Anda di halaman 1dari 2

APAKAH KEPENTINGAN MEMANASKAN BADAN ?

Memanaskan badan penting supaya otot berfungsi dengan baik, elak kecederaan.
PAKAR kenderaan sering menasihat pemandu supaya memanaskan enjin terlebih dulu sebelum memulakan
perjalanan, terutama pada waktu pagi.
Apakah tujuan membiarkan enjin dalam keadaan melahu selama beberapa minit sebelum digerakkan? Ketika
proses pemanasan, minyak pelincir akan dialirkan ke semua bahagian enjin. Jika enjin terus dibebani sebelum
dipanaskan, ini bermakna enjin terpaksa bekerja ketika minyak belum sampai ke setiap bahagian yang perlu
dilinciri.
Akibatnya, bahagian yang bergeseran akan mengalami kehausan akibat geselan berat hingga enjin lebih cepat
rosak.
Apakah kaitan memanaskan enjin dengan senaman?
Tubuh manusia sama seperti enjin. Jika enjin menerima kesan buruk akibat kegagalan pemandu memanaskan
enjin, tubuh manusia juga berkeadaan serupa.
Sesetengah orang bersenam untuk lebih sihat, tetapi selepas sekali atau dua kali melakukan senaman terus patah
semangat untuk bersenam kerana bukan kesihatan bertambah baik, tetapi mengadu bahagian tertentu tubuh
seperti kaki terseliuh dan sakit.
Masalah yang dialami Itu menunjukkan tubuh manusia perlu melalui proses sama seperti enjin kenderaan,
memanaskan badan sebelum bersenam.
Memanaskan badan penting supaya otot dapat bertugas dengan berkesan, sekali gus mengelakkan kecederaan.
Sehubungan itu, tubuh memerlukan persediaan rapi dan tepat untuk melakukan senaman yang memerlukan
tenaga dan kekuatan supaya senaman memberi pulangan positif dan pada masa sama, meminimumkan risiko
kecederaan.
Bersenam tanpa memanaskan badan bererti sengaja mendedahkan diri kepada pelbagai kesakitan dan
kecederaan.
Sesetengah orang mengetahui keperluan memanaskan badan, tetapi mempunyai anggapan salah bahawa sesiapa
yang mempunyai keadaan fizikal yang baik tidak perlu berbuat demikian. Hakikatnya, setiap orang berisiko
mendapat kecederaan apabila memaksa tubuh melakukan senaman.
Berhenti dengan tiba-tiba selepas bersungguh-sungguh melakukan senaman tanpa melegakan otot kembali
seperti dalam keadaan rehat, juga boleh menyebabkan kesakitan seperti yang dialami orang yang tidak cergas,
tetapi memaksa diri bersenam secara intensif.
Ketegangan otot yang dialami ketika bersenam kemungkinan besar berpunca akibat bersenam tanpa
memanaskan badan sepenuhnya.

Kebaikan memanaskan badan


FAKTOR utama memanaskan badan ialah untuk melindungi otot, tendon dan ligamen terkoyak ketika
pergerakan regangan yang kasar. Ini penting terutama bagi aktiviti seperti membaling dan menendang bola yang
memerlukan pelbagai gerakan.
Latihan memanaskan badan juga meningkatkan pengaliran darah melalui tisu lembut dengan melebarkan
saluran darah dan hasilnya, suhu meningkat dan anggota badan menjadi lebih lembut.
Bagaimanapun, pastikan senaman dilakukan segera selepas aktiviti memanaskan badan. Jika melewati tempoh
10 minit, badan akan kembali sejuk dan usaha memanaskan badan akan menjadi sia-sia.
Selain mencegah kecederaan, tubuh berasa lebih bersedia untuk melakukan senaman. Dari segi psikologi,
seseorang itu akan lebih bersedia untuk menghadapi aktiviti sukan, terutama pertandingan peringkat tinggi.

INFO: Teknik memanaskan badan


PASTIKAN aktiviti memanaskan badan dilakukan mengikut teknik yang betul. Tempoh masa yang sesuai
sekurang-kurangnya 10 minit. Kaedah lain yang digunakan ialah urutan kerana meningkatkan pengaliran darah
melalui otot, tetapi mesti diikuti regangan otot.
Regangan betis
Berdiri dengan sebelah kaki berada di depan. Secara perlahan-lahan pindahkan berat badan kepada kaki depan.
Ini menyebabkan otot betis diregang ke arah belakang. Kekalkan kedudukan itu kira-kira lima minit.
Kepantasan
Aktiviti berbentuk kepantasan seperti berjalan pantas dan joging perlahan meningkatkan pengaliran darah ke
tisu dan otot.
Regangan bahu dan dada
Kedua-dua belah tangan di bahagian belakang dalam keadaan seperti bersalam. Tangan kemudian digerakkan ke
atas dan kekalkan keadaan itu selama lima minit.
Melonggarkan bahagian atas tubuh
Gerakkan kedua belah tangan dari bahagian atas secara berperingkat-peringkat hingga ke bawah.
Teknik menyejukkan badan
BERSENAM tidak berakhir begitu saja. Jika memanaskan badan adalah penting, menyejukkan badan selepas
bersenam tidak boleh diabaikan.
Tempoh beberapa minit selepas bersenam perlu digunakan untuk menyejukkan badan, iaitu dengan cara
berjalan perlahan dan melakukan teknik sama seperti memanaskan badan.
Menyejukkan badan memastikan darah mengalir melalui otot dan sebarang asid laktik yang terbentuk dalam sel
otot boleh disebarkan melalui pengaliran darah ke hati. Jika berhenti bersenam secara mengejut, asid laktik
yang ditinggalkan di belakang otot boleh menyebabkan kekejangan.