Anda di halaman 1dari 5

Peranan ibu bapa memupuk semangat kejiranan

Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam


kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam
usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat.
Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada
memandang ke kanan, ke kiri atau memandang hadapan atau
belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Betapa pun
kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak
yang jauh menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih
besar berbanding dengan orang yang dekat dengan kita sejak
lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang
lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau
keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat
kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup
berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama
lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran,
sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan
hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa
mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu
ada mengatakan bahawa Jiran Sepakat Membawa Berkat.
Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan
dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa
bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau
bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai
pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan
anggota masyarakat, semakin meluntur. Oleh itu, semua
lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil
langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang
elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan
diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha
perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak
lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa
haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan
oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu
bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut
bersama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk

setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang


aktiviti yang akan dilakukan. Apabila
berkumpul dan
berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenalkenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan
seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih
baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah
Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta.
Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara
bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong
memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing
agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar
dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat
menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga sedar
akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti. Apabila
dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama
untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa
haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat
memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau
role model yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu anakanak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu
bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan
tebing atau ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni dan
hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk
mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam
sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat
kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran mereka.. Apabila
mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita
hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu hal
rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalahmasalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka
supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran.
Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap
keluarga pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu
hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang
lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli
keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk
menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu
keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka,
mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan

sebagainya. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa


terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut
mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa
yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti
mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau
menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena sesuatu
sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat
mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu
mengukuhkan
semangat
kejiranan
dalam
kalangan
masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh
membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut,
masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama
lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk
berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya
khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan
rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat
resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini.
Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena
sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas
dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan.
Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah
terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak
mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat
menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anakanak dan mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya,
majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun
agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu
muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya
ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah
untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam
diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa
digalakkan membawa anak-anak-anak
menziarahi jiran
tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi
jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang
dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan
bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman
dan harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak
berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran

kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu


penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat
membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta
membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri dan
hidup diibaratkan seperti enau di dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu
memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang
teguh pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.
Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat
meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan
secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih
selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat
tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa
mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya
kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk
semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak
supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari
Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari
Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan
masyarakat setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di
padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh
membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh
menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu bapa
boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan
hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang
mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau
pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk
tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan
sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan
Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan
Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya.
Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga,
masyarakat
setempat
secara
bergilir-gilir
mengawasi
keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk
mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini
seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal
ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur
dengan tebing yang mementingkan semangat sandarmenyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam
kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk

menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti


sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan
bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat
penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan
membentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di
mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran
yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk memohon
bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa
menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan
ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik,
maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik
kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran,
maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata
Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam
kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam
usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati
yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam
kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan,
perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam
setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk
memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya
negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah
berfirman yang maksudnya, Wahai manusia, sesungguhnya
Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali.

Anda mungkin juga menyukai