Anda di halaman 1dari 5

4 modul bentuk jadi diri

Oleh Siti Zarinah Sahib

BUKA MINDA...aktiviti dalam kumpulan melatih peserta berfikir serta bertindak


menggunakan akal fikiran dan bukannya perasaan.
IBU bapa tentunya tercari-cari aktiviti sesuai bagi memenuhi keperluan cuti
persekolahan anak-anak.
Ini terutama anak remaja berusia belasan tahun yang sering dikaitkan dengan aktiviti
tidak sihat atau membuang masa seperti melepak, berkunjung ke pusat permainan
video atau menjadi mat rempit jalanan.
Masalah sosial ini tentunya menjadi igauan ngeri bagi ibu bapa yang sentiasa
mengharapkan anak mereka berkelakuan positif serta terhindar daripada gejala tidak
sihat.
Ada pula ibu bapa yang memberi kepercayaan seratus peratus dengan membiarkan
anak-anak melakukan aktiviti pilihan mereka tanpa pemantauan di kala mereka
sibuk di pejabat.
Menyedari masalah sosial yang berlaku kebelakangan ini, Pusat Pengajian Al-Quran
Sistem Individu (Pupaqsi) yang mempunyai pengalaman lebih sembilan tahun
menganjurkan pelbagai aktiviti untuk remaja, mengambil inisiatif mengadakan
program menarik bagi anak-anak seawal usia tujuh hingga 17 tahun.
Ini sebagai langkah awal dalam memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai
jati diri serta agama dalam membentuk mereka menjadi insan cemerlang bukan saja
dalam pendidikan, tetapi perlakuan serta penampilan.

Dalam hal ini, remaja didedahkan dengan modul merangkumi konsep kecerdasan
minda (IQ) iaitu semangat berfikir serta menguji minda menerusi permainan serta
latihan lasak di luar bilik darjah.
Konsep kecerdasan emosi (EQ) pula membentuk jati diri remaja supaya mampu
mengawal emosi menjadi lebih stabil seterusnya melahirkan sifat terpuji seperti
penyabar, tidak meninggi diri, suka menolong, berprasangka baik dan menghormati
ibu bapa manakala kecerdasan emosi dan spiritual (ESQ) pula adalah sifat
kerohanian yang menjurus kepada pendekatan kepada Allah.
Menurut Pengerusi Pupaqsi, Zaid Muhammad Mohd Rais, sempena cuti sekolah ini,
ia merancang beberapa siri kem motivasi yang menyajikan pelbagai aktiviti menarik
untuk peserta.
Menurut Zaid, kem berkenaan merangkumi empat modul menarik yang mampu
membentuk jati diri remaja menerusi pelbagai aktiviti meliputi kerohanian, fizikal,
intelektual dan emosi yang sangat penting dalam pertumbuhan anak-anak.
Semua elemen ini digabungkan bagi membentuk generasi berketrampilan menarik
seterusnya menjana masyarakat berpengetahuan serta mendidik ke arah kebaikan.
"Peserta akan melalui setiap aktiviti yang diatur dengan memberi penekanan kepada
aspek spiritual (kerohanian) sebagai dasar untuk memperkasakan ibadat solat
secara intensif sama ada secara teori mahupun praktikal," katanya.
Aspek kerohanian sangat penting diterapkan dalam diri remaja kerana dengan
pengisian nilai murni menerusi jiwa mereka, ia mampu membentuk menjadi insan
mulia seterusnya mengelak daripada melakukan perkara negatif.
Tambahnya, pembinaan insan melalui segmen motivasi yang bakal menyentuh hati
dan perasaan peserta dapat mengukuhkan minda dan fizikal.
Misalnya, aktiviti riadah, pengembaraan, uji minda dan sukaneka mampu mendidik
mereka menghargai keluarga terutama ibu bapa, rakan serta saudara-mara. Paling

