Anda di halaman 1dari 19

ISU PELAJAR PONTENG SEKOLAH

1.0

PENGENALAN

Profesion perguruan merupakan profesion mulia dan mempunyai kehebatannya yang


tersendiri bagi melahirkan masyarakat yang agung. Sejarah telah membuktikan betapa
golongan pendidik memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh
bangunnya sesuatu bangsa dan negara. Tugas guru bukanlah sekadar mengajar subjek
mata pelajaran sahaja di dalam kelas, namun pada hakikatnya tugas guru merangkumi
semua aspek perkembangan murid iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.
Profesion perguruan merupakan profesion yang tertua di dunia dan kini
memasuki satu lagi era baharu. Peranan guru pada masa dahulu hanya tertumpu
sebagai penyampai ilmu semata-mata berbanding dengan sistem pendidikan pada
masa kini, guru lebih banyak berperanan sebagai pemudah cara dan seharusnya lebih
bersedia dan peka dalam melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara
cekap dan berkesan. Selaras dengan perubahan peranan pendidik , guru harus lebih
inovatif, kreatif dan efektif dalam penyampaiannya serta sentiasa memikirkan
pendekatan baharu untuk mengadaptasikan amalan mereka dengan kehendak pelajar
sebagai knowledge worker dalam era revolusi maklumat abad ke-21 ini.
Pendapat Liberman (1956), profesion merujuk kepada suatu pekerjaan yang
melaksanakan fungsi sosial yang penting. Untuk mencapai fungsi tersebut, tahap
kemahiran tertentu dan suatu pengalaman pengetahuan sistematik berasaskan teori
yang dipegang oleh seseorang individu diperlukan. Suatu profesion ialah suatu bidang
yang mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan kemahiran intelek, latihan ikhtisas yang
mencukupi, khidmat yang diperlukan oleh masyarakat, menikmati autonomi individu dan
kumpulan, mementingkan mutu perkhidmatan, mempunyai tatasusila perkhidmatan atau
kod etika dan mempunyai organisasi tersendiri untuk menguruskan hal-hal yang
berkaitan dengan pendidikan. ( Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah,
2010,M.s: 2-3 ).
Sementara itu, menurut Kamus Dewan pula, profesion adalah suatu bidang
pekerjaan khas yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang

tinggi dan latihan yang khas. (contohnya : perundangan, perubatan, perguruan dan lainlain).
Tuntasnya, profesion perguruan memerlukan guru-guru yang berkaliber dan
berkeupayaan untuk menjunjung aspirasi dan hasrat kerajaan bagi merealisasikan
Falfasah Pendidikan Negara. Pengorbanan yang dilakukan oleh para guru ini akan
membantu negara melahirkan pemimpin-pemimpin yang bersifat global dan berdaya
saing.
Dewasa ini, dunia seolah-olah tidak memberikan penghormatan sepenuhnya
kepada guru seperti mana masa dahulu. Kini, integriti seseorang guru diragui.
Masyarakat seolah-olah tidak lagi mempercayai guru seratus peratus. Malah terdapat
segelintir ahli masyarakat menunding jari ke arah pihak guru dan menyalahkan guru
sepenuhnya atas kerosakan masyarakat yang berlaku pada hari ini. Mengapakah hal ini
terjadi?. Apakah kesilapan yang telah dilakukan oleh guru sehingga masyarat sudah
tidak lagi menyanjungi profesion mulia ini?
Apabila kita mengkaji masalah ini, kita haruslah meneliti dengan jelas kes-kes
yang berlaku sehingga menyebabkan penghormatan yang diberikan kepada guru
tergugat. Untuk tugasan ini, fokus yang diberikan adalah berkaitan dengan isu murid
ponteng sekolah.
Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah
di Malaysia sama ada di peringkat sekolah rendah ataupun sekolah menengah semakin
meruncing dan perlu diatasi dalam kadar yang segera. Masalah disiplin berlaku tidak
kira sekolah di kawasan bandar ataupun luar Bandar, sekolah harian biasa ataupun
sekolah berasrama penuh. Fenomena ini semakin merunsingkan banyak pihak
terutamanya para guru dan ibu bapa. Kes ponteng sekolah terutamanya mencatat
bilangan yang tertinggi berbanding kes-kes disiplin yang lain.
Isu ponteng sekolah bukanlah sesuatu yang baharu dalam arena pendidikan. Ia
telah lama wujud malah semakin serius kerana tiada jalan penyelesaian yang efektif
walaupun pelbagai langkah penyelesian telah dilaksanakan sama ada bersifat undangundang mahupun bukan undang-undang. Malah, isu ponteng sekolah ini mendapat

liputan hangat daripada pihak media massa. Bukan itu sahaja, ponteng sekolah sering
dikaitkan dengan masalah disiplin lain termasuklah, isu merokok, melepak di cafe siber
dan pusat membeli belah, kurang ajar dan sebagainya. Menurut Timbalan Menteri
Pelajaran,Dato Datuk Mahadzir Mohd Khir dalam Utusan Malaysia (15 Oktober 2004),
isu ponteng kini berada pada tahap kritikal dan dianggap sebaga langkah pertama
remaja memasuki dunia yang penuh dengan masalah. Pelajar sekolah menengah
terutamanya di peringkat usia 14 dan 15 tahun, dikenalpasti sebagai kumpulan majoriti
yang terbabit dengan gejala ponteng (Berita Harian, 2 April 2001). Walaupun masalah
disiplin di Malaysia masih terkawal, namun gejala sosial harus dipandang serius kerana
ianya ibarat suatu virus yang menjadi titik tolak permulaan kepada salah laku disiplin
yang lebih besar seperti vandalisme, gengsterisme, penyalahgunaan dadah, mat
rempit, ragut serta pelbagai aktiviti idak bermoral yang jelasnya akan meruntuhkan
akhlak pelajar .
2.0

