Anda di halaman 1dari 11

FalsafahPendidikanKebangsaan

Pendahuluan
Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam usaha memperkembangkan potensi individu ke
tahap yang cemerlang jika diberi peluang secukupnya. Pendidikan mampu melahirkan individu
berilmu, berakhlak mulia, berbudi perkerti tinggi, sopan, bertanggungjawab, berketrampilan dan
sebagainya. Pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku ke atas individu yang lahir hasil daripada
proses pendidikan melibatkan intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Proses mendidik pelajar perlu berlangsung secara terancang dan sistematik kerana tanpa ciri
tersebut proses ini akan mengalami banyak masalah serta halangan sehingga tidak mendatangkan
hasil yang diingini. Bagi mendapatkan sistem pendidikan yang sistematik, ia perlu kepada asas atau
falsafah pendidikan yang kukuh yang menajadi dasar pendidikan. Falsafah pendidikan menjadi teras
kepada sistem pendidikan kerana di dalamnya terkandung matlamat yang hendak dicapai, kaedah
pelaksanaan pendidikan yang akan digunapakai dan ciri-ciri yang hendak dibentuk dalam seseorang
individu itu (Abu Bakar & Ikhsan 200).
Pengertian Falsafah
Falsafah menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bererti pengetahuan tentang ilmu yang tertinggi
atau sebagai dasar kepada ilmu-ilmu lain. Falsafah berasal daripada perkataan Yunani iaitu phileo
yang bermasksud cinta dan sophia yang bermaksud kearifan, kebijaksanaan atau hikmah. Cantuman
kedua-duanya memberi erti cinta kepada kearifan, kebijaksanaan atau kehikmahan.
Tokoh-tokoh klasik falsafah yang terkenal seperti Socrates (469-399 S.M) memberi penjelasan
bahawa falsafah bermula dengan pencarian (wonder), Aristotle (384-322 S.M) pula menyatakan
falsafah sebagai usaha menyelidik sebab serta asas kepada segala benda. Manakala John Dewey
(1859-1952) pula menyatakan falsafah adalah arah keseluruhan proses pendidikan. Al-Farabi (339950 M) seorang ahli falsafah Islam menyatakan falsafah sebagai ilmu pengetahuan tentang alam
yang maujud dan falsafah adalah untuk menyelidik hakikat alam maujud yang sebenar. Beliau juga
menyatakan bahawa falsafah adalah pokok kepada segala ilmu.
Secara konsepnya, falsafah adalah sebagai suatu usaha mencari kebenaran atau keyakinan
berhubung perkara yang menggunakan minda dan akal fikiran juga sebagai pertimbangan terhadap
suatu perkara yang berasaskan kepada kebenaran bagi memberi penjelasan tentang sesuatu.
Menurut Sharifah Alwiah (1985), berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dilakukan falsafah adalah sebagai
sesuatu penyiasatan yang bersifat sistematik komprehensif dan logik tentang asas-asas pemikiran
bagi semua aktiviti manusia dalam bidang-bidang sains, seni, agama dan pendidikan.
Falsafah Pendidikan
Falsafah pendidikan dianggap sebagai satu asas kepada aktiviti pendidikan yang mencerminkan
pemikiran dan falsafah sesebuah negara. Ia adalah sebagai langkah permulaan dalam proses
pendidikan dan sebagai asas pergantungan kepada unsur-unsur yang terdapat dalam pendidikan
seperti matlamat, isi kandungan pendidikan, pendekatan, strategi dan kaedah proses pengajaran.
Menurut Abdul Fatah (2001), falsafah pendidikan adalah suatu sistem kepercayaan, pegangan dan
prinsip am yang membincangkan berbagai perkara mengenai pendidikan dan pengajaran yang patut
dijalankan di sekolah.
Falsafah memainkan peranan sebagai tumpuan segala idea dan juga pemikiran tentang pendidikan;
falsafah dapat menjelaskan hala tuju kepada segala usaha untuk memajukan sistem pendidikan
negara, berperanan sebagai asas atau dasar dalam menentukan matlamat pendidikan negara, dapat
memberi panduan dalam menentukan fokus dan kandungan kurikulum pendidikan; falsafah menunjuk
arah kepada pelaksana (sekolah dan institusi pendidikan) dalam merancang dan melaksanakan

