Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk
bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut
menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat
pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara
kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT),
monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan
semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang
melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah
yang sudah berlanjutan sekian lama.
Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem
pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang
terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi
mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan
sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna
pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan
daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau
hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika
mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam
tersebut.
Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan
pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam
terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya.
Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini
menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang
bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat
kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam,
LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana
penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa
melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang
sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasa.
Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan
perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya
hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke
pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau
fider bus di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah
pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di
antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen monorel.
Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk
membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi
yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan
masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum
kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja
mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering
kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang
dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap
tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang
bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur,
semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi
sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan
tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan
raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk
memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta
masyarakat awam yang lain.
Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan
orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini
berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan.
Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka
malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa
buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat
untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka
sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan
malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada
sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul
akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam
tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi
indah khabar dari rupa.
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil
berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa
sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam
sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak
kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan
pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat
dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas
dalam kemelut ini dan bukan bersikap sudah terhantuk baru terngadah.