Anda di halaman 1dari 2

FORUM REMAJA PERINGKAT KEBANGSAAN 2009

“MANUSIA DAN ALAM SEKITAR SALING MEMERLUKAN”

Pusingan 2
Panel Ketiga

Terima kasih saudari pengerusi, sahabat panel dan warga dewan yang dihormati.

Saya bersetuju dengan pernyataan saudari pengerusi sebentar tadi.


Sehubungan dengan itu, langkah proaktif dan efektif perlu diambil bagi memupuk
kesedaran terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Langkah pertama ialah pendidikan. Hadirin, saya akan membahagikan


pendidikan kepada dua, pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Pendidikan
formal telah diperkenalkan pada peringkat rendah lagi sesuai dengan peribahasa,
‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KBSR) dalam matapelajaran Kajian Tempatan. Begitu juga pada peringkat
menengah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dalam
matapelajaran sains khususnya Biologi. Pada peringkat pengajian tinggi pula
terdapat kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Langkah ini terbukti
berkesan ya saudara Farez, apabila tiga orang anak penoreh getah, Mohd Khairul
Affendi Che Wan, Mohd Fazril Asyraf Azizan dan Sumjud a/l Muniandi dari Baling,
Kedah berjaya menggondol pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam
Sekitar di Hellinsky, Finland (atas kejayaan apa ?) . Pendidikan tidak formal pula
berlaku dalam kehidupan seharian seseorang terutamanya ketika bersama
keluarga. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting dengan
menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak. Oleh itu, ibu bapalah yang
terlebih dahulu perlu menjaga alam sekitar bukan ibu bapa yang terlebih
membuang sampah merata-rata tempat hadirin.

Langkah yang kedua ialah kempen kesedaran. Hadirin, saya pasti kita sering
mendengar atau melihat slogan ‘Cintailah Sungai Kita’ yang diuar-uarkan oleh Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT). Saya ingin mengajak rakan panel dan warga dewan, kita
imbau keadaan Sungai Klang pada satu masa dahulu. Sungai Klang dahulu kotor
hadirin. Ditambah pula dengan bau yang busuk, sampah-sarap beraneka rupa boleh
dijumpai. Tetapi, apabila kempen ini dijalankan, Sungai Klang menjadi semakin
bersih dan indah. Diserikan lagi dengan pokok yang tumbuh subur menghijau, air
yang kian jernih, sedap mata memandang. Selain itu, hadirin badan swasta seperti
Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga berperanan dalam menjalankan kempen
kesedaran. Contohnya, kempen ‘Pokok Untuk Kehidupan’. Lihat hadirin di sekeliling
kita,pokok semakin banyak ditanam .

Hadirin,

Bumi adalah satu-satunya planet yang membolehkan manusia dan hidupan


lainnya hidup bebas. Perasaan hormat harus diberikan kepada semua bentuk
hidupan dan persekitaran yang menjadi jiran tetangga kita. Perasaan hormat
terhadap hidupan lain bermakna menghormati diri kita sendiri. Hadirin, menjaga
kesejahteraan alam sekitar supaya tidak tercemar bermakna menghormati
keperluan kita untuk mendapatkan udara dan bekalan air yang bersih. Bukankah
alasan ini sudah cukup untuk kita membelainya dengan perasaan penuh timbang
rasa dan kasih sayang? Fikirkanlah warga dewan.

Sekian, kembali kepada saudari pengerusi.