aktiviti pengajaran dan pembelajaran; sebagai asas dan memberi arah kepada pembuat dasar
pendidikan menentukan corak sistem pendidikan negara.
Matlamat Pendidikan Malaysia
Matlamat Pendidikan Negara adalah melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik,
seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan yang memiliki dan
menghayati ciri-ciri berikut:
percaya dan patuh kepada tuhan
berilmu pengetahuan, berfikiran kreatif dan rasional
berakhlak mulia
berketrampilan
berkeupayaan memberi sumbangan ke arah menambahkan kemakmuran masyarakat dan negara
setia kepada negara, bertanggungjawab untuk menjaga hubungan baik di antara insan dan
memupuk perpaduan masyarakat Malaysia
Selain daripada itu, adalah diharapkan melalui proses pendidikan matlamat berikut dapat dicapai;
melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi kewajipannya sebagai seorang
warganegara;
menghasilkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya
melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna demi memberikan sumbangan terhadap
kemajuan dan perlembagaan;
melahirkan rakyat yang boleh memahami dan menerima serta mengamalkan prinsip-prinsip dan
cita-cita demokrasi mengikut perlembagaan;
melahirkan rakyat yang taat setia kepada Raja dan cinta kepada negara;
melahirkan rakyat yang memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan bersikap
toleransi demi mewujudkan perpaduan rakyat berbilan kaum; dan
mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dengan membekalkan kemudahan-kemudahan
asas pendidikan kepada golongan yang kurang berada.
Sejarah Pembentukan Falsafah Pendidikan Negara
Dari sudut sejarah, falsafah pendidikan negara lahir daripada proses yang agak panjang iaitu satu
proses pembinaan bangsa dan negara Malaysia semenjak merdeka lagi. Sejak itu, kita telah
berusaha untuk membina satu sistem pendidikan yang berteraskan falsafah, budaya dan nilai
"bangsa Malaysia" sendiri dan berdasarkan matlamat pembangunan yang sesuai dengan keadan dan
keperluan bangsa kita.
Di negara kita falsafah pendidikan negara telah difikirkan sejak awal 1980-an lagi dan telah
diisytiharkan pada tahun 1988. Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pelajaran yang diterbitkan pada 1979 adalah permulaan kepada pembentukan Falsafah Pendidikan
Negara yang lebih jelas. Pernyataan Falsafah Pendidikan Negara adalah seperti berikut:
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab, berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan keluarga."
( Kementerian Pendidikan Malaysia, 1988)
Dalam Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Negara mengalami sedikit tambahan dalam
perkataanya dan kemudiannya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK);
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab, berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."
( Kementerian Pendidikan Malaysia, 1996)

Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal dengan mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan
dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara (Mok Soon Sang 1993).
Pengubalannya juga memerlukan pertimbangan dibuat ke atas beberapa faktor iaitu :
faktor agama yang dianuti oleh rakyat
faktor sosial yang meliputi struktur masyarakat dan kebudayaannya
faktor politik yang menentukan ideologi negara yang juga mempengaruhi dasar pendidikan
faktor ekonomi yang mempengaruhi matlamat pendidikan dalam usaha memebawa pembangunan
dan kemajuan negara
faktor individu yang berkaitan dengan keperluan-keperluan asas dan
faktor sejagat yang berkaitan dengan pandangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan
antarabangsa dan keupayaan rakyat memberi sumbangan ke arah persefahaman antarabangsa.
Prinsip-Prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Berdasarkan kepada pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, berikut adalah huraian secara
ringkas prinsip-prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan:
Pendidikan satu usaha yang berterusan
Pendidikan merupakan proses pemerolehan dan perpindahan pengetahuan, nilai-nilai murni, adab
dan akhlak serta kemahiran-kemahiran dari satu generasi ke satu generasi.
Perkembangan potensi individu
Potensi ialah bakat dan keupayaan yang dianugerahkan oleh tuhan pada seseorang individu sejak
dilahirkan. Potensi meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani yang perlu dicungkil,
diperkembang dan dipertingkatkan secara berterusan melalui proses pendidikan.
Perkembangan menyeluruh dan bersepadu
Pengembangan potensi individu dilakukan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasikan
bakat dan kebolehannya yang saling berkait antara satu sama lain.
Insan harmonis yang seimbang
Manusia yang baik dan sempurna ialah insan yang memiliki kedamaian jiwa, personaliti yang tidak
bercanggah di antara akal, rohani dan jasmani serta boleh menyeimbangkan unsur-unsur akal, rohani
dan emosi serta jasmani secara serentak, selaras dan sentiasa terikat kepada kepercayaan serta
kepatuhan kepada Tuhan.
Unsur intelek
Unsur intelek ini meliputi aspek-aspek seperti hikmah, daya pemikiran yang logik, analitis, kreatif dan
inovatif serta ilmu pengetahuan yang benar.
Unsur rohani dan emosi
Aspek ini meliputi keyakinan terhadap Tuhan, kepercayaan beragama, kemantapan jiwa,
penghayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat, berbudi perkerti mulia, berbakti dan berkorban
untuk negara.
Unsur jasmani
Ini merujuk kepada kecergasan fizikal, kesihatan diri, pemanafaatan anggota dan tenaga fizikal.
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Ini bermakna seseorang individu yakin bahawa manusia dan alam tidak terjadi secara tersendiri tetapi
ada Penciptnya dan hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan dan manusia dianjurkan
mengkaji fenomena alam. Manusia hendaklah memikul amanah dan bertanggungjawab kepada
Tuhan dalam mentadbir dan memakmurkan alam.
Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan
Ini bermakna penduduk Malaysia memiliki ilmu yang benar dan menggunakannya untuk manafaat diri
dan orang lain.
Rakyat Malaysia yang berketrampilan
Rakyat yamg mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi sentiasa rela memberikan