DEFINISI PONTENG SEKOLAH

Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Ini
bermaksud seseorang pelajar dianggap ponteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa
sebab-sebab yang dibenarkan pada hari persekolahan. Oleh yang demikian, ponteng
merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri
kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah.
Menurut

Kamus

Dewan,

ponteng

didefinisikan

sebagai

lari

daripada

tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Selain dari itu, ponteng juga merujuk
kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah
satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari.
Menurut Rasidah Bt. Omar (2005) dalam Azizi et. al. (2005) ponteng sekolah
boleh ditakrifkan sebagai ketidakhadiran pelajar ke sekolah tanpa sebarang alasan yang
munasabah. Gejala ponteng sekolah selalunya dikaitkan dengan masalah disiplin.
Kamus Dewan (2000), disiplin membawa pengertian latihan pemikiran dan kelakuan
supaya ahli masyarakat atau individu boleh mengawal diri, peraturan-peraturan yang
telah ditetapkan untuk melatih seseorang berkelakuan baik.

2.1

Kategori Ponteng Sekolah

Fenomena gejala sosial adalah satu tabiat atau tingkahlaku yang tidak dapat diterima
oleh masyarakat terutama oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Sehubungan dengan itu,
ponteng sekolah dapat dibahagikan kepada 2 kategori iaitu:
2.1.1. Ponteng Sekolah dengan Kebenaran
Pengertian ponteng sekolah dengan kebenaran ini lazimnya dikaitkan apabila didapati
seorang pelajar yang tidak menghadirkan diri ke sekolah disebabkan oleh sesuatu yang
tidak dapat dielakkan dan di luar bidang kawalan sama ada secara sengaja atau tidak.
Dengan syarat pelajar tersebut mestilah membuat kenyataan sama ada dalam bentuk
bertulis iaitu melalui surat atau pemberitahuan secara lisan dibuat melalui panggilan
telefon atau disampaikan terus oleh saudara terdekat seperti ibu bapa atau penjaga.
2.1.2 Ponteng Sekolah Tanpa Kebenaran
Pengertian ponteng sekolah tanpa kebenaran pula bertentangan dengan ponteng
sekolah dengan kebenaran. Ponteng sekolah tanpa kebenaran ialah situasi pelajar yang
tidak hadir ke sekolah tanpa menyertakan sebarang apa jua bentuk penyataan sama
ada secara bertulis atau pemberitahuan lisan.
3.0

FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA GEJALA PONTENG SEKOLAH.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala ponteng sekolah dalam kalangan
pelajar. Faktor-faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah akan dibincangkan
dari lima aspek iaitu faktor ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, persekitaran, pelajar, dan
sekolah.
3.1

Ibu Bapa

Salah satu punca utama wujudnya gejala ponteng sekolah adalah disebabkan faktor
keruntuhan institusi kekeluargaan. Majoriti pelajar yang terlibat dengan masalah ponteng
sekolah ini datang dari keluarga yang bermasalah atau tidak bahagia. Pertelingkahan

yang timbul antara ibu bapa menyebabkan kebajikan anak-anak diabaikan. Kesannya
kepada anak-anak ialah segala perilaku anak-anak di luar rumah dan di sekolah
diabaikan.
Keadaan ini menyebabkan anak-anak ketandusan kasih sayang dan berasa
tidak diberi perhatian oleh ibu-bapa mereka sehingga menyebabkan mereka
memberontak dengan melakukan sesuatu perkara yang boleh menarik semula
perhatian ibu bapa mereka. kegagalan pelajar mengawal emosi menyebabkan konflik
diri berlaku sehingga pelajar sanggup melanggar peraturan sekolah seperti ponteng
sekolah, buli, merokok, vandalisme serta melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral
seperti berjudi, mat rempit, seks bebas demi menarik perhatian ibu bapa mereka. Ini
menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempunyai pengaruh yang besar kepada
masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
Selain itu, faktor kesibukan ibu bapa bekerja mencari rezeki tidak kira siang dan
malam sehingga menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab utama mereka
terhadap anak-anak. Malah, mereka langsung tidak mempunyai masa untuk bertemu
dengan anak mereka apatah lagi berkongsi masalah, berbual, dan mengambil tahu
perkembangan

anak-anak

di

sekolah.

Kekangan

masa

bersama

anak-anak

ini menyebabkan anak-anak berasa terabai dan tidak disayangi sehingga memberikan
kesan emosi seperti sedih, marah, benci, geram. Apabila masalah ini membebani
mereka, konsentrasi mereka terhadap pelajaran semakin merosot dan tidak berminat
lagi untuk belajar. Malah, mereka akan berjinak-jinak mencari keseronokkan di luar bagi
mengubati kesunyian yang mereka alami. Anak-anak ini akan berkawan dengan orang
luar semasa mereka ponteng sekolah dan kesannya kawan baharu ini akan mengajak
mereka pergi ke tempat lain untuk berhibur sehingga anak-anak ini tidak lagi
mementingkan pelajaran. Oleh itu, pelajar beranggapan dengan ponteng sekolah dan
melepak dapat melupakan masalah yang mereka hadapi.
Selain daripada itu, masalah kewangan juga antara faktor menyebabkan gejala
ponteng

sekolah

semakin

berleluasa.

