Anda di halaman 1dari 2

Doa Apabila Umur Mencecah 40 Tahun

By Shahmuzir
Umur 40 adalah umur kematangan fikiran seseorang manusia. Pada saat umur 40 tahun, seseorang manusia
sewajarnya sudah mempunyai kefahaman dan kesabaran yang sempurna. Ya, sepatutnya begitulah.
Dikatakan bahawa para Nabi `alaihim as-solatu wa as-salam dilantik menjadi utusan ALLAH pada umur masingmasing 40 tahun. Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam juga begitu. Di dalam kitab ar-Rahiq alMakhtum karangan Sheikh Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri, disebutkan bahawa umur Nabi Muhammad
dilantik menjadi Nabi ialah pada umur Baginda 40 tahun, 6 bulan dan 12 hari mengikut
kalendar qamariah (perkiraan bulan). Manakala jika mengikut kalendar syamsiah (perkiraan matahari), umur
Baginda dilantik Nabi ialah pada umur 39 tahun, 3 bulan dan 12 hari. Allahu A`lam.
Di dalam al-Quran ada dinyatakan suatu ayat yang di dalamnya mengandungi suruhan supaya manusia berbuat
baik kepada ibubapa mereka yang bersusah payah melahir dan membesarkan mereka. Lalu disarankan supaya
manusia yang sudah mencapai umur 40 agar berdoa kepada ALLAH dengan suatu doa tertentu seperti berikut:
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau
kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh
yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat
keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang
Islam (yang tunduk patuh kepadamu)
(Surah al-Ahqaf, 46:15)

Di dalam doa di atas mengandungi beberapa inti yang sangat penting kita semua perhatikan, terutama yang sudah
mencapai umur 40 tahun, iaitu:
1.

Memohon kepada ALLAH agar diberikan ilham dan kesedaran agar segera bersyukur kepada ALLAH
terhadap segala nikmat yang telah DIA berikan kepada kita dan kepada ibubapa kita.

2. Memohon kepada ALLAH agar diberikan hidayah dan taufiq untuk mengerjakan amalan-amalan soleh yang
diredhai olehNYA.
3. Memohon kepada ALLAH agar dikurniakan kebaikan kepada dzuriat kita.
4. Menyatakan kepada ALLAH bahawa kita mahu bertaubat, sedang bertaubat dan sudah bertaubat.
5. Menyatakan kepada ALLAH bahawa kita ini adalah hamba yang menyerah diri sepenuhnya kepadaNYA.
Patuh pada apa yang disuruh. Jauh pada apa yang dilarang.
Itulah inti kepada doa di atas.

Mana-mana insan yang berbuat baik kepada ibubapa mereka dan lalu perbuat apa yang dinyatakan di atas, maka
ALLAH berfirman:
Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami
terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan
kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai
memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.
(Surah al-Ahqaf, 46:16)
Sungguh, umur 40 tahun adalah suatu peringkat usia yang mesti diambil perhatian oleh semua manusia.
Sebenarnya banyak kata-kata hikmah yang dikaitkan dengan umur 40 ini, namun cukuplah kita perhatikan ayat di
atas sebagai suatu peringatan yang jitu dan padu serta menginsafkan.
Yang masih main-main, berhentilah main-main. Duduk dan renungkan kembali akan segala nikmat yang telah
dinikmati selama ini. Dan renungkan pula destinasi hakiki perjalanan kehidupan ini. Ke mana hendak kita
tempatkan diri ini? Ke Syurga kah? Atau ke Neraka kah? Kepada redha ALLAH kah? Atau murka ALLAH kah?
Fikir!!!
Itulah antara perkara penting yang semestinya diberikan perhatian oleh sesiapa sahaja yang umurnya
sudah menginjak ke 40 tahun. Apatah lagi yang sudah melepasinya.
Yang sudah berumur 40 tahun, maka selayaknya diperhatikan dalam-dalam akan maksud doa di atas. Yang
semakin dekat mencecah umur 40 tahun, maka bersiap sedialah.
Samada kita ini sudah berumur 40 tahun atau belum, hakikatnya kematian itu tidak pernah memilih usia. Samada
muda atau tua, apabila taqdir kematian datang menyapa, maka matilah dia. Justeru, perhatikanlah makna doa di
atas walau siapa pun kita. Ayuh, jangan bertangguh!
Kepada ALLAH lah kita mohon pertolongan supaya kita dapat mengingatiNYA selalu, bersyukur kepadaNYA selalu
dan dapat beribadah dengan baik kepadaNYA selalu.
Ya ALLAH, tolonglah aku supaya aku dapat mengingatiMU, bersyukur kepadaMU dan
beribadah dengan baik kepadaMU
(HR Abu Daud dan an-Nasai dengan sanad yang sahih)