Anda di halaman 1dari 4

Nak salahkan cupakkah...

Oleh Hariyati Ariffin


BENARKAH masyarakat kita sudah ketandusan nilai murni dan kasih sayang?
Walaupun sukar untuk dipastikan namun senario kekeluargaan masa kini kurang
menggambarkan ciri-ciri murni yang harus dimiliki oleh sebuah masyarakat
penyayang. Masalah sosial dan kepincangan yang melanda masyarakat kita dewasa
ini jelas digambarkan di media massa.
Malah, hampir setiap hari berita mengenai keganasan rumah tangga, penderitaan
anak dan isteri yang ditinggalkan dan didera suami, kezaliman anak terhadap ibu
bapa serta persengketaan antara saudara mara sentiasa mengisi ruang di media.
Konsep masyarakat penyayang terkandung dalam cabaran ketujuh Wawasan 2020
iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Masyarakat
penyayang adalah satu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih
daripada diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang
perseorangan tetapi sekeliling keluarga yang kukuh. Dengan kata lain, masyarakat
penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat dengan anggotanya yang
mesra dan bertimbang rasa. Setiap orang saling faham-memahami dan hormatmenghormati iaitu yang muda menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang
muda.
Berdasarkan konsep itu sememangnya untuk mewujudkan satu masyarakat
penyayang bukanlah mudah dan ia memerlukan kesungguhan bukan saja di pihak
yang berwajib tetapi yang penting ia harus bermula di rumah dalam sebuah unit
asas sosial iaitu keluarga. Peranan keluarga amat penting sekali dalam melahirkan
masyarakat penyayang. Ini kerana keluarga adalah komponen penting dalam proses
pembentukan masyarakat dan sebuah negara. Dari sebuah keluarga yang bahagia
dan harmoni akan lahirlah negara yang sejahtera dan makmur. Dalam hal ini ibu
bapalah memainkan peranan penting mendidik anak-anak menjadi masyarakat yang
mengamalkan nilai murni dan bertanggungjawab sekali gus melahirkan keluarga
penyayang. Tepat sekali dengan hadis nabi yang mengatakan bahawa anak-anak itu
ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Walaupun tidak dinafikan
institusi sosial lain seperti media, persekitaran, sekolah dan rakan-rakan adalah ejen

sosial yang mencorakkan peribadi seorang anak, namun peranan ibu bapa
dikatakan lebih dominan untuk mencorakkan sikap dan menanamkan nilai murni
dalam peribadi anak mereka.
Dalam kaitan yang sama sarjana dan ilmuan bersetuju pengaruh ibu bapa dan
persekitaran rumah dapat membentuk peribadi anak yang baik. Mereka menyatakan
anak yang dididik dengan sempurna oleh ibu bapa, bukan saja akan menjadi
anggota masyarakat yang berguna tetapi akan mempunyai ikatan emosi dan
sentimen yang kuat terhadap ibu dan bapa. Jelas sekali bahawa pengaruh ibu bapa
dan rumah adalah komponen utama dalam melahirkan individu penyayang sekali
gus melahirkan masyarakat penyayang.
Walaupun perubahan sosial begitu ketara melanda masyarakat kita masa kini, ia
tidak bermakna ibu bapa boleh lepas tangan terhadap pendidikan anak-anak.
Ramai yang beranggapan sekolah adalah tempat anak mendapat pendidikan, tetapi
pendidikan asas tetap bermula di rumah. Banyak perkara boleh dilakukan ibu bapa
dalam menyemai rasa kasih dan sayang terhadap anak serta memberikan perhatian
sewajarnya dalam pembentuk peribadi mulia mereka. Sebenarnya banyak perkara
tidak diajar di sekolah, tetapi diperoleh di rumah dengan pemerhatian dan apa yang
didedahkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Adakala anak-anak langsung tidak
diajar mengenai budaya murni bersalam dengan orang lebih tua dan budaya
bercakap dengan nada lembut dan bersopan. Begitu juga sikap tegur-menegur dan
mengamalkan komunikasi berhemah. Adakalanya apabila kita menegur dan
menyapa mereka, anak tidak ada tindak balas seolah-olah kita tidak wujud di depan
mereka. Sikap dingin anak dalam hubungan masyarakat ini secara tidak langsung
memaparkan sikap ibu bapa mereka. Mungkin di rumah ibu bapa jarang ada dan
cara berkomunikasi berhemah tidak diterapkan oleh mereka. Oleh itu anak-anak
merasakan untuk tidak menegur dan menjawab pertanyaan seseorang adalah satu
yang bukan dikira kesalahan dan melanggar norma kehidupan. Memang benar
melalui konsep kepemimpinan melalui teladan, ibu bapa memberi contoh (tidak
kiralah contoh baik atau sebaliknya) kepada anak-anak. Oleh itu jika ibu bapa tidak
tahu mengamalkan adab dan nilai murni, bagaimana anak mahu mengikutnya.
Pepatah ada mengatakan, Nak salahkan cupakkah kalau gantang tak penuh. Nak
salahkan perangai anakkah kalau mak bapa pun tak senonoh. Sebagai role model