Sebagai

contohnya,

kegagalan

dan

ketidakmampuan ibu bapa untuk memenuhi perbelanjaan sekolah seperti tidak dapat
melunaskan pembayaran yuran sekolah dan tidak mampu membeli peralatan dan bukubuku pelajaran yang digunakan. Kajian yang dilakukan oleh Mohamad Yunus (1977)
menyatakan salah satu sebab berlakunya ponteng sekolah ialah ibu bapa tidak mampu

membeli peralatan sekolah seperti buku, alat tulis dan pakaian sekolah. Pada masa
yang sama ,pelajar menerima tekanan daripada guru apabila sering bertanya tentang
pembayaran yuran. Hal ini menyebabkan mereka berasa malu dan tertekan untuk
berhadapan dengan guru dan kawan-kawan lain. Justeru, untuk melarikan diri dari
tekanan masalah ini pelajar mengambil jalan mudah dengan ponteng sekolah.
Faktor didikan daripada ibu bapa dan ajaran agama yang kurang, turut
menimbulkan masalah ponteng sekolah yang kian menjadi-jadi itu. Ketika berada di
rumah, anak-anak tidak dididik oleh ibu bapa mereka dengan sempurna dan sikap
tanggungjawab tidak diterap ke dalam jiwa mereka. Ini secara tidak tidak langsung
mempengaruhi pembentukan peribadi mereka dan amalan ponteng sekolah merupakan
satu tindakan tidak bertanggungjawab dipraktikkan oleh mereka. Masalah didikan ibu
bapa yang tidak efektif kadang-kala boleh menyebabkan mereka tidak berupaya
melakukan penaakulan yang rasional mengenai kesalahan yang mereka lakukan serta
baik buruknya sesuatu perkara yang dilakukan oleh mereka. Ini membuktikan didikan
daripada ibu bapa yang kurang sempurna secara tidak langsung mempengaruhi
timbulnya gejala ponteng sekolah tersebut.
Tidak dinafikan untuk membina keluarga harmoni dan kukuh bukanlah sesuatu
yang mudah. Ibu bapa perlulah mempunyai pengetahuan keibubapaan.Tetapi, apa yang
menyedihkan ibu bapa masa kini mempunyai pengetahuan keibubapaan yang cetek dan
ia mengakibatakan keruntuhan rumahtangga. Malah, terdapat juga ibu bapa yang lepas
tangan meletakkan tanggungjawab mengasuh anak-anak kepada pengasuh sematamata. Keruntuhan rumah tangga ini akan mengurangkan rasa hormat anak kepada ibu
bapa menyebabkan mereka mudah terjerumus terlibat dengan salah laku disiplin di
sekolah.
3.2

Pengaruh rakan sebaya

Pengaruh rakan sebaya juga merupakan faktor yang mendorong pelajar ponteng
sekolah. Menurut Mohd Amin (1998), pelajar yang ponteng adalah mereka yang
mempunyai pendirian yang lemah. Lemahnya pendirian seseorang akan menyebabkan
seseorang itu mudah dipengaruhi oleh orang lain. Pelajar ialah remaja yang dalam
proses ingin mencari identiti diri maka mereka suka mencuba sesuatu yang baharu
tanpa berfikir panjang. Dalam hal ini, pelajar mudah menerima ajakan rakan sebaya

mereka untuk ponteng sekolah dan mempengaruhi minda mereka dan tidak berfikir
secara rasional. Biasanya, mereka akan menurut segala pelawaan dan ajakan rakanrakan tanpa berfikir panjang. Fenomena ini berlaku kerana rakan-rakan yang bercadang
untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang dianggap munasabah
bagi mereka. Sebagai contohnya, pelajaran di sekolah dikatakan agak membosankan
dan aktiviti ponteng sekolah dianggap boleh menangani masalah itu serta merupakan
aktiviti yang menyeronokkan. Ini jelas menunjukkan pengaruh rakan sebaya berupaya
mempengaruhi seseorang pelajar untuk ponteng sekolah. Dalam hal ini, pelajar perlu
bijak memilih kawan yang baik dan ibu bapa perlu mengambil tahu dengan siapa anak
mereka berkawan untuk mengelakkan anak mereka berkawan dengan pelajar yang
bermasalah.
3.3

Persekitaran

Faktor persekitaran juga turut mempengaruhi pelajar melakukan perkara yang negatif
terutamanya ponteng sekolah. Kemudahan-kemudahan untuk berhibur yang terlalu
banyak seperti pusat permainan video, pusat permainan snooker, kafe-kafe siber dan
pusat membeli-belah yang dibina berhampiran dengan kawasan sekolah khususnya.
Pembangunan pusat-pusat hiburan ini sebenarnya menyebabkan pelajar lebih mudah
lari dari sekolah dan merayau-rayau di pusat membeli-belah.
Di samping itu, program-program yang berbentuk hiburan dan konsert tempatan
mahupun diimport dari barat amat melekakan pelajar. Terdapat banyak rancanganrancangan realiti televisyen pada masa kini yang berkonsepkan hiburan dan
menyimpang jauh dari sudut ilmiah dan agama. Secara tidak langsung, pelajar mudah
terdorong untuk mengamalkan cara hidup berhibur semata-mata dan seterusnya
melunturkan semangat untuk menuntut ilmu di sekolah. Secara tidak langsung mereka
turut dipengaruhi dengan tanggapan bahawa kemewahan dan populariti dapat dicapai
denagn mudah seandainya mengikuti arus industri hiburan. Ini menyebabkan mereka
tidak berminat untuk belajar dan berpendapat mereka boleh maju tanpa perlu hadir ke
sekolah untuk menimba ilmu.
Realitinya, hiburan yang melampau ini boleh membawa kepada salah laku yang
lebih serius seperti amalan seks bebas dan penyalahgunaan dadah. Penerbitan
penerbitan buku bertemakan cinta remaja, majalah hiburan seperti Mangga , URTV

hanya menarik minat golongan muda kepada keseronokan hidup berpasangan.