sumbangannya demi kemajian dan kesejahteraan agama, bangsa dan negara


Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia
Ini bererti penduduk yang memiliki tingkah laku yang baik hasil dari dorongan di dalam jiwa. Proses
pembentukan akhlak ini hendaklah berteraskan ilmu, keyakinan dan amalan.
Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab
Ini bermakna penduduk hendaklah amanah terhadap Tuhan, negara, masyarakat dan diri. Seterusnya
mereka akan melaksanakana tugas dan tanggungjawab dengan baik.
Rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri. Pendidikan hendaklah
menghasilkan individu yang berupaya mencapai keseimbangan dan keharmonian diri dan dengan itu
akan memiliki jiwa yang tenang, damai dan sejahtera.
Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan
Ini bermakna penduduk Malaysia rela berbakti dan berkorban untuk masyarakat dan negara.
Keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara
Pendidikan bertujuan mewujudkan masyarakat Malaysia yang makmur dan sejahtera hasil daripada
hubungan yang harmonis di antara penduduk dengan Tuhan, penduduk sesama penduduk dan
penduduk dengan alam.
Oleh itu, pendidikan hendaklah dapat membina kesedaran tentang ketuhanan dan kesediaan untuk
mematuhi-Nya. Sejajar dengan falsafah yang berpaksikan kepada ketuhanan, pendidikan berhasrat
untuk melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak, bertanggungjawab serta boleh menikmati
kebahagiaan hidup dan sedia berbakti untuk masyarakat dan negara.
Konsep Asas Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Ontologi ( teori kejadian )
Ontologi merujuk kepada aliran falsafah yang meneliti hakikat kewujudan manusia, makhluk-makhluk
lain, alam semesta dan Tuhan. Ia menganalisis secara sistematik dan logik tentang persoalan sifat
semula jadi alam semesta dan makhluk-makhluk dalam alam, kewujudan dan kekuasaan Tuhan, dan
keupayaan akan dan hasil fikiran manusia.
Epistomologi ( teori ilmu )
Epistomologi adalah falsafah yang bersifat inkuiri tentang kebenaran dan jenis ilmu pengetahuan
yang dipelajari, samada dalam situasi pendidikan formal ataupun yang bukan formal. menghuraikan
takrif, punca, sumber dan peranan ilmu
Aksiologi ( teori nilai )
Aksiologi ialah cabang falsafah yang menganalisis sifat, punca dan kepentingan nilai-nilai. Ia
termasuk etika, iaitu tentang peradaban moral dan estetika iaitu tentang kesenian dan kehalusan
pekerti dan kejadian alam dan manusia.
Rangka Pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
1. Hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Aspirasi FPK ingin melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani. Falsafah Pendidikan Kebangsaan berteraskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan yang Maha Esa.
2. Pengoperasian Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pengoperasian Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjelaskan bagaimana aspirasi yang terkandung
dalam falsafah tersebut dilaksanakan di dalam program pendidikan (semua peringkat : prasekolah,
sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi), corak dan proses pendidikan
3. Hasil
Kesan akhir pendidikan sebagai yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah ingin
melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, patuh kepada ajaran

agama, berilmu pengetahuan, beketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta


berkeupayaan mencapai kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan diri. Disamping itu ia juga ingin
melahirkan rakyat yang mampu memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
keluarga, masyarakat dan negara.
Peranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Falsafah pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam sistem pendidikan iaitu sebagai
dasar, hala tuju dan panduan kepada segala usaha yang dilakukan bagi peningkatan kualiti
pendidikan negara. Peranan falsafah dalam pendidikan adalah merupakan tunjang kepada semua
aktiviti dan usaha pendidikan di negara kita. Ia menekankan perkembangan individu yang menyeluruh
iaitu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
Dalam sistem pendidikan Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan memainkan peranan penting
iaitu:
sebagai suluh yang memberi panduan dan hala tuju kepada usaha mengembangkan dan
memajukan pendidikan;
menjadi dasar dan pertimbangan asas bagi menentukan Matlamat Pendidikan Negara;
sebagai rujukan untuk membantu pendidik memahami sistem pendidikan;
sebagai bimbingan untuk para pendidik semasa mereka melaksanakan tugas-tugas pendidikan;
sebagai dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan kurikulum, bahan-bahan pelajaran dan
strategi pengajaran dan pembelajaran;
sebagai pengawal ke atas aktiviti penyelewengan daripada dasar pendidikan; dan
menghilangkan salah faham, keraguan atau pertelingkahan dalam sebarang usaha melaksanakan
tugas ataupun aktiviti pendidikan.
Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan Terhadap Sistem Pendidikan Malaysia
Sejak diisytiharkan, FPK telah menjadi agenda utama dalam reformasi pendidikan dan telah
membawa pelbagai implikasi kepada sistem pendidikan di Malaysia iaitu :
1. Implikasi Terhadap Tradisi / Budaya Sekolah
Bagi merealisasikan falsafah pendidikan yang tersurat berserta KBSR dan KBSM yang dibentuk,
beberapa perubahan penting telah dialami oleh sekolah. Perubahan-perubahan ini adalah sangat
penting bagi tujuan keselariannya dengan falsafah pendidikan dan kurikulum tersebut. Disamping itu
penyusunan semula organisasi sekolah dalam mewujudkan suasana kondusif bagi membolehkan
pelajar menghayati matlamat dan aspirasi FPK, antaranya ialah:
Menaiktaraf fasiliti sediada di sekolah bagi membantu mengembangkan potensi pelajar berdasarkan
jasmani, emosi, rohani dan intelek
Perkenalkan aktiviti sosial yang menggalakkan perkembangan budaya sekolah untuk penerapan
nilai-nilai murni kepada pelajar
Perubahan dalam suasana pembelajaran sekolah bagi menggalakkan perkembangan potensi intelek
pelajar dalam bidang baru ( cth: ICT), suka kepada ilmu pengetahuan dan mengukuhkan budaya
membaca
Aktiviti ko-kurikulum menjadi komponen yang penting dalam kurikulum sekolah bagi
mengembangkan aspek emosi dan sosial pelajar untuk mewujudkan perpaduan
2. Implikasi Terhadap Reformasi Pendidikan
Sejak merdeka, sekolah telah melalui berbagai peringkat reformasi dalam sistem pendidikan,
antaranya:
Perkenalkan sistem pendidikan bersepadu pada 1965
Perkenalkan Sains Paduan dan Matematik Moden pada 1971
Pelaksanaan KBSR untuk sekolah rendah pada 1983
Pelaksanaan KBSM untuk sekolah menengah pada 1989
Perkenalkan matapelajaran Sains dan Kajian Tempatan pada 1994

Pelaksanaan Konsep Sekolah Bestari pada 2000


Penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran matapelajaran Matematik, Sains dan Teknikal pada
2003
3. Implikasi Terhadap Tanggungjawab Guru
Guru sebagai agen perubahan untuk mendidik dan melahirkan generasi masa
depan, bertanggungjawab merealisasikan matlamat dan aspirasi yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan iaitu mendidik pelajar menjadi warganegara berilmu pengetahuan, berakhlak
mulia, berkeupayaan mencapai kesejahteraan dan memberi sumbangan kepada pembangunan
masyarakat dan negara. Selain itu, guru berperanan mendidik pelajar supaya mempunyai pelbagai
kemahiran hidup dan membawa inovasi untuk memenuhi hasrat dan keperluan individu, masyarakat
dan negara.
Bagi tujuan ini, guru-guru perlu berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, melengkapkan diri mereka
dengan kemahiran-kemahiran profesional yang terkini dalam merancang dan melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran, disamping menjadi role model kepada pelajar-pelajar mereka.
Di peringkat sekolah, peranan guru dalam merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan
adalah meliputi tugas-tugas seperti menganalisis objektif kurikulum dan isi kandungannya bagi
menentukan keperluan pelaksanaannya. Guru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran mengajar
dan juga penyediaan bahan-bahan pelajaran, merancang dan melaksana pengajaran mengikut
saranan kurikulum serta membuat penilaian bagi mengenal pasti kekurangannya untuk tujuan
meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan kurikulum. Selain itu, guru perlu melibatkan diri
secara aktif dalam aktiviti kokurikulum serta khidmat sosial bagi kepentingan para pelajarnya (Abu
Bakar & Ikhsan 2003).
Cabaran Dalam Pelaksanaan FPK
Mewujudkan sistem pendidikan yang terbaik adalah untuk menghasilkan insan yang mempunyai daya
kefahaman tinggi bagi memenuhi aspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara. Dalam erti
kata lain, pendidikan ialah proses pembinaan diri insan secara menyeluruh, seimbang dan
bersepadu, proses membangunkan kesedaran dan nilai-nilai insaniah, conscientization dan proses
membangunkan kesedaran dan nilai-nilai murni dan lurus dalam diri agar terpancar kebaikan pada
diri manusia dan alam.
Namun sejak pelaksanaannya pada 1988, Falsafah Pendidikan Kebangsaan sering berhadapan
beberapa persoalan dan isu tentang keperluan untuk menilai keberkesanannya. Antara persoalan
yang sering dibangkitkan adalah kefahaman guru tentang konsep dan prinsip-prinsip utama yang
terkandung di dalamnya. Kefahaman tentang konsep dan prinsip-prinsip utama yang terkandung
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah penting kerana jika guru tidak mempunyai
keupayaan dari segi pengetahuan, kefahaman dan kemahiran untuk melaksanakan sesuatu
perubahan atau inovasi pendidikan, maka perubahan sukar dilaksanakan dengan berkesan (Azrin
2004).
Meski Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dimetrikan sebagai asas matlamat dalam Akta
Pendidikan Negara 1996, kesan menyeluruh daripada pelaksanaannya belum dapat dilihat secara
substantial dan behavorial. Terdapat 15 nilai-nilai murni yang dijadikan prinsip dalam merentasi
kurikulum dan ko-kurikulum namun natijah holistik dalam pembentukan watak belum terlihat dengan
.jelas.
Hal ini dibangkitkan kerana terdapat kelemahan pedagogikal dan metodologikal di peringkat proses
pengajaran dan pembelajaran dalam mengartikulasi maksud falsafah, nilai dan agama. Pendekatan
pedagogikal masih bercorak preskriptif bukan artikulatif malah amat sedikit yang berbentuk model
atau contoh yang mampu menjadi sumber ikutan dan teladanan. Prinsip falsafah tidak diterjemah
dengan baik dalam konteks sahsiah pendidik, kualiti kurikulum, buku teks, dan kaedah pengajaran
dan pembelajaran. Faktor agama dan nilai lebih banyak diungkapkan secara terbatas dan kurang
mampu membentuk sahsiah dan personaliti.
Warga guru haruslah dapat memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri
supaya mereka berkeupayaan mendidik para pelajar menuju ke arah matlamat ini. Dengan
kefahaman dan penghayatan yang mendalam ini, warga guru diharap dapat menilai sendiri samada

