Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI

NAMA

: LIM CHEN CHING (921012-12-6302)

OPSYEN

: PISMP PSV SEMESTER 6 AMBILAN JAN 2012

Saya berasa bersyukur kepada Tuhan kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya dapat
mengikuti program ceramah Bina Insan Guru (BIG) Fasa 6 dengan baik dan lancar tanpa
sebarang kecelakaan. Di sini saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada
semua guru pelatih PISMP semester 6 ambilan Januari 2012 yang bekerjasama bagi
menjayakan program BIG bagi fasa terakhir ini.

Program BIG pada kali ini telah diadakan pada 13 Oktober 2014 bertempat di Dewan
Wawasan IPGKKB. Terdapat dua individu yang telah dijemput untuk menyampaikan dua
tajuk ceramah iaitu Dr. Hjh. Zunoriah Mohamed dan Encik Tengku Abdullah B. Tengku
Ismail. Seminar pada kali ini telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu slot ceramah
yang pertama bermula dari jam 8 pagi hingga 10 pagi manakala slot ceramah yang kedua
pula adalah dari jam 11 pagi sehinggalah jam 1 tengah hari.

Slot ceramah yang pertama telah disampaikan oleh Dr. Hjh. Zunoriah dengan tajuk
ceramah Guru dan Inovasi. Banyak input dan pengetahuan baharu yang didapati melalui
ceramah tersebut dan salah satunya adalah berkaitan dengan bagaimana guru mampu
membuat perubahan kepada sekolah dan juga sistem pendidikan dengan berfikiran kreatif
dan inovatif. Inovatif bermaksud kemampuan dalam membuat transformasi ataupun
mencipta sesuatu yang baharu sama ada dalam bentuk semasa ke arah penjanaan dan
perkembangan minda yang lebih dinamik. Sifat sebegini dapat dijadikan sebagai suatu
aspirasi dalam profesion keguruan. Sepertimana yang telah disampaikan oleh Dr., gaya
pengajaran dan pembelajaran (PdP) Chalk and Talk lapuk dan tidak mampu menarik
perhatian murid terutama sekali kepada generasi Y. Guru yang bersifat statik dan
membosankan akan menyebabkan murid cepat hilang perhatian dan ilmu juga tidak dapat
diserap dengan baik. Sistem pendidikan pada masa kini memerlukan guru menjadi
pembimbing kepada murid supaya mereka mempunyai kemahiran berfikir, menyelesaikan
masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi. Oleh itu, amat penting bagi guru untuk membuat
inovasi dan transformasi dari segi PdP supaya pembelajaran murid menjadi lebih berkesan.

Melalui ceramah pertama ini juga Dr. telah menyatakan bahawa guru perlu berani
dalam menyahut cabaran semasa dan menghadapinya dengan positif dan terbuka. Ini
kerana ia merupakan suatu langkah terbaik dalam menimba ilmu dan kemahiran untuk
penyuburan dan pemantapan diri dalam usaha mengaplikasikan kemahiran-kemahiran ini
dalam bilik darjah. Justeru, imaginasi telah memainkan peranan yang penting dalam proses
mencerna minda murid. Inovasi tidak semestinya menghasilkan sesuatu objek ataupun
benda-benda maujud tetapi juga boleh diaplikasikan di dalam gaya penyampaian seseorang
guru. Cara penyampaian dan penyoalan guru yang kreatif dan inovatif semestinya mampu
membantu membuka minda murid dan berfikir di luar kotak di mana murid boleh
memberikan pandangan ataupun pendapat seluas mungkin tanpa dihadkan. Dari situ, murid
dilatih untuk berfikir secara global dan mampu mengaitkan dengan isu dalam pembelajaran
dan seterusnya mengaplikasikan pengetahuan tersebut di dalam kehidupan seharian.
Selaras dengan tema hari guru tahun 2014 iaitu Guru Pencetus Kreativitim Penjana
Inovasi, guru merupakan individu yang berada di barisan utama dalam melahirkan modal
insan berkualiti. Guru perlu membuat perubahan selaras dengan peredaran zaman dengan
membuat penambahbaikan dalam proses PdP seperti memasukkan unsur multimedia dan
memperbanyakkan pembelajaran yang berteraskan inkuiri diri dan pengalaman sebenar.
Oleh itu, apa yang telah disampaikan oleh Dr. Hjh. Zunoriah amatlah berguna dan
membantu saya untuk membuka minda dengan lebih luas dan memandang berat daya
kreativiti dan inovasi di dalam diri untuk membuat perubahan ke dalam sistem pendidikan
Negara.