Penyiaran secara berleluasa bahan bacaan picisian ini sebenarnya mengkhayalkan dan
mempengaruhi pemikiran pelajar. Secara tidak langsung langsung fenomena ini akan
meruntuhkan akhlak pelajar serta usaha melahirkan remaja yang berakhlak berasaskan
kehendak agama dan ketinggian nilai moral. Sepatutnya personaliti-personaliti dunia
hiburan yang ditonjolkan sebagai idola harus mempunyai akhlak yang baik untuk
dicontohi.
3.4

Pelajar

Dalam lingkungan usia pelajar sekolah menengah khususnya masih mengalami proses
perkembangan dan pertumbuhan yang pesat iaitu zaman peralihan alam kanak-kanak
menuju ke alam remaja. Pada ketika ini, ibu bapa seharusnya tidak mengambil sikap
lepas tangan dengan membiarkan anak-anak mereka merentasi zaman remaja begitu
sahaja tanpa mengetahui pergolakan yang dihadapi oleh anak-anak mereka.
Tempoh peralihan inilah merupakan suatu masa yang penting untuk menentukan
konsep diri mereka. Hal ini kerana, apabila anak-anak melangkah ke alam dewasa,
mereka sudah pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa,
mencuba sesuatu yang baharu dan berkhayal. Selain itu, perubahan emosi dan sosial
mendorong pelajar membesarkan rakan sosialnya. Mereka meluaskan rakan sosial
dengan cara menyertai kumpulan tertentu atau membentuk kumpulan baharu
berdasarkan umur sebaya, hobi yang sama, prinsip hidup yang sama atau taraf sosial
yang sama. Pada ketika inilah pelajar berhadapan dengan situasi genting dalam memilih
rakan rakan. Seandainya tersalah pilih, maka mereka akan cenderung ke arah salah
laku negatif termasuklah ponteng sekolah. Ketiadaan bimbingan menyebabkan mereka
beranggapan mereka berada di jalan yang benar dan tiada siapa boleh menghalang
perbuatan mereka kerana pada pendapat mereka, apa-apa sahaja yang dilakukan
adalah betul.
3.5

Sekolah

Sistem pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik antara alasan yang kerap
diberikan oleh pelajar yang ponteng sekolah. Proses pengajaran dan pembelajaran yang
kurang menarik dan membosankan menyebabkan mereka lebih suka ponteng sekolah
daripada hadir ke sekolah. Keadaan ini berlaku apabila sesetengah guru kurang proaktif

dalam menarik minat pelajar. Pemilihan strategi, kaedah dan teknik pemgajaran yang
kurang menarik, di samping tiada variasi aktiviti atau gerak kerja yang menarik. Malah,
penggunaan kaedah pengajaran tradisional iaitu chalk and talk juga membosankan
pelajar. Pelajar masa kini, memerlukan kaedah pengajaran secara induktif dan gaya
pembelajaran

konstruktivisme

dan

mempergiatkan

aktiviti

berkumpulan

yang

berpusatkan murid Selain itu, penggunaan Bahan bantu mengajar secara interaktif
perlu diaplikasinya untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Selain itu,
guru perlulah bersikap adil terhadap pelajarnya dan menunjukkan personaliti yang baik
sebagai role model kepada pelajar.
Sekolah merupakan tempat berlakunya aktiviti pengajaran dan pendidikan kedua
selepas ibu bapa. Ini bermakna guru juga amat penting dan bertanggungjawab dalam
membentuk sahsiah pelajar. Mengikut Hussein (1993) pembelajaran yang berkesan
datangnya dari suasana sekolah yang tenteram, kerana ketenteraman itu amat kritikal
bagi melahirkan pencapaian yang baik dalam kalangan pelajar. Kewujudan suasana
sekolah yang positif dari segi kemudahan sekolah, pengajaran guru, kedudukan sekolah
dari aspek pengangkutan pelajar dan perlaksanaan disiplin yang efektif menjamin
pembelajaran yang berkesan dan mengurangkan kes-kes salah laku pelajar.
Setiap sekolah di Malaysia telah diperuntukan dengan jumlah kewangan yang
besar bagi memastikan suasana sekolah berada dalam keadaan selamat, ceria dan
kondusif. Tetapi malangnya

terdapat

sebilangan

sekolah

gagal menggunakan

peruntukan ini bagi memastikan sekolah berada dalam keadaan yang selamat, ceria dan
kondusif. Sebagai contoh,. pagar-pagar yang sedia ada telah rosak tetapi tidak dibaiki
segera. Ini menyebabkan pelajar mudah untuk ponteng sekolah dan keluar masuk
sesuka hati. Kerosakan pagar di sekeliling sekolah akan menyukarkan tugas guru untuk
mengawal pelajar.
Faktor kawalan disiplin sekolah yang longgar juga memberi ruang kepada
pelajar untuk ponteng sekolah dan melakukan perkara-perkara negatif yang lain. Badan
disiplin sekolah termasuklah guru disiplin dan pengawas tidak berfungsi dengan baik
bagi membanteras kegiatan yang melanggar disiplin. Justeru, tugas guru bukan sahaja
mengajar dan mendidik, malah mereka juga perlu prihatin kepada perkembangan
pelajar. Ketidakprihatinan guru terhadap pelajar menyebabkan pelajar berasa tidak

dihargai dan tidak diberi perhatian. Ini menyebabkan pelajar membuat perkara-perkara
yang negatif bagi mendapatkan perhatian guru mereka.
4.0