dalam mendidik anak-anak, ibu bapa mestilah menunjukkan contoh baik dan dapat
diikuti oleh anak-anak. Seperti kata pepatah, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke
nasi dan bagaimana acuan begitulah kuihnya menggambarkan ibu bapa seharusnya
memberi contoh dan mengamalkan konsep nilai murni dan kasih sayang supaya ia
dapat ditanamkan di jiwa anak-anak dan seterusnya menjadi darah daging mereka
sehingga dewasa. Namun begitu, jika suasana rumah tidak pernah kondusif dan ibu
ayah sentiasa berkonflik, ia secara tidak langsung memberi kesan mendalam
kepada anak-anak. Kajian sarjana komunikasi mendapati, anak-anak yang
dibesarkan dalam persekitaran ibu bapa yang berkonflik akan menyebabkan mereka
stres, kemurungan dan antisosial. Tidak dinafikan bahawa pendidikan dari rumah
sememangnya mencorakkan peribadi seorang individu. Ini disokong Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang menyatakan,
fungsi keluarga tidak hanya terbatas untuk meneruskan keturunan kerana dalam
bidang pendidikan, keluarga adalah sumber pendidikan utama kerana segala
pengetahuan dan kecerdasan intelektual manusia diperolehi oleh kanak-kanak
melalui orang tuanya dan ahli keluarganya.
Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abdullah bin
Umar, berkata ya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Seorang lelaki adalah
pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam
kepemimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga
suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya. (Hadis
riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Justeru, ibu bapa yang memberi alasan terlalu sibuk bekerja sehingga tidak ada
masa mendidik anak sukar diterima. Mereka perlu berkorban memberikan sedikit
masa dan perhatian untuk anak-anak agar mereka rasa dihargai dan disayangi.
Kasih sayang yang disemai oleh ibu bapa akan terus subur dalam jiwa anak-anak.
Ingatlah bahawa hidup ini satu putaran, jika kita tidak mempedulikan mereka
sekarang kemungkinan apabila kita tua mereka akan meminggirkan kita. Oleh itu
melahirkan masyarakat penyayang memerlukan komitmen tinggi bukan saja melalui
dasar yang digubal kerajaan tetapi pelaksanaannya harus dibuat secara berterusan
oleh Institusi keluarga, masyarakat dan mereka yang terbabit secara langsung
dalam merealisasikannya. Kita amat berharap negara dapat mencapai matlamat
melahirkan masyarakat penyayang sebagaimana dalam Wawasan 2020 yang

pernah diperkenalkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad 10


tahun lalu. Hanya tinggal 10 tahun lagi bagi mencapai matlamat itu. Bolehkah kita
melakukannya, jika panjang umur, sama-samalah kita tunggu dan lihat. Penulis
pensyarah UiTM, Shah Alam
http://www.hmetro.com.my/articles/2011092400171420110924001714/Article/art
_print

Anda mungkin juga menyukai