Anda di halaman 1dari 4

Peranan institusi keluarga bagi mengatasi jenayah pelajar

Kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar mengenai pembabitan pelajar
sekolah dalam kegiatan jenayah yang semakin membimbangkan wajar diberi perhatian serius
oleh semua pihak. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia
menunjukkan aliran peningkatan kes sejak tiga tahun lalu dengan purata kes sebanyak 200 dan
melibatkan 120 tangkapan setiap bulan. Kegiatan pelajar ini merangkumi penyalahgunaan
dadah, gangsterisme dan perilaku seks bebas.
Peredaran masa dari setahun ke setahun memberi peluang kepada golongan remaja menjadi
cepat matang. Perkembangan teknologi maklumat, kemudahan pendidikan dan kewujudan era
globalisasi telah mempercepatkan penerimaan budaya dan nilai luar ke atas masyarakat muda di
negara kita. Golongan yang mudah terpengaruh dengan nilai-nilai ini tentulah golongan remaja
yang akhirnya dikaitkan dengan setiap masalah sosial. Antara tiga kegiatan tersebut,
penyalahgunaan dadah merupakan ancaman terbesar dan serius kepada negara kerana
kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM5.17 juta setahun untuk memeranginya.
Kegiatan samseng nampaknya telah mula menular ke sekolah yang diyakini oleh ibu bapa
sebagai tempat mendidik anak-anak. Kematian Asrin Mohsin selepas dibelasah sekumpulan
remaja di Pulau Pinang dan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama Datuk Kelana
Petra Maamor, Ampangan, Negeri Sembilan, Muhammad Farid Ibrahim adalah contoh remaja
kita sedang bergerak ke arah menjadikan keganasan sebagai pilihan bagi menyelesaikan
masalah mereka. Soalan yang kita perlu fikirkan bersama ialah apakah benar remaja kita
khususnya pelajar semakin ganas dan sanggup membunuh ?
Jika diperhati anak-anak remaja kita di pusat membeli-belah, perhentian bas dan di dataran,
sebahagian besar pengunjungnya adalah pelepak. Mereka boleh diibaratkan sambil menyelam
minum air kerana di samping melepak, mereka juga akan mengacau dan mengurat gadis
dan wanita yang lalu lalang. Di pekan-pekan besar, tempat popular lebih terserlah lalu ada
yang berani minum arak dan sekali sekala mencuba dadah. Tarikan remaja dan pelajar untuk
lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah memang kita maklumi kerana mereka kini
terdedah dengan pengaruh media seperti televisyen, filem, majalah, internet dan wireless
communication.
Pelbagai langkah dan pendekatan telah diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah dan
jenayah pelajar ini.Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Membanteras Masalah Sosial
pada tahun 1996 lalu merangkumi enam kumpulan kerja iaitu media, undang-undang, kerajaan
tempatan, pendidikan, kesihatan dan agama.
Kita yakin program-program yang telah dirancang itu telah dilaksanakan dan berharap ianya

akan memberi kesan yang positif terhadap tahap sosial di Malaysia. Walau bagaimanapun
perkara asas bagi kejayaan semua program yang dirancang ini terletak kepada institusi
kekeluargaan. Keluarga yang menjadi punca kepada pembentukan komuniti dan negara wajar
diberi penekanan dalam apa juga perkara. Tiga langkah pelaksanaan pengawalan sosial seperti
yang dipraktikkan sekarang iaitu pencegahan, intervensi dan pemulihan wajar menekankan
aspek nilai yang akan menentukan sesebuah institusi keluarga sama ada dalam keadaan
bahagia atau sengsara.Kita sudah kerap dan lali dengan kempen yang saban tahun
dilaksanakan. Kita juga sudah biasa dengan program komuniti yang sekali sekala gah semasa
pelancaran tetapi kita kurang perancangan dan pelaksanaan bagi memupuk nilai-nilai dalam
masyarakat kita. Mungkin faktor inilah yang menyumbang kepada peningkatan jenayah pelajar di
sekolah?
Nilai kekeluargaan yang dikatakan sebagai punca utama jenayah pelajar ialah perubahan tingkah
laku. Pendidikan sejak kecil adalah penentu kepada tingkah laku yang positif. Nilai-nilai
yang ditanam ini meliputi emosi, fikiran, pertembungan ideologi dan sebagainya boleh
menimbulkan sahsiah salihah yang akan memberi kesan kepada nilai dan budaya dalam
sesebuah keluarga. Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika
merasmikan Konvensyen Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Putrajaya barubaru ini pernah menyatakan bahawa tidak perlu bagi pengusaha taska menyediakan program
pendidikan yang susah difahami oleh kanak-kanak tetapi cukup mengajar mereka bagaimana
menghormati rakan-rakan, guru, ibu bapa dan masyarakat. Melalui kesedaran inilah kita dapat
mempertahankan nilai dan adab sopan generasi akan datang berbanding penjaga atau
pengasuh asing yang tidak begitu memahami budaya masyarakat Malaysia.
Selain itu pengaruh persekitaran juga menjadi cabaran besar dalam menentukan hala tuju dan
pembentukan nilai. Tanpa penerapan dan amalan nilai-nilai murni yang memberi penghargaan
terhadap keluarga, sukar untuk mempunyai jati diri bagi menghadapi cabaran pada masa akan
datang. Pemahaman Dasar Sosial Negara (DSN) sebagai dasar pembangunan sosial yang
berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan
kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat wajar dijadikan
sebagai teras di peringkat prasekolah lagi. Objektif dasar ini ialah mempastikan keperluan asas
individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi serta membangunkan dan memperkasakan insan
sepanjang hayat supaya penerapan nilai-nilai murni dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Pendidikan agama sejak kecil dan dimulakan di rumah seharusnya menjadi elemen yang
penting dalam membentuk moral dan mengatasi masalah sosial ini. Ramai bertanya
kenapakah pendidikan agama di sekolah kurang berkesan untuk membentuk peribadi pelajar
seperti yang diharap-harapkan. Adalah sesuatu yang janggal apabila sistem pendidikan agama
di sekolah aliran agama gagal membentuk akhlak dan moral pelajar. Pengkajian haruslah
dilakukan bagi menjadikan pendidikan agama sebagai satu saluran penting bagi mendidik