KESAN PONTENG SEKOLAH

Ponteng sekolah sebenarnya tidak pernah menjanjikan kebaikan dan keseronokan


kepada pelajar. Malah, ia mendatangkan keburukan pada diri pelajar itu sendiri. Antara
kesan-kesan negatif yang timbul adalah seperti berikut:
4.1

Pembaziran Masa Dan Tenaga

Kesan yang dihadapi jika pelajar ponteng sekolah terutamanya adalah masa dan tenaga
mereka akan dirugikan kerana masa yang dibazirkan tidak akan dipulangkan ataupun
dikembalikan. Jika mereka dapat menggunakan masa mereka dengan baik iaitu tidak
ponteng sekolah dan mementingkan pelajarannya, mereka akan berjaya dalam masa
yang akan datang dan kejayaannya dapat memberi kehidupan yang lebih baik dan
selesa kepada generasi seterusnya.
4.2

Masyarakat Memandang Serong Kepada Pelajar

Kesan kedua yang dihadapi adalah masyarakat akan memandang rendah ataupun hina
kepada mereka dan ini secara tidak langsung akan memalukan maruah keluarga.
Sebagai contoh, apabila seseorang ternampak sekumpulan pelajar yang ponteng
sekolah, satu-satunya pendapat mereka terhadap pelajar tersebut adalah mereka
adalah sampah masyarakat kerana mereka tidak dapat memberi perkhidmatan kepada
masyarat pada masa depan. Masyarakat juga akan memarahi ibu bapa mereka kerana
mereka tidak dapat mendidik anak-anak dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab
mereka sebagai ibubapa atau penjaga.
4.3

Masa Depan Tidak Terjamin

Kesan lain yang akan dihadapi oleh pelajar tersebut adalah mereka akan ditertawakan
oleh rakan-rakan lain sekiranya mereka gagal dan masa depan pelajar ini akan hancur
kerana mereka tidak lagi dapat dipercayai oleh masyarakat dan kesannya negara akan
kekurangan bakal peneraju yang berwawasan.

4.4

Menjejaskan Peratus Kedatangan Pelajar

Lazimnya para pelajar yang kerap ponteng sekolah dengan sendirinya turut
menjejaskan rekod kedatangan fail peribadi pelajar. Kesannya lebih meruncing
sekiranya peratus kedatangan pelajar terbabit tidak mencapai syarat wajib kedatangan
harian ke sekolah sebanyak 85%. Justeru, berkemungkinan rekod peribadi pelajar akan
dicatatkan tidak cemerlang dari segi sahsiah.
4.5

Kesan Gejala Ponteng Sekolah Kepada Guru

Selain melihat kesan gejala ponteng sekolah terhadap para pelajar sendiri, perlu juga
dititikberatkan berkaitan implikasi gejala ponteng sekolah kepada pihak sekolah
terutamanya guru-guru. Antara ada guru-guru yang merasa tertekan dengan perlakuan
para pelajar yang terlibat dengan gejala ponteng sekolah.
Mereka berasa kerugian kerana tidak dapat memberi ilmu setaraf dengan pelajar
lain kepada pelajar yang kerap ponteng sekolah dan mengakibatkan kemerosotan
terhadap corak pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Selain dari itu, gejala ponteng sekolah juga mengganggu proses pembelajaran
pelajar-pelajar lain dan merumitkan lagi tugas seorang guru kerana terpaksa mencuri
masa untuk mengulang kembali pelajaran yang tertinggal serta tidak difahami oleh
pelajar yang ponteng. Pelajar yang ponteng sering mengganggu kelas dan pelajar lain
serta memburukkan pencapaian mata pelajaran iaitu melibatkan keseluruhan tahap
pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran tertentu.
5.0

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI GEJALA PONTENG SEKOLAH


Secara umumnya, untuk membasmi gejala ponteng sekolah secara total adalah agak
sukar untuk dicapai. Ini kerana ia melibatkan komitmen daripada pelbagai pihak dan
tindakan secara menyeluruh dan bersepadu di setiap peringkat bagi memastikan
penularan gejala ponteng sekolah.
5.1

