Anda di halaman 1dari 4

Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya,

dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah


lembayung rahmat dan keredaan-Nya, kita sebagai rakyat
Malaysia, berpeluang meraikan ulang tahun kemerdekaan
negara buat kali yang ke-58 dalam keadaan permai sentosa.
Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi semasa, Sehati
Sejiwa, telah dipilih sebagai tema yang tepat untuk Hari
Kebangsaan kali ke-58 ini.
Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi
pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut
politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga,
Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka,
bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan asing.
Sesungguhnya, kedaulatan menjadi faktor yang menunjang kita
sebagai sebuah negara tidak datang secara bergolek. Telah
banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya
darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin
bersama generasi terdahulu, hatta bersinambungan sampai
sekarang.
Maka yang demikian, memiliki kedaulatan bermaksud, kita
berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir,
memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara. Malah,
dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita
juga wajib terus memelihara dan mempertahankan perkaraperkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam,
serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana
bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam
Perlembagaan Persekutuan.
Kita menginsafi, dunia kini sering berdepan dengan pelbagai
kerenah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai

ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa


di serata dunia. Umpamanya, krisis dalaman yang sedang
melanda di beberapa buah negara Arab, akhirnya bertukar
menjadi kecemperaan politik yang berpanjangan.
Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak
berdosa sebegini, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua.
Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada kesudahannya.
Cahaya di hujung terowong yang dinantikan oleh rakyat
mereka, tampaknya masih samar dan buntu. Demikianlah jika
perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono.
Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara
akan terjejas apabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.
Merujuk ehwal negara kita, peristiwa hitam pencerobohan
bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini turut
mengorbankan nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu,
tragedi berdarah ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita
bahawa, Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada
ancaman musuh dari luar.
Hakikatnya, tragedi malang itu telah menyentap benak
sanubari rakyat Malaysia, tentang peri-mustahak untuk kekal
bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara. Lantaran,
kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jati
diri dan pucuk-pucuk semangat cintakan negara di kalangan
rakyat, khususnya golongan muda yakni generasi pewaris.
Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar
laungan membangkitkan semangat. Lebih dari itu, ia perlu
disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya
lagi, kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama.
Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun
melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis
kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui
dengan jayanya.

Sesungguhnya jua, perkara utama untuk direnungkan dalam


mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh
manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan
dan mempersembahkan sebuah Malaysia yang progresif bagi
ditinggalkan kepada zuriat hari muka.
Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng
dan dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi
muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya.
Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus
dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jati diri dan
diperteguhkan semangat patriotisme mereka. Barulah Malaysia
dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal berdaulat lagi
merdeka dalam permaknaan sebenar.
Secara tuntas, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang
unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan
aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi
beberapa tahun lagi.
Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah
belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh
berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk
memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab
itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang
berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita
sudah lama bertatih dan melangkah.
Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang
kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar,
perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak kerajaan
sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita
yang tersendiri.

Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat


Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian,
pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah
kita berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia
yang satu. Dengan ini sekacitanya saya merasmikan
SAambutan Bulan Patriotisme Peringkat SMK Puteri Wialayah
bagi tahun 2015.
Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-58.
Merdeka, Merdeka, Merdeka. Dirgahayu Malaysiaku.