generasi pelajar walaupun terpaksa menukarkan seluruh kakitangan sekolah seperti yang
berlaku di sebuah sekolah agama di Pahang sedikit masa lalu. Barangkali pendidikan agama
selama ini telah agak tersasar dari tujuan asasnya untuk memberi pengetahuan yang
secukupnya kepada para pelajar dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk cabaran sosial
dan moral. Mereka tidak mendapat ilmu agama bagi menyuluh perjalanan hidup di dunia juga
tidak memahami cabaran kehidupan moden dan global dalam konteks agama dan moral. Faktor
agama memainkan peranan yang dominan bagi membentuk sikap dan nilai yang betul terhadap
kehidupan. Pendidikan agama wajar dikaji semula mekanisme dan teknik pengajaran supaya
dapat diwujudkan satu budaya baru pelajar yang berorientasikan kemodenan, pertumbuhan
ekonomi dan tahap toleransi yang memuaskan.
Membuat perbandingan sistem pendidikan dengan negara lain juga boleh memberikan idea
kepada kita untuk disesuaikan dengan iklim masyarakat kita. Umpamanya di Jepun, penekanan
pendidikan bukan lagi kepada 3M tetapi untuk memupuk hubungan kasih sayang di antara guru
dan pelajar serta menyuburkan jiwa berdikari dalam diri pelajar. Malah sejak sekolah tadika dan
sekolah rendah, para pelajar diajar berdamping dengan komuniti melalui penjelajahan kerjaya
seperti turun ke sawah padi, membersihkan kawasan sekolah dan sebagainya. Didikan seperti
inilah yang bakal melahirkan ahli masyarakat yang peka dengan persekitaran dan tahu menjaga
diri.
Buku Malaysia Isu-Isu Sosial Semasa Terbitan Institut Sosial Malaysia yang telah dilancarkan
oleh YAB Perdana Menteri tahun lalu barangkali boleh memberi sedikit panduan kepada agensiagensi pelaksana supaya menilai kembali pendekatan yang telah digunakan selama ini untuk
menangani masalah sosial keseluruhannya. Kepentingan pelbagai pihak memahami Dasar
Sosial Negara dapat membantu mereka merangka pelan tindakan yang mantap untuk mengubah
keadaan hidup masyarakat, sama ada ke arah yang lebih baik iaitu meningkatkan kesejahteraan
hidup atau sebaliknya. Dengan empat objektif utama ke arah pembangunan negara dan
kesejahteraan masyarakat, Dasar Sosial Negara dapat menjadi teras pembangunan sosial
bertunjangkan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan setiap insan. Nah, dengan dasar
yang lengkap dan indah ini, sejauh mana agensi pelaksana memahami dan menghadam setiap
objektif DSN ini bagi mengatasi pelencongan sosial dalam masyarakat?
Cabaran mengatasi jenayah pelajar sangat besar dan semakin membesar. Apatah lagi dengan
persekitaran yang pantas berubah, gaya hidup kekeluargaan turut berubah. Semakin kerap ibu
bapa bekerja di luar, orang tua dan sanak saudara tinggal berasingan daripada keluarga.
Akhirnya peratusan keluarga telah bertambah kepada 60 peratus pada 1991 kepada 68 peratus
pada 1994 dan dijangka melebihi 70 peratus pada 2000. Kewujudan jurang keluarga asas ini
menyebabkan perubahan nilai-nilai yang memberikan pelbagai kesan dalam kehidupan individu.
Kesan ini juga turut membawa kesan ke atas pembangunan sosioekonomi kerana keluarga tidak
lagi dapat melaksanakan peranannya sebagai penjamin keharmonian keluarga bagi mendidik,

membimbing, membentuk akhlak, kasih sayang dan perhatian. Ikatan perhubungan yang
semakin longgar ini mewujudkan bibit-bibit kelemahan institusi keluarga dan peningkatan tingkah
laku pelajar khususnya.
Pendidikan yang dipelajari di sekolah bukan sekadar kena belajar malah merupakan alat untuk
perubahan. Pengkayaan nilai dan sikap bagi membentuk peribadi mulia dan terpuji lebih
berkesan jika dibuat melalui pendidikan yang bersistematik dan berterusan. Di sinilah letaknya
kepentingan kesedaran terhadap keutuhan keluarga supaya sokongan dan perhatian serta kasih
sayang di antara ibu bapa dan anak-anak terus subur sepanjang masa.