pengajaran mereka bersesuaian dan memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Menurut Azrin (2004), punca utama yang menyebabkan guru tidak dapat melaksanakan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan adalah kerana mereka menghadapi masalah memahami prinsip-prinsip di
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan menerapkan prinsip-prinsip yang abstrak dan sukar
difahami di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Falsafah dan matlamat pendidikan yang halus dan indah hanya akan tinggal di atas kertas jika tidak
diterjemahkan dan dijelmakan secara praktik. Justeru itu perlu dicari pendekatan dan strategi yang
sesuai bagi menterjemah dan menjayakan hasrat falsafah untuk melahirkan insan yang beriman,
berilmu, berakhlak, berketrampilan, seimbang dan harmonis. Pada masa yang sama kita perlu
menggarap sekali keperluan-keprluan semasa ( di dalam dan luar bidang pendidikan ) dan masa
depan yang akan ditempuhi oleh anak didik masa kini.
Dalam konteks Falsafah Pendidikan peningkatan keupayaan intelek dan penguasaan sesuatu
kemahiran adalah sama pentingnya dengan pemupukan nilai-nilai murni dalam usaha melahirkan
individu yang dianggap seimbang. Menurut Tajul Ariffin (2002), kekuatan aspek rohani adalah paksi
yang menjadikan seseorang individu itu dapat mengharungi kehidupan sebagai hamba kepada
penciptanya.
Jika diperhati dan dianalisis, pada hakikatnya kita sedang berhadapan dengan pelbagai masalah
yang mencabar kewibawaan profesion perguruan. Diantaranya ialah masalah akhlak, iman, budaya
lepak, buli, ponteng sekolah. Oleh yang demikian pendidik harus sentiasa mempunyai persediaan
ilmu, kemahiran/profrsional, ketahanan akal, ketahanan emosi, kekukuhan akhlak atau moral dan
ketahanan fizikal. Dalam menjalankan tugas, guru bukan saja menyebarkan ilmu pengetahuan, tetapi
menunjukkan sikap dan tingkah laku yang boleh diteladani oleh pelajar-pelajar.
Satu lagi realiti dalam masyarakat kini ialah pendidikan terlalu mementingkan kejayaan individu,
kebendaan dan kemewahan. Untuk mencapai tujuan tersebut, hanya aspek akal atau intelek saja
yang dikembangkan sedangkan aspek akhlak dipinggirkan. Akibatnya lahirlah para intelek yang tidak
berakhlak yang sanggup menggunakan kepandaian untuk melakukan penyelewengan dan jenayah
kolar putih. Oleh yang demikian sewajarnya guru memberikan penekanan bukan saja dari aspek
kognitif dan intelek, tetapi juga dari aspek akhlak dalam pengajaran dan pembelajaran mereka.
Persoalan-Persoalan Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Sejak pengisytiharan dan pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1988, ia sering
berhadapan dengan beberapa persoalan iaitu :
1. Keberkesanan hasil penerapan FPK
Meski FPK sebagai asas ke arah mencapai matlamat pendidikan, kesan menyeluruh daripada
pelaksanaannya belum dapat dilihat dengan jelas. Walaupun nilai-nilai murni dijadikan paksi
merentasi kurikulum dan ko-kurikulum namun kesan holistik dalam pembentukan watak belum terlihat
dengan jelas.
Penerapan FPK dalam subjek yang diajar dan kurikulum yang disampaikan masih bersifat konseptual
dan diskriptif. Pendekatan yang lebih realistik harus menumpu ke arah pendekatan yang lebih
transformatif dan mampu membentuk sahsiah tinggi.
2. Hasrat dan maksud FPK tidak difahami dan dihayati sepenuhnya
Kelemahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk mengartikulasi (menyatakan dengan
jelas) maksud falsafah. Keadaan in wujud kerana kepakaran dan profesionalisme guru yang tidak
kemas kini dan releven ke arah pembangunan insan yang menyeluruh dan seimbang seperti yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Azrin (2004), ini disebabkan
kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu adalah bersifat konsep, proses dan pengetahuan.
Sekiranya guru tidak dapat mengenalpasti sifat kandungan falsafah tersebut, maka sudah tentu
mereka tidak dapat menghayati Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang merupakan
tafsiran dan huraian kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaaan itu sendiri.