Guru Dan Pihak Sekolah

Guru dan pihak sekolah antara individu yang bertanggungjawab dan memainkan
peranan penting dalam menangani masalah ponteng sekolah. Hal ini kerana, antara
salah satu alasan yang diberikan oleh pelajar yang ponteng sekolah ialah kelas yang
membosankan menyebabkan mereka lebih suka ponteng dan melepak atau
berpeleseran di pusat membeli-belah dan pusat kafe siber. Guru seharusnya melihat
alasan ini sebagai cabaran untuk mereka berusaha melakukan sesuatu agar proses
pengajaran dan pembelajaran (p&p) berjalan dengan baik dan menarik. Proses p&p
yang menarik bukan sahaja akan membuatkan pelajar berminat ke sekolah tetapi akan
memudahkan lagi pemahaman mereka terhadap pelajaran. Pihak sekolah juga perlulah
mewujudkan suasana persekolahan dan pembejaran yang kondusif, dinamik dan
memberangsangkan. Pendekatan dan strategi p&p serta aktiviti perlu dipelbagaikan dan
diperbaharui untuk menjana perkembangan kognitif pelajar. Selain itu, perbanyakkan
pengunaan bahan bantu mengajar yang kreatif dan menarik serta banyakkan aktiviti
berpusatkan murid sesuai dengan gaya pembelajaran kontruktivisme melalui strategi
berpusatkan murid bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif dalam mencipta
sesuatu yang baharu dan bijak dalam menyelesaikan pemasalahan yang dihadapi.
Hubungan interpersonal dengan pelajar perlu diwujudkan. Malah, guru perlu mempunyai
personaliti yang baik dan bersikap profesional serta adil terhadap pelajarnya. Ini
bermakna guru perlu menjadi role model yang baik kepada pelajar. Pada masa yang
sama, pelbagai aktiviti menarik melalui aktiviti kokurikulum seperti perkehemahan,
Program rakan Muda dan Program Latihan Khidmat Negara adalah wajib disertai
supaya pelajar dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah di samping memperolehi
banyak ilmu pengetahuan. Malah pelbagai kempen perlu giat diadakan sama ada
melalui media massa ataupun kempen di sekolah yang bersifat memberi kesedaran
kepada pelajar akan kesan negatif gejala ponteng sekolah.
Selain itu, guru juga perlu peka akan tingkah laku dan pergerakan pelajar
dengan meluangkan sedikit masa, walaupun dalam keadaan yang sibuk, untuk
mengambil tahu tentang masalah pelajar, memerhatikan perwatakan dan tingkah laku
pelajar-pelajar di bawah kawalannya. Sikap ambil berat guru ini, mungkin dapat
mengesan dengan lebih awal pelajar yang bermasalah. Tindakan yang bersesuaian dan
tegas perlu diambil agar pelajar yang bermasalah ini tidak terus hanyut dan dibiarkan
bersendirian. Di samping itu, pendekatan bimbingan dan kaunseling perlu diaplikasikan
relevan dengan sikap remaja yang sensitif dan suka memberontak.

Semua guru di sekolah tidak kira guru kanan, guru akademik biasa atau guru
disiplin bertanggungjawab terhadap masalah disiplin pelajar. Justeru, janganlah
menunggu dilantik sebagai guru disiplin atau guru kaunseling baharulah hendak
mengambil berat tentang latar belakang dan masalah pelajar. Semua warga
sekolah perlu sama-sama mewujudkan suasana yang positif untuk perkembangan jati
diri para pelajar yang meningkat remaja dan dewasa. Kesedaran dan komitmen semua
pihak akan dapat membanteras gejala ponteng sekolah secara berkesan. Malah
tanamkan suasana Sekolah Syurgaku untuk mewujudkan rasa kepunyaan dan
keselamatan di sekolah.
Bagi merealisasikan keberkesanan tindakan dari semua pihak di sekolah,
adalah wajar sekiranya badan disiplin bergerak selari dan seiring dengan badan-badan
lain yang wujud di sekolah. Relevannya kerana pencapaian seseorang pelajar dalam
sesuatu bidang ini baik dalam bidang akademik atau bidang bukan akademik,
bergantung kepada tahap disipilin pelajar itu sendiri. Pelajar yang berjaya dalam
kehidupan sering dikaitkan dengan mereka yang berdisiplin. Pembentukan disiplin di
sekolah dilihat sama pentingnya dengan penyebaran ilmu pengetahuan. Oleh itu, badan
disiplin harus bergerak dalam bentuk yang terancang dan sistematik bagi membendung
masalah yang akan timbul, seperti kata pepatah membendung dan mencegah adalah
lebih baik daripada mengubatinya.
5.2

Peranan Ibubapa

Langkah seterusnya ialah melalui peranan Ibu bapa. Ibu bapa perlu memastikan anakanak benar-benar pergi ke sekolah. Apa salahnya, sekali-sekala ibu bapa menghubungi
pihak sekolah bagi memastikan samada anak mereka benar-benar pergi ke sekolah
ataupun sebaliknya. Ibu bapa juga perlu mempunyai hubungan baik dengan guru demi
kebaikan anak mereka. Kadangkala anak-anak ini baik di depan mata ibu bapa tetapi
sebaliknya di sekolah. Masing-masing akan ketakutan apabila mereka ditangkap atas
sesuatu kesalahan dan kebiasaannya mereka akan merayu agar jangan diberitahu
kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa pula sering tidak percaya dan menafikan anak
mereka melanggar peraturan sekolah. Anak-anak yang bermasalah ini biasanya akan
membawa dua perwatakan berbeza; baik di rumah tetapi nakal di sekolah. Justeru itu,

ibu bapa sewajarnya menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin demi masa
depan anak mereka sendiri.
Keluarga adalah unit kecil dalam masyarakat, namun ia memberi sumbangan
yang amat besar dalam membina sesebuah negara. Kepincangan sebuah keluarga
akan membawa kepincangan sesebuah negara. Keluarga haruslah memberi keadaan
persekitaran yang mempunyai nilai keinsafan, adab, akhlak dan etika dan seterusnya
akan berkembang baik dalam generasi. Keluarga bertanggungjawab membentuk sikap,
watak diri dan wawasan bagi seseorang insan dan ini merupakan unsur utama dalam
pembinaan bangsa dan negara yang cemerlang.
Melalui institusi keluargalah bermulanya peranan ibubapa dalam mencorak
kehidupan anak-anak. Anak-anak dilahirkan bagai kain putih yang bersih. Guru yang
pertama dalam hidup seseorang insan adalah ibubapa dan keluarganya sendiri. Ibu
bapa berperanan penting dalam membanteras gejala ponteng sekolah ini. Ibu bapa
seharusnya mencurahkan kasih sayang secukupnya kepada anak-anak mereka. Kasih
sayang bukanlah dengan hanya memberi kemewahan kepada anak-anak tetapi
perhatian dan asuhan yang baik. Sifat berdisiplin, akhlak yang mulia, budi pekerti serta
patuh kepada ajaran agama semuanya perlu disemai dari rumah lagi oleh ibu bapa.
Kita seharusnya menjadikan apa yang berlaku di Barat sebagai iktibar. Dunia
mengakui akan kemajuan mereka di dalam lapangan sains dan teknologi, kekukuhan
ekonomi dan kecanggihan teknologi dan ketenteraan. Namum, institusi kekeluargaan
mereka sangat rapuh dan terdedah dengan pelbagai penyakit sosial. Kita tidak mahu
dalam keghairahan masyarakat mengejar kemewahan asas, nilai dan kekukuhan
institusi kekeluargaan dilupakan.
5.3

