Anda di halaman 1dari 2

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi

bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.
Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk Memartabatkan Bahasa
Melayu. Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan Bahasa Melayu
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan
dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula, bahasa
Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh
itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing
dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa
yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan
mengikut arus perubahan zaman.
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha
untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa
Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anakanak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guruguru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur
dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan
juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu
Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah,
Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga
dewasa dan sampai bila-bila.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang
bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa
Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah
menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta
akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan
institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah
memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa
Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana media massa memang berkesan
dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan
hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya
penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan, sudah tentu bahasa ini setanding dengan
bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, Duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.
Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah
diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta
yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan.
Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan
dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan
Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta
Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda
sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti
pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi.
Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut
menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah
bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa
seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau
semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak
penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau
tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak
penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang
tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu
seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran
dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini
sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa
Melayu yang betul dalam urusan seharian.
Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu
perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk
memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan
penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga
menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan
Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguaruarkan slogan Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat
tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.
Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim
Posted by Cikgu Mohd Khir Kassim at 7:14 AM
Labels: spm

Anda mungkin juga menyukai