Hasrat FPK, kurikulum, strategi pengajaran dan kaedah penilaian serta kaedah pelaksanaan
mengarah kepada merealisasikan hasrat FPK tidak dihayati oleh semua pihak (pelajar, guru dan
pihak pengurusan dalam pendidikan). Pelajar bukan sahaja tidak mampu mengikuti sukatan yang
disediakan malah keseronokan dan kepuasan belajar itu sendiri telah berkurangan.
3. Penekanan terhadap FPK tidak diberi perhatian lagi / terabai
Kegagalan guru menyampaikan ilmu secara bersepadu menghasilkan pelbagai kemelut melibatkan
pelajar, antaranya masalah disiplin dan gejala-gejala tidak baik. Sebagai akibat seterusnya gejalagejala negatif ini akan memepengaruhi proses kesuburan potensi pelajar-pelajar tersebut.
Kegiatan Kokurikulum lebih menjuruskan kepada memenuhi masa kosong dan tidak benar-benar
mendidik untuk membina sahsiah pelajar yang kukuh. Guru-guru melaksanakan tidak mempunyai
komitmen tinggi sehingga perjalanan
4. Pendidikan menekankan lebih kepada peperiksaan
Sistem peperiksaan yang menjadi oriantasi pendidikan kini hendaklah segera diubah supaya
pembinaan pelajar tidak hanya terikat kepada kecemerlangan yang hanya diukur dari segi gred dan
markah yang dicapai. Pendidikan yang ada kini ternyata amat bersifat exam-oriented dan tidak
membantu melahirkan pelajar yang cemerlang keperibadiannya. Amalan pendidikan lebih
menekankan aspek akademik dan peperiksaan (aspek kognitif) mengakibatkan lahir pelajar intelek
tapi tidak mahir dalam soal pengurusan hidup dan kurang berakhlak (Tajul Ariffin 2002).
Peranan Warga Guru Dalam Pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Mempersiapkan generasi hari ini bagi menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru dalam era
globalisasi terletak di tangan dan di bahu para guru di pelbagai peringkat, amat mememerlukan
kesedaran tinggi bagi memeperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme
keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikaikan dan di pandang rendah. Warga guru
perlu mempertingkatkan profesional mereka dengan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
Peofesion keguruan masakini telah menjadi semakin kompleks hasil daripada perkembangan dan
kemajuan dalam bidang pendidikan. Perkembangan dan perubahan drastik dalam sektor ekonomi,
sains, teknologi dan komunikasi misalnya menuntut warga guru meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran dalam bidang-bidang tersebut.
Profesion guru terutama dalam zaman yang mencabar ini bukanlah semudah yang disangka. Sebagai
aritek sosial, guru mempunyai tanggungjawab yang amat besar, bukan sekadar memberi pendidikan
dan menyampaikan ilmu. Guru dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan
yang dicita-citakan oleh negara. Disamping itu, guru juga sering dikaitkan sebagai agen perubahan
dalam agenda sosial, politik dan ekonomi. Perubahan-perubahan yang dikehendaki oleh kerajaan
selalunya disalurkan melalui falsafah dan matlamat yang perlu diterjemahkan oleh guru dalam aktiviti
kurikulum dan ko-kurikulum.
Peranan Pengurusan Pendidikan
Warga guru merupakan golongan yang mempunyai kedudukan terpenting dan berada di barisan
paling hadapan dalam melaksanakan segala program pendidikan formal di sekolah. Sehubungan itu,
kejayaan dan kegagalan program pendidikan banyak bergantung kepada keupayaan guru
melaksanakannya dengan berkesan dan cemerlang. Oleh itu selain perlu mempunyai kelulusan
dalam bidang akademik yang setaraf, warga guru perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan
kemahiran terkini dalam bidang pendidikan bagi membantu mereka memberikan sumbangan ke arah
kecemerlangan dalam bidang tersebut.
Sesungguhnya peningkatan profesionalisme guru banyak bergantung juga pada pelbagai pihak lain,
selain diri guru itu sendiri. Usaha untuk memantapkan profesion perguruan memerlukan kerjasama
semua pihak. Pihak pengurusan pendidikan boleh membantu guru memainkan peranan mereka
dengan lebih berkesan dan meningkatkan kualiti profesionalisme guru melalui:
1. Program latihan dan pembangunan perguruan

