prosa Tulisan Bukan Naratif ialah:
i.Sastera Kitab
ii.Sastera Ketatanegaraan
iii.Sastera Undang-Undang
iv.Sastera Sufi
Puisi Melayu Tradisional terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
i.Puisi Naratif
ii.Puisi Bukan Naratif
Di samping itu, genre-genre Puisi Melayu Tradisional dapat pula dikategorikan kepada tiga
kumpulan yang berasingan jika dilihat dari sudut asal usulnya, iaitu:
i.Puisi Tradisional Warisan Melayu
ii.Puisi Tradisional Warisan Islam
iii.Puisi Tumpangan
Puisi Tumpangan juga terbahagi kepada dua kategori, iaitu:
i.Puisi Tumpangan Warisan Melayu
ii.Puisi Tumpangan Warisan Islam
Puisi tumpangan
Teka-teki dan rejang menumpang pada bentuk syair dan pantun. Endoi pula menumpang pada
bentuk syair, nazam dan pantun. Puisi Tumpangan Warisan Islam semuanya menumpang pada
bentuk syair atau nazam yang biasanya berbahasa Arab.
Satu lagi genre puisi di dalam bahasa Melayu ialah puisi sufi. Puisi jenis ini memaparkan ideaidea tasauf. Salah seorang penulis puisi jenis ini yang paling terkenal ialah Hamzah Fansuri.
2. Kesusasteraan Melayu Moden
Kesusasteraan Melayu Moden memiliki pelbagai genre. Walau bagaimanapun, pada peringkat ini
kita akan berbicara tentang novel, cerpen, drama, sajak, biografi dan esei atau kritikan sahaja.

Kesusasteraan Melayu moden


Mengikut Abdullah Tahir (1989: 1) novel ditakrifkan sebagai cereka yang berbentuk prosa.
Cereka yang disampaikan itu luas jangkauannya. Maksudnya ialah cerita yang disampaikan itu
terdiri atas:
i.Plot yang kompleks;
ii.Watak yang menggerakkan cerita banyak jumlahnya;
iii.Persoalan-persoalan yang dikemukakan bersifat pelbagai; dan suasana serta latar
ceritanya beraneka.
Hal-hal itu menyebabkan sesebuah novel itu relatif panjang, yakni lebih panjang daripada
cerpen. Istilah novel diambil daripada bahasa Inggeris. Perkataan itu asalnya daripada bahasa
Itali novella yang bererti satu benda kecil yang baru.

Cerpen juga dipanggil cerita pendek. Oleh sebab itu, sudah tentu ceritanya tidak panjang. Walau
bagaimanapun, batasan atau tanggapan panjang pendeknya tidak boleh diukur berdasarkan
jumlah perkataan yang dilihat lantaran sifatnya yang relatif.

Pada kebiasaannya, sesebuah cerpen mengisahkan hanya satu kejadian dalam kehidupan yang
diwarnai oleh pelbagai kejadian. Sesuatu kejadian yang digambarkan melalui cerpen dianggap
sebagai pokok yang menentukan segalanya. Kemungkinan-kemungkinan lain ditinggalkan begitu
sahaja. Oleh sebab itu, pengisahan yang diutarakan menjadi relatif pendek.

Sesebuah cerpen biasanya memusatkan pengisahannya kepada satu watak sahaja, terutama watak
penting yang menghadapi permasalahan hidup. Persoalan yang ditimbulkan itu benar-benar
bermakna, penting, dan dapat mengubah sikap, pemikiran watak-watak yang difokuskan.
Hal itu dapat dilihat pada watak Amri di dalam novel Hikmah karya Mohd Faris Ikmal. Amri
merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Dia sangat menyayangi ibunya sehingga sanggup
berbasikal sejauh sepuluh kilometre untuk memberli ubat emaknya. Lahir dalam serba
kesusahan. Amri anak yang baik dan taat tetapi berubah menjadi degil dank eras kepala apabila
berada di sekolah. Dia memeras ugut murid-murid lain. Hidupnya berubah apabila dia insaf
apabila melalui kejadian ngeri dalam hidupnya.
Menurut Fadzri Aris et al (2014:154) drama ialah sejenis sastera yang tergolong dalam jenis
cereka. Ciri-ciri utama drama ialah:
i.Aksi;
ii.Konflik; dan

iii.Persembahannya sekali jalan sahaja.


Jenis-jenisnya ialah:
i.Tragedi;
ii.Komedi;
iii.Tragi-komedi;
iv.Opera;
v.Pantomin; dan
vi.Bangsawan.
Kemiskinan hidup dalam kalangan segolongan masyarakat kerana tidak merebut peluang yang
ada. Pak Jusuh mahu terus bekerja sebagai nelayan dan enggan menyertai tanah rancangan
kerajaan. Sebagai akibatnya, keluarga Pak Jusuh terus dihimpit kemiskinan.
Contohnya Mendung Hitam Beralih Jua oleh Aripin Said. Drama berbentuk kemasyarakatan
mengisahkan watak utamanya Pak Jusuh dan watak sampingannya Mak Limah, Jamilah dan
Mutusami di dalamnya. Tujuannya untuk menunjukkan kerajinan. Contohnya Mak Limah rajin
melakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah dan mengemas rumah.

Strategi

Berdasarkan beberapa kajian lepas seperti kajian Subadrah Nair dan Malar Muthiah (2005)
dalam mata pelajaran Sejarah dan kajian Noor Azliza dan Lilia (2002), didapati kajian yang
menggunakan model konstruktivisme dalam mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya dalam
pembelajaran Komsas masih kurang. Maka dalam kajian ini, Model Konstruktivisme Lima asa
Neeedham (1987) digunakan untuk mengenal pasti keberkesanan pembelajaran Komsas dalam
kalangan murid bukan Melayu.