penting, menghargai diri sendiri dengan tidak melakukan perkara yang boleh
menyebabkan mereka terjerumus dalam kancah maksiat.
Program ini dimulakan dengan Kursus Smart Solat dimulai dengan bersuci, cara
berwuduk dengan betul, praktikal solat sehingga menjaga tertibnya yang
disampaikan kepada peserta dalam cara terkini dan sesuai dengan usia remaja.
Selain itu, teknik kemahiran belajar, pengurusan masa dan tekanan, kemahiran
mendengar serta pelbagai panduan turut diadakan supaya pelajar lebih bersedia
untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.
"Segmen ini dijalankan dalam bentuk kumpulan kecil sambil dipantau fasilitator
terlatih bagi setiap kumpulan.
"Peserta diasingkan mengikut peringkat umur dan jantina. Pendekatan yang mesra
seperti 'abang' dan 'kakak' akan memudahkan peserta berkongsi apa juga masalah
yang disimpan selama ini.
"Misalnya segmen malam tautan kasih dan unggun api dapat mencungkil masalah
yang mungkin dihadapi mereka," jelasnya.
Seperkara yang menjadi kepentingan Pupaqsi adalah konsep hidup berTuhan dan
mentaati ibu bapa iaitu perlunya anak-anak sedar bahawa kehidupan sementara ini
adalah untuk mencari keredaan Allah s.w.t.
Justeru anak-anak hendaklah sedar Allah sentiasa memerhatikan segala tindaktanduk perbuatan yang dilakukan mereka. "Dengan cara ini apabila anak-anak
mengetahui mengenai hakikat kejadian Allah mereka akan takut untuk melakukan
maksiat serta gejala sosial yang begitu membimbangkan sejak akhir-akhir ini,"
katanya.
Tegas Zaid, Pupaqsi juga bakal menyuntik kesedaran emosi kepada peserta bahawa
ibu bapa sememangnya penting dalam kehidupan seorang Muslim. Tidak berguna
kehidupan di dunia ini jika tidak mendapat keredaan ibu dan ayah.

Menggunakan pendekatan penuh hikmah dan beremosi, setiap segmen yang


dijalankan fasilitator akan bertindak dengan memainkan emosi mereka sehingga
akhirnya anak-anak remaja ini berasakan mereka tidak mahu kehilangan ibu bapa
kerana memahami pentingnya ibu bapa dalam kehidupan remaja.
Pada akhirnya diharap peserta akan menjadi insan yang taat kepada ibu bapa serta
menjadikan diri sebagai anak yang soleh dan solehah.
Pupaqsi bakal mempelopori dan mengenengahkan konsep latihan dan motivasi
pelajar secara holistik merangkumi semua aspek IQ, EQ dan ESQ secara lebih
praktikal.
Dengan mengintegrasikan ketiga-tiga aspek di atas maka pembinaan personaliti
peserta dapat dibentuk kerana pengendalian program dilaksanakan secara segar
dan 'hidup' bukan sekadar cakap kosong di dalam dewan saja.
Sepanjang tempoh kem juga peserta diberikan perlindungan insurans bagi
mengelakkan kejadian tidak diingini.
Dua siri kem pada tarikh yang berbeza akan berlangsung lima hari empat malam di
Rock Eco Resort, Jalan Sungai Tua, Hulu Yam, Selangor. Sesi pertama sudah
berlangsung pada 21 hingga 25 November lalu manakala sesi kedua akan bermula
pada 12 hingga 16 Disember ini.
"Rock Eco Resort sekali lagi menjadi pilihan memandangkan tempat ini menarik dan
sesuai untuk pengendalian pelbagai aktiviti lasak serta jauh daripada kesibukan
kota. Kawasan ini sesuai dijadikan tempat riadah untuk remaja dan keluarga,"
katanya.
Ibu bapa atau penjaga yang inginkan kelainan dalam memberikan motivasi serta
pembinaan insan kepada anak-anak dijemput untuk menghantar anak mereka untuk
menghadiri kem terbabit.
Zaid Muhammad boleh dihubungi di talian 019-2202327 /03-41053542 atau melayari
laman sesawang www.pupaqsi.com.

http://www.hmetro.com.my/articles/4modulbentukjadidiri/Article/

Anda mungkin juga menyukai