Program latihan dalam konteks ini meliputi latihan pra perkhidmatan dan latihan dalam perkhidmatan.
Tidak dinafikan bahawa institusi-institusi latihan perguruan, baik maktab, institut mahupun universiti
telah memainkan peranan yang besar melahirkan para guru. Namun masih terdapat sebilangan
tenaga pendidik di institusi pendidikan tinggi kurang menghayati pendekatan bersepadu serta prinsipprinsip dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dapatkah kita harapkan bahawa guru pelatih yang
kemudian mengajar di sekolah, yang tidak memperoleh pendedahan yang cukup daripada
pensyarahnya, mencapai tahap profesionalisme yang sewajarnya? Berkaitan dengan latihan dalam
perkhidmatan pula, adalah perlu Kementerian Pelajaran membuat perancangan semula yang lebih
rapi agar para guru benar-benar memperoleh maklumat dan kemahiran yang secukup-cukupnya
tentang prinsip-prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan aspek kaedah pengajaran menurut
pendekatan bersepadu. Kita nampaknya kaya dengan idealisme dan gagasan (sesuatu yang
memang positif) tetapi agak kurang memperhatikan aspek pelaksanaan yang berkesan.
2. Pemantauan dan penyeliaan
Pemantauan dan penyeliaan yang lebih rapi adalah perlu untuk memastikan terlaksananya
pendidikan menurut pendekatan bersepadu. Hanya dengan pemantauan yang berkesan sahaja
barulah segala idealisme dan gagasan yang melandasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan
Reformasi Pendidikan dapat dipastikan pelaksanaannya.
3. Galakkan dan sokongan
Galakkan dan sokongan dari pentadbir sekolah tidak kurang pentingnya dalam menentukan
peningkatan profesionalisme pendidik. Namun iltizam, sikap dan kesungguhan setengah-setengah
pentadbir sekolah dalam pelaksanaan hal ini kadang-kadang amat mengecewakan.
Pihak pentadbir sekolah perlu memeberi tumpuan yang serius terhadap motivasi kendiri guru-guru,
perasaan individu dan keperluan perkembangan profesionalisme mereka. Sehubungan itu, pentadbir
sekolah perlu mewujudkan peluang atau saluran dan kemudahan kepada guru-guru untuk
pembangunan kebolehan, potensi dan kemahiran supaya mereka boleh menyumbang kepada
kecermerlangan akademik dan sahsiah pelajar-pelajar.
4. Pengiktirafan dan penghargaan
Faktor penghargaan dan imbalan kepada guru sudah sering diperkatakan. Skim perkhidmatan yang
menawarkan imbalan yang kurang seimbang dengan sifat kerjaya guru yang amat mencabar serta
ketiadaan kemudahan dan faedah tertentu turut menghambat upaya peningkatan profesionalisme
guru. Beban tugas guru kini turut memberikan kesan kepada upaya peningkatan profesionalisme
guru. Waktu pengajaran yang banyak, saiz kelas yang besar, dan kurangnya bantuan kakitangan
sokongan menyebabkan guru berasa tertekan.
Cadangan
Warga guru perlu dapat melihat perkaitan antara objektif pengajaran yang dirancang dengan objkejtif
nilai-nilai murni dengan memahami maksud Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi
matlamat seluruh proses pendidikan yang dirancang. Warga guru juga perlu meneliti bagaimana
kurikulum, sukatan pelajaran, kaedah penilaian, pendekatan dan strategi pengajaran mengarah
kepada tuntutan merealisasikan hasrat falsafah pendidikan tersebut.
Dalam proses memikirkan dan merancang objektif nilai-nilai murni, adalah sama prosesnya dengan
merancang bagi kemahiran kognitif (kefahaman) atau kemahiran psikomotor kerana objektif nilai-nilai
murni adalah objektif afektif. Objektif afektif ini dapat diterjemah ke dalam bentuk unit-unit tingkah laku
yang dapat dilihat, didengar dan diukur jika dirancang dengan teliti.
Berikut adalah beberapa cadangan yang difikirkan perlu dilihat oleh warga guru dan pihak
pengurusan pendidikan dalam mencapai hasrat dan aspirasi yang terkandung di dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan:
Guru seharusnya terlebih dahulu perlu diberi pemahaman dan penghayatan tentang pengertian
setiap pernyataan yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya mereka