Pelajar

Langkah untuk mengatasi gejala ponteng sekolah yang ketiga adalah melalui aspek
sikap pelajar di mana pelajar itu sendiri perlu sedar betapa pentingnya pelajaran
terhadap masa depan mereka. Tanpa pelajaran, kebiasaannya seseorang tidak akan
dapat pekerjaan yang baik dan masa depan yang kurang terjamin. Tambahan pula,
kelulusan akademik yang cemerlang menjadi penanda ukur utama mendapat pekerjaan

yang baik. Malah, persaingan sengit untuk mendapat pekerjaan kerana semakin ramai
pelajar yang pandai pada zaman ini. Oleh itu, sekiranya mereka ketinggalan, jelaslah
akan merugikan mereka sendiri. Dengan keadaan semasa, di mana setiap orang
mengejar kemewahan dan kebendaan dan ia hanya dapat dicapai dengan pengetahuan,
usaha, ilmu dan pengalaman. Untuk itu, bagaimanakah seseorang pelajar yang sering
ponteng sekolah mempunyai masa depan yang cerah walhal mereka sendiri sudah
ketinggalan ilmu pengetahuan.
Pelajar perlu cekal dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi supaya mereka
tidak hanyut dek arus kemajuan dan kemewahan yang ada. Mereka perlu pandai
memikirkan dan menentukan antara nilai-nilai positif dan nilai negatif. Pelajar juga perlu
menolak ajakan rakan-rakan untuk melakukan perkara yang negatif kerana ianya hanya
akan membuang masa dan menyusahkan orang lain. Pelajar perlu sedar bahawa
tanggungjawab mereka adalah belajar dan menimba ilmu sebaik mungkin.
Sewajarnya, ketika usia muda remaja inilah seseorang itu mengambil berat
tentang pendidikan. Jangan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan atau orang asing
yang berniat merosakkan akhlak. Pelajar wajar mengikut contoh tauladan yang baik,
menyertai ceramah atau motivasi mengenai pelajar cemerlang, beriadah sebaiknya
bersama keluarga, aktif dalam kelab sukan yang diminati dan kokorikulum sekolah dan
memiliki didikan agama yang intensif dan lengkap. Usia remaja tidak akan kembali lagi.
Justeru itu, pelajar harus menggunakan masa remaja ini sebaik mungkin demi masa
depan yang terjamin.
5.4

Pihak Kementerian Dan Kerajaan

Langkah yang keempat yang perlu ditekankan ialah peranan pihak yang tertinggi
dalam sistem Pendidikan Negara iaitu Kementerian Pendidikan dalam menangani
masalah ponteng sekolah ini (sepertimana dalam lampiran surat dari kementerian
kepada jabatan pendidikan setiap negeri). Kementerian boleh mewujudkan pasukan
khas bagi menangkap pelajar yang ponteng sekolah. Kementerian juga boleh
bekerjasama dengan pihak polis dalam membanteras gejala ponteng sekolah ini. Ini
kerana, pelajar yang ponteng sekolah ini mungkin akan terlibat dengan kes-kes jenayah

lain seperti mencuri dan meragut. Dengan adanya bantuan pihak polis, gejala negatif ini
dapat dibanteras lebih awal.
Selain itu, diharap kementerian dapat membantu guru dengan menyalurkan lebih
banyak peruntukan agar guru dapat lebih kreatif dan inovatif dalam menjalankan proses
p&p. Ini akan menambahkan lagi keberkesanan penyampaian ilmu pengetahuan.
Kementerian juga dapat membantu guru dengan mengurangkan bebanan kerja
sampingan supaya guru dapat fokus kepada proses p&p dan perkembangan pelajar.
Pada masa kini, tugas guru bukan setakat mengajar malah turut dibebani lima tugas lain
iaitu

pertama;mengurus

data,

fail,

buku

rekod

dan

laporan;

kedua, urusan

pentadbiran, ketiga; kegiatan kurikulum, keempat; kokurikulum dan kelima; urusan hal
ehwal murid. Dengan kurangnya bebanan tugas ini, guru akan dapat membimbing
pelajar dengan lebih baik lagi dan tidak membiarkan pelajar hanyut dengan
permasalahan mereka.
Kementerian juga boleh membuat satu kajian yang menyeluruh berkenaan
dengan sistem pendidikan dan peraturan sekolah yang sedia ada. Ketika ini sistem
sekolah lebih menjurus kepada kecemerlangan akademik tetapi kurang ke arah
kecemerlangan sahsiah. Ini dapat dilihat masalah disiplin dan moral juga ketara di
sekolah sekolah berasrama penuh walaupun mereka yang belajar di situ terdiri dari
mereka yang terpilih.
6.0