Dalam kajian ini guru menggunakan kaedah pembelajaran model konstruktivisme Lima Fasa
Needham (Needham, 1987) kepada kumpulan sasaran yang merangkumi lima fasa berikut:
1. Orientasi: Guru menyediakan suasana pembelajaran untuk merangsang dan menimbulkan inat
murid terhadap pelajaran. Pelbagai cara dilakukan untuk mendapatkan perhatian murid.
antaranya ialah dengan menunjukkan tayangan video, keratan akhbar, teka-teki, lakonan dan
simulasi.
2. Pencetusan idea: Guru merancang pelbagai bentuk aktiviti seperti perbincangan kumpulan,
menggunakan kaedah peta konsep serta membuat laporan dengan menghubungkaitkan
pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baharu yang akan mereka pelajari. Murid akan
berbincang dalam kumpulan dan berkongsi pengalaman yang sama serta interaksi yang rapat

sesama mereka. Guru perlu memainkan peranan sebagai fasilitator dengan membekalkan bahan
pembelajaran dan membimbing murid untuk membuat pembelajaran inkuri atau pembelajaran
berasaskan masalah yang diberi.
3. Penstrukturan semula idea: Guru menyediakan aktiviti atau memberi tugasan berstruktur untuk
membolehkan murid mencabar idea asal mereka atau idea rakan, dan membina struktur
pengetahuan sendiri yang lebih bermakna dan berkesan. Dalam fasa ini, kemahiran berbahasa
akan membantu murid membuat pengubahsuaian atau penyusunan semula idea mengikut turutan
dan setiap satu idea mempunyai kesinambungan idea yang kelihatan tersusun dan terancang.
Peranan guru pula ialah mengukuhkan konsep atau idea yang tepat kepada muridnya.
4. Aplikasi idea: Murid akan mengaplikasikan pengetahuan baru dengan menyelesaikan masalah
dalam situasi baharu. Situasi ini dapat mewujudkan pemahaman yang baharu dan menggalakkan
proses inkuiri di dalam diri murid.
5. Refleksi: Murid membandingkan pengetahuan asal dengan pengetahuan baharu dan merenung
kembali proses pembelajaran yang menyebabkan perubahan kepada idea mereka. Murid juga
boleh membuat refleksi untuk melihat sejauh manakah idea asal mereka telah berubah. Guru
boleh menggunakan kaedah penulisan kendiri, perbincangan kumpulan dan catatan peribadi
murid untuk meneliti atau memantau tahap pemahaman murid-muridnya.

Selain itu strategi seperti kebanyakan dapatan kajian seperti kajian Davis et al. (1997),
menunjukkan pembelajaran berkualiti berlaku dengan penuh bermakna apabila mengintegrasikan
ICT dengan pengajaran kolaboratif. Tujuan utama pembelajaran kolaboratif berbantukan
komputer (Computer-Supported Collaborative Learning (CSCL)) adalah untuk menyediakan
persekitaran yang menyokong kerjasama antara pelajar-pelajar untuk meningkatkan proses
pembelajaran mereka (Kreijns, Kirschner, & Jochems, 2003), memudahkan pembelajaran
kolaboratif (Pea, 1994), atau kerjasama kumpulan (Stahl, 2006). Dengan itu, penggunaan ICT
boleh memberi banyak sumbangan untuk memperbaiki sistem persekolahan sekiranya
persekitaran pembelajaran yang interaktif dan bertenaga bertapak seiring dengan konteks
pedagogi, kurikulum dan organisasi sekolah yang bersesuaian (Deetya 1996:14).

Penutup
Apabila diteliti daripada sudut bahasa karya-karya kesusasteraanlah sumber yang paling ideal
kerana keluasan dan kepelbagaian gaya yang sering dilenturkan untuk menyatakan emosi yang
bermacam-macam. Pengarang yang kreatif akan cuba menggunakan bahasa seluas mungkin
meliputi pemilihan ayat, gaya bahasa, ungkapan-ungkapan khusus, dan meluaskan penggunaan
bahasa-bahasa kiasan untuk mencapai kesan yang mendalam. Oleh itu, pemilihan karya-karya
kesusasteraan yang baik adalah perlu. Karya yang baik untuk murid ialah karya yang mempunyai
unsur pengajaran dan panduan yang boleh dicontohi. Melalui karya kesusasteraan, masyarakat
dapat menjadikannya sebagai panduan dan pengajaran hidup dalam menghadapi kehidupan yang
serba mencabar.

Sharmini (2004) mengemukakan pengajaran dan pembelajaran sastera amat berguna dalam
masyarakat Malaysia kerana dapat membantu pelajar mempertingkatkan kemahiran bahasa dan
menambahkan ilmu pengetahuan. Ilmu sastera boleh merentasi kurikulum dan pelajar dapat
mempelajari dengan lebih bermakna. Beliau mencadangkan kaedah pengajaran dan pembelajaran
perlu diubahsuaikan dengan mengintegrasikan teknik atau pendekatan kontemporari yang mesra
pelajar. Kajian ini disokong oleh kajian yang dibuat Wheatley (1992) menunjukkan bahawa
pembelajaran aktif dapat mempertingkatkan pemikiran dan tindak balas pelajar. Pelajar
seharusnya diberikan peluang untuk membuat refleksi terhadap aktiviti yang dijalankan untuk
pembentukan yang berma