berkeupayaan untuk mendidik pelajar-pelajar ke arah matalamat yang bersesuaian dengan kehendak
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini kerana kejayaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan banyak
bergantung kepada sejauh mana guru memahami konsep-konsepnya dan bagaimana mereka
menerapkannya dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kajian semula dan kemaskini kurikulum latihan perguruan agar lebih terkini dan releven selaras
dengan perubahan dalam bidang pendidikan yang bersifat global sebagai persiapan untuk
melaksanakan tanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu kepada pelajar. Disamping itu
kurikulum pendidikan guru seharusnya bersifat intelektual yang tinggi dari segi akademik dan
profesionalisme.
Guru perlu lengkapkan diri dengan akhlak dan peribadi mulia yang akan menjadi role model kepada
anak didiknya. Guru seharusnya menjadi teladan kepada pelajar bukan sahaja dari aspek ketrampilan
tetapi juga dari aspek pendidikan dan profesionalisme dalam pembinaan generasi masa hadapan.
Sebarang rombakan dalam sistem pendidikan bukan dibuat secara ad hoc tetapi perlu secara
menyeluruh meliputi guru, sekolah dan pelajar. Elakkan amalan ujicuba tanpa membuat sebarang
kajian mendalam dan berhati-hati terhadap implikasinya pelaksanaannya dan supaya ia tidak bersifat
situasi.
Dapat melihat perkaitan antara objektif pengajaran yang dirancang dengan objektif nilai-nilai murni
dengan memahami maksud Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi matlamat seluruh proses
pendidikan yang dirancang. Disamping itu penerapan nilai-nilai murni ini seharusnya dimulakan dari
peringkat rendah dan dilaksana secara berterusan. Komponen unsur nilai murni ini sangat penting
sebagai teras di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana apa yang hendak dilahirkan adalah
perwatakan insan dalam diri manusia yang dijadikan Tuhan. Oleh itu unsur-unsur ini perlu dinyatakan
dengan sengaja dan jelas agar dapat dijadikan panduan oleh pelajar di dalam menghayatinya
(Hussein 1993).
Merealisasikan transformasi pendidikan dan sebagai agen perubahan, guru seharusnya dapat
menterjemah hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam aktiviti kurikulum dan ko kurikulum.
Penekanan yang lebih dalam bidang ko kurikulum, contohnya dalam sukan dan aktiviti persatuan dan
kelab merupakan salah satu cara yang berkesan ke arah pembentukkan individu yang terpelajar,
terdidik dan mempunyai sahsiah yang lebih positif.
Pengoperasian Falsafah Pendidikan Kebangsaan hendak dilaksanakan di semua peringkat dengan
kurikulum yang digubal berasaskan pendidikan bersepadu, oleh itu adalah penting untuk guru benarbenar dapat mentafsir dan memahami apa yang dihasratkan di dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.
Matlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berpengetahuan, bertanggungjawab dan
berkebolehan sebenarnya mencakupi tiga unsur asas yang penting iaitu kognitif (akal), afektif (sikap)
dan psikomotor (kemahiran). Oleh itu tumpuan yang seimbang dalam bidang kognitif, afektif dan
psikomotor harus diberi penekanan supaya proses pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan
dapat memberikan manafaat dan kesan yang positif kepada diri pelajar.
Meneliti bagaimana kurikulum, sukatan pelajaran, kaedah penilaian, pendekatan dan strategi
pengajaran mengarah kepada tuntutan merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Penutup
Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah menjadi landasan kepada sistem pendidikan kebangsaan.
Ia juga adalah gambaran cita-cita serta hala tuju kepada semua usaha dan perjuangan rakyat negara
ini melalui proses pendidikan. Semua program dan aktiviti pendidikan adalah terbitan daripada
prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak dapat direalisasikan dan
tidak bermakna jika ianya tidak dapat difahami dan dihayati serta dilaksanakan dengan bersungguhsungguh oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan. Tanggungjawab dalam

merealisasikan hasrat ini terletak dibahu guru dalam menerapkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
kepada pelajar-pelajar.
Warga guru sebagai pelaksana segala agenda dalam bidang pendidikan adalah insan yang
bertanggungjawab dalam menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu sistem pendidikan itu sendiri.
Sehubungan itu, guru seharusnya memperkembangkan profesionalisme mereka dan meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran melalui penglibatan di dalam segala latihan yang berkaitan dengan
mendapat sokongan padu dan galakan daripada pihak pengurusan pendidikan
Rujukan
Abd. Fatah Hasan. 2001. Falsafah Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Publication and Distributors.
Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman. 2003. Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Tanjong Malim:
Quantum Books.
Azrin B. Ab. Majid. 2004. Tinjauan Awal Terhadap Kefahaman Falsafah Pendidikan Kebangsaan di
kalangan Guru Sekolah Menengah di Melaka. Tesis Sarjana: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hussein Hj. Ahmad. 1993. Pendidikan dan masyarakat:antara dasar, reformasi dan wawasan: Dewan
Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Mok Soon Sang. 1993. Pendidikan Di Malaysia. Ed. ke-6. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.
Bhd.
Mok Soon Sang. 2003. Philosophy of Education Curiculum Development. Subang Jaya: Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.
Sharifah Alwiah Alsagoff. 1985. Falsafah Pendidikan. Kuala Lumpur:Heineman.
Sufean Hussin. 1993. Pendidikan Di Malaysia:sejarah, sistem dan falsafah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin. 1993. Wawasan Pendidikan:agenda pengisian. Kuala Lumpur:
Nurin Enterprise.
Posted by meor1980 at 07:36
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to FacebookShare to Pinterest

No comments:

Anda mungkin juga menyukai