Seterusnya, slot ceramah yang kedua telah disampaikan oleh Encik Tengku Abdullah
B. Tengku Ismail dengan tajuk ceramahnya Budaya Guru Cemerlang. Guru merupakan
individu yang bertanggungjawab bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu pengetahuan
kepada murid, tetapi juga memikul tugas mendidik murid untuk membentuk insan yang
seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Guru yang
cemerlang bukan sahaja dilihat pada gaya pengajarannya yang berkesan tetapi juga
mempunyai personaliti yang mampu dijadikan sebagai tauladan kepada orang lain.
Sepertimana yang telah disampaikan oleh Encik Abdullah, seseorang guru yang cemerlang
akan mempunyai beberapa personaliti yang baik seperti gaya komunikasi yang baik,
pengurusan kerja yang teratur, mempunyai kemahiran melayan, menunjukkan komitmen
yang tinggi terhadap tugas dan lain-lain. Personaliti yang baik amat penting dalam diri
seseorang guru kerana ia merupakan suatu aset penting supaya murid mampu mengikuti
dan menghormati guru yang mengajarnya. Semasa dalam sesi PdP, guru boleh
memasukkan unsur kecindan supaya murid tidak berasa bosan dan tertarik. Guru juga perlu

pandai bercerita dan memberikan dorongan untuk merangsang pemikiran dan minda murid
yang lebih luas. Ini kerana, guru yang tidak menunjukkan sifat profesionalisme keguruan di
hadapan muridnya tidak akan mampu untuk menarik perhatian murid bahkan mungkin akan
memberikan imej yang tidak baik kepada murid dan juga masyarakat. Oleh itu, guru perlu
menjaga imej dan juga memupuk personaliti yang baik dan seesuai dengan profesion
keguruan.

Selain itu, guru yang cemerlang bukan sahaja menunjukkan komitmen dalam aspek
PdP tetapi juga menerapkan sifat kasih sayang dan banyak mengambil berat terhadap
muridnya tidak kira semasa berada di dalam sekolah mahupun latar belakang murid. Ini
kerana latar belakang murid banyak memberi kesan kepada prestasinya di sekolah. Justeru,
guru perlu banyak mengambil perhatian dan sentiasa memerhatikan muridnya. Guru yang
cemerlang akan sentiasa memberi dorongan dan bertanya khabar kepada murid. Guru perlu
mempunyai sifat penyayang supaya murid lebih berani untuk mendekatkan diri dan
berkongsi pengalaman dan pendapatnya dengan guru. Dari situ, guru memberikan suatu
perasaan yang harmoni dan peramah kerana senang didekati dan mudah bercerita tetapi
masih menghormatinya sebagai seorang pendidik. Di samping itu, guru yang cemerlang
juga perlu bersifat tegas dalam melaksanakan rutin dan peraturan di dalam bilik darjah.
Tegas tidak semestinya garang ataupun memarahi murid. Tegas adalah suatu sifat di mana
guru berpegang kepada pendirian dan bersifat logik dalam melaksanakan peraturan yang
telah dipersetujui di awal proses PdP. Sifat tegas seseorang guru mampu membantu murid
melatih diri untuk menjadi lebih berdisiplin dan mengikuti peraturan. Di situ juga dapat
membina tahap kepercayaan murid terhadap guru dan menghormati guru sebagai seorang
insan yang mulia dalam mendidik mereka. Jadi, ianya amat penting bagi guru untuk
memupuk budaya guru yang cemerlang dalam diri supaya mampu membantu sistem
pendidikan kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, banyak pengetahuan dan perkongsian pengalaman


daripada kedua-dua penceramah sepanjang program ini berlangsung. Saya akan banyak
mengambil pengajaran dan sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa untuk
membina jati diri yang tinggi ke arah bidang keguruan dan seterusnya mampu membantu
dalam memperkembangkan lagi bidang pendidikan Kebangsaan dan mencapai matlamat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Anda mungkin juga menyukai