KESIMPULAN

Konklusinya, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini sebelum
nasi menjadi bubur. Demi mewujudkan generasi dan modal insan yang lebih berguna
pada masa hadapan, maka satu langkah drastik daripada semua pihak patut
dilaksanakan. Tindakan daripada satu pihak sahaja tidak akan membuahkan hasil. Jadi,
sama-samalah

kita

berganding

bahu

untuk

menangani

sekolah. Meskipun terdapat pelbagai cadangan mengenai

masalah

ponteng

cara mana mengatasi

masalah ponteng sekolah ini, namun ia hanya berakhir di meja perbincangan, forum
atau seminar. Sememangnya terdapat pelbagai program yang dirangka untuk remaja
dan pelajar tetapi ianya hanya memberi manfaat kepada segelintir mereka sahaja dan
lebih bersifat komersial. Ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat perlulah berganding bahu

dan bekerjasama dalam memikul tanggungjawab

mendidik anak-anak dan para

pelajar. Adalah wajar supaya pelajar didedahkan akan kesan buruk dalam masyarakat
melalui interaksi mereka di sekolah. Golongan ini juga perlu didedahkan dengan
pengetahuan undang-undang agar mereka gementar dengan hukuman.
Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa
depan negara. Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang
peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun
demikian, masalah disiplin di kalangan remaja adalah salah satu daripada ancaman
kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa
panjang. Oleh itu segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus
dibendung dan di atasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset
utama yang merupakan sumber modal insan yang selaras dengan falsafah pendidikan
negara

yang

akan yang

akan

mempastikan

kelangsungan

kemajuan

dan keharmonian negara.

REFLEKSI
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, akhirnya
saya berhasil menyiapkan tugasan Kerja Kursus Projek (KKP) bagi subjek (EDU 3083)
Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru ini. Telah terbayar rasanya,
segala usaha, penat lelah dan pengorbanan yang telah dicurahkan apabila tugasan ini
berjaya dihasilkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Sesungguhnya tugasan
ini merupakan sebuah wahana rintis ilmu yang saya kira amat baik untuk direnungi dan
dihayati.
Dunia pendidikan semakin mencabar pada hari ini. Pelbagai isu yang berkaitan
dengan guru dan keguruan sering dibincangkan melalui media massa. Berdasarkan
tugasan projek yang telah diberikan, pelbagai manfaat telah saya perolehi. Dengan
menyiapkan tugasan projek ini, saya dapat meningkatkan kefahaman tentang ruang
lingkup kerjaya sebagai seorang guru. Isu-isu yang berkaitan dengan guru dan keguruan
merupakan topik yang sering mendapat liputan menyeluruh oleh semua pihak. Hal ini

memberi pendedahan kepada saya untuk lebih matang dalam menempuhi isu-isu yang
bakal berlaku pada masa hadapan.
Tugasan

projek

ini

mengkehendaki

saya

menganalisis,

mengulas

dan

mengutarakan pendapat berkaitan isu yang berkait dengan guru dan keguruan. Hal ini
sekaligus akan dapat mempengaruhi tindakan saya pada masa hadapan sekiranya
menghadapi masalah yang berkaitan dengan bertindak secara matang. Tindakan
yang diambil hendaklah berlandaskan kepada profesionalisme sebagai seorang guru
tanpa mengikut hawa nafsu semata-mata.
Malah, dengan adanya tugasan projek ini, saya dapat berfikir secara kreatif dan
kritis dalam menangani setiap masalah yang berlaku. Hal ini disebabkan, bertindak
tanpa berfikir akan mendatangkan kesan yang negatif kepada individu itu sendiri. Jadi,
setiap masalah yang berlaku akan dapat diselesaikan sekiranya saya dapat berfikir
secara kreatif dan kritis dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian.
Sepanjang menyiapkan tugasan ini, saya dapat menganalisis dan mengkaji
secara lebih jauh bahan-bahan ilmiah yang saya baca untuk mendapatkan maklumat
tambahan tentang isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang menjadi tajuk
kajian saya. Dengan analisis yang lebih mendalam, saya dapat memahami isi pokok
yang cuba disampaikan oleh pengarang.
Selain daripada itu, melalui pengkajian yang teliti tentang aspek isu etika
keguruan, saya dapat menanam rasa cinta akan bidang keguruan ini. Betapa banyaknya
kesan gejala ponteng sekolah yang dilakukan oleh pelajar baik kepada diri pelajar itu
sendiri, ibubapa, guru, sekolah dan masyarakat amnya. Saya melihat isu ini sebagai
suatu masalah yang serius dan amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak
agar berganding bahu membantu pihak sekolah menangani masalah ini.
Sepanjang usaha membuat tugasan ini, saya juga dapat belajar dengan lebih
mendalam tentang cara membuat blog yang sangat mudah. Walaupun perkara ini telah
dipelajari dalam semester yang lepas, saya seolah-olah meneroka ke alam yang baharu.
Maklumlah, hanya beberapa kali sahaja saya memuatkan bahan dalam blog saya.

Itupun kerana keperluan kerja kursus. Dewasa ini blog menjadi suatu medan luahan
idea dan pendapat oleh masyarakat.
Terdapat beberapa kesukaran yang telah saya tempuhi semasa menjalankan
kajian ini. Antara kesukarannya adalah memilih tajuk kajian. Lambakan artikel-artikel
mengenai isu keguruan menyukarkan saya untuk memilih isu yang terbaik. Namun
begitu masalah ini dapat diatasi selepas melakukan perbincangan dengan ahli kumpulan
yang nyata sangat membantu.
Saya amat berterima kasih kepada pensyarah pembimbing Encik Ridzuan b.
Ahmad yang telah banyak memberikan maklumat melalui penceritaan beliau tentang
subjek (EDU 3083) Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru di dalam
kelas. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada rakan sekelas yang banyak
berkongsi maklumat dan idea.

Anda mungkin juga menyukai